Monday, August 15, 2011

RENUNGAN RAMADHAN 12

 

image

Kembali kita kepada isu solidariti umat seperti kita telah bincangkan di dalam Renungan Ramadhan 10.

Ramadhan mengingatkan kita bahawa Umat Islam adalah satu. Ia umpama satu badan, seperti disebut oleh Nabi saw:

“Perumpamaan orang beriman yang berkasih sayang, dan saling rahmat merahmati dan di dalam kemesraan sesama mereka adalah seperti satu tubuh, apabila satu anggota mengadu sakit, maka seluruh tubuh akan turut merasainya dan membantunya dengan berjaga malam dan demam.” (Hadis Riwayat Muslim)

Saban hari media cetak dan elektronik memaparkan penderitaan umat Islam di seluruh dunia. Palestin, Kashmir, Afghanistan, Chechnya, Iraq dan banyak lagi tempat sentiasa mengalirkan darah Muslimin; rakan saudara seagama dengan kita. Tidak putus-putus kita didedahkan dengan penipuan, kezaliman dan penindasan yang dikenakan ke atas saudara-saudara kita. Soalannya.. adakah kita seumpama badan tersebut yang turut merasa demam, tidak dapat tidur kerana sebahagian dari anggota badan kita sedang menderita kesakitan.

Sebahagian mereka tidak dapat merasa aman seperti yang kita rasai. Sebahagian mereka tidak mampu menikmati sesuap makanan dalam sehari. Sebahagian tidak mempunyai bekalan air untuk keperluan diri. Sebahagian tidak mempunyai pakaian bagi menutup aurat dengan sempurna. Anak-anak kecil kehilangan ayah, ibu kehilangan anak, keluarga kehilangan tempat perlindungan.. senarai penderitaan mereka berpanjangan..

Mereka juga manusia seperti kita. Mereka juga Muslim seperti kita. Dalam hadis yang masyhur Nabi (saw) bersabda:

“Tidak beriman salah seorang darimu, hingga ia mencintai untuk saudaranya seperti ia mencintai untuk dirinya sendiri.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sewajarnyalah, dalam bulan solidariti umat ini, kita luangkan masa untuk menilai sumbangan kita kepada mengurangkan penderitaan saudara-saudara kita ini. Untuk sumbangan kewangan, peluang sebenarnya terbuka kerana pelbagai pertubuhan seperti Jamaah Islah Malaysia (JIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan MERCY Malaysia ada menganjurkan Tabung Khas bagi meringankan penderitaan mereka. Setidak-tidaknya, gunakanlah kesempatan keemasan yang ada dalam saat-saat keberkatan bulan Ramadhan untukmendoakan kesejahteraan dan kemenangan bagi saudara-saudara kita kita. Semoga kita termasuk dalam kumpulan yang tersebut oleh sabda Rasulullah (saw):

"Apabila seorang berdoa bagi saudaranya tanpa pengetahuannya, berkatalah para Malaikat: Bagi kamu seperti itu juga." (hadis riwayat Muslim dan Termizi)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...