Thursday, September 22, 2011
Kekebalan Iman
Saat ini dunia sedang berkecamuk dan bergolak, baik di negara yang menolak Islam, begitu juga di negara yang majoriti penduduknya menganut Islam. Arus kerosakan dan kefasadan terus subur dan berleluasa. Hatta umat Islam sendiri teraba-raba mencari jalan penyelesaian yang sebenar dalam menghadapi pelbagai mehnah dan ujian. Arus kerosakan itu menerjang dunia kehidupan bermula dengan dunia pendidikan dan keilmuan, ekonomi, politik, budaya dan kenegaraan. Benteng terakhir yang diharapkan iaitu institusi rumah tangga dan kekeluargaan turut diserang dan menjadi longlai dalam membangun modal insan yang dihajati oleh Islam.
Sedarilah wahai umat Islam, serangan bertali arus kerosakan dan kefasadan ke atas peribadi dan umat Islam telah diinformasikan oleh Allah SWT dalam Al Quran:
“Kemudian pasti aku (syaitan) akan mendatangi mereka dari depan, dari belakang, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakkan mereka bersyukur” (Al –A’raf: 17)
Islam yang hidup berbeza dengan ajaran yang mati, yang hanya dipenuhi dengan rutiniti dan tradisi. Kalau kita jujur dengan kehidupan, kita akan dapati hati kita terlalu banyak berkompromi antara kebenaran dengan kebatilan dan kejahilan. Sering kita mengiringi perbuatan baik dengan kemaksiatan. Bahkan ramai juga yang mengambil mudah dan remeh dengan kemaksiatan yang dilakukan.
Sedangkan Anas RA pernah berkata kepada sahabat-sahabatnya:
“Sesungguhnya kamu kini melakukan beberapa amal yang dalam pandangan kamu itu remwh, sehalus rambut, padahal perbuatan itu dahulunya di masa Nabi, kami anggap sebagai perbuatan yang merosak agama.” (Bukhari)
Diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:
“Syurga itu lebih dekat kepada salah satu dari kamu dari tali sandalnya, demikian juga neraka.” (HR Bukhari)
Apa Upaya Kita Semua
Mungkihkan ada kefahaman, pemikiran, perbuatan, tindakan dan amalan yang tidak seiring dengan Islam selama ini telah melekat dalam kehidupan kita yang telah menyebabkan matinya keghirahan dan kemuliaan kita dengan islam, dengan kerja besar yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat iaitu mendidik(tarbiyah) hati dan menghidupkan Islam dengan melaksanakan dakwah ilallah.
Menghidupkan Islam bererti membawa dan membumikan Islam yang syumul,damai, bahagia dan lengkap dengan keutuhan dan keaslian Islam itu sendiri. Bukan dengan pakej dan kefahaman yang lain. Islam yang bersih adalah Islam yang utuh, tidak diambil hanya sebahagian sahaja yang kita sukai, malahan mempertahankan Islam dengan penuh emosi, serius dan bersungguh.
“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh bagimu.” (Al Baqarah: 208)
Sungguh, menghadapi semua serangan pemikiran jahiliah adalah dengan kita kembali kepada Islam yang sebenar. Allah swt menurunkan Islam dan Al Quran adalah untuk dimenangkan ke atas semua ideologi yang ada, baik ideologi barat, ideologI syaitan, ideologi hawa nafsu mahupun ideologi ciptaan manusia yang sering diselaputi dan disilapmatakan dengan dalil-dalil ilmiah yang tidak keruan.
Syakhsiyah Muslimah
Hasan Al Hudaibi berkata:
“Hidupkan Islam dalam dirimu, nescaya ia akan hidup dalam masyarakatmu.”
Masalahnya sekarang bagaimana kita mahu mengidentitikan Islam dengan diri kita. Rasulullah saw. bersabda, “Ibda’ bi nasfsika”, “Mulailah dari dirimu!”.
Tegakkan peribadi muslim (syakhsiyah muslimah) dalam diri kita merupakan benteng terkuat dalam menghadapi masalah yang muncul. Ini kerana membina syakhsiyah muslimah adalah bersumberkan kepada al Quran dan tarbiyah dari madrasah Rasulullah saw. Usahakan agar tidak ada satu pun ruang dan celah dalam hati, fikiran dan perilaku kita menjadi tempat bersarangnya kejahiliahan.
Saidina Ali bin Abi Talib RA ada berkata:
“Siang seperti singa dan malam seperti rahib-rahib yang kusyu’ beribadah kepada Rabb-nya.”
Peribadi muslim yang memiliki syakhsiyah muslimah adalah seorang yang melaksanakan ibadah dengan benar, dihiasi dengan akhlak yang muliadalam lisan dan perilakunya, memiliki kecintaan kepada ilmu-ilmu yang akan meninggikan darjat di sisi Islam serta mengisi waktunya dengan usaha menegakkan Islam walaupun untuk tujuan tersebut dia harus mengorbankan harta dan waktunya, diri dan keluarganya.
Mana’ah Imaniyah
Peribadi aktif seperti inilah yang memiliki bekal kekebalan iman (mana’ah imaniyah) sehingga tidak hanya mampu bertahan menghadapi segala serangan jahiliah dari musuh Islam, tetapi juga mampu menghancurkan dan melawan pengaruh jahiliah tersebut.
Kini, mahu atau tidak kita menerapkan sikap Islam itu. Al Quran suci ada di hadapan kita, sunnah Rasul yang mulia mampu kita pelajari dan ikuti, bahkan petunjuk para salafussolihin dan ulama’ muktabar juga boleh kita ikuti, persoalannya, bila hendak kita mulai langkah pertama menghampiri syurga Ilahi.