Tuesday, August 2, 2011

RENUNGAN RAMADHAN 1

 

image

Ramadhan ialah bulan yang penuh keberkatan. Di awalnya rahmah, di tengah-tengahnya maghfirah dan dihujungnya kebebasan dari api neraka.

Umumnya Ramadhan disambut meriah di Malaysia. Masjid dan surau akan dibanjiri oleh jemaah yang bersolat terawih. Untuk menambahkan manfaat dari perhimpunan jemaah setiap malam, ada masjid dan surau yang mengadakan majlis renungan atau ceramah pendek atau tafsir pendek. Ini merupakan satu amalan yang baik kerana ia akan menjadikan majlis solat terawih sebagai satu medan bukan sahaja untuk beribadat bahkan juga medan untuk berkongsi Ilmu dan ingat memperingati. Sesuai dengan firman Allah bermaksud:

“ Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan memberi manfaat kepada orang-orang yang beriman” (Surah Azzariyat: 57)
Dan firman-Nya lagi:

“Demi masa, sesungguhnya manusia benar-benar berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati dengan kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran”. (Surah Al-Asr: 1-3)

Walaupun begitu, di sana terdapat masalah dari segi kurangnya sumber untuk renungan.

Risalah kecil ini salah satu usaha kerdil untuk memenuhi hasrat ini. Cebisan-cebisan renungan ini cuba merangkumi pelbagai aspek dari penghayatan Ramadhan. Seberapa daya, kami berusaha memastikan kenyataan yang dibuat disertakan dengan hujjah dan dalil yang terbukti kuat dan dinyatakan sumbernya yang sah.

Semoga risalah ini dapat membantu kita dalam mengharungi lautan keberkatan dan rahmah Allah di bulan Ramadhan.

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana dengan limpah kurnianya, kita dipanjangkan usia untuk berada di awal Ramadhan. Inilah yang sering kita doakan :

“ Ya Allah berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.”

Kita juga bersyukur kerana malam ini kita dapat bersama dalam majlis solat terawih, salah satu sunnah yang amat diberatkan di bulan Ramadhan. Semoga Allah memanjangkan umur kita bagi memperoleh segala keberkatan Ramadhan dan mengekalkan kita dengan iltizam dan komitment kepada solat terawih.

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Rasulullah (saw) diriwayatkan sebagai bersabda ketika menjelang Ramadhan bermaksud:

“Sesungguhnya telah hadir bulan Ramadhan, bulan berkat, Allah telah mewajibkan ke atas kamu berpuasa, dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup rapat pintu neraka dan ditambat para syaitan, Di bulan ini terdapat satu malam yangterbaik dari seribu bulan. Sesiapa yang tidak berusaha mendapatkan kebaikankebaikannya sesungguhnya dia rugi.” (Hadis riwayat Ahmad dan An-nisai)
Demikian bunyi pengumuman yang dibuat oleh Rasulullah (saw) setiap menjelangnya Ramadhan.

Pengumuman ini membayangkan bahawa kedatangan Ramadhan adalah satu peristiwa yang amat bermakna bagi mukmin. Puasa pada siang harinya adalah salah satu syi’arnya yang penting. Tetapi bukan itu sahaja yang terdapat di bulan ini. Adalah rugi kiranya kita terlepas dari mendapat manfaat dan keberkatan lain yang begitu banyak di dalamnya.

Rasullullah (saw) menegaskan bahawa Ramadhan bukan sahaja bulan kita berpuasa tetapi ia datang dengan penuh keberkatan, yang mana jalan untuk beramal begitu luas terbentang, jalan untuk mendapat pahala berlipat ganda dipermudahkan, jalan ke arah dosa dipersempitkan. Ini merupakan pemberian Allah yang tiada-tolok bandingnya.

Nah.. jika begitu. Kita tanyakan diri kita pada malam pertama ini. Mahukah kita menerima tawaran dan pemberian Allah ini? Mahukah kita menjadi hamba-Nya

RAMADHAN : BERITA BAIK BUAT MUSLIMAH

 

image

"Ramadhan telah tiba, bulan yang penuh dengan kelebihan dan ganjaran.Setiap detik di dalam bulan yang penuh keberkatan ini amat berharga dan kemungkinan amalan di bulan inilah yang memberikan perbezaan tempat kembalinya kita. Bagi muslimah yang menyedari hakikat ini, kedatangan ‘tempoh bercuti’ setiap bulan sangat tidak diharapkan pada bulan Ramadhan.

Sering terdengar keluhan dari mereka yang haid kerana sedih merasakan tidak mampu merebut pahala ibadah di bulan ini, terutamanya sekiranya ‘ia’ datang ketika tempoh 10 malam terakhir. Malah, ada yang sanggup mengambil ubat penghalang datangnya haid semata-mata untuk memanfaatkan sebulan Ramadhan. Namun, ubatan sebegini kadang kala tidak memberikan kesan yang diharapkan malah lebih mengganggu kestabilan hormon.

Sememangnya perasaan sedih ini hanya akan lahir dari hati seorang muslimah yang sangat mengharapkan keampunan dan ganjaran daripada Tuhannya. Saidatina Aisyah .a sendiri pernah menitiskan air mata kesedihan kerana merasakan hilangnya peluang beramal dengan kedatangan haid. Namun, haid sebenarnya bukanlah satu perkara yang buruk, bukan jua satu kekurangan yang patut ditangisi, kerana disebaliknya masih ada peluang merebut ganjaran di bulan yang mulia ini.

Mari kita lihat,bagaimana Rasulullah S.A.W menangani perasaan Aisyah apabila beliau menangis kesedihan ketika didatangi haid ketika menunaikan haji.Baginda S.A.W bersabda yang bermaksud: “Ini adalah suatu yang ditetapkan Allah ke atas anak-anak perempuan Adam, maka tunaikanlah apa yang ditunaikan oleh orang yang melakukan haji kecuali janganlah kamu bertawaf di Baitullah sehinggalah kamu telah mandi (suci dari haid)”. (Riwayat Muslim).
Haid adalah suatu ketentuan yang telah Allah tetapkan ke atas kita (anak-anak perempuan Adam), maka kita sepatutnya redha di atas ketentuan ini. Redha merupakan salah satu daripada ibadah hati. Keredhaan kepada Allah sebagai Tuhan menuntut keredhaan atas apa yang diperintahkan-Nya dan apa yang ditetapkan oleh-Nya.

Redha

Redha di atas apa yang Allah perintahkan ke atas kita bermaksud kita menyembah-Nya sebagaimana yang Dia perintahkan untuk kita lakukan, bukan sebagaimana yang kita suka untuk lakukan. Tahukah anda bahawa perbuatan anda berbuka puasa disebabkan haid merupakan suatu ibadah? Ini kerana Allahlah yang memerintahkan kita untuk berpuasa pada hari-hari kita tidak didatangi haid, dan Allah jualah yang memerintahkan kita untuk berbuka ketika sedang haid, maka berpuasa ketika haid merupakan suatu dosa kerana anda dikira melanggar perintah-Nya.

Redha di atas apa yang Allah tetapkan ke atas hambanya pula bermaksud penerimaan atas apa yang Allah telah ciptakan kita dan apa yang Allah fitrahkan ke atas diri kita, termasuklah apa yang Allah tetapkan ketika tempoh haid, dengan hati dan jiwa yang tenang. Perasaan sedih merupakan suatu bentuk penentangan atas ketentuan Allah. Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. “(An-Nisa’:32)

Oleh itu, sekiranya anda redha dengan sebenar-benar redha anda telah mengerjakan ibadah hati yang dengannya kita akan merasai kemanisan iman. Ibadah ini mungkin tidak dikerjakan oleh kebanyakan mereka yang sedang suci, malah mungkin tidak dikerjakan oleh kaum lelaki! Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Telah merasai kemanisan iman barangsiapa yang redha dengan Allah sebagai Tuhan, dan dengan Islam sebagai deen, dan dengan Muhammad sebagai nabi dan rasul.”(Riwayat Muslim)

Rindu

Rindu seorang muslimah yang sedang haid untuk melakukan solat dan membaca Al-Qur’an juga merupakan suatu ibadah yang tidak didapati di kalangan mereka yang sedang suci. Malah sekiranya terdapat rindu di hati kita untuk melakukan ibadah, kita lebih baik berbanding mereka yang melakukan ibadah, tapi dalam masa yang sama merasakannya sebagai suatu beban dan kesusahan. Lebih istimewa, perasaan gembira seorang muslimah kerana dapat mengerjakan ibadah selepas tamat tempoh haid adalah suatu perasaan yang Allah khususkan untuk kaum wanita sahaja. Maka bersyukurlah!

Bilakah Haid Menjadi Masalah?

Haid menjadi masalah apabila seorang muslimah merasakan telah hilangnya peluang bagi mendapatkan ganjaran di bulan Ramadhan, kerana dia tidak oleh berpuasa dan menunaikan solat tarawih. Sedangkan tanpa dia sedari pintu-pintu syurga masih terbuka untuknya, dan para malaikat masih memanggil-manggil pencari kebaikan. Dan sekiranya dia melakukan suatu kebaikan ganjarannya seperti dia melakukan suatu kefardhuan. Seorang muslimah yang haid sebenarnya masih mempunyai banyak peluang untuk mendapatkan ganjaran dan kelebihan bulan Ramadhan dengan memperbanyakkan zikir dan selawat ke atas Nabi S.A.W,mendengar bacaan Al-Qur’an, membaca buku-buku yang bermanfaat dan sebagainya.

Tunaikanlah Keperluanmu Yang Berpuasa!

Seorang muslimah yang bijak, dia akan cuba sedaya upaya memanfaatkan setiap detik ketika bulan Ramadhan walaupun ketika sedang haid. Mungkin kita terhalang daripada berpuasa dan menunaikan solat tarawih, namun kita masih boleh mendapat ganjaran dengan menyediakan makanan untuk orang yang berpuasa, menunaikan keperluan ukhti yang keletihan disebabkan puasa, menjaga anak-anak kecil ketika ibu mereka sedang solat di masjid, bersedekah dan sebagainya. Semoga kita beroleh pahala sebagaimana mereka yang berpuasa dan menunaikan solat.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Barangsiapa yang memberi makan orang yang berpuasa, dia akan mendapat pahala sepertinya, dan ianya tidak akan mengurangkan pahala orang yang berpuasa sedikitpun”(Riwayat Tarmizi).

Hadith :RAMADHAN

 

image

Hadith 1
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".

Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu."

Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."   

Hadith 2
Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini."

Hadith 3
Abu Sa'id Al Khudri ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap hari siang dan malam pada bulan Ramadhan, Allah Tabaraka wa Taala membebaskan begitu banyak sekali roh daripada api neraka. Dan pada setiap orang Islam pada setiap hari siang dan malam doanya pasti akan diterima."

Hadith 4
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Terdapat tiga jenis orang yang doa mereka tidak ditolak; doa daripada orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka puasa; imam (penguasa) yang adil, dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu Allah mengangkatnya melepasi awan dan membuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman: "Daku bersumpah demi kemuliaanKu, sesungguhnya Daku pasti menolongmu walaupun pada suatu masa nanti."

Hadith 5
Ibn Umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya mengirim rahmat ke atas mereka yang memakan sahur."

Hadith 6
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa berbuka satu hari di siang hari bulan Ramadhan tanpa alasan yang wajar (disegi syariah) atau sakit yang kuat, tidak akan dapat menampung atau mengganti hari tersebut walaupun akan berpuasa sehingga ke akhir hayatnya."

Kesilapan yang kerap dilakukan ketika Ramadhan

 

image

Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala objektif ‘mendapatkan keampunan’ ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.

Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah:

1. Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112).

Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : “sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu” (Riwayat al-Bukhari)

2. Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam. Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. “Sahur” itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma’bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)

3. Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain. Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam.

Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : ” dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar” (Az-Zariyyat : 18)

يا رسول الله , أي الدعاء أسمع ؟ : قال : جوف الليل الأخير ودبر الصلوات المكتوبة

Ertinya : “Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat) : Wahai Rasulullah :” Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah s.w.t) ; jawab Nabi : Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu” ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi : Hadis Hasan ; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)

4. Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, ‘ponteng’ solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi ‘kurus kering’ pastinya.

5. Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

6. Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah. Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, “Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat”. (Riwayat al-Bukhari)

7. Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.

8. Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat. Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami’ as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

9. Menganggap waktu imsak sebagai ‘lampu merah’ bagi sahur. Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah ‘lampu amaran oren’ yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 278)

10. Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

11. Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram, samada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan kereta secara riba. Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan ‘tanpa Syaitan’ ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.

Nabi Muhammad menceritakan:

ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إلى السَّمَاءِ يا رَبِّ يا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ

Ertinya: Menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku…wahai Tuhanku… sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. ( Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ; hadis sohih)

Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insurannya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram?. Benar, kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri dari riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri.

12. Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :-

ثلاثة لا ترد دعوتهم , الإمام العادل , والصائم حتى يفطر ودعوة المظلوم

Ertinya : “Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi” ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )

Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.

إن للصائم عند فطره دعوة لا ترد

Ertinya: “Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak” ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)

KEISTIMEWAAN PEMBACA DAN PENGHAFAZ AL-QURAN

 

image

1. Syafaat 10 anggota keluarga ke syurga.
Dari Ali bin Abu Talib,katanya Rasulullah s.a.w bersabda,maksudnya :"Barang siapa membaca al-quran dan menghafalnya, Allah akan memasukkannya ke dalam syurga dan memberi hak syafaat kepadanya untuk sepuluh anggota keluarganya, mereka semuanya telah ditetapkan untuk masuk syurga."(Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmizi).

2. Berada dalam rahmat Allah.
Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w bersabda,maksudnya : "Tidak ada orang yang berkumpul di salah satu rumah Allah untuk membaca dan mempelajari al-Quran,kecuali mereka akan memperolehi ketenteraman,diliputi rahmat,dikelilingi para malaikat dan mereka sentiasa disebut-sebut oleh Allah di kalangan para malaikat (yg di langit)."(Riwayat Muslim, At-Tirmizi,Ibnu Majah dan Abu Daud).

3. Diberi ganjaran pahala mengikut setiap huruf yang dibacanya dengan balasan pahala yang berlipat kali ganda.
Dari Abdullah bin Mas'ud r.a. ;katanya Rasulullah s.a.w bersabda,maksudnya:"Barangsiapa membaca satu huruf dari kitab Allah(al-Quran),maka dia akan memperolehi pahala satu kebajikan dan setiap satu pahala itu digandakan sepuluh kali.Aku tidak mengatakan bahawa Alif,Lam,Mim itu satu huruf,tetapi Alif itu adalah satu huruf,Lam satu huruf dan Mim satu huruf."(Riwayat At-Tirmizi dan Ad-Darimi)

4. Dianggap sebagai keluarga kesayangan Allah.
Disabdakan oleh Rasulullah s.a.w , dari Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah mempunyai keluarga yang terdiri daripada makhluk manusia."Lalu Rasulullah ditanya:"Siapakah mereka itu ahai Rasulullah s.a.w.?"Jawab baginda:"Mereka adalah keluarga Allah dan orang istimewa bagi-Nya."(Riwayat Ahmad,Ibnu Majah,Ad-Darimi,Al-Hakim dan An-Nasaie).

5, Al-Quran sendiri akan memberi syafaat kepada pembaca dan penggemarnya di hari kiamat.
Daripada Abu Umamah al-Bahili r.a. katanya: Aku mandengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Bacalah Al-Quran,sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat bagaikan pemberi syafaat kepada tuannya."(Hadis riwayat muslim)

6. Dipakaikan mahkota pada hari kiamat.
Daripada Mu'az bin Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang membaca Al Quran dan beramal dengan apa yang terdapat di dalamnya,Allah akan memakaikan kedua ibu bapanya dengan mahkota pada hari kiamat kelak.Cahaya mahkota tersebut lebih indah daripada cahaya matahari terhadap rumah-rumah yang ada di dunia.Maka apakah pandangan kamu tentang balasan yang akan diperolehi oleh orang ang membacanya sendiri?" (Hadis riwayat Abu Daud)

ISLAM ITU MUDAH

 

image

Benarkah Islam itu mudah? Pertanyaan ini sering bersarang di dalam sanubari kita. Apatah lagi kepada saudara-saudara seagama yang baru mengenali Islam. Bagi menjelaskan pekara ini secara langsung, marilah kita rujuk kepada pegangan Allah S.W.T. yang mengatakan bahawa Dia tidak mahu lagi manusia kesusahan atau sesuatu yang membebankan. Allah S.W.T. menjelaskan dalam Surah Al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud : "Allah mengkehendakan kamu beroleh kemudahan dan Ia tidak mengkehendaki kamu menanggung kesukaran."

Rasullullah S.A.W. juga bersabda bagi memperjelaskan lagi perkara ini, melalui hadisnya yang telah diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi yang bermaksud : "Sesungguhnya Islam itu mudah"
Secara umum, perkataan mudah dan payah agak subjektif. Neraca pertimbangan yang paling tepat digunakan ialah samada perkara itu satu bebanan yang tidak berupaya manusia melakukan atau faktor persekitaran menyebabkan lingkungan keupayaannya terbatas.

Menurut prinsip Islam, semua perintah, tanggungjawab dan bebanan adalah dibuat dan dilaksanakan mengikut keupayaan manusia. Allah tidak membebankan hambaNya melainkan dalam lingkungan kemampuan manusia. Ini ditegaskan oleh Allah S.W.T. dalam surah Al-Baqarah; ayat 280 yang bermaksud : "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakan, dan juga menanggung dosa kejahatan apa yang diusahakannya."

Contoh yang ketara yang boleh dibuat perumpamaan adalah perintah ibadat Solat. Permulaan memulakan solat adalah mengambil wudhuk dan bahan asas yang diperlukan adalah air. Dalam sesuatu keadaan jika ketiadaan air, Islam memberi kelonggaran dengan melakukan tayammum.

Perkara kedua adalah menutup aurat. Pakaian yang sediada boleh digunakan kecuali ada najis padannya. Garis panduan pakaian ditetapkan untuk lelaki ialah menutup antara pusat hingga ke lutut. Manakala bagi wanita pula adalah menutup keseluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan. Dalam perkara ini, jika hanya ada tudung labuh dan memakai stoking ketika itu juga sudah membolehkan untuk kita mengerjakan solat.

Oleh kerana solat adalah merupakan ibadat yang tidak boleh ditinggalkan, maka Islam memberi kelonggaran dalam beberapa situasi dan keadaan tertentu. Jika kita musafir (dalam perjalanan dengan tujuan yang baik dan diluluskan hukum syarak), dan perjalanan itu melebihi 2 marhalah (lebih 91 KM), maka bolehlah kita menjamak dan mengqasarkan solat kita.

Begitu juga apabila kita sedang sakit, kita boleh mengerjakan solat secara duduk, berbaring, mengiring atau pun menggunakan isyarat. Hatta dalam beberapa kaedah, kita boleh membaca Allahu Akbar sebanyak 7 kali (menyamai 7 ayat Fatihah) atau 7 ayat Surah sebagai ganti Surah Al-Fatihah yang merupakan rukun dalam solat, jika masih tidak dapat membaca Surah Al-Fatihah setelah diusahakan dengan bersungguh-sungguh.

Daripada contoh-contoh yang diberikan di atas, ternyatalah, Islam itu mudah. Ia akan menjadi sukar jika kita terlalu ekstrim dalam mengamalkannya. Penekanan bersederhana penting dalam ibadah di samping meletakkan prinsip istiqamah sebagai teras. Keterlaluan dalam ibadah tanpa mempunyai sandaran dan nas yang kukuh atau hanya sekadar ikut-ikutan akan menyebabkan ia membelenggu kita yang akhirnya menyebabkan kita terus meninggalkan ibadah tersebut.

Solat dalam Islam tidak membebankan manusia, malah ia merupakan suatu amalan yang digemari kerana selain dari menjadi ibadah menyembah Tuhan, ia juga akan;
Melatih daya pemusatan pemikiran
Meningkatkan rasa keikhlasan terhadap Allah
Melatih diri ke arah ketepatan waktu
Membiasakan diri mengamalkan kebersihan
Memberi kerehatan saraf
Menyatakan pengakuan terhadap kebesaran Allah S.W.T.
Menanamkan rasa muhibbah dan semangat perpaduan menerusi solat yang dilakukan secara berjemaah

Begitu juga aspek makanan dan minuman. Istilah darurat boleh digunakan terhadap sesuatu tindakan apabila tiada alternatif lain boleh dicari bagi meneruskan hidup. Kita boleh makan daging khinzir; sebagai contoh, sekiranya pada ketika itu, hanya itu sahaja makanan yang ada untuk menyambung nyawa bagi meneruskan kehidupan.

Demi menggambarkan bahawa Islam itu mudah dan tidak membebankan, kita selusuri sejarah pengharaman arak yang dibuat secara berperingkat-peringkat. Melihat kepada tahap keimanan Umat Islam ketika itu, ayat yang mengharamkan ialah ketika bersolat kerana ditakuti bacaan mereka di bawah sedar ini tersalah. Peringkat seterusnya pula, ia diharamkan terus kepada Umat Islam kerana memabukkan yang lebih membawa keburukan daripada kebaikan.

Setiap insan yang mengamalkan perintah Allah S.W.T. dengan yakin dan sempurna akan dapat merasai nikmat kegunaan dan faedah daripada perintah-perintah itu serta merasa bahagia.
Oleh itu, marilah sama-sama kita hayati dalam kehidupan. Sesungguhnya Islam itu indah.

Wallahu`alam

Amalan Memurahkan Rezeki

 

image

Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:

1. Menyempatkan diri beribadah
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)

2. Memperbanyak istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.:
“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad,Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)

3.Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:
“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)

4.Sentiasa ingat Allah
Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya:
“(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)

5.Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda:
“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani,al-Asybahani dan al-Hakim)

Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki,berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:
“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

6.Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin,juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:
“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)

7.Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:
“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)

8.Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan,kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.

9.Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata:
“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain.Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”

10.Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti hariansebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.

11.Menjalin silaturrahim
Nabi s.a.w. bersabda:
“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)

12.Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda s.a.w. bersabda:
“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)

13.Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)

14.Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah

15.Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

16.Bersyukur kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:
“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7) Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)

17.Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki. Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.

Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu,bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya `Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, diatidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.

18.Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.

19.Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya,hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.

20.Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah . Firman-Nya:
“Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan(keperluannya) .” (At-Thalaq: 3)
Nabi s.a.w. bersabda:
“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattabr.a.)

Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3)

Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah , lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...