Tuesday, August 23, 2011

Inovasi mudahkan berzakat


SEORANG teman baru-baru ini memberitahu penulis yang dia hanya mengambil masa tidak sampai dua minit untuk menunaikan zakat fitrah. Siap boleh dapat resit sekali.

“Tak sampai dua minit? Cepatnya!” Tambah mengejutkan pembayaran tersebut dilakukan ketika teman itu terlantar atas katil hospital, memandangkan dia baru selesai pembedahan apendiks.

Spontan penulis bertanya: “Bayar macam mana?” Agak terkejut juga bila diberitahu yang dia menggunakan kaedah terkini iaitu menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS). Malu alah dibuatnya, tetapi memandangkan urusan membayar zakat fitrah itu dilakukan oleh suami, jadi kuranglah merah di pipi.

Lumrahnya, umat Islam di negara kita ini tiap kali tibanya Ramadan dan sebelum menjelangnya Syawal akan berpusu-pusu menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah sama ada di kaunter-kaunter zakat atau menerusi amil-amil yang dilantik oleh institusi zakat.

Justeru, kelibat orang ramai yang terpaksa beratur panjang di masjid, pusat-pusat membeli belah dan lobi-lobi pejabat merupakan senario biasa ketika itu.

Tetapi dengan perkembangan teknologi, cara kita menunaikan ibadat zakat juga turut berubah. Salah sebuah agensi zakat tersohor yang tidak terlepas daripada transformasi dalam operasi kutipan dan agaihan zakatnya iala Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Dalam aspek kutipan, pelbagai inovasi diterokai sehingga menjadikan urusan pembayaran zakat begitu mudah akses sehingga ke hujung jari.

Perubahan zaman menyaksikan pengurusan zakat turut berubah. Ia bukan sahaja mengubah corak kutipan zakat dan pelbagai inovasi bayaran, bahkan turut meliputi perkembangan agihan zakat.

“Di LZS, di samping ada 24 buah kaunter rasmi zakat di seluruh Selangor dan ini tidak termasuk kaunter bergerak, pelbagai kaedah moden turut disediakan untuk berzakat.

“Objektifnya hanya satu, supaya orang mudah menunaikan zakat serta memastikan tiada lagi terdengar pelbagai rungutan dalam melaksanakan rukun Islam ini serta menyelamatkan umat Islam daripada api neraka,” kata Timbalan Pengurus Besar Kutipan L ZS, Adibah Abdul Wahab.

Katanya, sekarang pembayar zakat tidak lagi terikat dengan kaedah pembayaran secara tradisonal.

Ini kerana skop kemudahan perkhidmatan pembayaran zakat telah diperluaskan sejajar dengan perkembangan semasa dan kecanggihan teknologi komunikasi.

Katanya lagi, kini dengan melalui capaian Internet, kewajipan berzakat boleh dilaksanakan waima di mana sahaja dan pada bila-bila masa.

“Sejak LZS ditubuhkan iaitu pada

tahun 1995, memang salah satu tujuan pengkorporatan agensi zakat adalah untuk meningkatkan kecekapan institusi zakat. Jadi, untuk itu pada masa itu dikenali sebagai Pusat Zakat Selangor (PZS) telah mengorak langkah dengan mencari inovasi baru dengan meningkatkan keberkesanan kutipan zakat.

“Inovasi baru yang dimulakan oleh LZS ialah pembayaran zakat melalui potongan gaji atau dikenali sebagai Skim Berkat dengan pelantikan ejen-ejen bank sebagai ejen kutipan zakat.

“Sungguhpun kita tidak dapat mengelakkan segelintir golongan yang masih memilik kaedah tradisional dalam membuat pembayaran zakat di kaunter-kaunter tetapi telah nampak penerimaan serta minat orang ramai beralih membuat pembayaran zakat secara potongan gaji atau alternatif lain yang disediakan oleh LZS,” kata Adibah dalam wawancara eksklusif bersama Mega, Utusan Malaysia baru-baru ini.

Melihat sejarahnya tambah Adibah, LZS mula melantik Bank Pertanian (kini, Agro Bank) sebagai ejen kutipan zakat bermula 1995.

Kemudiannya, mereka sediakan kemudahan pembayaran zakat melalui perbankan telefon pada tahun 1999.

Pun begitu, setelah diperkenalkan perbankan Internet, sambutan terhadap perkhidmatan perbankan telefon nampak sedikit penurunannya di mana diperkenalkan e-dagang.

Pada 2002, LZS memulakan pembayaran zakat melalui kad debit dan kad kredit Islamik yang dipelopori oleh Bank Islam.

Pada tahun yang sama juga LZS telah memulakan perbankan Internet, dimulai dengan Maybank2u dan sehinggalah kini telah ada 12 buah bank kesemuanya.

Tujuh daripadanya menyediakan kemudahan pembayaran zakat fitrah.

“Pembayar hanya perlu melayari portal bank tersebut dan ikuti langkah yang tertera untuk menunaikan zakat.

Begitu juga bagi pembayar yang memilik kaedah bayaran menerusi mesin pengeluaran wang automatik (mesin ATM). Begitu juga ada sebanyak 113 cawangan pejabat pos untuk membayar zakat, selain khidmat pembayaran melalui portal Kerajaan Malaysia atau myBayar.

“Selain pembayaran bank melalui portal-portal ini, LZS maju setapak lagi dengan memperkenalkan pembayaran zakat melalui kaedah Financial Process Exchange (FPX) di portal LZS iaitu www.e-zakat.com.my. yang bermula pada 1 April 2006,” kata Adibah.

Menurutnya, had minimum adalah RM10 bagi setiap pembayaran dan bayaran maksimum bergantung kepada had yang ditetapkan oleh bank. Proses pengeluaran resit bayaran zakat akan dilakukan dalam tempoh 14 hari waktu bekerja.

“Bermula 2008 pula LZS meneruskan komitmen pembayaran zakat fitrah melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) Prabayar dan Pasca Bayar dengan kerjasama syarikat telekomunikasi Celcom dan Maxis. Bayarannya akan dikreditkan terus ke akaun pembayar zakat (pasca bayar) atau dipotong terus daripada akaun prabayar (prepaid) mereka.

“Menariknya, penggunaan kemudahan ini adalah percuma,” kata Adibah.

Oleh itu katanya, tidak ada alasan lagi kepada mereka yang telah mencukupi syaratnya untuk tidak menunaikan zakat.

Menyentuh aspek keselamatan wang zakat ulas Adibah, LZS sentiasa memastikan keselamatan wang zakat yang ditunaikan sentiasa terjamin.

“Keseluruhan pembayaran terkumpul akan dimasukkan ke akaun LZS kerana ejen kutipan telah diberi pentauliahan secara sah oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

“Selain itu, dalam memorandum perjanjian (MoA) antara LZS dengan pihak ejen yang dilantik turut menyatakan berkenaan keselamatan yang dijanjikan.

“Ini bermakna pihak yang terlibat wajib mematuhi dan bertanggungjawab berdasarkan kepada perjanjian yang telah dimeterai.

“Sekiranya berlaku sebaliknya, tindakan undang-undang akan diambil. Pada masa sama, jaminan tertakluk kepada beberapa peringkat yang melibatkan antaranya; pengawasan dan ketelusan-Prinsip Muraqabah,” katan Adibah.

Menjelaskan kelebihan yang diperoleh jika berurusan melalui ejen kutipan kata Adibah, mempelbagaikan kemudahan pembayaran kepada pembayar-pembayar zakat, menyediakan kaedah alternatif kepada pembayar zakat untuk keselesaan mereka.

Ia sesuai dengan perkembangan semasa, menjadikan pembayaran zakat semudah pembayaran bil utiliti dan meningkatkan keselesaan orang ramai untuk tampil menunaikan kewajipan berzakat, sekali gus dapat meningkatkan agihan zakat kepada lapan asnaf yang wajib.


Oleh ZUARIDA MOHYIN
Gambar ABDUL RAZAK LATIF
Utusan Malaysia.