Tuesday, September 7, 2010

Analisa Tarikh Lahir Tahu Masadepan Oleh Zaharuddin Abd Rahman

 

image

SOALAN

Assalamualaikum, ustaz...... apakah hukum amalan menggunakan nombor-nombor pada tarikh lahir untuk tujuan mentafsir dan menganalisis kehidupan seseorg individu contohnya dapat mengetahui status kewangan, keharmonian keluarga, masalah bakal dihadapi dalam tahun-tahun yang dianalisis. Harap sangat dapat sertakan nas-nas naqli utk menangani isu ini. Wassalam terima kasih.

JAWAPAN

Perlu difahami bahawa, isu yang berkaitan dengan perkara ghaib seperti mengetahui perihal sejarah silam, ramalan bala, ramalan perkara yang akan datang seperti yang disebut dalam soalan di atas, mengetahui sesuatu tentang makhlus halus dan yang seumpama dengannya adalah satu keyakinan yang mesti di sumberkan kepada tiga sumber sahaja. Iaitu :-

a) Al-Quran       

b) Hadith Sohih dan Hasan      

c) Fitrah kejadian alam (sunnatullah)

Tanpa ketiga-tiga ini, kepercayaan tadi dengan mudah boleh membawa kepada gejala tilikan dan ramalan ghaib yang tidak diizinkan oleh Allah SWT dan RasulNya sebagainya firmanNya di dalam surah al-Naml ayat 65 : ertinya :

قُل لَّا يَعْلَمُ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ

Ertinya : " Katakan (wahai Muhammad kepada umatmu) tiada sesiapa di atas muka bumi atau di langit mengetahui perkara ghaib kecuali Allah SWT" .
SUNNATULLAH ( HUKUM ALAM) BOLEH DIPERCAYAI

Maksudnya adalah mempercayai sesuatu yang mempunyai ciri ghaib seperti meyakini esok akan berlaku hujan berdasarkan sunnatullah iaitu dilihat dari satelit maka di dapati kumpulan awan tebal di atas Malaysia. Ia adalah bentuk ramalan yang didasari oleh sunnatullah atau fitrah alam yang diharuskan.

Alah SWT menyatakan : Ertinya : "Andaikata kebenaran itu mengikuti hawa nafsu mereka, niscaya akan rusaklah langit dan bumi serta seluruh makhluk yang ada di dalamnya." (al-Mu'minun: 71)

Inilah yang perlu dimaklumi, bahwa alam ini dikendalikan dengan undang-undang dan hukum yang tetap, tidak pernah berubah dan berganti, sebagaimana telah dinyatakan oleh al-Quran dalam beberapa ayat, antara lain sebagai berikut:

Firman Allah ertinya : "Kamu tidak akan menjumpai sunnatullah itu berganti." (Fathir: 43)

Hasil dari kepercayaan ghaib tanpa didasari oleh tiga asas tadi, maka ramailah di kalangan umat Islam yang dihinggapi virus kerosakan aqidah.

Idea tilikan dan pengiraan tarikh lahir untuk mnegetahui hal yang akan datang termasuk status kewangan, keharmonian rumah tangga dan sebagai amat bercanggah dengan hukum Islam. Malah jika ingin digunakan hujah ‘sunnatullah' atau tajribah (percubaan dan analisa) pun ia tidak boleh sama sekali. Ini kerana analisa yang boleh diterima hanya analisa yang boleh dibuktikan melalui bukti-bukti saintifik dan fizikal, seperti ramalan cuaca melalui info lengkap dari kedudukan awan dan angin melalui alatan canggih moden dan visual dari satellite.

Begitu juga khasiat kayu-kayu tertentu untuk mengubati penyakit, menghalau binatang tertentu dan sebagainya. Ia juga bersifat fizikal iaitu kepada kayu tersebut dan bauan atau warnanya.

Namun kombinasi tarikh lahir dan kiraan matematik yang didakwa boleh mengetahui kejadian yang akan datang, masalah yang bakal menimpa, jodoh, sakit dan sihat, akan jadi kaya atau terus miskin dan yang sempamanya BUKAN dari sesuatu bersifat fizikal, tidak juga bersamaan dengan contoh yang kayu dan ramalan cuaca tadi. Hal seumpama ini tidak boleh sama sekali diramal menggunakan tarikh lahir.

NABI PUN TIDAK MENGETAHUI YANG GHAIB

Nabi Muhammad s.a.w. datang dan dijumpainya di tengah-tengah masyarakat ada sekelompok manusia tukang dusta yang disebut kuhhan (dukun) dan arraf (tukang ramal). Mereka mengaku dapat mengetahui perkara-perkara ghaib baik untuk masa yang telah lalu mahupun yang akan datang, dengan jalan mengadakan hubungan dengan jin dan sebagainya.

Justeru itu Rasulullah s.a.w. kemudian mengishtiharkan perang dengan sebarang dakwaan dusta yang tidak berlandaskan ilmu, petunjuk mahupun dalil syara'.

Rasulullah membacakan kepada mereka wahyu Allah yang berbunyi:

"Katakanlah! Tidak ada yang dapat mengetahui perkara ghaib di langit dan di bumi melainkan Allah semesta." (an-Naml: 65)

Bukan Malaikat, bukan jin dan bukan manusia yang mengetahui perkara-perkara ghaib. Rasulullah juga menegaskan tentang dirinya dengan perintah Allah s.w.t. sebagai berikut:

"Kalau aku dapat mengetahui perkara ghaib, niscaya aku dapat memperoleh kekayaan yang banyak dan aku tidak akan ditimpa suatu musibah; tidak lain aku hanyalah seorang (Nabi) yang membawa khabar duka dan membawa khabar gembira untuk kaum yang mau beriman." (al-A'raf: 188)

Oleh kerana itu, barangsiapa mengaku dapat mengetahui perkara ghaib, termasuk perkara akan datang dan lain-lain, bererti dia mendustakan Allah, mendustakan kenyataan dan mendustakan manusia banyak.

JANGAN JADI BOMOH SECARA TIDAK RASMI

Sebahagian utusan pernah datang ke tempat Nabi, mereka menganggap bahwa Nabi adalah salah seorang yang mengaku dapat mengetahui perkara ghaib. Kemudian mereka menyembunyikan sesuatu di tangannya dan berkata kepada Nabi: Tahukah tuan apakah ini? Maka Nabi menjawab dengan tegas:

"Aku bukan seorang tukang tenung, sebab sesungguhnya tukang tenung dan pekerjaan tenung serta seluruh tukang tenung di neraka."

Inilah yang dilakukan oleh bomoh-bomoh rasmi dan tidak rasmi hari ini, meramalkan perkara ghaib seperti meramal dimana boleh dijumpakan orang hilang, dan meramal melalui tarikh lahir, jumlah huruf pada nama seseorang malah adakalanya menyalahgunaan nombor surah al-Quran untuk tujuan ramalan mereka.

Memang tabiat bomoh atau dukun akan mendakwa mengetahui perkara ghaib seperti berita tentang perkara-perkara akan datang. Biasanya dakwaan tersebut bersandarkan perkhabaran yang dibisikkan oleh jin yang mencuri dengar ucapan para malaikat. Lalu dicampur-baurkan ucapan itu dengan ratusan kebohongan. Kemudian manusia mempercayai ramalan bomoh tersebut.

Masyarakat awam sepatutnya berwaspada dalam hal ini sebab bomoh kadang-kadang menzahirkan dirinya sebagai tukang ubat, peramal, ustaz, wali yang mampu melakukan beberapa perkara luar biasa seperti kebal dan lain-lain padahal mereka sebenarnya bukan wali Allah tetapi wali syaitan yang hanya akan merosak akidah umat.

Rasulullah s.a.w. bersabda :

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْئٍ فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ ، لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِيْنَ يَوْمًا

Barangsiapa yang mendatangi bomoh untuk bertanya tentang sesuatu perkara lalu dia membinarkan apa yang bomoh itu katakan, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh hari. ( Riwayat Muslim )

Rasulullah s.a.w. bersabda lagi :

مَنَ أَتَى كَاهِنًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُوْلُ فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ (صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ )

Barangsiapa yang mendatangi bomoh lalu ia mempercayai apa yang bomoh itu katakan maka kafirlah ia terhadap apa yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. ( Riwayat Al-Bazzar dengan sanad yang kuat ; berkata al-Haithami perawinya shohih kecuali ‘Uqbah bin Sinan 5/117 ; Muntaqa , 2/791 )

Semoga semua kita terselamat dari kesesatan dan kebahayaan syirik. Perlu diingat, perkara syirik sebegini, sengaja melihat dan menganalisa untuk tujuan ‘suka-suka' juga diharamkan. Ia perlu dijauhi sejauh-jauhnya.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...