Tuesday, August 23, 2011

KEKESALAN KERANA MENINGGALKAN AMAL BAIK


Ada seorang pemuda di kalangan Bani Israel yang telah menghambakan dirinya kepada Allah dan melakukan ketaatan selama dua puluh tahun. Malangnya dua puluh tahun kemudian dia mengingkari-Nya pula dengan pelbagai bentuk kemaksiatan.
 
Pada suatu hari dia melihat wajahnya di cermin dia mendapati janggutnya telah mula beruban.Keadaan tersebut menakutkannya.Langsung dia berdoa,”Wahai Tuhanku!Hamba-Mu ini telah melakukan ketaatan selama temph dua puluh tahun.Hamba-Mu ini juga telah mengingkari-Mu selama dua puluh tahun.Seandainya hamba-Mu ini ingin bertaubat apakah wahai Engkau akan menerimanya kembali?
Hasrat pemuda ini tidak sia-sia.Penyesalannya daripada melakukan maksiat selama dua puluh tahun selepas menjadi hamba yang soleh selama dua puluh tahun dikabulkan oleh Allah SWT.Pada ketika itu beliau seolah-olah mendengar satu bisikan suara yang berkata. “Ketika kamu menyayangi Kami, Kami juga menyayangi kamu. Tetapi ketika kamu memusuhi kami langsung kami meninggalkan kamu ketika kamu memaksiati Kami, Kami melengah-lengahkannya tetapi apabila kamu kembali kepada Kami, Kami tetap menerimanya’.


Bisikan suara ini amat menggembirakan pemuda berkenaan.Dia kembali bertaubat kepada Allah dan meneruskan kehidupan sebagai seorang yang soleh.
 
Kisah ini memberikan satu motivasi kepada kita bahawa rahmat dan kasih sayang Allah amat luas untuk hamba-hambaNya.Allah sentiasa membuka pintu taubat untuk hambaNya kembali padaNya.Justeru, kita perlulah sentiasa bersangka baik dengan Allah dan tidak sesekali berputus asa dengan rahmat dan keampunan Allah.

(Siri Taubat Orang Soleh/Siri 3/ Penerbitan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan)