Salah satu nikmat yang paling besar yang dikecapi oleh penduduk syurga ialah mereka dapat 
melihat dan menatap wajah Allah Azza Wajalla. Allah berfirman dalam Surah al Qiamah ayat 22-25  
Pada hari akhirat kelak, muka (orang-orang yang beriman kelihatan) berseri-seri; justeru 
mereka dapat menatap wajah Tuhannya. Sebaliknya muka (orang-orng kafir) serba muram dan 
pucat hodoh justeru mereka yakin akan menghadapi seksaan yang berat dan dahsyat. Namun bagi 
orang yang bernasib malang mereka tidak akan dapat masuk syurga dan menatap wajah Allah. 
Golongan yang tidak akan dapat menatap wajah Allah yang mulia ialah :  
1. Orang yang menjual janji setianya dengan Allah dengan harga yang tidak seberapa daripada 
habuan duniawi yang fana ini.(Orang bersumpah palsu) Allah berfirman :  
Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak 
janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik 
pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang 
kepada mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka 
pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.  
2. Pemerintah yang menjauhkan diri dari suka duka rakyat, tidak peduli kepada penderitaan 
mereka dan tidak kesihan terhadap kemiskinan dan keperitan hidup yang dihadapi oleh mereka.  
Abu Mariam al Azadi R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda :“ Siapa yang 
memikul apa-apa jawatan atau tugas menguruskan orag Islam namun dia gagal memenuhi 
tanggongjawab dan dia mengelak daripada menyelesaikan keperluan mendesak, kepentingan, 
kemiskinan dan kepapaan umat Islam nescaya Allah akan mengelak (menjauhkan diri) 
daripadanya pada hari kiamat kelak daripada menyelesaikan keperluannya yang mendesak, 
kepentingan, kemiskinan dan kepapaannya pada hari tersebut.”  
Hadith Sahih riwayat Abu Daud dan dianggap berstatus sahih oleh al Albani.
3. Orang Tua yang Berzina
Abu Hurairah R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. pernah bersabda:“Tiga orang 
yang Allah enggan bercakap-cakap dengan mereka pada hari kiamat kelak. Allah tidak sudi 
memandang muka mereka, Allah tidak akan membersihkan mereka daripada dosa (dan noda) . 
Untuk mereka disiapkan seksa yang sangat pedih. (Mereka ialah ): Orang tua yang berzina, 
pemerintah yang suka berdusta dan fakir miskin yang takabbur.”  
Hadith ditakhrijkan oleh Muslim.
4. Pemerintah Atau Kerajaan Yang Suka Berbohong (Dusta)
5. Orang miskin yang takabbur
6. Orang yang tak sudi menolong walau dengan mengajukan seteguk air.
Dalam Hadith riwayat Abu Hurairah ada disebutkan prasa berikut: .. orang yang enggan 
memberi lebihan air minum (yang dia miliki kepada orang yang keputusan air minum). 
Sehingga Allah bersabda : Pada hari ini Aku akan menghalangmu daripada mendapat lebihan 
kurniaKu, persis sepertimana kamu menghalang orang lain daripada mendapat kurniaan yang 
bukan tangan kamu yang menciptanya.  
7. Pembai’ah dan pengundi pemimpin kerana kebendaan
Dalam hadith riwayat Abu Hurairah bahawa Rasulullah pernah bersabda”Tiga orang Allah 
tidak akan bercakap cakap dengannya pada hari kiamat kelak. Malah Allah tidak akan 
menoleh (memandang) kepadanya, Allah tidak akan menyucikan dirinya (daripada dosa) . 
Sebaliknya disediakan untuknya seksa yang sangat pedih. Pertama; orang yang mempunyai 
bekalan air yang banyak di suatu kawasan lapang atau sahara tapi ia enggan untuk 
memberi minum ”Ibnu al Sabil” para musafir (yang kehabisan bekalan minuman ). Kedua; 
orang yang menawar untuk membeli barangan selepas asar dengan bersumpah atas nama Allah; 
bahawa dia akan membeli atau mengambil barang itu dengan harga tertentu.Janjinya itu 
dipercayai benar oleh penjual. Pada hal dia sebenarnya langsung tidak berniat untuk 
membelinya . Ketiga; orang membai’ah pemimpin (mengundi dan memilih atau melantik 
pemimpin) semata-mata kerana perhitungan keduniaan (kebendaan). Kalau orang yang 
dipilihnya itu memberikan janji habuannya maka barulah dia akan menunaikan kewajibannya. 
Kalau tidak ia akan bersikap enggan (atau ingkar).” (Hadith Muttafaqun ’alaihi)  
8. Penderhaka Ibu Bapa
Rasulullah bersabda:
Abdullah Bin Omar R.A. meriawayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda:“Tiga orang 
Allah tidak akan sudi memandang wajah mereka pada hari kiamat kelak: Penderhaka kepada 
dua ibu bapanya, wanita yang berlagak lelaki yang meniru kaum jantan dan golongan orang 
Daiyuth. Hadith sahih ditakhrijkan oleh Ahmad dan Nasaii  
9. Wanita yang berlagak seperti lelaki (Tomboy)
10. Orang Lelaki yang Days
Suami atau bapa yang tidak lagi mempunyai rasa cemburu dan maruah diri sehingga membiarkan 
isteri berjahat dengan orang lain tanpa rasa cemburu dan marahApabila perasaan cemburu 
yang positif ini sudah tidak ada lagi dalam diri seseorang ; maka tidak ada usaha untuk 
menentang kemungkaran terhadap maruah keluarga atau diri sendiri. Dengan itu kejahatan 
akan bermerajalela.  
11.Pengamal Budaya Kaum Luth
Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda : Allah tidak akan sudi memandang 
wajah orang yang menyetubuhi lelaki atau mendatangi isterinya di duburnya. Hadith sahih 
ditakhrijkan oleh al Turmuzi  
12. Pengamal Seks Abnormal
Golongan ini termasuk kalangan yang bernafsu terhadap binatang dan tergamak melakukan hubungan 
jenis dengan binatang .  
13.. ”Al-Mannan” atau pemberi yang suka mengungkit-ungkit pemberiannya; baik lelaki mahupun 
perempuan.  
Abu Zar meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: “ Tiga orang Allah tidak akan bercakap-cakap 
dengan mereka. Allah tidak akan membersihkan mereka daripada dosa (dan noda) malah 
disiapkan untuk mereka seksa yang sangat pedih. Baginda mengulang prasa itu tiga kali. 
Lalu (kata Abu Zar) aku pun menambah, malang , kecewa dan rugilah mereka ; siapakah mereka 
itu wahai Rasulullah?. Beginda menjawab al Mannan atau orang yang suka mengungkit-ungkit 
pemberiannya, orang yang melariskan barang jualannya dengan sumpah (palsu) dan orang suka 
melabuhkan pakaiannya ( kerana-menunjuk-nunjukan kekayaan ).Hadith di takhrijkan oleh Muslim  
14. Orang suka menunjuk-nunjuk kekayaan dengan pakaian labuh menyapu tanah dan berjalan di 
muka bumi dengan angkuh atau  
“Orang melabuh-labuhkan pakaian (menunjuk-nunjuk kekayaan dengan sikap boros) yang berjalan 
dengan cara bermegah-megah dengan diri sendiri.”
15. Penjual yang melariskan barang jualannya dengan cara berdusta dan membohong  
Abu Zar meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda :Tiga orang Allah tidak akan bertutur kata 
dengan mereka. Allah tidak akan membersihkan mereka dan untuk mereka disediakan azab yang 
sangat dahsyat… penjual yang melariskan barang jualannya dengan sumpah palsu.  
16.Isteri yang tidak berterima kasih terhadap suami
Abdullah Bin Omar R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. pernah bersabda: “Bahwa Allah 
tidak akan memandang muka isteri yang tidak berterima kasih (kufur nikmat) kepada suaminya. 
Pada hal dia sendiri tidak boleh tidak memerlukan kepada suaminya itu.”  
p/s..Semoga kita sentiasa di bawah lindungan NYA.
 
