Friday, November 30, 2012

3 JENIS BAPA



Pastikan kaum lelaki menjadi bapa yang baik kerana bapa terbahagi kepada tiga jenis iaitu

[1] bapa yang terlalu garang sehingga hilangnya rasa kasih sayang dalam keluarga.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، ” أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَبَّلَ الْحَسَنَ بْنَ عَلِيٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا ، وَالأَقْرَعُ بْنُ حَابِسٍ التَّمِيمِيُّ جَالِسٌ عِنْدَهُ ، فَقَالَ الأَقْرَعُ بْنُ حَابِسٍ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، إِنَّ لِي عَشَرَةً مِنَ الْوَلَدِ مَا قَبَّلْتُ مِنْهُمْ إِنْسَانًا قَطُّ ، قَالَ : فَنَظَرَ إِلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَالَ : إِنَّ مَنْ لا يَرْحَمُ لا يُرْحَمُ ” ، رَوَاهُ مُسْلِمٌ فِي الصَّحِيحِ ، وَأَخْرَجَهُ الْبُخَارِيُّ من وجه آخر

Maksudnya : Daripada Abu Hurairah ra, “bahawa Rasulullah saw telah mencium al-Hasan bin Ali sedangkan al-Aqra’ bin Habis Al-Tamimi duduk bersamanya lalu Aqra’ bin Habis berkata: Wahai Rasulullah, aku mempunyai sepuluh dari anak laki-laki namun aku tidak pernah mencium mereka walau pun seorang. Lalu Rasulullah saw saw, bersabda: Sesiapa yang tidak mengasihi maka dia tidak akan dikasihi “

[2] bapa dayus yang membiarkan anak dan isteri derhaka pada Allah seperti mendedah aurat, bergaul bebas dan sebagainya

عَنْ عَمَّارِ بْنِ يَاسِرٍ ، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ ، صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : ” ثَلاثَةٌ لا يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ أَبَدًا : الدَّيُّوثُ مِنَ الرِّجَالِ ، وَالرَّجُلَةُ مِنَ النِّسَاءِ ، وَمُدْمِنُ الْخَمْرِ ” . فَقَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ , أَمَّا مُدْمِنُ الْخَمْرِ فَقَدْ عَرَفْنَاهُ ، فَمَا الدَّيُّوثُ مِنَ الرِّجَالِ ؟ قَالَ : ” الَّذِي لا يُبَالِي مَنْ دَخَلَ عَلَى أَهْلِهِ ” . قُلْنَا : فَالرَّجُلَةُ مِنَ النِّسَاءِ ؟ ، قَالَ : ” الَّتِي تَشَّبَّهُ بِالرِّجَالِ –  رواه البيهقي

Maksudnya : Daripada Ammar bin Yasir daripada Rasulullah, saw, bersabda: “Tiga orang tidak akan masuk Syurga selamanya iaitu laki-laki dayus, perempuan bersifat lelaki dan peminum arak.” Mereka berkata: Wahai Rasulullah, peminum arak itu kami tahu, Siapakah laki-laki dayus? Baginda bersabda: “Orang yang tidak peduli siapa yang masuk bergaul bebas dengan ahli keluarganya.” Kami bertanya lagi: Siapa perempuan bersifat lelaki ? Baginda bersabda: “perempuan yang menyerupai  lelaki”.

Kita begitu gerun dengan suatu kajian seorang bekas pensyarah UKM yang dibuat 2 dekad yang lalu yang menunjukkan bagaimana 2 daripada 3 pelajar sekolah pernah berzina dan apa yang lebih malang kebanyakan mereka berzina dalam rumah sendiri bukannya di luar. Begitu juga dengan laporan daripada sumber Jabatan Pendaftaran Negara dari tahun 2000 hingga 2008 di mana terdapat seramai 83,701 orang anak-anak yang dilahir tanpa nikah. Dalam tempoh yang sama juga seramai 72,043 orang anak-anak yang lahir itu diragui status perkahwinan ibubapa mereka samada mereka pernah berzina sebelum bernikah atau menikah tanpa wali yang sah

[3] bapa yang penyayang sebagaimana yang disarankan oleh nabi :
 قَالَ الرَّسُوْلُ e  : خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ ِلأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ ِلأَهْلِيْ – رواه الطبراني

Maksudnya :  Sebaik-baik orang diantara kamu ialah orang yang berbuat baik kepada ahli keluarganya dan aku terbaik antara kamu sentiasa berbuat baik kepada ahli keluargaku



Thursday, November 29, 2012

UBAT PERASAAN CEMBURU



SEDANGKAN lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri’ adalah bidalan Melayu yang membawa pengertian dalam mengharungi hidup berumah tangga, khususnya dalam hubungan antara suami dan isteri, perselisihan adalah satu kemestian.

Perselisihan adalah satu perkara yang tidak dapat dielakkan. Namun, ia boleh diperbaiki, dengan menggunakan cara yang bijaksana dan bertoleransi.

Banyak sebab yang menjadi punca perselisihan. Antaranya kerana mentua, jiran, teman-teman, anak-anak, malah perkara asas dalam kehidupan juga mampu mencetuskan pergaduhan dalam rumah tangga sehingga lauk yang terlupa dimasukkan garam, atau air kopi yang terlupa ditambah gula.

Paling meruncing ialah apabila masing-masing mula cemburu terhadap satu sama lain, sama ada mereka mempunyai bukti nyata atau hanya berupa prasangka sahaja.

Perkara sedemikian jika dibiarkan berterusan akan melarat sehingga tercipta penceraian dalam rumahtangga.

Ada di kalangan masyarakat yang menganggap perselisihan rumah tangga sebagai garam di dalam lauk. Tanpa perselisihan, rumah tangga hambar dan tawar, umpama lauk tidak bergaram.

Namun, garam itu hendaklah diletak secara berpada-pada supaya tidak terlalu banyak sehingga boleh merosakkan lauk sebelanga.

Perkara inilah yang harus diperhatikan oleh setiap insan yang bertekad mahu mendirikan rumah tangga. Ia juga perlu menjadi renungan pasangan suami dan isteri yang menerajui bahtera hidup berumah tangga.

Sesungguhnya, perkahwinan adalah satu cabaran yang harus dihadapi oleh setiap kaum lelaki. Dalam perkahwinan, suami akan berkongsi hidup dengan isteri.

Biarpun seburuk mana isteri namun seharusnya terimalah seadanya seperti yang terungkap semasa akad.

Kata pujangga, perempuan bagaikan angin, lembutnya melenakan, ributnya pula mampu menggusarkan.

Adakalanya mereka seperti ibu menyaji kasih, menghidang sayang malah adakalanya mereka seperti anak yang ingin dibelai, minta dimanjakan seperti anak kecil namun adakalanya mereka seperti nenek yang sering berleter seadanya, merungut semahunya.

Namun, bahagia dan derita hanya kita yang mencorakkan sendiri

Mendirikan sebuah rumah tangga biarpun untuk ke sekian kali namun memerlukan kematangan dan kedewasaan fikiran dan perasaan.

Kematangan bererti kemampuan seseorang menahan marah dalam suasana krisis dan perselisihan serta dapat menyelesaikan masalah tanpa menggunakan kekerasan dan menjauhi segala cara yang boleh membawa kepada keruntuhan perkahwinan itu.

Sebagai bukti kepada kematangannya, seseorang itu sanggup mengaku salah apabila benar-benar bersalah dan tidak cuba menyalahkan orang lain apabila berpeluang berbuat demikian.

Bagi Islam, rumah tangga perlu ditegakkan atas asas cinta dan kasih sayang.

Perkara ini jelas dalam firman Allah yang bermaksud: 
“Dan di antara keterangannya juga, bahawa ia menjadikan isteri bagimu yang sebangsa dengan kamu, supaya kamu boleh diam bersama-sama dengan dia, serta berkasih sayang dan cinta menyintai.” (Surah Ar Rum, ayat 21).

Cinta dan kasih sayang yang dimaksudkan bukanlah hasil daripada cinta pandang pertama tetapi ia lahir daripada rasa tanggungjawab mengikut amanah dan kepercayaan, serta tidak dipengaruhi oleh kehendak kebendaan atau nafsu.

Rasa cinta sebegini boleh membawa suami sentiasa bersikap matang dan sihat dalam segala layanannya terhadap isteri dan di kala menghadapi krisis rumah tangga yang tidak dapat dielakkan.

Suasana rumah tangga akan menjadi lebih mesra dan ceria apabila suami mengenali diri isterinya sebagai manusia yang mudah tersinggung dan mudah terasa.

Suami jangan sekali-kali cuai dan lupa memberi penghargaan kepada peranan isteri sebagai suri rumah tangga yang benar-benar bertanggungjawab.

Sebenarnya, tidak susah bagi suami membisikkan kata-kata pujian ke telinga isterinya setiap kali menikmati masakan atau melihatnya berpakaian baru. Berilah hadiah, walaupun kecil, sebagai tanda penghargaan suami terhadap isteri apabila menyambut hari jadinya.

Termasuk dalam penghargaan juga ialah memberi sangkaan baik terhadap tingkah laku isteri, tidak memperlihatkan apa-apa kecurigaan terhadap kejujuran dan keikhlasan isteri, tidak cuba mengintip gerak- gerinya kerana didorong rasa cemburu yang melulu.

Sesungguhnya, rumah tangga yang bahagia dapat diwujudkan hasil kerja keras, saling mengerti, tolong menolong dan persefahaman antara suami dan isteri.

Dalam mengemudi bahtera sebuah rumah tangga, suami berperanan sebagai nakhoda kapal yang bertanggungjawab mengendali dan menjaga keselamatan seisi anak kapal.

Manakala isteri pula berperanan sebagai jurumudi yang mengawal haluan bahtera. Paduan erat antara keduanya mampu menyelamatkan bahtera dan seluruh isinya daripada tenggelam dilanda badai dan gelora.

Wednesday, November 28, 2012

AMALAN HARIAN UNTUK PANJANG UMUR


LIHAT gaya hidup anda hari ini. Adakah anda menjalani kehidupan dengan sebaiknya atau sebenarnya telah banyak mengabaikan kesihatan diri? Atau adakah anda terlalu menuruti tabiat buruk yang tidak sepatutnya anda ikuti?

Sebenarnya ramai daripada kita yang mengamalkan cara hidup yang memudaratkan kesihatan diri.

Tetapi bak kata orang perkara lepas jangan dikenang. Yang penting sekarang jangan biarkan tabiat buruk itu terus menguasi diri. Masih belum terlambat untuk melakukan perubahan.

Apa yang telah anda lakukan kepada tubuh badan anda boleh diubah dan tubuh sudah tentu akan memberi reaksi positif terhadap perubahan tersebut. Yang penting, perubahan segera perlulah dilakukan dan jangan tunggu lagi.

Untuk memulakan perubahan memang mengambil masa. Lazimnya otak memerlukan kira-kira 14 hingga 21 hari untuk tindak tanduk ulangan supaya ia betul-betul ‘meresap’ dalam diri sebagai amalan harian.

Apabila amalan tersebut sudah sebati dalam diri maka secara automatik ia akan menjadi satu tindak balas perlakuan normal pada individu tersebut.

Apa amalan baik yang boleh digunakan untuk menggantikan tabiat buruk itu?

Kadang-kadang kita lupa, nenek moyang kita banyak meninggalkan petua dan amalan yang cuku baik untuk tubuh badan.

Jika anda tidak percaya anda boleh mencubanya dan buktikan sendiri.

Amalan atau tabiat pertama yang perlu diberi perhatian ialah pastikan anda makan lima sajian bersaiz kecil setiap hari.

Masyarakat di Barat mengambil makanan sebanyak tiga kali sehari, tetapi sebenarnya adalah lebih baik untuk anda menikmati makanan sebanyak lima kali sehari. Tetapi mesti ingat, ia perlulah dalam kuantiti yang kecil sahaja.

Kenapa begitu? Kerana apabila anda kerap makan namun dalam kuantiti yang sedikit, anda akan kekal menyalurkan nutrien, tenaga, darah dan gula untuk keperluan tubuh sepanjang hari.

Makan dengan cara ini juga tidak membebankan sistem penghadaman dan sistem metabolisme. Ia sekali gus mengurangkan risiko penyakit jantung.

Amalan kedua ialah menukar tabiat menaiki lif dengan menaiki tangga. Senaman setiap hari boleh menjadikan anda seorang yang sihat, menguatkan sistem imunisasi, otot dan menambah tenaga.

Jangan jadikan kerja yang padat sebagai alasan untuk anda tidak melakukan aktiviti fizikal. Cuba cari peluang untuk berjalan laju, berjoging atau mungkin juga menaiki basikal ke tempat kerja sekiranya tempat kerja dan kediaman tidak terlalu jauh.

Selepas solat Subuh boleh menyertai kumpulan tai chi di taman perumahan atau mungkin juga boleh mula mendaftar di mana-mana pusat gimnasium berhampiran. Mulakan sekarang dan anda pasti akan nampak kesannya.

Ketawa dan bergembiralah. Ketawa sebagai ubat memang telah diketahui kemujarabannya. Ketawa juga dapat meningkatkan sistem imunisasi badan dan menghasilkan sel semula jadi yang melindungi tubuh dari kesakitan dan penyakit kanser.

Apabila kita ketawa, hormon endorfin dihasilkan sekali gus memberikan satu perasaan tenang dan puas. Memang tidak dinafikan lagi mereka yang hidup dalam kegembiraan hidup lebih lama dan sihat daripada mereka yang sentiasa bersedih.

Pastikan minum lapan gelas air setiap hari. Air amat penting bagi memastikan tubuh berfungsi secara sihat. Para saintis juga bersetuju bahawa air yang bersih daripada pencemaran kimia dan toksik adalah baik untuk kesihatan dan umur yang panjang.

Jadi pilihlah air yang telah ditapis di mana proses penapisan yang terbaik ialah menerusi arang yang diaktifkan kerana ia mengasingkan benda asing tetapi dalam masa yang sama mengekalkan kandungan mineral.

Perlu juga diingat, jangan menyimpan air di dalam bekas plastik kerana bahan yang terkandung dalam plastik tersebut yang disebut polychlorinated biphenyls (PCBs) boleh meresap ke dalam air.

Menambah amal ibadah bagi umat Islam dan bermeditasi bagi yang bukan Islam.

Memang tidak dinafikan tekanan boleh memendekkan usia seseorang. Dalam kehidupan kita yang serba moden hari ini memang tidak boleh lari daripada tekanan, tapi ia boleh dielakkan jika anda pandai mencari jalan mengelakkannya.

Beribadah atau bermeditasi adalah salah satu cara terbaik untuk melegakan tekanan dan menyegarkan anda semula. Menerusi ibadah dan meditasi anda akan dapat bernafas dengan baik.

Apabila pernafasan anda sempurna ia secara tidak langsung menyingkirkan sebanyak 70 peratus toksin dan benda kotor dalam tubuh anda.

Amalan tersebut juga menjadikan minda anda tenang, mengurangkan hormon tekanan dan mengajar tentang disiplin diri. Ini semua memang penting untuk memastikan kehidupan yang anda lalui sihat dan diberkati.

Jika ada masa terluang boleh juga mencuba senaman ini. Duduk dengan selesa di atas kerusi empuk atau boleh juga bersila di atas lantai.

Pejam mata dan setiap kali masalah timbul di fikiran anda bayangkan masalah tersebut berada dalam sebiji belon. Bayangkan belon yang membawa masalah tersebut terbang tinggi di langit dan akhirnya hilang daripada pandangan.

Cuba ulang cara ini hingga anda tidak lagi memikirkan tentang masalah tersebut. Selepas beberapa ketika anda pasti akan berasa ringan dan fikiran anda akan lebih fokus.

Mungkin dengan mengamalkan lima amalan ini akan mengubah diri anda menjadi seorang yang lebih berkualiti di muka bumi ini. Cubalah dan jangan bertangguh untuk setiap perkara yang baik.

Tuesday, November 27, 2012

ASAL-USUL TAPAK KAKI NABI IBRAHIM




Firman ALLAH SWT telah sampai. Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail diarahkan agar membangunkan Kaabah di satu tempat. Dengan ketaatan yang tidak berbelah bahagi, kedua-dua mereka mula melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Nabi Ismail mengutip batu-batu besar yang didapati di padang pasir dan menghimpunkannya. Sementara itu, Nabi Ibrahim menyusun naik batu-batu itu membentuk bangunan empat persegi.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud,
“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama anaknya Nabi Ismail meninggikan binaan (tapak) Baitullah (Kaabah) sambil keduanya berdoa dengan berkata, “ Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami amal kami. Sesungguhnya Engkau Amat Mendengar lagi Amat Mengetahui.”

(Surah Al-Baqarah ayat 127)

Dua beranak itu berusaha dengan gigih. Dalam suasana padang pasir yang terik dan berpasir, mereka tabah mengerjakan perintah ALLAH SWT. Sehingga binaan kian meninggi, Ibrahim dibantu Ismail yang menghulurkan batu dari bawah. Begitulah usaha mereka sehingga akhirnya Baitullah itu sempurna sudah dan tersergam megah.

Ketika itu, dengan kehendak ALLAH SWT, sebaik saja menginjakkan kakinya di salah satu batu besar di situ, terkesanlah tapak kaki Nabi Ibrahim sepertimana yang dapat dilihat pada hari ini. Kekuasaan ALLAH SWT itu tidak lain untuk meninggalkan bukti kepada manusia akhir zaman mengenai kebesaran-Nya.

Setelah selesai pembinaan Baitullah, ALLAH SWT memerintahkan Nabi Ibrahim agar memberi kebenaran kepada umat manusia menunaikan haji di Baitullah.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud,
“Dan serulah umat manusia untuk datang mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang ke rumahmu (Rumah Allah) dengan berjalan kaki, dengan berkenderaan berjenis-jenis unta yang kurus dan datang dari pelbagai ceruk rantau yang jauh.”

(Surah Al-Haj, ayat 27)

Mendapat saja wahyu itu, Nabi Ibrahim terus naik ke Jabal Abu Qubais, satu gunung yang paling dekat dengan kedudukan Baitullah. Dia memanggil dengan nama ALLAH, “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Tuhan kamu telah membina satu rumah-Nya bagi kamu. Oleh itu, tunaikanlah haji di sana.”

Nabi Ibrahim menyeru begitu ke kiri dan ke kanan tidak ubah seperti melaungkan azan. Dan kerana itulah juga kini ALLAH SWT menciptakan bacaan talbiah bagi semua orang yang mengerjakan fardhu haji. Sesungguhnya haji itu tidak sah tanpa talbiah. Bacaan talbiah antara lainnya “Labbaikallahummalabbaik” yang membawa makna “Aku datang untuk menunaikan panggilan-Mu Ya ALLAH”.

Selepas itu, ALLAH SWT mensyariatkan untuk bersembahyang di belakang Maqam Ibrahim sepertimana firman ALLAH yang bermaksud, 
"Dan jadikanlah oleh kamu Maqam Ibrahim itu tempat sembahyang." (surah Al-Baqarah ayat 125).


Yang dikatakan maqam Nabi Ibrahim itu adalah kedua belah bekas tapak kaki beliau dan bukan kubur Nabi Ibrahim.

Monday, November 26, 2012

8 HADIAH BERHARGA UNTUK YANG TERSAYANG



Pemberian material belum mampu tambat kasih

KITA sering merasakan ingin dihargai tetapi pernahkah kita menghargai orang yang disayangi. Oleh itu, marilah kita menghargai saudara seagama menurut perspektif Islam tanpa menilai rupa, harta dan jagalah adab apabila bersama mereka.

Ada beberapa kepentingan yang harus kita pelihara supaya ukhuwah kekal dalam dakapan menuju reda Allah seperti menjaga sikap, saling menasihati, memahami dan bantu-membantu.

Tiap yang asas itu ada perhiasannya, begitu juga ukhuwah, ada perhiasan yang sesuai. Perhiasan bukanlah sesuatu kewajipan tetapi ia seolah garam dalam makanan dan gula dalam minuman. Apabila dipraktikkan, kekuatan ukhuwah itu makin terasa dan tembok perbalahan tidak akan terbina.

Cara kita menghargai saudara kita ialah dengan memberi hadiah dan antara hadiah itu ialah:

Kehadiran

Kehadiran orang yang dikasihi adalah hadiah yang tidak ternilai harganya. Memang kita boleh hadir dengan menghantar surat, e-mel, laman facebook, telefon, foto dan banyak lagi dengan teknologi canggih kini.

Namun, dengan berada di samping mereka kita akan dapat berbagi perasaan, perhatian dan kasih sayang secara lebih utuh. Oleh itu, jadikan kehadiran anda sebagai pembawa kebahagiaan.

Mendengar

Sedikit orang yang mampu memberikan hadiah seperti ini, kerana kebanyakan kita lebih suka dirinya didengari berbanding dia mendengar. Keharmonian hubungan antara manusia amat ditentukan oleh kesediaan saling mendengar.

Dengan mencurahkan perhatian pada segala ucapannya, secara tidak langsung kita juga menumbuhkan kesabaran dan kerendahan hati. Untuk mendengar dengan baik, pastikan anda dalam keadaan tenang supaya dapat memahami apa yang disampaikan.

Diam

Dalam diam juga ada kekuatan. Diam boleh digunakan untuk menghukum, mengusir atau membingungkan orang. Tetapi lebih dari segala-galanya, dia boleh menunjukkan kecintaan kita pada seseorang kerana memberi ruang.

Kebebasan

Mencintai seseorang bukan bererti memberi kita hak penuh untuk memiliki atau mengatur kehidupan orang disayangi. Bolehkah kita mengaku mencintai seseorang jika kita selalu mengekangnya? Memberi kebebasan adalah salah satu bukti cinta.

Makna kebebasan bukanlah bebas berbuat sesuka hati tetapi memberinya kepercayaan penuh untuk bertanggungjawab atas segala hal yang diputuskan atau dilakukan.

Keindahan

Siapa yang tidak bahagia, jika orang yang disayangi tiba-tiba tampil lebih kacak atau cantik? Tampil indah dan rupawan juga adalah hadiah. Bahkan tidak salah jika anda tampil cantik tiap hari begitu juga memastikan kediaman juga indah.

Tanggapan positif
Sedar atau tidak, kita sering memberi penilaian negatif terhadap fikiran, sikap atau tindakan orang yang kita sayang. Kali ini cuba hadiahkan tanggapan positif, nyatakan dengan jelas dan tulus. Cuba ingat berapa kali dalam seminggu anda mengucapkan terima kasih terhadap apa yang dilakukannya demi anda. Ingat pula, pernahkah anda memujinya. Ucapan terima kasih, pujian dan permintaan maaf adalah hadiah cinta yang sering dilupakan.

Kesediaan mengalah

Tidak semua masalah layak menjadi bahan pertengkaran, apalagi hingga menjadi perbalahan yang hebat. Semestinya anda pertimbangkan apakah ia perbalahan itu berbaloi dan apabila ini berlaku, mungkin ada baiknya anda mengalah.

Kesalahannya mungkin terlewat tiba untuk temu janji dan itu adalah kali pertama, jadi perlukah pertengkaran dibiarkan berlanjutan. Kesediaan untuk mengalah boleh menghilangkan perasaan sakit hati dan menyedarkan kita bahawa manusia tidak sempurna.

Senyuman

Kekuatan senyuman amat luar biasa lebih-lebih lagi senyuman diberi dengan tulus, boleh menghangatkan hubungan yang dingin dan menjadi semangat kepada yang berputus asa. Senyuman juga isyarat untuk membuka diri kepada dunia sekeliling kita. Senyum itu juga ibadah.

Mari bersama menilai hadiah apakah yang sudah kita beri kepada yang tersayang dan mana yang belum. Jadikan pemberian hadiah sebagai pengikat kasih sayang yang memperkukuhkan ukhuwah.

Pecahlah batu dipukul besi, berubah hanya dititis air, mana mungkin jiwa pendakwah dapat merubah sekeping hati melainkan ia bertakhtakan kasih.

Saturday, November 24, 2012

HEBATNYA MENJADI AHLI MASJID



Firman Allah dalam al-Quran (mafhumnya): 

Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari kemudian, serta tetap mendirikan shalat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapa pun) selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk. (Qs: At Taubah:18)

Beberapa kemuliaan yang Allah Swt janjikan kepada mereka yang membuat keputusan ke atas diri mereka sebagai ahli masjid;

Dari Abu Said Al-Khudri r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w bersabda: 

Barangsiapa mencintai masjid dia akan dicintai oleh Allah. (HR Tabrani) Dari Abu Darda r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w bersabda: Masjid ialah rumah bagi orang-orang yang bertakwa, Allah Swt telah mengambil tanggungjawab ke atas mereka yang menjadikan masjid sebagai rumahnya dengan: Aku akan memberi kerehatan dan rahmat kepadanya, Aku akan mudahkan meniti titian Sirat untuknya, mendapat keredhaan Allah Swt dan Aku akan mengurniakan syurga kepadanya. (HR Tabrani)

Dari Abu Umamah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: 

Tiga manusia adalah merupakan tanggungan Allah Swt jika mereka hidup, mereka akan diberi rezeki dan akan dibantu dalam pekerjaan yang mereka lakukan.

Dan jika mereka meninggal dunia maka Allah Swt akan memasukkan mereka ke dalam syurga. Pertama ialah orang yang masuk kerumahnya lantas memberi salam, kedua orang yang pergi ke masjid, ketiga orang yang keluar dijalan Allah Swt. (HR Ibn Hibban)

Dari Abu Umamah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w bersabda: 

Pergi ke masjid di waktu pagi dan petang adalah sebagai Jihad di Jalan Allah. (HR Tabrani)

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w bersabda:

Barangsiapa pergi ke masjid di waktu pagi dan petang Allah Swt akan menyiapkan hidangan sebagai tetamuNya di dalam syurga. Setiap kali dia datang pagi atau petang dia akan dilayaniNya sebagai tetamuNya. (HR Bukhari)

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda: 

Tujuh golongan akan berada dibawah naungan rahmat Allah pada hari yang tidak ada naungan kecuali naunganNya. (Pertama): Raja yang adil. (Kedua): Pemuda yang menghabiskan masa mudanya dengan beribadat kepada Allah. (Ketiga): Seorang lelaki yang hati sanubarinya sentiasa berpaut kepada masjid. (Keempat): Dua orang yang berkasih sayang semata-mata kerana Allah. Bertemu dan berpisah kerana Allah. (Kelima): Seorang lelaki yang diajak oleh wanita bangsawan dan cantik kepadanya namun dia berkata: Aku takutkan Allah. (Keenam): Seorang lelaki yang membelanjakan hartanya secara sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya. Dan (Ketujuh): Seorang lelaki yang berzikir kepada Allah dengan bersunyi diri sehingga mengalirkan air mata. (HR Bukhari)

Dari Anas r.a menceritakan bahawa seorang wanita selalu membersihkan sampah-sampah di masjid telah meninggal dunia. Baginda s.a.w telah diberitahu tentang kematiannya di waktu pengkebumiannya. Baginda s.a.w datang lalu bersabda: 

Apabila meninggal dunia salah seorang daripada kamu beritahulah aku.Lantas Nabi s.a.w menyembahyangi jenazahnya dan bersabda: Sesungguhnya aku melihat dia berada di dalam syurga kerana dia selalu membersihkan kotoran-kotoran di masjid. (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid) 

Masjid untuk diimarahkan..

Friday, November 23, 2012

Abadi Di Syurga



Anak kecil di sebelah ibunya ini meninggal sehari sebelum hari kelahirannnya setelah rejim Assad mengebom kediaman mereka dan ibunya meninggal di tempat kejadian. Doktor telah cuba sedaya-upaya cuba menyelamatkan fetus bayi ini tetapi Allah lebih sayangkannya.

Fatima dijadualkan melawat ke hospital esok hari dan keluar membawa pulang anak kecil. Apa yang terjadi pada hari ini, beliau dan bayi keluar dari hospital tidak ke rumah mereka, tetapi menuju ke tanah perkuburan dan ditanam dalam satu kubur yang sama.

Video ayahnya yang sebak mencium dan membawa mereka ke tanah perkuburan : 


do’akan, agar burung Syurga bersama ibunya ini mendapat tempat pada syurga tertingi...Aminn.

Eastern Al-Bweda, Syria 04/09/2012
Martyr Fatima Mohammed Khosrof and her fetus martyr Abdul Majid Khalid Al Kassim. (Ulangan)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...