Tuesday, May 3, 2011

Nilai kemaafan lebih tinggi daripada keadilan

 

image

PADA zaman pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz, beberapa pemberontakan berlaku hingga menggoncang pemerintahannya. Kekejaman pihak pemberontak terhadap rakyat membuatkan pemerintah bertekad untuk menghapuskannya. Mereka yang enggan menyerah diri akan menerima hukuman mati.

Pada suatu hari, seorang pemberontak ditangkap dan dijatuhi hukuman pancung.

Tukang pancung bersiap sedia untuk memulakan hukuman mati itu.

Selaras dengan peraturan, orang yang dihukum diberikan peluang menyampaikan permintaan terakhir. Lantas Umar pun berkata: “Hai pemberontak ganas, apakah permohonanmu yang terakhir?

“Kuberikan kesempatan untuk menyampaikan keinginanmu sebelum kepalamu berguling ke bawah.”

Balas pemberontak:”Terima kasih Amirul Mukminin. Saya hanya inginkan semangkuk air sejuk.”

“Hanya semangkuk air dingin? Bukan makanan yang lazat?” tanya khalifah kehairanan.

“Tidak tuanku. Hanya semangkuk air sejuk,” jawab pemberontak itu.

Ucap khalifah:”Baik, akan kupenuhi permintaanmu.” Beliau kemudian memerintahkan supaya dibawakan semangkuk air sejuk untuk pemberontak itu.

Selepas pemberontak menerima air itu, dia dengan ketakutan dan penuh curiga berkata: “Apakah tuanku mahu berjanji apabila air dalam mangkuk ini belum saya minum, tuanku tidak akan memerintahkan tukang pancung untuk memancung leher saya?”

“Tentu sekali. Jika air dalam mangkuk itu belum kau minum, engkau tidak akan dipancung,” sahut khalifah memberikan jaminannya.

Tidak semena-mena, pemberontak itu membuang air dalam mangkuk berkenaan hingga habis lantas berkata: “Janji adalah janji tuanku dan janji harus ditepati. Bukankah demikian, wahai pemimpin orang beriman?”

Khalifah masih tidak dapat memahami tindakan pemberontak yang membuang air sejuk serta pertanyaannya itu, namun Umar tetap menjawab: “Pasti. Janji harus ditepati. Itulah keadilan.”

Pemberontak itu berkata:”Tadi tuanku berjanji jika air dalam mangkuk belum saya minum, tuanku tidak akan melaksanakan hukuman pancung ke atas saya.

“Air itu sudah saya tumpahkan dan sekarang air itu kering di tanah hingga saya tidak dapat minum untuk selama-lamanya. Hal ini bermakna, tuanku tidak akan memancung saya sesuai dengan janji tuanku tadi.”

Khalifah mengerutkan kening seketika lantas tidak dapat menahan diri daripada tertawa. Beliau kemudiannya membebaskan pemberontak berkenaan daripada hukuman mati.

Pada waktu lain, seorang pemberontak juga bakal menerima hukuman pancung tetapi ketika hukuman hampir dilaksanakan, beliau menangis teresak-esak.

Dengan wajah sinis, khalifah berkata: “Seorang pemberontak yang kononnya gagah berani menangis kerana menghadapi kematiannya? Apakah kau sudah menjadi tikus yang pengecut dan takut mati?”

Pemberontak itu menyahut: “Demi Allah wahai Amirul Mukminin, saya tidak menangis kerana takut mati.

Ajal adalah ketentuan dan mati pasti akan ditempuh oleh mereka yang pernah hidup.”

Khalifah kehairanan sambil bertanya:”Jadi mengapa engkau menangis?”

“Saya menangis lantaran saya akan mati ketika tuanku sedang murka,” balas pemberontak tadi.

Mendengar jawapan itu, Umar tertunduk lantaran teringatkan ajaran Islam melarang umatnya melakukan sesuatu atas dasar marah dan Rasulullah pun melarang sesuatu keputusan dijatuhkan ketika seseorang marah.

Ketika salah seorang ketua pemberontak bakal dihukum pancung, beliau pun berkata kepada khalifah: “Wahai Amirul Mukminin, tuan sudah diberi kemenangan, maka anugerahilah saya yang kalah dengan sesuatu yang melebihi nilai kemenangan.”

“Apakah maksudmu?” tanya khalifah.

“Berikan saya keampunan dan kesempatan untuk bertaubat serta memperbaiki kesalahan,” kata pemberontak itu.

“Tidak, engkau dihukum kerana engkau bersalah serta menolak untuk menyerah diri dan itulah keadilan,” kata Umar.

Pemberontak itu kemudian berkata:”Kata-kata tuanku memang benar, tetapi bukankah tuanku pernah menyatakan bahawa ada yang lebih tinggi harganya daripada keadilan iaitu memberi kemaafan?

“Maafkanlah saya kerana Allah cinta kepada orang yang lemah, kalah dan berdosa.”

Khalifah akur dengan kata-kata pemberontak itu hingga ketua pemberontak berkenaan dibebaskan dengan harapan dapat menempuh jalan yang benar kemudian hari.

[tweetmeme only_single="false"]