Tuesday, September 21, 2010

Menggapai Amalan Tertinggi

 

Allah SWT telah banyak mengingatkan hamba-Nya akan Taqwa. Terdapat satu ayat yang benar-benar menghembuskan tiupan kesedaran kepada sesiapa sahaja yang masih mempunyai mata hati untuk merenungnya. Allah SWT berfirman:

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang akan diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan” (QS. Al-Hasyr: 18)

Ayat ini khusus ditujukan hanya untuk orang-orang beriman, dimana Allah memerintahkan agar kita takut kepada-Nya dan memikirkan tentang apa yang akan dilakukan pada hari esok dan masa akan datang. Hal ini sangat penting bagi seorang muslim yang beriman, sehingga dia tidak akan membiarkan masanya berlalu begitu sahaja, apatah lagi mengisinya dengan perbuatan yang memaksiati Allah SWT, na’udzubillah min dzalik.

Oleh itu, mari kita lihat perjalanan hidup manusia. Cuba kita bayangkan bahawa kehidupan ini berjalan bagaikan satu garis yang lurus, panjang, dan tidak terputus-putus, yakni tidak berpenghujung. Garis yang sangat panjang itu dibahagikan menjadi 3 bahagian. Bahagian yang paling kecil itu berada di tengah-tengah garisan, malah ianya hanyalah sebesar titik kecil. Garis sebelumnya itu adalah garisan yang sangat panjang yang kita tidak tahu dimanakah permulaan garisan itu. Garisan yang dibahagian terakhir itu adalah garisan yang begitu panjang sehinggakan ianya tidak mempunyai pengakhiran.

Ketahuilah, bahawa garisan panjang dibahagian pertama itu adalah masa ketika kita berada di alam roh dan ketika kita berada di dalam rahim ibu. Garisan di bahagian kedua yang sangat pendek itulah yang mewakili kehidupan kita di dunia, yang menunjukkan kehidupan kita di dunia ini pada hakikatnya sangat singkat! Garisan di bahagian ketiga yang tidak berpenghujung itu pula adalah masa setelah kita meninggalkan dunia ini, masa penentuan dimana kita akan ditempatkan samada di syurga mahupun neraka. Setelah manusia mati, Jika dia gagal dalam kehidupannya di dunia, maka dia akan menderita, tersiksa, teraniaya, untuk selama-lamanya. Namun, apabila dia berhasil dalam kehidupannya di dunia, maka dia pasti akan bahagia untuk selama-lamanya.

Seharusnya kita sedar bahawa hidup ini hanyalah sekali, dan ia tidak mungkin akan dapat diulang lagi. Sekiranya seorang pelajar yang gagal di dalam peperiksaan, dia pasti akan merasakan perasaan yang malu dan sedih di atas sebab dia mensia-siakan masa lapang ketika dia mempunyai peluang untuk mengulangkaji pelajaran. Walau sedalam mana sekalipun kesedihan pelajar itu, dia masih mampu untuk berusaha kembali dan mengulang kembali peperiksaan itu sehingga dia beroleh keputusan yang cemerlang. Namun, sekiranya seseorang yang membuat banyak maksiat telah mati tanpa bertaubat dan kemudiannya dihadapkan di hadapan Allah untuk diputuskan oleh-Nya neraka, apakah dia masih boleh untuk meminta ditangguhkan keputusan itu dan kembali mengulang kehidupan di dunia sekali lagi? Ingatlah, bahawa sesungguhnya kehidupan di dunia ini benar-benar singkat. Hal ini dikhabarkan oleh Allah SWT:

“Pada hari mereka melihat hari kebangkitan itu, mereka merasa seakan-akan tidak tinggal (di dunia) melainkan (sebentar saja) di waktu petang atau pagi hari” (QS. An-Nazi’at: 46)

Selama ini kita merasakan bahawa umur kita masih panjang lagi, kerana kita merasakan bahawa kita masih muda dan masih mempunyai masa yang lama untuk bertaubat. Sedangkan Allah mengingatkan bahawa kehidupan di dunia itu bagaikan sepetang atau sepagi sahaja, tidak sampai satu hari pun!

Rata-rata umur umat nabi Muhammad saw itu hanyalah sekitar 60 tahun sahaja. Dengan masa yang panjang sebanyak 60 tahun itu, apakah kita dapat menggunakan kesemuanya untuk beribadat? Tidak sama sekali. Maka kita harus menolaknya dengan 15 tahun dahulu ketika kita masih belum baligh dan berada di zaman kanak-kanak. Dalam tempoh masa ini, kita tidak akan dihisab. Baki sebanyak 45 tahun itu hendaklah kita tolak dengan masa kita tidur. Kebanyakan manusia itu tidur sebanyak 8 jam sehari. Di dalam sehari ada 24 jam, maka sedar tak sedar, kita sebenarnya telah menghabiskan 1/3 kehidupan kita hanya dengan tidur semata-mata! 1/3 daripada 45 tahun itu bersamaan 15 tahun. Maka kita akan menghabiskan masa sebanyak 15 tahun hanya untuk tidur. Oleh itu, mereka yang membuang masa dengan tidur tanpa melakukan pekerjaan yang bermakna itu adalah orang yang sia-sia. 45 tahun itu sekiranya ditolak 15 tahun tempoh tidur itu berjumlah 30 tahun. Maka sebenarnya kita hanya akan dipertanggungjawabkan oleh Allah untuk tempoh 30 tahun ini sahaja di dunia!

Persoalannya, apakah kita benar-benar menggunakan keseluruhan 30 tahun ini untuk beribadat kepada Allah? Kebanyakan pelajar hari ini menghabiskan masa mereka dengan bermain game, internet, bola sepak, melepak, berkaraoeke, tidur di siang hari, malah melakukan maksiat melihat pornografi, melakukan pergaulan bebas (couple), merempit, dan banyak lagi kemaksiatan yang lain! Bagaimanakah keadaannya kita di akhirat kelak?

Sesungguhnya, di hari akhirat kelak, setiap manusia akan mengalami penyesalan yang benar-benar dahsyat. Tidak akan ada seorang pun yang terlepas daripada penyelesalan tersebut. Terdapat empat jenis kelompok orang yang menyesal:

1. Kelompok yang PALING BERAT penyesalannya
2. Kelompok yang BERAT penyesalannya
3. Kelompok yang RINGAN penyesalannya
4. Kelompok yang PALING RINGAN penyesalannya

Kelompok pertama yang paling berat penyesalannya itu ialah orang-orang kafir yang telah menolak Islam, menolak Allah sebagai Tuhannya, dan memerangi serta membunuh orang-orang Islam. Merekalah golongan yang mengalami penyesalan yang sangat dahsyat kerana dihumban ke dalam api neraka yang menyala-nyala. Kelompok kedua ialah orang yang berat penyesalannya. Mereka ini adalah orang Islam yang banyak melakukan dosa dan maksiat, mereka ini ketika masih hidup di dunia sering melakukan dosa walaupun dia sedar akan perbuatannya itu termasuk dalam dosa, namun masih mempertuhankan hawa nafsu sekaligus membuang keimanannya ke tong sampah. Mereka ini akan dimasukkan ke dalam neraka juga. Kelompok ketiga ialah orang yang ringan penyesalannya. Mereka ini adalah orang-orang yang dimasukkan ke dalam syurga, tetapi masih menyesal juga kerana berada di dalam syurga yang berada di tingkat yang paling bawah. Mereka bertanya kepada diri mereka sendiri,

“Seandainya aku menambahkan lagi amalan solat malam aku, pasti Allah akan mengganjarkan lebih lagi!”

Kelompok yang paling ringan penyesalannya ialah mereka yang berada di dalam syurga, tetapi tidak di tingkat syurga yang tertinggi, iaitu di tempat para anbiya’ dan syuhada’ ditempatkan.

“Penghulu syuhada adalah Hamzah ibn Abi Thalib dan seseorang yang berdiri di hadapan penguasa yang jahat dan zalim, lalu menyerunya berbuat baik dan mencegahnya berbuat mungkar, kemudian ia dibunuh (oleh penguasa tersebut)” [HR Hakim].

Persoalan timbul lagi, dalam umur yang sangat singkat ini, bagaimanakah kita mampu untuk melakukan ibadat yang sebanyak mungkin untuk menampung kehidupan di akhirat yang selama-lamanya dan tidak akan berpenghujung? Bagaimanakah caranya agar kita dapat memiliki amal yang sebanyak-banyaknya? Bahkan, amal yang dapat melampaui umur kita sendiri…?

“Sesungguhnya kami menghidupkan orang-orang mati dan kami menuliskan apa yang telah mereka kerjakan dan ‘bekas-bekas’ yang mereka tinggalkan. Dan segala sesuatu kami kumpulkan dalam Kitab Induk yang nyata (Lauh mahfuzh)” (QS. Yasin: 12)

Ayat di dalam surah Yasin ini menerangkan bahawa ada dua perkara yang akan menjadi bekalan kita di hadapan Allah kelak. Iaitu amalan yang kita lakukan sebelum kita mati, dan juga ‘bekas-bekas’ yang kita tinggalkan. ‘Bekas-bekas’ inilah yang akan membantu kita mendapatkan sebanyak mungkin pahala! Apakah ‘bekas-bekas’ itu?

“Barang siapa yang mengajak pada petunjuk, maka baginya adalah pahala orang yang mengikuti ajakannya, tanpa dikurangi sedikitpun dari pahala mereka. Dan barang siapa yang mengajak pada kesesatan, maka baginya menanggung dosa seperti dosa orang-orang yang mengikuti ajakannya itu, tanpa dikurangi sedikitpun dari dosa mereka itu” (HR. Muslim)

Orang yang mengajak kepada petunjuk itu adalah orang yang mengajak kepada kebaikan amar ma’ruf nahi munkar, iaitu orang yang melaksanakan dakwah. Apabila orang yang diajarkan itu mangamalkannya, maka pahala itulah yang akan menjadi ‘bekas-bekas’ yang kita tinggalkan. Bayangkan, sekiranya orang yang kita dakwahkan itu mendakwahkan kepada 100 orang lagi, kemudian 100 orang itu mendakwahkan kepada 1000 orang lagi, tentu pahala itu akan menjadi berlipat kali ganda. Malah, pahala itu akan terus kita dapat selagi mana orang mengamalkan ilmu yang diajarkan oleh kita itu masih hidup.

Lihatlah bagaimana dakwah yang telah dihasilkan oleh pendahulu kita. Para wali songo, adalah antara orang-orang yang pertama menyebarluaskan Islam di Tanah Jawa yang mana saat ini terdapat 200 juta umat Islam di situ! Maka pahala sebanyak 200 juta orang itu akan mengalir kepada wali songo sehingga ke hari kiamat! Jika sekarang ramai orang yang mengamalkan kitab yang ditulis Imam Syafie, berapa banyakkah pahala yang akan diterima oleh beliau? Jika pada hari ini terdapat 1.57 billion umat Islam, siapakah yang akan turut mendapatkan pahala yang mengalir itu? Rasulullah SAW dan para sahabat, kerana merekalah orang-orang yang pertama mengembangkan ajaran Islam keseluruh dunia. Maka, bagaimana dengan kita? Mungkinkah kita mengikut jejak-langkah mereka? InsyaALLAH, asalkan kita memiliki amalan yang besar dan agung sebagaimana para sahabat Rasulullah SAW. Apakah amalan itu?

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah” (QS. Ali Imran: 110)

‘Kamu’ di dalam ayat diatas merujuk kepada para sahabat kerana mereka adalah orang-orang yang menyuruh kepada ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar. Walaubagaimanapun, kita juga boleh menjadi orang yang termasuk di dalam ayat itu sekiranya kita juga melakukan perkara yang sama. Kerana kaedah syara’ menyatakan,

“Al-‘ibroh bi ‘umum al-lafdzi la bi khususi sabab” (“Pengajaran itu diambil dari segi keumuman lafaznya, bukan kerana kekhususan sebab.”)

Maka sekiranya kita cuma berfikir untuk berdakwah pada keluarga kita, maka pahala yang akan kita dapat itu pasti sekitar keluarga kita sahaja. Tetapi sekiranya kita juga berfikir untuk berdakwah kepada rakan-rakan kita, pastinya pahala yang akan kita dapatkan itu sekitar rakan-rakan kita. Sekiranya kita berfikir untuk berdakwah di surau kita, pastinya pahala itu sekitar orang-orang yang datang ke surau sahaja. Sekiranya kita berfikir untuk berdakwah di kampus kita, pastinya pahala itu sekitar di kampus sahaja. Sekiranya kita berfikir untuk berdakwah di Malaysia, pastinya pahala itu sekitar penduduk Malaysia berjumlah 27 juta sahaja. Tetapi, sekiranya kita berfikir untuk berdakwah ke seluruh dunia, maka pastilah pahala itu akan didapatkan sebanyak yang kita usahakan! Maka, yang terbaik adalah menjadi pemimpin kepada orang-orang yang mendakwahkan Islam ke seluruh dunia secara global!

Bagaimanakah kita mahu memimpin dunia, sedangkan pada saat ini, kuffar barat Amerika yang menguasai dunia dan membantai habis-habisan umat Islam? Kuffar barat Amerika menguasai dunia dengan undang-undang demokrasi yang mereka bawa hingga ke Afghanistan, Iraq dan seluruh dunia dalam usaha mereka mendominasi dunia! Maka apakah yang tinggal pada umat Islam saat ini? Apakah umat Islam yang memimpin dunia dan menebarkan cahaya Islam ke seluruh dunia pada saat ini? Tidak! Maka sudah tiba saatnya untuk umat Islam berfikir tinggi, untuk menyatukan kembali umat Islam diseluruh dunia dengan cara membuangkan pemikiran kebanggaan kepada bangsa sendiri, kerana umat islam itu hanya disatukan dengan aqidah Islam, bukan dengan ikatan nasionalisme.

Umat Islam pernah menjadi pemimpin dunia pada satu masa dahulu, selama 1300 tahun di bawah negara yang bergelar Daulah Khilafah. Daulah Khilafah ini telah dipimpin oleh para Khulafa’ Ar-Rasyidin, para Khalifah ‘Abbasiyyah, Umayyah, dan ‘Uthmaniyyah. Daulah Khilafah ini telah dihancurkan pada tahun 1924 oleh pengkhianat Mustafa Kamal la’natullah ‘alaih dengan bantuan penjajah kuffar British dan pemberontak raja Arab Saudi. Mulai daripada tanggal keruntuhan Daulah Khilafah itulah, umat Islam dipecahkan menjadi 57 buah negara yang kecil dan dihadiahkan kemerdekaan yang palsu sehingga masing-masing berbangga dengan negara mereka yang kecil dan lemah. Ketika umat Islam telah hilang kesatuan mereka itulah kuffar menceroboh masuk ke tanah Palestin, Iraq, Afghanistan, Kashmir dan banyak lagi tempat kerana mereka tahu bahawa kaum muslimin tidak akan pernah membantu antara satu sama lain. Kerana apa? Kerana mereka telah hilangnya kepimpinan tertinggi Islam, iaitu Daulah Khilafah. Sebuah Negara yang akan menerapkan hukum-hukum serta undang-undang Islam, dan bukan lagi demokrasi, sebuah negara yang akan melindungi harta, darah, dan nyawa umat Islam! Sudah tiba masanya umat Islam menggiatkan dakwah agar dapat meraih amalan dan kepimpinan tertinggi!

Sampai bilakah umat Islam akan terus tertindas? Sampai umat Islam bangkit, untuk berjuang bersama-sama menegakkan kepimpinan tertinggi umat Islam, iaitu Daulah Khilafah yang akan menerapkan syariat Islam. Allahu Akbar!

[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...