ALLAH menjadikan alam semesta untuk dihuni oleh sekalian makhluk-Nya, termasuk manusia. Tujuan diciptakan manusia pula untuk mengabdikan diri kepada-Nya.
Hal ini berdasarkan firman Allah bermaksud: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka mengabdikan diri kepada Allah.” (Surah al-Dhazariyaat, ayat 56).
Konsep ibadah menurut perspektif Islam bermaksud sesuatu amalan yang dilakukan oleh seseorang hamba terhadap Tuhannya iaitu Allah. Hal ini membawa erti, apabila seseorang manusia melakukan sesuatu pekerjaan kerana Tuhannya, bererti dia telah melaksanakan suatu ibadat.
Ada dua pembahagian ibadat iaitu ibadat khusus yang termasuk dalamnya solat, puasa, zakat, haji, umrah dan korban.
Pembahagian kedua ialah ibadat umum seperti bekerja, belajar, menolong orang dan berpakaian menutup aurat.
Sesuatu perbuatan akan dikira ibadat jika memenuhi beberapa syarat, antaranya ialah ikhlas kerana Allah, menepati sunnah Rasulullah saw, tidak bercanggah dengan syariat dan sewaktu melakukan sesuatu pekerjaan itu ia tidak melalaikan daripada ibadat wajib.
Contohnya, jika seseorang itu berniaga dengan niat ikhlas kerana Allah serta bertujuan menjunjung perintah dan sunnah Rasulullah, maka amalan itu dikira ibadat.
Namun, apabila dia berniaga, tetapi lalai daripada menunaikan ibadat wajib seperti tidak melakukan solat, tidak mengeluarkan zakat keuntungan perniagaan atau tidak menggunakan keuntungan untuk menunaikan ibadat haji, maka amalan itu sia-sia. Amalan itu tidak dikira ibadat kerana tidak memenuhi maksud sebenar beribadat kerana Allah.
Perkara yang amat penting untuk diambil perhatian dalam beribadat ialah mengelakkan diri daripada sebab yang boleh merosakkan amal. Hal ini termasuk, perasaan riak ketika beramal kerana boleh mensia-siakan keseluruhan amalan yang dilakukan.
Perkara ini berdasarkan perumpamaan yang disebut oleh Rasulullah bahawa amalan yang tidak ikhlas akan membatalkan kualiti perbuatan itu seumpama api yang memakan kayu api, tiada yang tinggal, melainkan bara api dan debu-debu.
Setiap amalan yang bercampur dengan perasaan riak bukanlah suatu amalan yang diterima Allah. Malah, perkara itu ibarat menipu diri sendiri, mengotorkan jiwa dan mensia-siakan amalan.
Rasulullah menyatakan bahawa riak termasuk dalam kategori syirik seperti sabdanya yang bermaksud: “Yang paling aku takuti menimpa kamu ialah syirik yang paling kecil. Sahabat bertanya berkaitan dengannya, jawab Baginda, ia adalah riak.”
Riak membawa maksud beramal kerana manusia dan bukannya kerana Allah. Hal ini seperti solat kerana disuruh, menunaikan haji untuk dilihat dan dinilai manusia dan menghulurkan sedekah agar disebut oleh orang ramai.
Seorang ulama tasawuf terkenal, Fudhail bin Iyadh pernah menyebut: “Meninggalkan sesuatu amal kerana manusia adalah riak. Melakukan sesuatu amalan kerana manusia pula adalah syirik. Penyelamat daripada kedua-duanya ialah ikhlas.”
Kadang-kadang seseorang itu dalam keadaan dilema sama ada amalannya ikhlas kerana Allah atau kerana manusia. Ada juga yang diselubungi perasaan beramal kerana Allah, tetapi pada masa sama ada sedikit perasaan riak apabila dilihat manusia.
Ulama mengibaratkan golongan seperti ini sebagai amal yang bersifat sekutu dan ini hendaklah dijauhkan kerana tidak memberi apa-apa nilai.
Hal ini berdasarkan kepada hadis qudsi yang bermaksud: “Barang siapa yang mengerjakan sesuatu perbuatan dalam keadaan bersekutu kerana Ku dan kerana yang selain daripada Ku, maka akan aku tinggalkan (tidak menilai) perbuatan itu bersama-sama sekutunya.”
Amal yang disekutukan kerana Allah dan kerana manusia bukanlah amalan yang benar-benar ikhlas. Hal ini kerana seolah-olah ada tujuan lain yang ingin diperolehnya iaitu penilaian dan pujian dari manusia.
Namun begitu, Imam al-Ghazali ada membuat ulasan mengenai sekutu dalam beramal ini. Beliau menyebut bahawa kurniaan Allah akan bergantung kepada sejauh mana kadar nilainya.
Contohnya, jika seseorang itu menunaikan haji dengan disertai tujuan untuk berniaga, maka dia akan mendapat pahala mengikut kadar niatnya.
Begitu juga dengan seseorang yang berperang mempertahankan agama, di samping untuk mendapatkan harta rampasan perang.
Melihat kepada kenyataan semasa, ada yang menuntut ilmu kerana Allah dan pada masa sama ingin mendapatkan sijil dan pekerjaan baik apabila tamat pengajian nanti.
Di satu pihak, mereka yang bekerja kerana Allah dan pada masa sama untuk mendapatkan gaji sebagai menampung keperluan hidup diri dan keluarga. Adakah ini juga dikatakan syirik dan adakah akan terbatal amalannya?
Sebagai jalan penyelesaiannya, pendapat daripada Imam al-Ghazali bolehlah diguna pakai sebagai panduan.
Apa yang penting ialah dengan mendahulukan niat kerana Allah dan mengharapkan keredaan-Nya. Dan cubalah membuang perasaan riak agar tidak bercampur aduk antara keredaan Allah dan manusia.
Untuk ikhlas dalam beramal bukanlah suatu perkara mudah. Hal ini kerana ulama mengibaratkannya seumpama semut hitam yang duduk di atas batu hitam di tengah malam yang sangat gelap dan amat susah untuk dilihat. Begitulah ibaratnya ikhlas yang amat susah untuk ditafsirkan.
Jadikanlah hadis nabi ini sebagai pedoman dan neraca dalam beramal. Baginda bersabda maksudnya: “Bahawa sesungguhnya setiap sesuatu perbuatan itu mestilah dengan niat dan tiap-tiap sesuatu perbuatan itu dinilai mengikut apa yang diniatkan.”
Cuba sematkan dalam hati ketika hendak melakukan sesuatu pekerjaan.
Hadirkan niat bahawa amalan yang dilakukan ini hanya kerana Allah semata-mata. Semoga setiap amalan yang dilakukan akan diterima Allah dan tidak terhapus begitu saja tanpa sebarang kualiti dan nilai.