Thursday, December 15, 2011

ASTRONOMI, MATEMATIK DALAM GENGGAMANYA

Ibnu Yunus

Nama beliau adalah Abu Al-Hasan Ali bin Abu Sa’id Aburrahman bin Ahmad bin Yunus bin Abdul A’la Ash-Shadafi Al-Mishri. Beliau biasa dipanggil dengan nama Ash-Shadafi, sebagaimana yang dikatakan oleh Dr. Al-Fandi.

Beliau dipanggil dengan nama ini kerana berasal dari desa Shadaf di daerah pedalaman Mesir. Akan tetapi menurut Ibnu Atsir, kata Ash-Shadafi merupakan kata yang berasal daripada kata “shadah” kemudiannya menjadi “Ash-Shadafi” yang menunjukan bahawa beliau berasal dari kabilah di Yaman yang telah berpindah ke Mesir.

Ash-Shadafi atau Ibnu Yunus dijangka hidup di Mesir pada abad keempat Hijrah atau (abad kesepuluh Masihi). Tanggal dan tempat kelahirannya tidak diketahui secara pasti, sekalipun sebahagian sumber ada yang mengatakan bahawa beliau dilahirkan pada tahun 341H (952M).

Menurut sejarah, ayahnya adalah seorang ahli hadis dan sejarah yang bernama Yunus bin Abdul A’la yang termasuk diantara sedemikian banyak ulama terkemuka dan penganut Mahzab Imam Syafie. Malah ayahnya juga menonjol dalam ilmu bintang.

Ash-Shadafi atau Ibnu Yunus adalah salah seorang ilmuan astronomi terkemuka dalam sejarah peradaban Arab dan Islam. Beliau termasuk antara ilmuan yang paling teliti dalam melakukan penelitian di bidang astronomi di mana beliau telah melakukan pengkajian dan meneropong bintang di Gunung Al-Muqaththam, Mesir.

Ibnu Yunus mengabadikan dirinya kepada khalifah dari Dinasti Fatimiyyah bernama Al-Aziz Billah. Dia banyak mengetahui potensi ilmiah dan untuk itu dia selalu memotivasikannya, memberinya jawatan dan membangunkan untuknya teropong bintang di Gunung Al-Muqaththam.

Setelah meninggalnya Al-Aziz Billah, Ibnu Yunus melanjutkan pengabadian ilmunya kepada anaknya, Al- Hakim Biamrillah yang disebutkan di dalam buku-buku sejarah bahawa dia mencintai ilmu dan memperhatikan ilmu astronomi, malah beliau juga memberikan jawatan yang sesuai kepada para ilmuwan.

Sepertimana yang diketahui dalam Sirah karangan Ibnu Hisham, bagaimana Al-Hakim Biamrillah memperhatikan tulisanl Ibnu Yunus tentang Nil dan memanggilnya untuk mengawasi. Al-Hakim Biamrillah juga telah membangunkan Darul Hikmah di Kaherah sebagai tempat bertemunya para ulama dan sebagai tandingan Baitul Hikmah yang dibangun oleh Khalifah Al-Ma’mun di Baghdad.

Al-Hakim membekali Darul Hikmah dengan perpustakaan besar yang disebut perpustakaan Darul Ilmi yang dilengkapi dengan peralatan teropong bintang yang ada di Gunung Al-Muqaththam.

Di Gunung Al-Muqaththam, Ibnu Yunus meneropong dua kali gerhana matahari, iaitu pada tahun 977 dan tahun 978M. Pada tahun yang sama dia juga meneropong gerhana bulan dan mencatat semua peristiwa yang terjadi di dalam jadual astronominya.

Selain itu, Ibnu Yunus menghitung kecondongan daerah gugusan bintang-bintang dengan tingkat ketelitian yang amat mengagumkan. Hasil daripada peneropongan Ibnu Yunus yang tepat, telah membuatkan para astronomi Barat pada masa sekarang mengambilnya dan menjadikannya sebagai rujukan untuk menghitung graviti bulan.

Ibnu Yunus jua yang menemui waktu jam malah mendahului seorang ilmuwan Itali, Galileo, 600 tahun sebelumnya. Apa yang pasti mereka telah mempergunakannya untuk mengukur waktu ketika sedang melakukan peneropongan bintang kerana lebih tepat daripada jam mesin yang telah banyak digunakan pada masa itu.

Bukan itu sahaja malah banyak lagi penemuan Ibnu Yunus di mana beliau mampu menyelesaikan sebahagian permasalahan yang ada dalam hitungan trigonometri berbentuk bola (spherical trigonometri) dengan bantuan garis vertikal bola langit pada setiap tahap, baik yang bersifat horizontal mahupun vertikal.

Selain itu, beliau juga telah menemui kaedah-kaedah dan hubungan matematik yang mungkin dapat dijadikan alat untuk mengubah proses perkalian menjadi proses tambahan. Penemuan ini telah memacu lahirnya ilmu hitung logaritma yang ada pada matematik moden.


Beliau telah banyak menulis dan dalam karyanya yang berjudul Az-Zaij Al-Hakimi, beliau telah menghasilkan 81 bab yang terdiri daripada jadual-jadual astronomi yang terperinci hasil daripada penelitian astronomi beliau. Buku ini juga telah menjadi buku rujukan bagi para ulama Mesir dalam menetapkan kalendar dan masalah-masalah yang berhubungkait dengan astronomi.

Tetapi apa yang menyedihkan buku tersebut tidak sepenuhnya berada di perpustakaan Darul Kutub di Mesir kerana sebahagian bab-bab buku tersebut berada di pelbagai perpustakaan negara-negara Eropah. Malah beberapa bab buku tersebut juga telah diterjemahkan dan diterbitkan ke dalam Bahasa Perancis oleh seorang orientalis Perancis, Kausan pada tahun 1804 Masihi.

Karya Ibnu Yunus ini telah banyak diperakui sebagai yang terbaik malah seorang ahli falsafah dan sosiologi Perancis, Gustav Le Bon pernah mengatakan, “Ibnu Yunus menulis buku ini lebih berkualiti dan terperinci daripada semua buku pada bidang yang sama.”

Ibnu Yunus telah meninggal dunia pada tahun 399H (1009M).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...