Thursday, August 5, 2010

Tentang SYURGA

 

Para ulama bersepakat syurga itu terletak di
atas dari langit yang ketujuh. Dalam surah
An-Majm ayat 13-15 Allah berfirman:
Sesungguhnya ia (Muhammad) telah
melihat Jibril sekali lagi, iaitu di Sidratul
Muntaha, dan di dekatnya ada syurga tempat
kembali.
Ketika Rasulullah dalam perjalanan Mikraj,
Baginda telah berhenti di Sidratul Muntaha.
Menurut baginda, Sidratul Muntaha itu
berada jauh di luar alam langit (di luar ruang
angkasa). Di situlah Baginda dapati
terletaknya syurga.

Kemudian dikatakan syurga itu luasnya
seluas langit dan bumi sebagaimana
difirmankan Allah dalam surah Ali Imran ayat
133:

Kejarlah oleh kamu ampunan Tuhan kamu
dan syurga yang luasnya seluas langit dan
bumi disediakan bagi orang-orang yang
bertakwa.

Di syurga juga udaranya nyaman tidak
panas membakar dan tidak pula sejuk
mengigit. Allah berfirman:

Mereka berehat didalam syurga dengan
berteleku di atas pelamin-pelamin (yang
berhias), mereka tidak nampak di situ
adanya matahari (usahkan hawa panasnya),
dan tidak juga merasai suasana yang
bersangatan sejuknya. (Al-Insan: 13)

Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah
bersabda: "Bahawa dinding-dinding syurga
itu batu-bata dari perak dan emas. Tanahnya
pohon kimkuma (Za'faran) dan buminya
kasturi." (Hadis riwayat Al-Bazzar).

Dalam sebuah hadis lain diceritakan
bahawa Rasulullah bersabda yang
bermaksud: "Tanah syurga itu licin putih,
kasturi murni." (Hadis riwayat Muslim).

Harumnya bau syurga ini dapat dicium dari
jarak perjalanan 100 tahun.

Sungai-Sungai di Syurga

Sungai-sungai syurga pula memancar dari
bawah-bawah bukit. Di dalam al-Quran,
Allah banyak menyebut tentang macam-
macam sungai di syurga ini antara lain
firmanNya dalam Surah Muhammad ayat 15
yang bermaksud:

Sifat syurga yang telah dijanjikan kepada
orang-orang yang bertakwa (ialah seperti
berikut): Ada padanya beberapa sungai dari
air yang tidak berubah (rasa dan baunya),
dan beberapa sungai dari susu yang tidak
berubah rasanya, serta beberapa sungai
dari arak yang lazat bagi orang-orang yang
meminumnya, dan juga beberapa sungai
dari madu yang suci bersih. Dan ada pula
untuk mereka di sana segala jenis buah-
buahan, serta keredhaan yang tinggal kekal
di dalam syurga yang sedemikian itu
keadaannya) sama seperti orang-orang
yang tinggal kekal di dalam neraka dan
diberi minum dan air yang menggeledak
sehingga menjadikan isi perut mereka
hancur? (sudah tentu tidak sama!).

Ayat di atas memberi pengertian bahawa
sungai-sungai di syurga bukanlah
mengandungi air-air biasa seperti di dunia
ini, sebaliknya ada sungai yang berair susu,
ada yang berair anggur (arak) yang tidak
memabukkan, ada yang dari madu dan
sebagainya. Sungai-sungai ini semuanya
mengalir dengan tenang melalui rumah-
rumah di syurga, di kebun-kebun dan di
celah-celah pokok. Bahkan terdapat juga
mata-mata air yang mengalir.

Jadi Allah telah menjanjikan bagi orang yang
bertakwa itu sungai yang airnya mempunyai
ciri-ciri sebagai berikut:

= Airnya tidak berubah rasa dan baunya.
= Air susu yang tidak berubah rasa dan
warnanya
= Air anggur (arak) yang lazat dan tidak
memabukkan bagi peminumnya.
= Madu yang disaring

Sewaktu Israk dan Mikraj, Rasulullah s.a.w.
pernah melihat sungai yang dinamakan Al-
Kausar. Sungai ini dilingkari oleh bukit-bukit
yang terdiri dari permata-permata dan
tanahnya dari wewangian yang paling wangi.
Tepian sungai ini terdiri dari emas
sedangkan anak-anak batunya dari mutiara.

Barangsiapa meminum air dari Al-Kausar ini
walau hanya satu kali sahaja, dia tidak
merasa haus untuk selama-lamanya.

Tentang nama-nama sungai di syurga, tidak
ada disebut dengan jelas di dalam al-Quran.
Tetapi dalam sebuah hadis riwayat Bukhari
dan Muslim, Nabi bersabda:

Bahawasanya di syurga terdapat suatu
sungai yang disebut sungai rajab, airnya
lebih putih daripada air susu dan rasanya
lebih manis daripada madu. Sesiapa yang
puasa satu hari dari bulan Rajab, maka
Allah memberikan minuman dari sungai itu.

Yang jelas sungai yang bersama Rajab
dengan sifat-sifatnya yang luar biasa ini
belum pernah dilihat dan dirasakan airnya
oleh manusia di dunia ini. Walau
bagaimanapun di dalam keterangan-
keterangan lain disebutkan bahawa di
syurga ada sungai-sungai seperti Al-Kausar
dan Al-Firdaus.

Tentang Al-Kausar, Anas r.a. ada bercerita
bahawa Rasulullah s.a.w. tidur di atas tikar
jerami, tiba-tiba sambil mengangkat
kepalanya Baginda tersenyum. Anas
bertanya: "Mengapa engkau tertawa ya
Rasulullah?" Baginda menjawab: "Ayat yang
diturunkan kepadaku tadi (yang bermaksud):

Sesungguhnya Kami telah memberikan
kepadamu nikmat yang banyak (Al-Kausar),
maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu; dan
berkorbanlah. Sesungguhnya orang-orang
yang membenci kamu dialah yang terputus.
(Al-Kausar: 1-2-3).

Kemudian Baginda bertanya: "Adakah
engkau tahu apa itu Al-Kausar?" Anas
menjawab: "Allah dan RasulNya yang lebih
tahu." Lalu Rasul menerangkan: "Al-Kausar
itu satu sungai yang dijanjikan kepadaku
oleh Allah, pada sungai itu banyak
kebajikan. Di atasnya sebuah kolam (Al-
Haudi) yang akan datang umatku
kepadanya. Bejananya banyak sebanyak
bintang-bintang di langit." (Riwayat Muslim).

Seterusnya Imam At-Termizi meriwayatkan,
Nabi bersabda: "Bahawa masing-masing
nabi itu mempunyai kolam. Mereka ini
bangga membanggakan manakah yang
lebih banyak orang datang. Dan aku
mengharap, bahawa adalah aku yang
terbanyak orang datang."

Mendengar tentang banyaknya kenikmatan
yang terdapat pada Al-Kausar ini, tentu
banyak di antara kita yang berharap untuk
dapat menjadi golongan orang-orang yang
dapat datang ke tempat tersebut. Agar
harapan ini menjadi nyata, hendaklah kita
berusaha mencari keredhaan Allah dalam
kehidupan ini dari segala segi.

Syurga itu Bertingkat-Tingkat

Syurga itu bertingkat-tingkat dan setiap
tingkat berbeza-beza pula. Jarak antara satu
tingkat dengan tingkat yang lain ialah seperti
jarak antara bumi dan langit. Adapun
tingkatan syurga yang paling tinggi darjatnya
dinamakan "Al-Firdaus". Di atas Al-Firdaus
inilah terletak "Arsy Rahman (Mahligai
Tuhan).

Selain itu, keistimewaan syurga Al-Firdaus
ialah para penghuninya akan dapat melihat
wajah Allah dua kali dalam sehari iaitu pada
waktu pagi dan petang. Sedangkan nikmat
yang tertinggi di dalam syurga ialah apabila
manusia dapat menatap wajah Allah.

Adapun cara melihat Allah bukanlah seperti
halnya kita melihat dengan mata biasa
seperti yang lazim berlaku, tetapi caranya
ialah dengan penglihatan mata yang telah
ditentukan Allah buat para penduduk syurga.

Segala yang ada di syurga itu indah-indah
belaka jauh lebih indah dari apa yang ada di
atas muka bumi ini. Tetapi yang terindah di
syurga ialah pandangan terhadap Allah,
tidak sesuatu kenikmatan lain yang dapat
melebihi keistimewaannya.

Cuba kita bayangkan di dunia ini sahaja,
kalaulah kita diberikan kesempatan bertemu
dan berbual-bual dengan salah seorang
pemimpin negara, tentu kita akan sangat
gembira dan bahagia dengan pengalaman
tersebut. Inikan pula akan bertemu dengan
Allah yang menciptakan dunia ini.

Firman Allah dalam surah Al-Qiyamah ayat
22-23 yang bermaksud:

Wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada
hari itu berseri-seri. Kepada Tuhannyalah
mereka melihat.

Rasulullah pernah bertanya kepada
Jibril: "Hai Jibril pernahkah kau melihat
Allah?" jawab Jibril pernahkah kau melihat
Allah?" jawab Jibril: "Bahawa di antara saya
dan Tuhan ada 79 tutup yang terdiri dari
lapisan-lapisan cahaya. Bila terbuka tutup
yang paling luar, maka akan terbakarlah aku
memandangNya. Sedangkan antara engkau
dan Tuhan ada 71 lapisan tutup dari cahaya.
Bila terbuka tutup yang paling luar, engkau
akan terbakar pula memandangnya."

Dalam hal ini pernah Nabi Musa a.s.
meminta kepada Allah untuk melihatNya.
Tetapi baru sahaja Allah menunjukkan diri
kepada gunung, gunung itu bergegar dan
hancur sehingga Musa jatuh pengsan. Ini
membuktikan gunung yang bagaimana juga
kukuhnya akan hancur bila Tuhan
menunjukkan diriNya, inikan pula manusia
yang lemah.

Kemudian dalam satu riwayat lain
digambarkan syurga itu sebagai berikut :

= Tingkatan syurga pertama yang dibuat dari
bahan perak baik kampung,rumah, pintu
dan kuncinya.
= Tingkatan syurga kedua yang dibuat dari
bahan emas baik kampung,rumah, pintu
dan kuncinya.
= Tingkatan syurga ketiga yang kampung,
rumah, pintu dan kuncinya dibuat dari bahan
yakut dan lukluk (mutiara).

Taman-Taman Di Syurga

Allah menciptakan perkara-perkara yang luar
biasa indah dan nikmatnya kepada orang-
orang yang bertakwa sehingga menurut
Nabi Muhammad s.a.w. di syurga itu
terdapat apa-apa yang belum pernah dilihat
oleh mata dan didengar oleh telinga serta
tidak pernah pula terlintas di hati manusia.

Kalau di dunia ini kita selalu melihat macam-
macam taman yang dihiasi indah dengan
aneka macam tumbuhan dan bermacam-
macam bunga, di situ kita boleh
menghabiskan masa berjam-jam sambil
menikmati keindahannya juga mencari
ketenangan. Maka begitu juga di syurga,
Allah menciptakan taman-taman bagi
penghuninya.

Ada dua bentuk taman di syurga: (1) Dua
taman yang dicipta Allah dari perak dengan
segala apa yang ada padanya. (2) Dua
taman yang dicipta Allah dari emas dengan
segala apa yang ada padanya. (Riwayat
Bukhari Muslim).

Pada taman-taman ini terdapat bermacam-
macam buah-buahan sama ada kurma
ataupun delima, air mata air dan sungai
yang terus-menerus mengalir airnya dengan
tenang.

At-Tabrani meriwayatkan bahawa di taman-
taman tersebut ada pohon-pohon yang
rendang, besar, tinggi dan luas. Bila
bidadari-bidadari bernyanyi di bawahnya,
daun-daun dan ranting-ranting pohon-pohon
itu bergerak-gerak sambil mengeluarkan
bunyi-bunyian yang amat merdu pula.

Apabila angin berhembus lalu menyentuh
daun dan ranting, maka akan terdengar
desiran yang amat merdu pula. Sehingga
tidak dapat dibanding manakah yang lebih
merdu antara suara bidadari-bidadari atau
bunyi desiran pohon-pohon tersebut.

Pintu-Pintu Syurga

Sebelum masuk ke syurga, penghuni-
penghuninya akan melalui pintu-pintu
syurga terlebih dahulu. Pintu-pintu ini ada
bermacam-macam pula jenisnya. Hal ini
disebutkan di dalam al-Quran Surah Shaad
ayat 49-50 yang bermaksud:

Ini adalah kehormatan bagi mereka dan
sesungguhnya bagi orang-orang yang
bertakwa benar-benar (disediakan) tempat
kembali yang baik, (iaitu) syurga dan yang
pintu-pintunya terbuka bagi mereka.

Kemudian Abu Hurairah ada meriwayatkan
sebuah Hadis Rasulullah s.a.w. bersabda:

Dan bagi syurga itu lapan pintu. Maka siapa
yang termasuk dari orang yang menegakkan
ibadah sembahyang, dia akan dipanggil dari
pintu sembahyang. Bagi orang berpuasa ia
akan dipanggil dari pintu puasa. Orang yang
brsedekah akan dipanggil dari pintu
sedekah. Dan yang berjihad akan dipanggil
dari pintu jihad. (Riwayat Bukhari dan
Muslim)

Oleh kerana itu kalau seorang semasa
hidupnya benar-benar melaksanakan
segala hal yang disebut tadi, maka ia akan
dipanggil untuk masuk melalui ke semua
pintu-pintu tersebut.

Adapun pintu syurga bagi orang yang
melakukan ibadah puasa dinamakan Ar-
Rayyan. Sedangkan setiap Muslim yang
pernah kematian tiga orang anak-anaknya
yang masih kecil diberi kebebasan untuk
masuk ke syurga melalui pintu mana sahaja
yang disukainya.

Penghuni-penghuni syurga setiap orang
mempunyai pintu-pintu tersendiri. Satu pintu
untuk tempat masuknya sendiri. Satu untuk
isterinya. Satu untuk tamu-tamu (malaikat
dan kawan-kawannya). Satu menuju ke
neraka untuk rasa nikmat Allah atas dirinya,
dan satu pintu ke Arsy (Mahligai Allah untuk
melihat wajah Allah).

Dalam buku "Ahli Syurga dan
kenikmatannya" diterangkan, selain yang
tersebut di atas ada lagi pintu-pintu yang
diberi nama :

= Pintu para rasul dan nabi
= Pintu zakat
= Pintu haji
= Pintu syahadat dan selawat
= Pintu syuhada
= Pintu salihin
= Pintu siddiqin
= Pintu ilmu dan iman
= Pintu rahmat
= Pintu taubat

Dalam hadis riwayat Bukhari-Muslim,
Rasulullah bersabda:

Demi Allah, demi antara dua ambang pintu
syurga itu bagaikan jarak antara Makkah dan
Basrah.

Jelaskan pada kita betapa luasnya pintu-
pintu yang terdapat di dalam syurga.

Bilik-Bilik, Rumah dan Istana di Syurga

Untuk lebih menyeronokkan lagi, maka pada
penghuni-penghuni syurga diberikan bilik-
bilik khas, rumah dan istana yang dibuat dari
permata-permata yang tembus dipandang
mata seperti kaca. Di dalamnya penuh
dengan kenikmatan dan kelazatan yang
tidak pernah dilihat mata serta didengar
telinga.

Pernah pada suatu hari para sahabat
bertanya kepada Rasulullah: "Untuk
siapakah Allah menyediakan bilik-bilik
seperti itu ya Rasulullah?"

Rasulullah menjawab: "Bagi mereka yang
menyebarkan salam, menyumbangkan
makanan, terus berpuasa dan berjaga
malam mengerjakan sembahyang
sedangkan orang lain tidur nyenyak."

Lalu sahabat-sahabat bertanya
lagi : "Siapakah yang tahan dan sanggup
berbuat demikian ya Rasulullah?"

Jawab Baginda lagi: "Umatku!
Dengarlah ...sesiapa yang bertemu sesama
Muslim lalu ia memberi salam, itu bererti
telah menyebarkan salam. Barang siapa
yang memberi makan anak-anak dan
isterinya sampai kenyang, bererti ia telah
menyumbangkan makanan. Sesiapa yang
berpuasa pada bulan Ramadan dan
ditambah dengan tiga hari pada setiap
bulan, itu bererti ia terus menerus berpuasa.
Dan sesiapa yang menunaikan
sembahyang Isyak terakhir dengan
berjemaah, bererti dia telah bersembahyang
malam sedang manusia tidur." (Riwayat Abu
Naim dari Jabir).

Bagi penghuni syurga ini, disediakan bilik-
bilik sebagaimana yang dijanjikan Allah
dalam Surah Az-Zumar ayat 20:

Tetapi orang-orang yang bertakwa kepada
Tuhannya mereka mendapat tempat-tempat
yang tinggi, di atasnya dibangun pula tempat-
tempat yang tinggi yang di bawahnya
mengalir sungai-sungai. Allah telah berjanji
dengan sebenar-benarnya. Allah tidak akan
memungkiri janjinya.

Kemudian di dalam firmanNya Surah
Muhammad ayat 6 yang bermaksud:

Dan memasukkan mereka ke dalam syurga
yang telah diperkenankanNya kepada
mereka.

Selain menerangkan keadaan bilik-bilik di
syurga, ayat di atas juga menerangkan
bahawa setiap orang yang masuk ke syurga
itu mengetahui tempat mereka masing-
masing tanpa perlu ditunjuk seolah-olah
(bilik rumah dan istana-istana itu) sudah
lama dikenalinya.

Kemudian dalam surah Al-Furqan ayat 10,
Allah berfirman:

Maha suci (Allah) yang jika Dia
menghendaki, nescaya dijadikanNya
bagimu yang lebih baik dari yang demikian,
(iaitu) syurga yang mengalir sungai-sungai
di bawahnya, dan dijadikanNya (pula)
untukmu istana-istana.

Ayat ini mengisyaratkan bahawa di dalam
syurga terdapat istana tetapi tidak dijelaskan
bagaimana bentuk rupa istana tersebut,
sama ada bertingkat-tingkat menjulang
tinggi atau sebaliknya. Di samping bilik dan
istana dan pula rumah-rumah. Nabi
Muhammad s.a.w. bersabda:

Sesiapa yang membaca Surah Al-Ikhlas
sebanyak 10 kali, maka Allah berkenan
membangunkan baginya rumah di syurga.
(Riwayat Muslim).

Pohon-Pohon dan Buah-Buahan di Syurga

Keindahan alam dengan pohon-pohon yang
rimbun menghijau serta aneka macam jenis
bunga-bunga yang menawan dapat
memberikan kedamaian jiwa bagi siapa
yang memandangnya.

Bayangkanlah kalau kita berada di tengah-
tengah kebun bunga yang seperti itu
ditambah pula dengan pohon-pohon yang
mengeluarkan bermacam-macam jenis
buah-buahan,tentu kita akan asyik dan
enggan pergi atau meninggalkan tempat
tersebut.

Di syurga, Allah memberikan kepada
penghuni-penghuninya lebih dari itu
sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

Dan golongan kanan, alangkah bahagianya
golongan kanan itu, berada di antara pohon
bidara yang tidak berduri dan pohon pisang
yang bersusun-susun buahnya dan
naungan yang terbentang luas; dan air yang
tercurah; dan buah-buahan yang banyak
tidak berhenti (buah-buahan yang banyak
tidak berhenti (buahnya) dan tidak terlarang
mengambilnya. (Al-Waqiah: 27-33).

Kedua syurga itu mempunyai pohon-
pohonan dan buah-buahan. (Ar-Rahman:
48).

Di dalam keduanya ada (macam-macam)
buah-buahan dan kurma serta delima. (Ar-
Rahman: 68)

Dan naungan (pohon-pohon syurga itu)
dekat di atas mereka dan buahnya
dimudahkan memetiknya semudah-
mudahnya. (Al-Insan: 14).

Di syurga juga ada sejenis pohon yang
dinamakan tuba. Abu Hurairah berkata:

Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat
sebatang pohon yang dipanggil "tuba" dan
Allah berfirman kepadanya: "Keluarkanlah
untuk hambaKu apa-apa yang mereka
kehendaki." Maka keluarlah kuda dengan
kekang serta pelana dan apa-apa keperluan
yang dikehendaki dan dikeluarkan pula
untuknya kenderaan dengan tempat duduk
serta pengikatnya, apa-apa keperluan yang
dikehendaki dan juga pakaian-pakaian.
(Riwayat Ibnu Abid Dunya).

Ibnu Hibban meriwayatkan Hadis daripada
Abu Said yang menceritakan seorang lelaki
datang kepada Rasulullah dan bertanya:

"Wahai Rasulullah, apakah tuba itu?"
Baginda menjawab: "Ialah sebatang pohon
yang sangat rindang. Rindangnya sejauh
100 tahun perjalanan, (manakala) pakaian-
pakaian penghuni syurga adalah daripada
kelopak-kelopaknya."

Keistimewaan pohon-pohon di syurga ini
semua umbi-umbinya diciptakan Allah
daripada emas. Adapun pohon bidara di
syurga itu bercabang-cabang. Setiap
cabangnya mengeluarkan sebiji buah,
kemudian dari buah ini keluar pula 72 jenis
makanan yang berlainan.

Sedangkan pohon-pohon kurma pula
diciptakan Allah s.w.t. dalam bentuk yang
sangat luar biasa sebagaimana Abdullah
bin Al-Mubarak, Ibnu Abi Hatim, Ibnu Abid
Dunya dan Al-Hakaim meriwayatkan
perkataan Ibnu Abbas r.a.:

"Pokok kurma syurga itu batangnya daripada
permata Zamrud yang hijau, pangkal-
pangkal pelepahnya daripada emas yang
merah dan setiap satu pelepahnya menjadi
pakaian penghuni syurga, daripadanyalah
pakaian dan perhiasan-perhiasan mereka
dipotong dan dijahit. Manakala buahnya
seperti tempayan, lebih putih daripada susu,
lebih manis daripada madu dan lebih
lembut daripada buih dan tiada mempunyai
benih."

--------------------------------------------
Berkata Abu Darda r.a. bahawasanya Nabi
s.a.w. telah bersabda:

Allah telah berfirman: "Sesungguhnya Aku
dengan jin dan manusia dalam suatu berita
besar (Hari Kiamat). Aku yang mencipta,
tetapi mengapa orang lain yang disembah?
Aku yang memberi rezeki, mengapa pula
orang lain yang disyukuri." (Riwayat Baihaqi)

[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...