Tuesday, September 7, 2010

Walau Ditawar Harta & Diancam Bakaran

 

image

Membaca kisah athar seorang sahabat Nabi sallahu ‘alayhi wassalam, walau nama ini kurang dikenali ini, namun kisah ketabahannya mampu mengalirkan air mata. Beliau adalah Abdullah bin Huzafah Al-Sahmi, direkodkan oleh Imam Az-Zahabi di dalam kitabnya Siyar Al-a'lam Al-Nubala, beliau bersama tentera Islam yang lain ditawan oleh pemerintah Roman. Islam di waktu itu di bawah pemerintahan khalifah Umar al-Khattab r.a.

Kisahnya juga dicatat di dalam sumber-sumber sejarah Islam yang lain seperti Al-Isabah oleh Ibn Hajar, Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Dimash, Ibn ‘Athir dalam Asad Al-Ghabah dan lain-lain.[1]

AURA SAHABAT RASULULLAH

Disebabkan imej Islam yang dibina oleh Rasulullah dan khalifah sebelumnya, terkenal di kalangan musuh-musuh Islam akan kehebatan dan keunikan generasi Islam di zaman itu khususnya para sahabat baginda Nabi s.a.w.

Apabila dimaklumkan kepda raja Roman, bahawa salah seorang dari tentera Islam yang berjaya ditawan adalah dari kalangan sahabat Rasulullah. Raja Roman kegembiraan. Dia gembira kerana berpeluang untuk melihat sendiri susuk tubuh salah seorang dari sahabat nabi yang sering tersebar akan kehebatan dan keluarbiasaan mereka di waktu itu.

Raja roman dicatatkan mengarahkan sahabat tersebut dibawa ke hadapannya.

Raja meminta : "Adakah engkau sudi untuk keluar dari Islam (menjadi Nasrani)? Jika engkau lakukan itu, aku akan menganugerahkanmu sebahagian dari pemilikan harta yang dimiliku"

Abdullah menjawab :

لو أعطيتني جميع ما تملك وجميع ما تملك وجميع ملك العرب ما رجعت عن دين محمد طرفة عين

Ertinya : "Sekiranya engkau memberiku seluruh yang kamu miliki, bahkan jika seluruh yang dimiliki pemimpin arab, TIADALAH akan aku keluar dari agama yang dibawa Nabi Muhammad ini walau untuk jangka waktu sekelip mata"

Akibat dari penolakan itu, Raja Roman telah mengarahkan agar dibawa sebuah tempat azab yang dipenuhi minyak panas mendidih lalu dicampakkan seorang tawanan Muslim ke dalam, hingga kecut, terkeluar tulangnya dan masak dagingnya.

MENANGIS

Kemudian, diarahkan agar Abdullah pula dicampakkan ke dalamnya. Tatkala itu, pegawai raja  melihat Abdullah menangis, lalu mereka dengan segera memaklumkan kepada raja akan hal tersebut.

Raja dan Roman dan pegawai mereka gembira kerana menjangka taktik mereka berjaya untuk mengoncang iman dan pendirian Abdullah yang sebelum ini menolak permintaan Raja.

Namun apabila ditanya semula permintaan yang sama (untuk murtad), jawapan yang sama tetap diberikan oleh Abdullah. Raja Rom merasa pelik dan bertanya sebab tangisannya.

Abdullah menjawab  :

Ertinya : "Ia kerana jiwa ( nyawaku) yang hanya satu ini, sebentar lagi ia akan pergi maka aku menangis kerana mengenangkan betapa aku menginginkan sekiranya aku punyai banyak nyawa sebanyak rambutku ini maka bolehlah engkau lemparkan aku berkali-kali ke dalam api itu, aku ingin gunakan semuanya pada jalan Allah."

Bermakna, Abdullah sebenarnnya menangis bukan kerana takut, tetapi merasa terkilan hanya mempunyai satu nyawa di ketika itu, padahal dia sangat ingin untuk mempunyai lebih banyak nyawa dan tidak bimbang sama sekali mengharungi kematian asalkan ianya untuk Islam, biarpun kematian itu berkali-kali. Yang penting semua kematiannya syahid dan demi memperjuangkan Islam. MashaAllah.!

TERSENTAK

Apabila raja Rom mendengar jawapan Abdullah, dia menjadi amat kagum. Terfikir jika sebelum ini dia hanya mendengar kisah-kisah keajaiban para Sahabat Rasulullah, tetapi kali ini beliau menyaksikannya sendiri di hadapan matanya. Keadaan tersebut menjadikannya merubah pemikiran secara drastik lalu menawarkan Abdullah untuk dibebaskan dengan satu syarat.

Raja Rom mensyaratkan agar Abdullah Huzafah untuk mencium dahinya.

Abdullah bersetuju dengan syarat, semua tawanan Islam yang dianggarkan berjumlah sekitar 80 orang turut dibebaskan bersamanya.

Raja Rom bersetuju.

Apabila pulang ke Madinah, kisah pembebasan tersebut tersebar dan dimaklumkan kepada Umar Al-Khattab selaku khalifah ketika itu. Lalu Umar dengan gembira sambil berkata:

حق على كل مسلم أن يقبل رأس ابن حذافة وأنا أبدأ

Ertinya : Menjadi hak dan tanggungjawab setiap Muslim untuk mencium dahi (kepala) Ibn Huzafah, dan aku akan memulakannya.

Demikian sebuah kisah dari athar sahabat nabi, nilai kualiti iman yang amat mengkagumkan, walau ditawar dengan separuh harta Raja Rom, diugut dengan lontaran ke dalam api dan minyak mendidih, imannya tetap kental, teguh dan maha yakin dengan segala jenis pembalasan kebaikan akhirat. MashaAllah, betapa kerdilnya kita ini berbanding insan-insan didikan baginda nabi.

Lihat sahaja umat Islam di zaman ini, hanya dengan sogokan nilai matawang beberapa ratus, ribu pun  atau kain, beras beberapa kilo sahaja pun telah mampu melayang ketabahan iman seseorang. Apakah sebabnya terlalu jauh kita berbanindg sahabat dan tabi'en? Moga kita dijauhkan dari situasi begitu dan diberi kekuatan untuk membina kekuatan dalaman jika terpaksa menghadapinya di masa hadapan.

KEMATIAN SYAHID SAMBIL MENGISLAMKAN MUSUH

Bayangkan, seorang sahabat bernama Huram bin Mulhan, merupakan pembaca & salah serorang dari kalangan penghafaz Al-Quran yang utama, ketika dia berjuang, ditikam dari belakang oleh musuh. Tatkala melihat tombak yang menembusi dirinya, dia menjerit sambil berkata "aku berjaya, Demi tuhan Ka'bah!"

Dia mati syahid, meninggalkan pembunuhnya iaitu Jabbar Bin Salmi, terpinga-pinga dengan kalimah yang didengari. Puas mencari, jawapan akhirnya ditemui, kesannya musuh tersebut akhirnya memeluk Islam beberapa ketika selepas itu. Hal ini diakui sendiri oleh Jabbar selepas keislamannya.

Itulah sahabat didikan Rasulullah, ambang kematian mereka juga menjadi sebuah dakwah kepada pihak musuh.  Kita sudah hampir dengan Ramadhan, berdoalah kita agar diberikan rezeki untuk meraih segala kebaikan darinya dan mampu mencontohi iman para sahabat ridwanullah alayhim.

[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...