Wednesday, October 24, 2012

AL-QURAN DEDAH TEMBELANG YAHUDI HANCURKAN ISLAM



SAIDINA Ali Abi Talib pernah menzahirkan kata-kata tersimpan maksud yang amat mendalam melalui pengucapannya iaitu ‘orang yang berakal itu ialah orang yang mahu mengambil iktibar dan pengajaran daripada kisah pengalaman orang lain’.

Sebenarnya, kisah kaum bani Israel banyak dirakamkan dalam al-Quran bertujuan mendedahkan tembelang mereka dalam isu keagamaan dan kemanusiaan sejagat. Usah ada daripada kita yang cuba menutup sebelah mata kononnya bersedia mengiktiraf mereka di sebalik matlamat untuk mendapatkan sokongan moral golongan yang telah hilang perasaan serta sifat kemanusiaan ini.

Perkataan Israel pada asalnya bererti pilihan adalah satu sebutan khusus bagi Nabi Yaakub. Oleh itu, bani Israel ialah susur galur keturunan Nabi Yaakub tetapi sekarang mereka lebih dikenali dengan sebutan Zionis.

Allah SWT berfirman bermaksud: 
“Sesungguhnya, bani Israel ini adalah satu kaum yang dimuliakan Allah SWT suatu ketika dulu. Kebanyakan daripada keturunan bani Israel atau kaum Yahudi, mempunyai kebijaksanaan dan kelebihan yang tidak diberikan terhadap kaum lain.” (Surah Al-Baqarah, ayat 85)

Sebagai bangsa pilihan, mereka dilimpahi nikmat Allah yang tidak diberikan kepada bangsa lain. Antara nikmat itu ialah diutuskan ramai nabi dan rasul yang berasal di kalangan mereka, selain diselamatkan daripada kezaliman Firaun dan bala tenteranya.

Allah SWT berfirman bermaksud: 
“Wahai bani Israel! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang-Ku berikan kepadamu, dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) dengan-Ku supaya Aku sempurna perjanjian-Ku dengan kamu; dan kepada Akulah saja hendaklah kamu merasa gerun takut, (bukan kepada sesuatu yang lain).” (Surah al-Baqarah, ayat 40)

Walaupun Allah SWT melimpahkan pelbagai nikmat kehidupan, mereka berubah menjadi bangsa lupa diri, sombong, takbur, mempermainkan ayat Allah dan ajaran agama, bahkan tergamak membunuh pendakwah serta nabi mereka sendiri yang sentiasa menyeru ke arah kebaikan dan kesejahteraan hidup.
Al-Quran mendedahkan kejahatan mereka yang langsung tiada sifat manusia. Dalam diri mereka ini tersemat beraneka kejahatan yang tersembunyi dalam hati mereka yang diterjemahkan dengan sifat serta perlakuan jahat.

Dalam satu kisah sahabat, pada suatu hari Abu Ubaidah al-Jarrah bertanya kepada Rasulullah SAW: 
“Wahai Rasulullah, siapakah manusia paling dahsyat azabnya pada hari kiamat? Baginda menjawab: Seseorang yang membunuh nabi atau orang yang melaksanakan amar makruf nahi mungkar.”

Kemudian Baginda membaca ayat al-Quran bermaksud: 
“Sesungguhnya orang yang kufur ingkar ayat keterangan Allah dan membunuh Nabi dengan jalan tidak benar, serta membunuh orang yang menyeru manusia berbuat adil, maka sampaikanlah berita kepada mereka dengan azab pedih.” (Surah al-Imran, ayat 21)

Baginda meneruskan ceritanya dengan bersabda: “Wahai Abu Ubaidah, ketahuilah bahawa bani Israel sudah membunuh 43 nabi pada sebelah pagi dalam satu masa.

Kemudian ada 170 orang Israel yang mengajak mereka membunuh nabi berkenaan yang menyeru kepada makruf dan mencegah mereka daripada mungkar tapi mereka membunuhnya pada sebelah petang.” (Riwayat Abu Hatim dan Ibn Jarir).

Sejarah Islam juga mencatatkan kaum Yahudi terkenal dengan sifat khianat dan mungkir janji. Hampir semua perjanjian yang termeterai antara mereka dengan Rasulullah SAW, dikhianati.

Tidak menghairankan seandainya rejim Yahudi di Israel kini kekal mempamerkan sifat yang menjadi darah daging mereka iaitu mengulangi perbuatan khianat dan mungkir janji seperti dilakukan nenek moyang mereka dulu.

Mereka bukan saja mengkhianati seluruh isi perjanjian damai dengan bangsa Palestin, malah dengan angkuh dan sombong tidak bersedia untuk tunduk kepada resolusi diputuskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan isu perdamaian Asia Barat.

Kisah pengkhianatan kaum Yahudi dulu dan sekarang sekali gus membuktikan kebenaran al-Quran yang mendedahkan tembelang dan sikap kaum Yahudi sebenarnya terhadap isu keagamaan, kemanusiaan dan keamanan sejagat.

Mereka ialah golongan yang tidak boleh dipercayai sama sekali. Justeru, tidak perlu lagi diusahakan sebarang rundingan ataupun perjanjian damai, apatah lagi diadakan hubungan diplomatik serta perdagangan dengan mereka.

Bahkan, umat Islam di bumi Palestin yang dizalimi dan ditindas oleh rejim Zionis itu wajib berjihad demi mempertahankan maruah, harta benda, tanah air serta agama mereka. Penjajahan haram Yahudi yang begitu laparkan tanah di bumi Palestin bertindak melebar penguasaan mereka hasil daripada ‘dasar penaklukan yang menggila’ itu.

Kaum Yahudi sentiasa berusaha dengan pelbagai cara dan helah, sama ada secara terang-terangan mahupun sulit agar kaum Muslimin meninggalkan ajaran agama mereka dan kembali menjadi kufur. Perilaku jahat kaum Yahudi berkenaan dirakamkan dalam al-Quran untuk dijadikan pengajaran kepada umat Islam selepasnya.

Firman Allah bermaksud: 
“Banyak di antara Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir selepas kamu beriman kerana dengki yang timbul dalam diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad SAW).” (Surah al-Baqarah, ayat 109).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...