Thursday, September 22, 2011
Bagaimana Rasulullah SAW Berda’wah Kepada Orang Awam
Seorang da’i hendaklah memahami kadar kecerdasan dan kejahilan mad’unya (sasaran da’wahnya) dengan cara memperhatikan latar belakangnya, ucapannya dan tingkahlakunya. Dengan ini, da’i dapat mengambil sikap yang tepat, berpatutan, penuh empati dan tidak emosional apabila berhadapan dengan mad’u. Maka InsyaAllah, da’wahnya akan terkesan di hati mad’unya, terutama dari kalangan orang awam yang merupakan juzuk terbesar dari umat.
Daripada Anas RA, beliau telah berkata, “Ketika kami berada di masjid bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba datang seorang Arab Badui (a’rabi) lalu berdiri sambil kencing di masjid. Para sahabat Rasulullah SAW pun berteriak, “Apa yang dilakukannya, apa yang dilakukannya?!” Namun Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah kalian menghentikan kencingnya, biarkanlah ia meneruskannya.” Mereka pun membiarkannya sehingga ia meneruskan kencingnya. Kemudian Rasulullah SAW memanggil Arab Badui itu dan bersabda, “Sesungguhnya masjid ini tidak patut terkena kencing dan kotoran sedikit pun. Masjid ini hanyalah untuk zikrullah ‘Azzawajalla, solah dan membaca Al-Quran.” Lalu beliau menyuruh seorang antara mereka untuk mengambil sebekas air dan menyiramkan pada tempat yang dikencingnya.” (Hadits Riwayat Muslim)
SENI DA’WAH:
Para penda’wah perlu memahami bahawa orang awam memiliki potensi yang besar untuk kemenangan dan kejayaan Islam. Orang awam, khususnya orang-orang Islam, merupakan satu juzuk yang besar daripada umat secara keseluruhannya, yang mana pada lazimnya, memiliki ketelusan yang lebih baik berbanding golongan atasan yang angkuh.
Orang awam, apabila memiliki kefahaman dan kesedaran Islam yang betul, akan mudah dimobilasikan untuk membangunkan ummah Islamiyah.
Penda’wah, dalam menyampaikan da’wahnya, hendaklah bijaksana menyingkirkan penghalang-penghalang yang mungkin menghalang keberhasilan da’wahnya.
Merujuk kepada hadits di atas, memang jelas warga Arab Badui (a’rabi) tersebut melakukan kesalahan, iaitu kencing di tempat suci, masjid Rasulullah SAW. Baginda Rasulullah SAW sangat memaklumi akan kesalahan yang dilakukan oleh orang Arab a’rabi tersebut. Namun baginda tidak memberikan respon emosional sebagaimana yang dilakukan oleh para sahabat RA. Ini kerana baginda sangat memahami kejahilan orang Arab a’rabi tersebut. Berkaitan hal ini, kita dapat mengerti bahawa:
Baginda SAW, seorang Rasul yang bersifat fatanah, sangat memahami bahawa orang a’rabi ini datang dari sebuah tempat yang terpencil dan jauh daripada peradaban Islam. Yakni sebuah perkampungan a’rabi yang masih terbelakang, penduduknya cenderung bersikap kasar dan jarang berinteraksi dengan dunia luar.
Baginda memahami kejahilan orang ini, berasaskan ucapannya sewaktu berdoa sebelum kencing di masjid (berdasarkan hadits riawayat Ibn Majah). Diriwayatkan bahawa ia masuk ke dalam masjid lalu berdoa: Ya Allah, ampunilah aku dan Muhammad, janganlah Engkau mengampuni seorang pun selain kami. Baginda Rasulullah SAW tersenyum seraya bersabda: Sesungguhnya kamu telah menyempitkan sesuatu yang luas (yakni rahmat dan pengampunan Allah) (Hadits Riwayat Ibn Majah).
Baginda menyedari akan tindakan orang ini yang agak keterlaluan, iaitu kencing di masjid, pada hal baginda dan para sahabat sedang berkumpul di tempat yang berhampiran dengan beliau, berdasarkan ucapan Anas bin Malik: Ketika kami berada di masjid bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba datang seorang arab a’rabi lalu berdiri dan kencing di masjid.
Justeru itu seorang da’i hendaklah memahami kadar kecerdasan dan kejahilan mad’unya (sasaran da’wahnya) dengan cara memperhatikan latar belakangnya, ucapannya dan tingkahlakunya. Dengan ini, da’i dapat mengambil sikap yang tepat, berpatutan, penuh empati dan tidak emosional apabila berhadapan dengan mad’u. Maka InsyaAllah, da’wahnya akan terkesan di hati mad’unya, terutama dari kalangan orang awam yang merupakan juzuk terbesar dari umat.
Para da’i perlu bersikap sabar terhadap kejahilan mad’u. Ini telah dipercontohkan oleh Rasulullah SAW, di mana Baginda menanggapi kejahilan mad’unya berdasarkan doanya: Ya Allah, ampunilah aku dan Muhammad, janganlah Engkau mengampuni seorang pun selain kami. Baginda memberikan respon senyuman sambil bersabda: Sesungguhnya kamu telah menyempitkan sesuatu yang luas (yakni rahmat dan pengampunan Allah). Baginda juga mencegah para sahabat yang hendak mengherdik dan bertindak kasar terhadapnya dengan berkata: Janganlah kamu menghentikan kencingnya, biarkanlah ia meneruskannya. Justeru itu sikap sabar dan tutur kata yang baik dari seorang da’i akan membawanya meraih keberkesanan dan kejayaan dalam berda’wah.
Para da’i perlu bijaksana dalam menimbulkan “rasa aman dan selamat” pada diri mad’u. Ketika orang a’rabi itu mendengar para sahabat berteriak: Apa yang dilakukannya, apa yang dilakukannya?, maka tentu ia merasa takut dan memerlukan seseorang yang melindunginya. Maka Rasulullah SAW tampil sebagai pelindungnya. Di petik dari hadits riwayat Imam Bukhari, baginda bersabda: Janganlah kamu menghentikan kencingnya, biarkanlah ia meneruskannya. Kerana, sesungguhnya kamu diutuskan untuk mendatangkan kemudahan, bukan untuk mendatangkan kesusahan. Sikap Baginda ini sudah tentu akan menghadirkan rasa aman dan selamat di hati mad’unya, seterusnya akan menumbuhkan rasa tsiqah kepada baginda. Justeru itu para da’i hendaklah bijaksana menimbulkan rasa aman dan selamat pada diri mad’u dan memberikannya perlindungan daripada rasa takut. Jangan sekali-kali da’i pula menjadi sumber ketakutan. Dengan kebijaksanaan ini, mad’u akan percaya dan tsiqah kepada da’i. Sesungguhnya kepercayaan dan ketsiqahan adalah muqaddimah kepada keberkesanan da’wah.
Da’i adalah seorang yang sentiasa mengharapkan kebaikan untuk mad’unya. Juga mengharapkan mad’unya terhindar daripada kemudharatan atau keburukan. Tindakan Rasulullah SAW menegah para sahabat daripada mengherdik orang a’rabi kerana kencing di dalam masjid mengisyaratkan beberapa hikmah:
Menyelamatkan mad’u Baginda daripada rasa sakit kerana terpaksa menghentikan kencingnya secara tiba-tiba sebelum sempat menyelesaikannya.
Mengelakkan pakaiannya daripada terkena najis jika ia terpaksa kencing sambil berlari (atau mengelakkan semakin banyak kawasan masjid terkena najis).
Oleh itu, da’i perlu memiliki sifat mengharapkan kebaikan untuk mad’unya, di samping menjauhkan mad’u daripada perkara-perkara yang mendatangkan kemudharatan.
Para da’i perlu berusaha menumbuhkan kepercayaan mad’u kepada dirinya sebelum memberikan pengajaran-pengajaran. Tindakan baginda Rasulullah SAW bersikap lemah lembut dan melindungi orang a’rabi tersebut telah menumbuhkan rasa percaya dan keberpihakannya kepada baginda. Inilah langkah bijaksana baginda sebelum baginda mengajarnya - apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan di dalam masjid. Langkah-langkah baginda ini memudahkan proses da’wah dan tarbiyah yang akan baginda laksanakan. Menumbuhkan kepercayaan adalah kunci keberhasilan dalam mendidik dan membina, terutama terhadap orang-orang awam yang sering mengukur sesuatu berasaskan ukuran emosi dan perasaan mengatasi ukuran logik dan rasional.
Para da’i perlu memahami bahawa pendidikan memerlukan suasana persekitaran yang tenang. Atau dengan kata yang lain, pendidikan memerlukan zuruf al-munasabah (suasana atau persekitaran pendidikan yang sesuai). Rasulullah SAW telah berjaya mewujudkan suasana yang tenang apabila berhasil meredakan emosi para sahabat. Begitu juga suasana dalaman hati mad’u baginda menjadi tenang dan kondusif apabila beliau dapat menyelesaikan hajatnya (iaitu kencingnya). Jiwa mad’u yang tenang dan kondusif akan memungkinkannya memberikan konsentrasi (penumpuan) terhadap isi pendidikan yang akan dikemukakan oleh da’i. Rasulullah SAW menyampaikan isi pendidikannya pada saat hati mad’u telah bersedia. Oleh itu dapatlah difahami bahawa:
Pendidikan memerlukan suasana luar yang tenteram dan jauh daripada pergaduhan dan kegawatan.
Pendidikan memerlukan suasana dalaman jiwa yang tenang agar dapat memberikan konsentrasi (penumpuan) kepada isi pendidikan.
Kencing di dalam masjid adalah satu kesalahan yang ekstrim, maka Baginda menggunakan gaya bahasa yang ekstrim juga untuk menyedarkan mad’u baginda. Baginda mengatakan: Innama hiya li zikrillah... (Sesungguhnya masjid ini hanyalah untuk zikrullah...). Ungkapan ini ada satu penegasan dan perbatasan bahawa masjid hanyalah untuk zikrullah, seperti berzikir, melakukan solah dan membaca al-Qur’an, tidak boleh digunakan untuk tujuan yang lain. Oleh itu seorang da’i perlu memilih kata-kata dan gaya bahasa yang sesuai dengan sesuatu keadaan dan permasalahan yang dihadapi, terutama apabila berhadapan dengan orang awam.
Orang awam kadang-kadang sukar untuk memahami sesuatu melalui pendekatan lisan dan teori semata-mata, bahkan memerlukan contoh yang praktikal. Setelah menjelaskan hal-hal yang sepatutnya dilakukan di dalam masjid, baginda menyusuli pendidikan lisan dengan pangajaran yang praktikal di mana baginda memerintahkan sahabat mengambil air dan menyiramkan air itu ke tempat kencing a’rabi tersebut. Ini satu contoh da’wah atau pendidikan yang praktikal. Oleh itu seorang da’i hendaklah mengiringi da’wah secara lisan dengan da’wah secara praktikal apabila berhadapan dengan sasaran da’wah di kalangan orang awam agar da’wah dan tarbiyahnya berkesan.
Dengan cara dan seni da’wah yang digunakan Rasulullah SAW, akhirnya baginda berjaya memahamkan a’rabi tersebut, sebagaimana yang terdapat di dalam riwayat Abu Hurairah: Setelah memiliki pemahaman fiqh Islam, a’rabi itu berdiri dan mendekati Nabi SAW seraya berkata, ”Demi bapaku, engkau dan ibuku...”. Baginda akhirnya berjaya mendidik dan memberikan kefahaman Islam kepada mad’u baginda.
Begitulah seni da’wah Rasulullah SAW dalam berda’wah kepada orang awam yang jahil. Sudah semestinya para da’i menyerapkan seni da’wah tersebut, agar dapat memetik hasil yang diharapkan (insyaAllah), terutama ketika berhadapan dengan sasaran da’wah di kalangan orang awam.