Saturday, November 24, 2012

HEBATNYA MENJADI AHLI MASJID



Firman Allah dalam al-Quran (mafhumnya): 

Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari kemudian, serta tetap mendirikan shalat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapa pun) selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk. (Qs: At Taubah:18)

Beberapa kemuliaan yang Allah Swt janjikan kepada mereka yang membuat keputusan ke atas diri mereka sebagai ahli masjid;

Dari Abu Said Al-Khudri r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w bersabda: 

Barangsiapa mencintai masjid dia akan dicintai oleh Allah. (HR Tabrani) Dari Abu Darda r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w bersabda: Masjid ialah rumah bagi orang-orang yang bertakwa, Allah Swt telah mengambil tanggungjawab ke atas mereka yang menjadikan masjid sebagai rumahnya dengan: Aku akan memberi kerehatan dan rahmat kepadanya, Aku akan mudahkan meniti titian Sirat untuknya, mendapat keredhaan Allah Swt dan Aku akan mengurniakan syurga kepadanya. (HR Tabrani)

Dari Abu Umamah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: 

Tiga manusia adalah merupakan tanggungan Allah Swt jika mereka hidup, mereka akan diberi rezeki dan akan dibantu dalam pekerjaan yang mereka lakukan.

Dan jika mereka meninggal dunia maka Allah Swt akan memasukkan mereka ke dalam syurga. Pertama ialah orang yang masuk kerumahnya lantas memberi salam, kedua orang yang pergi ke masjid, ketiga orang yang keluar dijalan Allah Swt. (HR Ibn Hibban)

Dari Abu Umamah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w bersabda: 

Pergi ke masjid di waktu pagi dan petang adalah sebagai Jihad di Jalan Allah. (HR Tabrani)

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w bersabda:

Barangsiapa pergi ke masjid di waktu pagi dan petang Allah Swt akan menyiapkan hidangan sebagai tetamuNya di dalam syurga. Setiap kali dia datang pagi atau petang dia akan dilayaniNya sebagai tetamuNya. (HR Bukhari)

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda: 

Tujuh golongan akan berada dibawah naungan rahmat Allah pada hari yang tidak ada naungan kecuali naunganNya. (Pertama): Raja yang adil. (Kedua): Pemuda yang menghabiskan masa mudanya dengan beribadat kepada Allah. (Ketiga): Seorang lelaki yang hati sanubarinya sentiasa berpaut kepada masjid. (Keempat): Dua orang yang berkasih sayang semata-mata kerana Allah. Bertemu dan berpisah kerana Allah. (Kelima): Seorang lelaki yang diajak oleh wanita bangsawan dan cantik kepadanya namun dia berkata: Aku takutkan Allah. (Keenam): Seorang lelaki yang membelanjakan hartanya secara sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya. Dan (Ketujuh): Seorang lelaki yang berzikir kepada Allah dengan bersunyi diri sehingga mengalirkan air mata. (HR Bukhari)

Dari Anas r.a menceritakan bahawa seorang wanita selalu membersihkan sampah-sampah di masjid telah meninggal dunia. Baginda s.a.w telah diberitahu tentang kematiannya di waktu pengkebumiannya. Baginda s.a.w datang lalu bersabda: 

Apabila meninggal dunia salah seorang daripada kamu beritahulah aku.Lantas Nabi s.a.w menyembahyangi jenazahnya dan bersabda: Sesungguhnya aku melihat dia berada di dalam syurga kerana dia selalu membersihkan kotoran-kotoran di masjid. (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid) 

Masjid untuk diimarahkan..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...