Wednesday, December 14, 2011

ASAL USUL BANI ISRAEL

BANI Israel berasal daripada keturunan Nabi Yaakub. Mereka telah menerima Taurat daripada Nabi Musa. Kesan daripada penerimaan kitab Taurat telah menyebabkan mereka menganggap agama yang dipusakai daripada nenek moyang mereka itu diturunkan untuk mereka semata-mata. Di antara dua belas suku Bani Israel, yang terbesar sekali adalah keturunan suku yang kedua iaitu Yahuda. Daripada Yahuda, lama-kelamaan menjadi kebiasaan bagi mereka menyebut diri mereka sebagai Yahudi dan agama mereka iaitu agama Yahudi.

Selain menyampaikan dakwah kepada orang Arab, Qahthan dan Adnan, para nabi pada zaman itu diperintahkan oleh Allah untuk menyampaikan dakwah kepada Bani Israel. Ini kerana mereka mempunyai satu suku yang terbesar di Madinah iaitu terdiri daripada Bani Nadhir, Bani Qainuqa, Bani Quraizah dan lain-lain suku yang kecil.

Pada zaman itu, kaum Bani Israel merupakan satu bangsa di dunia yang paling banyak menerima rahmat dan nikmat serta tuntutan-tuntutan daripada Allah. Bukan hanya nikmat yang merupakan hasil bumi dan binatang-binatang serta kekayaan-kekayaan alam sahaja, yang dianugerahkan Allah kepada mereka tetapi juga kekuasaan, kepintaran dan sebagainya.

Allah juga memberi rahmat kepada mereka dengan melepaskan mereka daripada beberapa seksaan ketika mereka berada di Mesir di bawah jajahan Firaun. Mereka dilepaskan dan dimerdekakan daripada kehinaan dan ketakutan di bawah pimpinan Nabi Musa dan Harun. Mereka disesatkan oleh Samiri, kemudian ditunjukkan yang benar oleh Allah dan diampuni dosa mereka.

Begitu juga sewaktu mereka dikepung oleh tentera Firaun sehingga ke tepi laut. Maka dibentangkan Allah jalan di lautan itu, lalu Allah menghancurkan Firaun serta tenteranya di hadapan mata kepala mereka sendiri, agar mereka dapat hidup aman di atas bumi ini. Kepada mereka diturunkan oleh Allah makanan dari langit ketika mereka sedang berada di tengah-tengah padang pasir yang mana tidak ada makanan dan minuman ketika itu. Jika tidak demikian, mereka akan mati kelaparan di tengah-tengah padang pasir yang terik itu.

Lebih besar dan hebat rahmat dan nikmat Allah kepada Bani Israel kerana orang-orang bangsa Bani Israellah yang diangkat oleh Allah menjadi orang-orang mulia, menjadi nabi-nabi dan rasul-rasul yang besar, untuk memimpin mereka, mengeluarkan mereka daripada lembah kebodohan, kesesatan, kesengsaraan selain menjadi bangsa yang maju dan bangsa yang memimpin. Berulang kali nikmat dan rahmat itu silih berganti diturunkan oleh Allah kepada mereka. Tetapi berulang-kali pula mereka silih berganti sesat dan menderhakai ajaran Allah. Sungguhpun begitu, Allah masih memberikan keampunan kepada mereka, berkat doa daripada nabi dan rasul mereka.

Untuk menyempurnakan rahmat dan nikmat Allah terhadap mereka, Allah telah menyediakan sebuah negeri yang dinamakan negeri suci iaitu Suria. Di situlah mereka akan hidup aman dan tenteram serta bahagia, berkuasa dan tidak dikuasai bangsa lain. Maka mereka diperintahkan oleh Allah supaya berada di bawah pimpinan para utusan Allah. Ini adalah suatu perintah Allah yang wajib ditaati bersama-sama dengan Nabi Musa dan Harun.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...