Wednesday, December 28, 2011

BADI'UZZAMAN GELARANYA...



An-Nursi atau nama sebenarnya Said Mirza telah dilahirkan pada pada tahun 1873 M di desa Nursi yang terletak di sebelah utara Anadhul, Turki.

Pada umurnya yang masih muda, beliau memiliki kepandaian yang luar biasa. Ini menyebabkan ramai di antara guru-gurunya yang mengenalinya dan tidak lama setelah itu beliau menjadi seorang ulama yang sangat dihormati dan terkemuka dengan gelaran Badi’uzzaman.

Kebijaksanaannya itu telah mengundang banyak ahli ulama yang mencabar An-Nursi untuk berdebat dengannya. Tetapi dengan kepandaian yang dimiliki, beliau berjaya mengalahkan para ulama tersebut dengan metodologinya yang tersendiri.

Selain itu, beliau juga merupakan ketua pasukan sukarelawan di dalam pasukan Front Qauqaz, dan beliau juga turut berperang dalam Perang Dunia Pertama di Anatholia bahagian utara.

Dalam peperangan itu, An-Nursi ditawan oleh pasukan Rusia bersama 90 orang tentera yang lain. Beliau kemudian dijatuhi hukuman mati tetapi berjaya melarikan diri pada saat meletusnyanya Revolusi Komunis.

Pada suatu ketika Sa’id Nursi membaca akhbar, beliau terbaca kenyataan William Gladstone, Setiausaha British bagi Tanah-tanah Jajahan yang berbunyi, “Selagi orang-orang Islam memiliki buku ini (yang dimaksudkan al-Quran), kita tidak akan berjaya menguasai mereka. Sama ada kita mesti mengambil al-Quran itu daripada mereka atau berusaha untuk mengikiskan kecintaan mereka terhadapnya.”

Beliau yang begitu terkejut dengan keyataan tersebut telah bertindak segera dan akhirnya terhasilah karya beliau yang agung Risala-i Nur, yang ditulisnya hinggalah ke akhir hayatnya. Beliau kemudiannya berusaha menubuhkan Madrasah al-Zahrah yang diinspirasikan daripada Universiti al-Azhar, Mesir. Beliau juga berhasrat mendirikan sebuah universiti di Turki. Menurut rancangan asal, universiti tersebut, apabila terdiri akan menawarkan pengajian tiga bahasa, iaitu bahasa Arab, bahasa Turki, dan bahasa Kurdis, dengan bahasa Arab sebagai bahasa dan pengantar utama.

Beliau juga berharap akan dapat menyatupadukan antara dua kumpulan yang sering bercakar-cakaran, iaitu Ahlul Madrasah (pelajar-pelajar agama) dan Ahlul Tekke (para pengikut tarekat). Agak malang, usaha beliau untuk mendirikan universiti itu tidak mendapat sokongan daripada pihak pemerintah. Namun, itu semua tidak mematahkan semangatnya. Beliau telah pergi ke Istanbul sebanyak dua kali, iaitu pada 1896 dan 1907. Bagaimanapun, usaha tersebut juga mengecewakan. Pada lawatannya yang kedua pula, Sa’id Nursi berkesempatan untuk bertemu dengan Sultan ‘Abdul Hamid II (1876 – 1908).

Dalam perbualannya, beliau telah mencadangkan penubuhan sebuah universiti dan mengkritik pemerintahan Sultan. Akibatnya, beliau dihadapkan ke mahkamah tentera. Dalam perbicaraan, beliau mempertahankan pendapatnya dan menyebabkan beliau dikatakan kurang siuman. Namun demikian, doktor yang memeriksanya telah melaporkan sekiranya Badi’uzzaman itu gila, maka tiada lagi orang yang siuman di seluruh dunia ini. Atas alasan ini, beliau akhirnya telah dibebaskan.

Pada tahun 1918, beliau berjaya kembali ke Istanbul dan dianugerahi pingat kehormatan perang dan ditawari beberapa jawatan penting, namun beliau menolak tawaran semua jawatan itu.

Beliau juga banyak mengajak dan menganjurkan para pemimpin tertinggi negara agar selalu mengerjakan solat dan mengamalkan ajaran-ajaran agama. Akibatnya, An-Nursi telah diasingkan dari Turki dan sering juga dipenjarakan kerana mengajak orang lain bagi melakukan kebangkitan agama dan kembali kepada Islam.

Perbuatannya itu menyebabkan beliau diadili dan dipenjarakan, malah diasingkan ke beberapa tempat. Antara artikelnya yang mengundang musibah pada diri beliau adalah yang berjudul “An-Nur”. Dalam artikel tersebut beliau mengetengahkan tentang bukti-bukti adanya Allah s.w.t, penolakan terhadap fahaman komunis serta kehidupan yang berbaur material.

Beliau juga pernah diajak oleh Ketua Organisasi Freemasonry daripada kalangan Yahudi untuk berdebat. Setelah tamat pertemuan yang diadakan, beliau keluar dan berkata: “Orang yang aneh ini selalu menyerang diri dan agamaku dalam setiap kata-katanya.”

Selain itu beliau turut dipelawa oleh Kamal Ataturk agar menjadi Ketua Wu’zah (pemberi nasihat) di Anatholia bahagian timur dan menjadi pengurus di Universiti Dar Al-Hikmah. Beliau dijanjikan akan menerima sebuah villa yang besar sebagai tempat tinggalnya serta jawatan yang tinggi. Akan tetapi, beliau telah menolak semua tawaran itu.

Di antara ucapan-ucapan beliau yang terkenal adalah: “Saya berani membuktikan kepada dunia bahawa al-Quran adalah merupakan suatu sumber yang selalu memunculkan semangat yang tidak mungkin akan padam untuk selama-lamanya.”

Beliau juga seorang ulama yang rendah hati yang ‘tidak layak memakai pakaian penari’ sebagaimana kota Istanbul juga ‘tidak layak berakhlak seperti orang-orang Eropah’.

An-Nursi telah banyak menghasilkan karya yang dihitung sebanyak 600,000 judul artikel yang menyentuh pelbagai aspek terutama yang menyentuh persoalan masyarakat. Antaranya “Isyarat Al-I’jaz”, “At-Tafkir Al-Imani”, “Dzul Al-Fiqar“ dan “Ra’id Asy-Sabab.”

Sa’id Mirza atau An-Nursi meninggal dunia pada tahun 1960 dan telah disemadikan di kota Orfa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...