Monday, October 29, 2012

FACEBOOK, TWITTER ANTARA PUNCA CERAI



Perhatian, penuh kasih sayang, setia elak perangkap cinta siber

KADAR perceraian di Malaysia mengikut statistik Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) pada 2009 ialah satu kes pada setiap 15 minit. Kes perceraian membabitkan pasangan semua peringkat taraf pendidikan, kekayaan, status dan usia perkahwinan. Golongan kaya dan selebriti yang dianggap menikmati kehidupan ‘sempurna’ di mata masyarakat turut tidak terlepas mengalami keruntuhan rumah tangga.

Soal nikah dan cerai tidak boleh dipandang mudah kerana memberi kesan yang besar kepada individu, keluarga, masyarakat dan negara.

Perceraian ialah perkara halal paling dibenci dalam Islam, yakni perkara perlu dielak daripada berlaku melainkan untuk mencari keadilan dan menyelesaikan kemelut yang berlaku dalam rumah tangga.

Hidup berumah tangga banyak cabarannya, umpama melayari bahtera di lautan gelora dan luas tanpa tepian. Justeru, setiap pasangan suami isteri perlu menggunakan pendekatan berhemah dan berlapang dada dalam mendepani rencah kehidupan berumah tangga.

Allah SWT menjanjikan kebahagiaan hidup suami isteri melalui perasaan kasih sayang. Semua makhluk berhak mendapat kehebatan erti kasih sayang jika mereka benar-benar memahami anugerah yang Allah SWT berikan ini.

Firman Allah SWT bermaksud:
“Antara tanda-tanda kebesaran Allah SWT ialah Dia telah mencipta untuk kamu pasangan daripada golongan kamu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram. Dan dijadikan antara kamu perasaan cinta dan kasih sayang.” (Surah ar-Rum, ayat 21)

Tanpa perasaan kasih sayang, kekayaan tidak dapat menjamin kebahagiaan rumah tangga. Banyak pasangan bertaraf jutawan mengakhiri perkahwinan dengan perceraian. Selepas perceraian, harta pula menjadi rebutan sehingga dibawa kes tuntutan ke mahkamah.

Hal ini berlaku akibat terlalu terpengaruh dengan budaya masyarakat Barat yang mana apabila berlaku perceraian, soal pembahagian harta menjadi agenda utama.

Satu fenomena baru melanda masyarakat sekarang hingga menyebabkan perceraian ialah suami atau isteri mempunyai hubungan ‘pasangan maya’ di laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Ledakan rakan maya menyebabkan banyak individu teruja dan ’lupa diri.’ Golongan ini asyik berhubung melalui alam siber khususnya berborak di laman sembang berjam-jam setiap hari.

Bermula dari alam siber lalu bertemu di dunia nyata. Bagi individu belum berkahwin, ada yang bertemu jodoh dengan rakan maya dan kekal bahagia. Masalahnya bagi mereka yang telah berkahwin menjalin cinta gelap dengan rakan maya menjadi punca keretakan rumah tangga.

Rakan maya mudah mesra, kononnya tidak ada sekatan perasaan malu kerana tidak perlu melafazkan kata-kata. Malah reaksi wajah atau gerak badan tidak diperlukan. Medium menjadi penghubung adalah bait kata yang tertera di skrin komputer atau telefon.

Dalam hubungan itulah, ada yang mengambil kesempatan atau terperangkap dengan cinta maya. Perkara ini lazimnya mudah berlaku membabitkan bekas kekasih, rakan lama dan tidak kurang dengan mereka yang sememangnya menjadikan ruang siber untuk berlagak Romeo mahupun Juliet.

Hubungan maya ini dikesan menjadi punca perceraian apabila suami atau isteri mengetahui pasangan mereka mempunyai hubungan cinta lain.

Tidak kurang juga mereka sanggup meminta cerai daripada pasangan apabila terlalu yakin dan sayang kepada pasangan maya yang dirasakan lebih sesuai dan mencintainya.

Untuk mencegah perkara ini, persahabatan maya perlu ada batasannya. Bagi mereka yang telah bergelar suami atau isteri, perlu bijak menilai tahap hubungan dengan rakan maya berlainan jantina.

Haram bagi isteri menjalin ‘hubungan mesra’ dengan lelaki lain biarpun hanya dalam alam maya. Suami perlu tegas melarang isteri jika perkara itu terjadi. Dayus jika suami mengetahui perkara itu tetapi tidak melakukan apa-apa tindakan untuk mencegahnya.

Riwayat Tabrani, dari Ammar Yasir berkata:
“Dia mendengar dari Rasulullah bersabda: Tiga golongan yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaitu si dayus, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak.”

Lalu sahabat berkata: “Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu dayus?”

Lalu Rasulullah bersabda lagi: “Iaitu orang yang tidak mempedulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya).”

Setia kepada pasangan dan sentiasa menyimpan hasrat untuk kekal hidup bersama sehingga ke akhir hayat amat penting dalam rumah tangga.

Jangan biarkan rumah tangga dilanda badai sehingga menggagalkan impian yang diikat ketika akad nikah dilakukan.

Sesungguhnya pahala amat besar bagi isteri yang mentaati suaminya. Sabda Rasulullah bermaksud:  
“Apabila seseorang isteri solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadan, memelihara kehormatan serta menutup aurat dan taat kepada suami, lebih berhak baginya masuk ke syurga daripada sebarang pintu yang dia kehendaki.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban).

Suami dan isteri boleh mencegah hubungan jika masing-masing memberi perhatian dan mengambil berat.

Hubungan maya biasa terjadi disebabkan terasa diabaikan oleh pasangan. Bermula suka-suka dan mengisi masa lapang, akhirnya mereka terjebak dengan cinta maya yang mengundang masalah dalam rumah tangga.

Sebab itu amat penting cinta dan kasih sayang suami isteri sentiasa dipupuk dan dijaga agar tidak terdorong melakukan perkara yang dilarang agama.

Langkah JAKIM ingin menganjurkan kursus pasca perkahwinan adalah satu langkah proaktif untuk membendung gejala perceraian termasuk dalam kalangan mereka yang telah lama berumah tangga.

Tentunya satu perkara amat malang jika perkahwinan yang telah berlangsung puluhan tahun berakhir dengan perceraian berpunca perkara kecil yang sebenarnya boleh dielak
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...