Wednesday, February 29, 2012

Risalah Injil Kuno Dijumpai - Jesus Meramalkan Kedatangan Nabi Muhammad saw



Naskah Injil berusia 1500 tahun yang menceritakan ajaran Jesus dan kedatangan Nabi Muhammad saw.

Kerajaan Turki telah mengesahkan sebuah injil kuno yang dijangka berusia 1500 tahun. Injil kuno tersebut adanmenyatakan ramalan kedatangan Nabi Muhammad SAW sebagai penerus risalah Nabi Isa (Jesus) di bumi.


Paus Benedict XVI mengaku ingin melihat sendiri Injil kuno ini.

Bahkan Injil ini mencetuskan minat yang serius dari kalangan orang besar Vatican. Paus Benedict XVI mengaku ingin melihat buku 1,500 tahun yang lalu ini. Kebanyakan orang ramai mengjangkakan Injil ini adalah Injil Barnabas, yang telah disembunyikan oleh Turki selama 12 tahun iaitu bermula pada tahun 2000.




Tulisan berharga 14 juta pound yang menggunakan bahasa Aramik (bahasa pertuturan Jesus)

Menurut Mailonline, injil yang ditulis tangan menggunakan dakwat emas itu menggunakan bahasa Aramik. Inilah bahasa yang dipercayai digunakan Jesus sehari-hari dalam kehidupannya di dunia. Di dalam injil ini juga diperjelaskan ajaran asli Jesus serta ramalan kedatangan nabi terakhir selepas Nabi Isa.


Kawasan pengguaan bahasa Aramik dan lain-lain bahasa

Injil kuno berusia 1,500 tahun ini yang menggunakan kulit haiwan, ditemui polis Turki semasa operasi anti penyeludupan pada tahun 2000 lalu. Injil kuno ini sekarang di simpan di Muzium Etnografi di Ankara, Turki.


Muzium Etnografi di Ankara, Turki yang menyimpan Injil Kuno ini

Menteri Budaya dan Pelancongan Turki, Ertugrul Gunay mengatakan bahawa buku tersebut boleh menjadi versi asli dari Injil. Injil ini juga boleh mengakibatkan keyakinan Gereja Kristian yang menganggap Nabi Muhammad saw bukanlah penerus dan melengkapkan lagi ajaran yang dibawa oleh Nabi Isa as terhapus sama sekali tanpa boleh disangkal lagi.

Gunay juga mengatakan pihak Vatican telah membuat permintaan rasmi untuk melihat kitab dari teks yang kontroversi ini menurut keyakinan Kristian. Kitab ini berada diluar pandangan agama Kristian seperti dari pandangan kitab Injil yang lain seperti Markus, Matius, Lukas dan Yohanes.

Tuesday, February 28, 2012


Monday, February 27, 2012


Thursday, February 23, 2012


Wednesday, February 22, 2012


Tuesday, February 21, 2012


Monday, February 20, 2012


Saturday, February 18, 2012


Tuesday, February 14, 2012

Kenapa aku di uji?


Monday, February 13, 2012

ORANG-ORANG YANG DICINTAI ALLAH DAN DIKASIHI-NYA



Di dalam hadith-hadith ada dikemukakan ciri-ciri orang yang dicintai dan dikasihinya.


1. Orang yang teliti dan tekun.


"Sesungguhnya Allah mencintai dan mengasihi orang yang bila mengerjakan sesuatu, selalu memperbaguskan / menyempurnakan perbuatannya."


2. Orang yang selalu memberikan bantuan kepada orang yang malang.


"Sesungguhnya Allah suka kepada orang yang membantu orang yang kemalangan"


3. Orang yang lemah lembut.


"Sesungguhnya Allah menyukai lemah-lembut dalam segala urusan (baik perbuatan, ucapan, pergaulan dan sebagainya)."


4. Peramah


"Sesungguhnya Allah menyukai yang mudah dan ringan dalam perkataan dan perbuatan (manis muka dan ramah tamah)"


"Sesungguhnya orang-orang yang paling Aku cintai di antara kamu dan dekat kedudukannya kepada Ku pada hari kiamat ialah orang-orang yang paling baik akhlaknya dan rumahnya sering dikunjungi, yang ramah tamah dan disukai orang. Dan orang yang paling Aku benci dan jauh kedudukannya dari Ku pada hari kiamat ialah orang yang cakap besar (yang suka bercakap dan di dalam percakapannya banyak mengumpat dan mencerca orang lain), yang besar kepala dan sombong"


5. Orang yang taat.


"Sesungguhnya Allah menyukai pemuda yang menghabiskan masa mudanya dalam ketaatan kepadaNya."


6. Orang yang mempunyai pekerjaan.


"Sesungguhnya Allah mengasihi hambaNya yang mukmin dan memepunyai perusahaan/pekerjaan."


7. Orang yang rendah hati.


"Sesungguhnya Allah menyukai hambaNya yang bertakwa lagi kaya tetapi tidak menonjolkan diri atas kekayaanNya."


8. Orang yang selalu mengulangi doanya.


"Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bersungguh-sungguh dalam berdoa."


9. Orang yang menunaikan fardu dan sunat.


"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang menunaikan keringanan yang telah ditetapkan, (seperti 'rukhsah' dalam perjalanan jauh), sebagaimana juga Dia menyukai orang-orang yang melaksanakan apa-apa yang telah ditetapkanNya 'azimah'."


10. Orang yang mensyukuri nikmat.


"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang memperlihatkan nikmatNya kepada hambaNya (misalnya nikmat ilmu yang diamalkan)."


11. Orang yang fanatik terhadap keyakinannya.


"Sesungguhnya Allah mencintai hamba-hambaNya yang cemburu (untuk menegakkan dan membela AgamaNya), bukan cemburu kerana buruk sangka tanpa ada kecurigaan atau keraguan."


12. Orang yang tidak banyak cakap.


"Sesungguhnya Allah menyukai jual beli yang mudah dan toleransi, dan pembayaran yang mudah serta toleran."


13. Orang penyantun.


"Sesungguhnya Allah menyukai hambaNya yang mukmin, yang fakir tetapi sopan, menjaga harga diri dan mempunyai tanggungan."


14. Wanita yang tidak mandul.


"Wanita yang melahirkan anak lebih dicintai Allah daripada wanita yang cantik tetapi mandul. Sesungguhnya Aku bangga dengan umatKu pada hari kiamat."


15. Orang yang mengutamakan hal-hal yang penting.


"Sesungguhnya Allah menyukai urusan-urusan yang tinggi nilainya lagi mulia dan tidak menyukai urusan yang hina dan rendah martabatnya."


16. Orang yang memuji syukur kepadaNya.


"Sesungguhnya Allah suka untuk dipuji."


17. Orang yang mencintai anaknya.


"Sesungguhnya Allah menyukai kamu berlaku adil diantara sesama anak-anak kamu hingga mencium mesra."


18. Orang yang berakhlak tinggi.


"Sesungguhnya Allah itu indah, dan menyukai keindahan."

"Dia Maha Pemurah menyukai kemurahan, Dia menyukai ketinggian akhlak (budi pekerti) dan tidak suka kepada akhlak yang rendah."


19. Orang yang kuat imannya.


"Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih disukai daripada orang mukmin yang lemah, tetapi pada masing-masing ada kelebihannya."


20. Orang yang pemaaf.


"Sesungguhnya Allah itu pemaaf, Dia suka memaafkan."


21. Orang yang kekal dalam kebiasaannya yang baik.


"Amal perbuatan yang disukai Allah ialah yang kekal dilakukan meskipun sedikit."


22. Orang yang suka memberi nasihat.


"Sesungguhnya hamba-hambaNya yang paling disukai Allah ialah yang banyak memberikan nasihat kepada hamba-hambaNya yang lain."


23. Orang yang suka berbuat kebajikan.


"Sesungguhnya hamba-hamba yang paling disukai Allah ialah orang yang suka kepada kebajikan dan suka melakukannya."


24. Penguasa yang adil.


"Sesungguhnya orang yang paling disukai Allah pada hari kiamat dan dekat kedudukannya pada Allah ialah Raja (penguasa) yang adil. Dan orang yang sangat dibenciNya dan jauh kedudukan dariNya ialah Raja (penguasa) yang zalim (suka menganiaya)."


25. Nama yang baik.


"Sesungguhnya nama-nama yang disukai Allah ialah Abdullah dan Abdul Rahman."


26. Orang yang sembahyang, berbakti kepada orang tua dan berjihad.


"Perbuatan yang paling disukai Allah ialah sembahyang pada waktunya, kemudian berbakti kepada ibu bapa, kemudian berjihad fisabilillah."


27. Orang yang selalu berzikir kepada Allah.


"Perbuatan yang paling disukai Allah ialah di saat engkau meninggalkan dunia lidahmu basah kerana berzikir kepada Allah (orang yang suka berzikir terus menerus hingga saat kematiannya)."


28. Orang yang suka menolong sesama manusia.


"Perbuatan yang paling dicintai Allah ialah suka memberi makan orang yang miskin yang kelaparan, atau orang yang suka membayarkan hutang orang lain atau orang yang suka melapangkan musibah (kesusahan) orang lain."


29. Orang yang selalu menggembirakan sesamanya.


"Perbuatan yang paling disukai Allah, (setelah menunaikan segala perkara yang fardu) ialah mendatangkan kegembiraan dan kesenangan kepada sesama Muslim."


30. Orang yang tidak lancang berbicara.


"Perbuatan yang lebih disukai Allah ialah menjaga lidah (jangan lancang berbicara)."


31. Orang yang perbuatannya didasarkan kerana Allah.


"Perbuatan yang lebih disukai Allah ialah kasih atau senang kerana Allah dan benci atau tidak suka kerana sesuatu kerana Allah."


32. Orang yang diberi nama "Hamba Allah".


"Nama-nama yang disukai Allah ialah nama yang menyatakan penghambaanNya (yang dimulai dengan Abdul, seperti Abdullah dan sebagainya). Dan nama-nama yang lebih benar ialah Hammam atau Humam dan Haris.


33. Tempat yang dicintai Allah.


"Bahagian negeri yang lebih dicintai Allah ialah masjidnya dan yang dibencinya ialah pasarnya."


34. Orang yang ucapan dan kata-katanya baik.


"Jihad (menegakkan Agama Allah) yang lebih disukai Allah ialah ucapan (nasihat) yang benar yang disampaikan kepada seorang Raja (penguasa) yang aniaya dan tidak adil.

"Cerita (percakapanya) yang lebih Aku sukai ialah yang benar / yang lebih benar."

"Perkataan (ucapan) yang lebih disukai Allah ialah Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akhbar, La ilaha illallah, tanpa mengira yang mana satu didahulukan."


35. Orang yang memiliki ketrampilan (kecekapan).


"Permainan yang melalaikan yang lebih disukai Allah ialah berlatih menunggang kuda dan ketrampilan (kecekapan) memanah."


36. Orang yang memberikan bantuan belajar.


"Hamba-hamba yang lebih disukai Allah ialah yang lebih banyak memberikan manafaat kepada tanggungannya (menyara mereka, menyuruh belajar serta mendidiknya)."


37. Orang yang berakhlak luhur.


"Hambanya yang lebih disukai Allah ialah yang lebih tinggi akhlaknya."


38. Rumah penginapan dan pendidikan anak yatim.


"Diantara rumah-rumah kamu yang lebih disukai Allah ialah rumah yang didalamnya terdapat anak yatim yang dikasihi dan dididik sebagaimana semestinya."

"Zuhudlah di dalam dunia (nescaya) engkau dicintai Allah, dan zuhud terhadap apa-apa yang ada ditangan orang lain nescaya orang lain akan kasih kepadamu."

Thursday, February 9, 2012

TIPS LAHIR DIRI SEBAGAI ISTERI SOLEHAH



Daripada Ummu Salamah, isteri Nabi SAW, katanya(di dalam sebuah hadis yang panjang):

Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Adakah wanita di dunia lebih baik atau bidadari?”

Baginda menjawab, “Wanita di dunia lebih baik daripada bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik daripada yang batin.”

Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Bagaimanakah itu?”

Baginda menjawab, “Dengan solat, puasa dan ibadat mereka kepada Allah, Allah akan memakaikan muka-muka mereka dengan cahaya dan jasad mereka dengan sutera yang berwarna putih,berpakaian hijau dan berperhiasan kuning….(hingga akhir hadis)” (riwayat al-Tabrani)


1. Mainkan setiap peranan isteri dengan seimbang iaitu sebagai isteri, kekasih, kawan, penyokong, perangsang, penasihat, pendengar, pendidik dan pendoa.

2. Sentiasa taat kepada semua suami dalam semua hal yang dibenarkan oleh syarak. Tetapi isteri tidak perlu taat dalam hal yang melibatkan kemungkaran.

3. Layan setiap keperluan suami dengan saksama terutama keperluan seksual. Bagi suami, hubungan seks adalah bukti dan kaedah mengeratkan kasih sayang yang penting.

4. Fahami kerenah suami dan banyak bersabar. Gunakan gerak hati yang sedia ada dalam diri wanita bagi memahami kehendak dan pengharapan suami tanpa perlu disebut.

5. Didik suami berkenaan apa yang anda harapkan secara hikmah. Adakalanya anda kena berpesan kepada suami sehingga 200 kali untuk dia faham dengan jelas. Sabar apabila memberi pesanan kepada suami.

6. Berhias dan pastikan anda sentiasa kemas serta menawan untuk suami. Bincang dengan suami cara penampilan yang dia gemari. Lakukan mengikut kehendaknya.

7. Maafkan suami dan orang lain setiap malam sebelum tidur dan minta maaf daripada suami. Kemaafannya mencuci hati, menyembuhkan sakit, mencantikkan wajah, menarik sayang dan memakbulkan doa.

8. Doakan suami setiap masa. Doa mengeratkan roh anda dengan roh suami. Seterusnya membentuk kasih sayang yang mendalam dan berkekalan.

9. Pastikan anda melebihkan suami daripada ibu bapa ataupun orang lain. Tetapi pastikan anda bersopan santun terhadap ibu bapa supaya mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat.

10. Berbahagialah apabila melahirkan anak seramai yang munasabah. Asuh dan didik anak sebaik mungkin. Jangan terlalu mengharapkan orang lain mendidik anak anda.

11. Pastikan anda meminta izin suami setiap kali keluar dari rumah ataupun dapatkan keizinan dalam jangka masa panjang. Keluar rumah tanpa izin adalah berdosa.

12. Elakkan daripada menjadi queen control. Nabi menyatakan, suami yang terpaksa taat kepada isterinya akan binasa dan rumahtangga akan musnah.

13. Pandang suami dengan lemah lembut, senyum, kata yang manis, sentuhan, dengar cakapnya dan peluk dia semasa pergi dan balik kerja.

14. Temankan suami makan walaupun anda sudah makan. Ramai suami rasa terbiar apabila terpaksa makan bersendirian selalu. Amalkan makan bersama suami.

15. Sesekali mandi bersama suami. Ini dapat mengeratkan kasih sayang dan keakraban antara suami dan isteri. Mandi bersama adalah sunah.

16. Rawat suami dengan penuh kasih sayang apabila sakit. Sentuhan dan kata-kata manis yang positif bertindak sebagai ubat yang mujarab.

17. Mengalahlah kepada suami bagi perkara yang harus. Suami rasa kecewa dan kurang berwibawa apabila isteri melawan atau enggan patuh arahan. Ini menyebabkan suami stres.

18. Tutup diri anda daripada sebarang lelaki lain. Pastikan anda menutup aurat dengan sempurna untuk kejayaan dunia dan akhirat.

19. Cintai suami sepenuhnya dan senangkan hati suami. Suami anda adalah lelaki terbaik buat anda mengikut perancangan Tuhan. Dan anda adalah wanita terbaik bagi suami anda.

20. Jaga rahsia suami. Ada isteri yang tanpa sedar menceritakan keburukan suami kepada kawan ataupun ahli keluarga lain. Perbuatan ini salah dan berdosa.

21. Tuhan tidak memandang isteri yang tidak berterima kasih atas kebaikan suaminya. Justeru, berterima kasihlah atas kebaikan yang suami lakukan.

22. Kebanyakan penghuni neraka adalah wanita kerana ramai wanita yang menyumpah seranah dan tidak bersyukur kepada suami mereka. Elak daripada khianat atau sabotaj suami.

23. Elakkan daripada menyakiti hati suami dengan bertindak malas, melawan, menghina, komplen, menghambakan suami, sombong ataupun buat perkara yang suami larang.

24. Jangan menerima tetamu yang bukan muhrim semasa suami tiada di rumah. Ini amalan yang bakal menghancurkan rumahtangga.

25. Kejutkan suami untuk sembahyang malam dan isteri juga turut sama melakukan sembahyang malam. Ia adalah amalan yang menarik hidayat dan menerangkan kubur.

26. Dalam kes berpoligami, jangan menyuruh suami menceraikan madu anda. Ini kesalahan yang amat besar. Belajarlah bersabar dan berkongsi dengan aman.

27. Isteri yang meminta cerai tanpa alasan yang sail, tidak akan masuk syurga. Justeru, jangan meminta cerai apabila tiada alasan yang dibenarkan syarak.

28. Benteng diri daripada gangguan syaitan dengan membaca basmalah, ta’awuz, ayat kursi, sembahyang 5 waktu, sentiasa dalam keadaan berwuduk dan baca Fatihah dengan ayat 3 ‘Qul’.

29. Kekalkan sifat malu dalam diri wanita. Sifat malu untuk lelaki itu baik. Sifat malu untuk wanita itu sangat baik. Wanita yang hilang sifat malu jatuh martabat dan maruah diri.

30. Apabila suami balik kerja, beri dia rehat 30 minit sebelum bertanya pelbagai soalan. Sampaikan berita yang baik dan kurangkan berita yang buruk.

31. Jadikan Quran sebagai teman dalam menghadapi masalah, gelisah dan sakit. Amalkan juga sembahyang isyrak dan dhuha.

32. Taubat sekarang sebelum terlambat. Pohon maaf daripada suami setiap masa kerana biasanya suami mati dahulu daripada isteri.

33. Jauhi perasaan buruk sangka terhadap suami, mertua, ipar duai, jiran dan orang lain. Apa yang kita sangkakan itu bertindak sebagai doa dan mungkin berlaku.

34. Bersangka baik dengan semua ketentuan Tuhan. Apa yang Tuhan tentukan adalah terbaik untuk kita dan untuk semua orang di sekitar kita. Orang jahil tak nampak hakikat ini.

35. Penuhi semua hak Tuhan. Apa yang Tuhan suruh, lakukan semuanya. Apa yang dilarang jauhi sepenuhnya. Apa yang Tuhan beri kita terima dengan redha dan syukur.

36. Kenal pasti punca yang menyebabkan kita marah. Adakah kita terlalu sensitif, gangguan, tertekan, tidak dihargai, orang ambil hak kita, masalah rumahtangga dan sebagainya. Selepas mengetahui punca, mudah kita mengatasi masalah.

37. Fahami kesan marah. Wajah hodoh, sakit jantung, darah tinggi, selesema, jangkitan virus, tulang rapuh, mati syahwat, hancur rumahtangga. Justeru, kawal marah.

38. Bergaul dengan orang yang baik-baik. Cari kawan baru. Orang yang mempunyai ramai kawan baik tidak gagal di dunia dan akhirat. Bagi mendapatkan kawan baik, jadilah kawan yang baik.

39. Buat undang-undang di rumah. Apabila suami marah, kita diam dan bersabar. Apabila kita marah, suami diam, sabar dan pujuk kita. Mengalah tanda orang yang hebat dan matang.

40. Ubat hati yang berkarat dengan solat taubat, istighfar, baca Quran, sedekah, minta maaf, maafkan semua orang, beri orang makan dan berkawan dengan orang alim ataupun yang baik-baik.

41. Sambut suami setiap masa dengan cara yang menyenangkan. Berhias diri dahulu sebelum membuka pintu menyambut kepulangan suami. Beri air dan picit tengkuk dan bahu suami setiap petang.

42. Suara yang lunak dapat mengubat jiwa dan merawat tekanan yang dihadapi suami. Indahkan dan lembutkan suara setiap kali bercakap dengan suami.

43. Apabila melakukan hubungan seks dengan suami, pamerkan yang terbaik. Seboleh bolehnya penuhi kehendak suami. Suami rasa amat kecewa dan terluka apabila kehendaknya ditolak.

44. Redakan marah suami dengan hikmah. Jangan menjawab walaupun kita betul. Terangkan hal sebenar apabila suami sudah reda. Rumahtangga hancur apabila suami isteri sama-sama ego.

45. Sentiasa muliakan keluarga suami. Layan mereka seperti keluarga sendiri. Apabila kita sayang suami, kita wajib memuliakan orang yang suami kita sayang.

46. Cemburu itu sifat orang yang beriman dan tanda sayang. Tetapi cemburu yang berlebihan buat suami serba-salah dan tertekan. Apabila terasa cemburu terus berdoa supaya Tuhan selamatkan rumahtangga kita.

47. Isteri mithali mengawal diri daripada melakukan sebarang dosa besar. Dosa kecil yang diulang-ulang menjadi dosa besar. Segera bertaubat apabila melakukan dosa.

48. Jangan benarkan kemungkaran berlaku dalam rumahtangga kita. Pesan pada diri dan ahli keluarga supaya menghindari kemungkaran. Apabila melakukan kemungkaran, hidayat Tuhan tidak turun ke rumah kita.

49. Amalan harian terbaik isteri mithali adalah sembahyang taubat, istighfar 70 kali, sembahyang hajat, memaafkan semua orang, bersangka baik kepada semua orang dan doakan keluarga dan semua jiran kita.

50. Seimbangkan hidup dengan membersihkan hati, membetulkan amalan, berkawan dengan orang yang baik, jaga solat, berkatkan rezeki, riadah dan buat semua perkara sebaik mungkin

Wednesday, February 8, 2012

MASJID NABAWI

Masjid Nabawi merupakan masjid pertama yang didirikan oleh Nabi Muhammad s.a.w setelah penghijrahan baginda berserta para sahabat dan pengikut setia ke Madinah. Masjid tersebut dibangunkan pada bulan Rabiulawal tahun pertama Hijrah bersamaan September 622 Masihi. Pada masa Nabi s.a.w dan Khulafa ar-Rasyidin, masjid itu berfungsi sebagai tempat beribadah (solat), menuntut ilmu dan musyawarah bagi melaksanakan kegiatan kemasyarakatan. Kini masjid tersebut berdiri megah, dengan lebih daripada 230 tiang setinggi 5 meter dan memiliki 10 buah menara, enam di antaranya setinggi 99 meter. Dengan berkembangnya Islam di dunia, Masjid Nabawi mengharumkan kota Madinah al-Munawwarah (kota penerang dunia dengan ajaran Islam). Hingga kini, jemaah haji sering berziarah ke makam Nabi Muhammad s.a.w yang terletak di dalam kompleks masjid tersebut.

Selain itu, terdapat makam Saidina Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab. Pada bahagian lain, terdapat taman (raudah), di antara bekas rumah Nabi s.a.w dengan mimbar yang ditandai dengan tiang-tiang berwarna putih. Di tempat inilah jemaah haji dan umrah melakukan solat, wajib atau sunat, sesuai dengan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Di antara bilikku dengan mimbarku terletak sebuah taman di antara taman-taman syurga.” (Anas bin Malik)

Masjid Nabawi memiliki keutamaan dan keistimewaan tersendiri berbanding masjid-masjid lain. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Solat di masjidku lebih utama daripada seribu kali solat di tempat lain kecuali di Masjidil Haram. Dan solat di Masjidil Haram lebih utama seratus ribu kali daripada solat di tempat lain.” (Riwayat Ahmad)

Pada awalnya, Masjid Nabawi hanya berukuran 70 x 60 hasta (1 hasta bersamaan lebih kurang 61 cm). Lalu Nabi s.a.w memperluaskan masjid itu ke sebelah timur, barat dan utara sehingga menjadi 2,475 meter persegi. Saidina Umar al-Khattab (581-644 M) memperluaskan lagi masjid tersebut menjadi 140 x 120 hasta dan menambah tiga pintu; dua pintu di sebelah utara dan sebuah pintu untuk jemaah wanita di sebelah timur. Saidina Uthman ibni Affan (576-656 M) menggantikan tiang pohon kurma dengan batu, menggantikan atap dan memperluaskan bahagian lantai.

Kerja-kerja pembaikan dan perluasan masjid itu juga dilakukan pada zaman pemerintahan Walid bin Abdul Malik (705-715 M) dan Umar bin Abdul Aziz (717-720 M), khalifah Bani Umaiyah. Pada zaman al-Mahdi (775-785 M), khalifah Abbasiah, berlakunya penambahan atau perluasan 100 hasta lagi. Sultan Malik az-Zahir (m. 1277 M – penguasa Mamluk) memperbaiki atap yang terbakar dan menambah menara. Salim II (1566-1674 M), sultan Uthmaniah, mula menggunakan marmar. Pembangunan dan pembaikan besar-besaran dilakukan oleh Sultan Abdul Majid (1839-1861 M). Dinding, tiang serta mihrab diukir dan dihiasi dengan kaligrafi. Hingga ke zaman Uthmaniah, keluasan Masjid Nabawi telah mencapai 10,303 meter persegi. Kerajaan Arab Saudi meneruskan perluasan masjid tersebut sehingga 16,500 meter persegi.

Di Masjid Nabawi terdapat beberapa mihrab: Mihrab Nabawi (di timur mimbar), tempat pertama kali Nabi Muhammad s.a.w mengimami solat berjemaah; Mihrab Sulaiman (di sebelah mimbar), hadiah Sultan Sulaiman bin Salim (Turki); Mihrab Uthmani (di tengah kiblat); Mihrab Tahajjud (di sebelah utara), tempat Nabi s.a.w sering melakukan solat tahajjud; dan Mihrab al-Majidi (di sebelah utara), tempat berkumpul ahl as-suffah, Muhajirin yang kehabisan bekalan ketika hijrah ke Madinah.

Kronologi Masjid Nabawi

622 (Masihi) – Didirikan oleh Nabi Muhammad s.a.w.
629 – Diperluas oleh Nabi s.a.w.
638 – Diperluas oleh Saidina Umar al-Khattab.
650 – Saidina Uthman Affan menggantikan tiang dan atap serta memperluas bahagian lantai.
707 – Diperbaiki oleh Walid bin Abd Malik dan Umar bin Abd Aziz (Bani Umaiyah).
778 – Diperluas oleh al-Mahdi (Bani Abbasiah).
1247 – Terbakar.
1256 – Malik az-Zahir (Mamluk) menambah menara serta lantai bahagian hadapan.
1468 – Diperbaiki oleh Asyraf Qaitbay (Penguasa Mamluk).
1481 – Terbakar lagi.
1574 - Salim I (Uthmaniah) menggunakan marmar.
1818 – Diperbesar oleh Mahmud II (Uthmaniah). Kubah dicat hijau.
1849 – Dibangun besar-besaran oleh Sultan Abdul Majid (Uthmaniah).
1952 – Diperluas oleh Raja Abd Aziz ibnu Sa’ud (Arab Saudi).
1984 – Diperluas dan diperbaiki oleh Raja Fahd (Arab Saudi).

NABI DAUD PEMILIK SUARA MERDU DI DUNIA

Kepadanya diturunkan kitab Zabur, kitab suci yang menghimpunkan qasidah-qasidah serta ayat-ayat yang mengandungi tasbih dan puji-pujian kepada Allah. Di dalamnya jua ada kisah tentang umat-umat terdahulu, berita tentang nabi yang akan datang termasuk berita datangnya Nabi Muhamad SAW. Nabi Daud adalah salah seorang dari tiga belas bersaudara keturunan yang ketiga belas dari Ibrahim a.s. Baginda tinggal di kota Baitlehem, kota kelahiran Nabi Isa a.s.

Allah telah mengurniakan mukjizat tertentu kepada Nabi Daud yang tidak ada pada nabi lain. Antaranya:-
Allah mengutusnya sebagai nabi dan rasul lengkap dengan kesempurnaan ilmu, ketelitian amal perbuatan serta kebijaksanaan dalam menyelesaikan perselisihan. Nabi Daud amat petah berkata-kata dan mampu melebur jiwa yang keras hanya dengan ayat dari mulutnya.
Kepadanya diturunkan kitab Zabur.
Allah menundukkan gunung-gunung dan memerintahkannya bertasbih mengikuti tasbih Nabi Daud setiap pagi dan senja.
Burung-burung pun turut bertasbih mengikuti tasbih Nabi Daud berulang-ulang.
Nabi Daud diberi peringatan tentang maksud suara atau bahasa burung-burung.
Allah telah memberinya kekuatan melentur dan melembutkan besi. Nabi Daud dapat membuat baju-baju dan lingkaran-lingkaran besi dengan tangannya tanpa pertolongan api.
Nabi Daud telah diberikan kesempatan menjadi raja dan memimpin kerajaan yang kuat yang tidak dapat dikalahkan oleh musuh. Malahan ia selalu memperoleh kemenangan di atas semua musuhnya.
Nabi Daud dikurniakan suara yang merdu oleh Allah yang sedap didengar oleh seluruh isi alam. Sehingga kini ia menjadi kiasan bila seseorang bersuara merdu dikatakan bahawa ia memperoleh suara Nabi Daud.

ISLAM TIDAK HALANG RAI TAHUN BARU CINA

Sambutan meriah termasuk tarian singa di rumah terbuka tahun baru cina yang dianjurkan oleh Hidayah Centre dan Pertubuhan Cina Muslim Malaysia yang diadakan pada tahun lalu.

BELIAU masih ingat ketika itu dadanya berdebar kencang. Sambutan Tahun Baru Cina hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Tetapi beliau seolah-olah tidak mempunyai banyak pilihan. Sama ada untuk menyambutnya atau tidak.

Andai beliau seorang penganut Buddha sudah sewajibnya beliau pulang ke kampung di Bandar Maharani, Muar, Johor untuk menyambut Tahun Baru Cina (TBC).

Tetapi masalahnya kini, beliau baharu memeluk Islam, perlukah beliau pulang menyambut perayaan itu?

Lebih-lebih lagi mengenangkan keluarga terutama ibu bapanya masih menyimpan perasaan marah dan tidak puas hati atas tindakannya memeluk Islam itu tanpa pengetahuan mereka, iaitu pada Ogos dua tahun lalu.

Begitulah dilema yang dihadapi oleh anak muda ini, Yeo Wee Kiat, 25, pada tahun pertama atau buat pertama kali hendak menyambut TBC selepas memeluk Islam pada tahun 2011.

“Ibu bapa mana terutama bapa saya yang dapat menerima anak lelaki sulung mereka secara tiba-tiba memeluk Islam. Teruk juga menerima penangan daripada bapa saya.

“Tidak sahaja beliau ‘berceramah’ marah dan kemuncaknya saya dihalau keluar rumah, seolah-olah saya bukan anaknya lagi.

“Mujurlah ibu berjaya memujuk bapa dan meminta supaya saya jangan dibuang dalam hidup mereka,” katanya.

Memeluk Islam tanpa desakan atau pengaruh sesiapa melainkan atas kesedaran dan minat terhadap agama tersebut, Wee Kiat sedar risiko apabila beliau selama-lamanya meninggalkan Buddha, agama yang dipertahankan oleh keluarga dan nenek moyang.

Wee Kiat berkata, dengan keyakinan tinggi terhadap Allah maka segala risiko yang bakal terjadi terutamanya kemarahan ibu bapa akan dihadapi dengan penuh kesabaran.

“Sebabnya, semua itu saya anggap sebagai satu ujian sejauh mana keimanan dan keikhlasan saya memeluk Islam.

“Lantaran apabila bapa menuduh saya sengaja untuk menukar identiti sebagai bangsa Cina semata-mata kononnya untuk ‘masuk’ Melayu dengan memeluk Islam, lalu saya buktikan bahawa saya tetap Cina dengan mengekalkan nama Yeo Wee Kiat,” jelasnya.

Beliau tidak mengubah nama atau menambahkan sebarang nama Melayu atau Islam lain sebagai identiti baru selepas berstatus Muslim.

“Sebagaimana tokoh Cina Muslim yang menjadi idola saya iaitu Ann Wan Seng yang tetap dengan nama asalnya.

“Dengan nama Cina itu bermakna kami tetap berketurunan Cina, namun tetap kental Muslimnya, insya-Allah,” katanya.

Seperkara yang Wee Kiat perlu buktikan terutama kepada ibu bapanya bahawa Islam bukan penghalangnya menyambut tahun baru.

“Cuma saya bimbang mengenai penerimaan keluarga dan kemungkinan saya dihalang menyambutnya. Walhal Islam sendiri tidak melarang selagi saya menjaga batas-batasnya,” jelas beliau.

Lalu Wee Kiat memberanikan diri pulang ke kampung untuk menyambut TBC tahun lalu.

Alhamdulillah, sambutan di luar dugaan. Beliau disambut baik oleh seluruh keluarga terutama ibu bapanya dan seolah-olah mereka menantikan kepulangannya untuk sama-sama menyambut tahun baru.

Lalu saat yang ditunggu-tunggu iaitu acara makan besar pada malam TBC tetap berlangsung dengan meriah walaupun Wee Kiat sendiri tidak dapat menjamah masakan ibunya.

“Saya tidak mahu menyusahkan ibu saya semata-mata menyediakan juadah yang halal. Lalu saya mendapat idea, kenapa tidak saya membeli ayam KFC lalu kami makan bersama-sama seluruh keluarga. Saya dapat makan dan saya rasa seronok kerana dapat belanja keluarga pada hari yang cukup yang bermakna itu,” katanya yang baru tamat pengajian di Universiti Selangor (Unisel).

Sementara menunggu pekerjaan tetap, Wee Kiat kini bertugas sebagai fasilitator program Madrasatul Hayah untuk lepasan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia di bawah anjuran Pertubuhan Ikram Malaysia.

Disebabkan bertugas di situ, rakan-rakan memanggilnya Ikram Yeo.

Wee Kiat sebenarnya tidak dapat melupakan saat manis pada TBC yang lalu kerana bapanya masih sudi menghulurkan angpau kepadanya.

“Saya benar-benar terharu atas pemberian bapa yang sangat bermakna itu kerana masing-masing kini sudah dapat menerima perbezaan agama antara kami. Berbeza agama bukan penghalang untuk satu hubungan baik kami anak beranak.

“Saya amat bersyukur kepada Allah yang memakbulkan doa saya agar tetap diterima oleh keluarga terutama ibu dan bapa kerana selamanya saya tetap memerlukan mereka dalam hidup saya,” katanya.

Untuk sambutan tahun baru yang akan menjelang beberapa hari sahaja lagi, kali ini Wee Kiat akan pulang ke kampung menemui keluarga dengan lebih yakin dan penuh kegembiraan.

Bagi yang sudah lama memeluk Islam, seperti Timbalan Pengerusi Pertubuhan Cina Muslim Malaysia (Macma) Cawangan Selangor, Effenddy Teoh Gin Hoe, TBC sememangnya disambut meriah hampir setiap tahun.

Lebih-lebih lagi beliau adalah anak lelaki sulung dalam keluarga empat beradik. Ibunya yang kini berusia 83 tahun tinggal bersamanya.

Maka menjadi satu tanggungjawab kepadanya menjadi tuan rumah mengumpulkan adik-beradik dan anak-anak saudara terutama bagi acara makan besar, acara minum teh dan pemberian angpau setiap kali tibanya tahun baru.

Boleh dibayangkan kemeriahan beliau sekeluarga menyambut perayaan itu yang tentunya juga sebagai penghormatan dan kasih sayang kepada ibu yang melahir dan membesarkannya sehingga berjaya.

“Walaupun kami berbeza agama dan saya masih berusaha agar ibu mengucap dua kalimah syahadah,” katanya.

Walaupun dahulunya si ibulah yang paling keras membantah Effenddy memeluk Islam sedangkan si ayah tidak berkata apa-apa.

“Ibu bagai terkena histeria apabila tahu saya memeluk Islam. Tetapi itu adalah normal bagi setiap ibu apabila tanpa diduga si anak menukarkan agama.

“Bagi ibu, apabila saya memeluk Islam bermakna saya akan masuk Melayu dan segala-galanya saya akan mengikut cara hidup orang Melayu. Maka ibu bimbang, beliau akan kehilangan anak Cinanya ini,” jelasnya.

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
www.utusan.com.my

AL-AZHAR

Al-Azhar merupakan sebuah masjid sekali gus universiti terbesar dan termasyhur di dunia Islam, terletak di kota Kaherah, Mesir. Pada asalnya, Al-Azhar adalah sebuah masjid yang dibangun oleh penguasa Dinasti Fatimiyah pada tahun 970 M. Kemudian, bangunan tersebut juga berfungsi sebagai tempat belajar hingga peringkat universiti. Sepanjang usianya yang sudah lebih daripada 1,000 tahun, Al-Azhar telah beberapa kali mengalami pelbagai perkembangan, baik dari segi bangunan mahupun isi dan sistem pengajaran yang diaplikasikan. Kini masjid dan universiti itu menjadi salah satu pusat dan rujukan terpenting bagi kehidupan keagamaan dan kebudayaan kaum Muslim di seluruh dunia. Banyak mahasiswa, termasuk Malaysia, menimba ilmu di sana.


JAMI’ AL-QAHIRAH

Pembangunan Al-Azhar bermula ketika Jauhar as-Siqilli, panglima perang Mu’izz Lidinillah (khalifah Fatimiyah) merancang membangun kota al-Qahirah (Kaherah), dengan sebuah masjid baru sebagai pusat peribadatan bagi khalifah al-Mu’izz dan pengikutnya. Setelah selesai dibangun, masjid ini diberi nama Jami’ al-Qahirah. Luasnya mencakup setengah dari Masjid Al-Azhar ketika ini. Setelah beberapa lama, nama masjid itu lalu diubah menjadi al-Azhar, yang dinisbahkan kepada nama Fatimah az-Zahra, puteri Rasulullah s.a.w.


PUSAT SOLAT JUMAAT

Sejak pembangunannya, Masjid al-Azhar menjadi tempat pelaksanaan solat Jumaat secara besar-besaran. Penduduk berduyun-duyun datang untuk melaksanakan solat Jumaat dan mendengarkan khutbah dari penguasa Fatimiyah. Sesuai dengan aliran Syiah yang dianut, maka bentuk azan dan khutbah di Masji al-Azhar pada masa itu mengikuti model yang berkembang dalam Islam Syiah. Masjid ini juga menjadi pusat perayaan hari-hari besar Islam oleh penguasa Fatimiah.


DARUL HIKMAH

Pada tahun 1005 M, Khalifah al-Hakim memerintahkan pembangunan masjid yang kemudian diberi nama Masjid Al-Hakim. Bersamaan dengan itu, ia juga mengarahkan pembangunan sekolah dengan nama Darul Hikmah yang khusus mengajarkan doktrin Syiah. Dengan adanya sekolah ini, corak sectarian berkurang dalam pendidikan di Al-Azhar. Sebagai gantinya, Al-Azhar diubah menjadi tempat pendidikan yang bersifat umum. Di sini ajaran-ajaran bukan Syiah juga diajarkan.


HALAQAH

Setelah Al-Azhar dibangun, al-Mu’izz memerintahkan kadinya, Ali bin al-Nu’man, untuk membentuk halaqah (kelompok belajar) yang mempelajari fikh Syiah Ismailiyah. Halaqah pertama bermula pada 975 M. Pada 998 M, Al-Azhar berkembang menjadi sebuah universiti Islam. Khalifah Al-Aziz bersetuju dengan usul Ibnu Killis, salah seorang menteri, untuk mengorganisasi dan menstruktur pendidikan di Al-Azhar. Ia mengusulkan pelantikan guru-guru tetap sebagai pengajar. Calon-calon guru dididik langsung oleh Ibnu Killis, dan sistem ini bakal menjadi pendidikan akademi di Al-Azhar. Selain itu, guru-guru ini mengikuti kurikulum yang sudah disusun rapi, dan menerima gaji tetap dari pemerintahan Fatimiyah.


AYUBIYAH

Pada masa kekuasaan Dinasti Ayubiyah (1174 M – 1252 M) peranan tradisional Al-Azhar tidak lagi berjalan kerana Salahuddin Yusuf al-Ayyubi, penguasa Ayubiah daripada aliran Sunni, menghapuskan pengaruh Fatimiyah yang disebarkan melalui Al-Azhar. Ia membangun banyak madrasah lain yang mengajarkan Islam Sunni, sehingga peranan Al-Azhar menjadi amat merosot. Walaupun demikian, pengembangan pengajian di Al-Azhar tetap berjalan, meski lebih banyak bergantung pada usaha peribadi dan orang-orang yang simpati dengan pendidikan agama.


IJAZAH

Konsep pemberian ijazah kepada para mahasiswa di A-Azhar dimulai ketika Al-Azhar di bawah Dinasti Mamluk. Ijazah itu dibagi ke dalam tiga jenis. Yang pertama adalah ijazah yang menunjukkan bahawa seseorang sudah dapat memberikan fatwa atau mengajar. Kedua adalah ijazah yang diberikan kepada seseorang yang sudah dapat menghafal dan memahami suatu kitab secara menyeluruh. Ketiga adalah ijazah yang diberikan oleh seorang sarjana Al-Azhar terkenal kepada sarjana lain yang tinggal di luar Mesir setelah kemampuannya diuji.


IDARAH AL-AZHAR

Pada tahun 1896, untuk pertama kali dibentuk Idarah al-Azhar (Dewan Pentakbiran al-Azhar). Langkah pertama dewan ini ialah mengeluarkan peraturan yang membagi masa belajar di al-Azhar menjadi dua masa: pendidikan dasar dengan ijazah asy-syahadah al-ahliyah (ijazah kelayakan) serta pendidikan menengah dan tinggi dengan ijazah asy-syahadah al-alimiyah. Masa belajar untuk masa pertama berlangsung selama 8tahun dan masa kedua 6 tahun.


SULTAN BAYBARS

Pada masa Dinasti Mamluk, al-Azhar yang telah tidak begitu aktif selama hampir satu abad dibuka kembali. Berkat Sultan Baybars (1260 M – 1277 M) dan wakilnya yang amat menonjol, Izuddin Aidmur, Al-Azhar kembali bangkit dan menempatkan diri sebagai salah satu pusat terpenting dalam pendidikan Islam. Di atas saranan Izuddin, Sultan Baybars mengumpulkan segala sumber daya dan dana untuk membangun kembali Al-Azhar , baik masjid mahupun pusat pendidikannya. Solat Jumaat dan perayaan hari-hari besar Islam kembali dilaksanakan dengan kehadiran sultan.


BARAT

Dalam beberapa dekad terakhir, Al-Azhar juga mulai memperhatikan hasil-hasil yang telah dicapai oleh sarjana-sarjana ketimuran dalam bidang pengajian keislaman dan kearaban. Al-Azhar mulai memandang perlunya mempelajari system penelitian yang dilakukan universiti-universiti Barat dan mengirim alumninya yang dianggap mampu untuk belajar ke Eropah dan Amerika. Pengiriman ini dilakukan dengan tujuan untuk mengikuti perkembangan ilmiah di peringkat antarabangsa.


PEREMPUAN

Pada tahun 1962, Al-Azhar membuka pintunya bagi kaum perempuan dengan dibukanya fakulti perempuan yang ditempatkan di gedung-gedung baru dengan jumlah mahasiswi lebih daripada 3,000 orang.


MAHASISWA MALAYSIA

Sejak awal berdirinya, sistem pendidikan al-Azhar selalu terbuka bagi semua orang dari seluruh pelosok dunia yang ingin belajar. Biasanya mereka tinggal bersama guru-guru di tempat pemondokan, khusus di sekitar Al-Azhar yang disebut ruaq dan harah. Banyak mahasiswa dari Malaysia juga pergi belajar ke al-Azhar, dan dari sana lahir banyak pemimpin Muslim di Malaysia.

Susunan

SHARIFAH SURAYA SYED MOHAMED
ummatanwasatan.net

Wednesday, February 1, 2012

Apabila Islam Hanya Tinggal Nama

Mesti kalimah ini tergantung di dinding rumah anda kan?

Alangkah bahagianya jika kita ditakdirkan lahir dan berada pada zaman kegemilangan Islam bersama dengan Rasulullah SAW. Ini kerana kita dapat berjuang, belajar secara langsung daripada Baginda, dapat melihat wajahnya serta boleh berkomunikasi secara langsung dengannya apabila menghadapi sesuatu masalah. Zaman Baginda itu adalah satu masa yang sangat hebat kerana dapat melahirkan generasi individu Muslim yang unggul dalam segenap aspek kehidupan hingga mendapat jolokan daripada Allah sebagai sebaik-baik umat kerana menjalankan tugas menyampaikan yang makruf, mencegah kemungkaran dan beriman dengan Allah.

Inilah generasi yang telah dicatat dalam lembaran sejarah kerana membantu Baginda menundukkan dua kuasa besar pada masa itu iaitu Rom dan Parsi yang mendakwa memiliki sumber tamadun yang hebat, namun kehebatan individu di kalangan Sahabat Rasulullah terdapat pada diri mereka akhlak mulia mampu menundukkan keangkuhan kedua-duanya sekali.

Mereka mencipta nama dalam sejarah tamadun manusia sebagai pahlawan Islam dengan menyebar dan memperluaskan ajaran Baginda Rasulullah SAW sesuai dengan pegangan mereka kepada agama Islam yang membawa maksud kesejahteraan, keharmonian, kedamaian, keamanan dan keselamatan untuk umat manusia sejagat.

Bagaimana dengan kita hari ini? Adakah kita bersemangat sama seperti Para Sahabat?

Tidak dinafikan bahawa kita sebagai umat Nabi Muhammad, di antara mereka ada yang diberikan nama oleh ayah-ayah kita sebahagiannya dengan menggunakan nama Para Sahabat seperti Abu Bakar As Siddiq, Umar, Uthman, Ali, Ubadillah, Salman, Khalid, Hamzah, Abbas, Bilal, Zubair dan sebagainya. Tetapi apakah nama-nama tersebut benar-benar meresap masuk dalam sanubari kita hingga mencontohi Para Sahabat dalam mendepani segenap isu agama.

Alangkah malangnya segelintir umat Islam hari ini yang sudah mula menamakan anak-anak mereka dengan nama-nama yang kadang-kadang tidak memberi makna langsung berkaitan dengan agama. Nama-nama seperti yang disebutkan di atas tidak lagi menjadi sebutan di bibir mereka. Mengapa? Sama-samalah kita mencari kekurangannya.

Malah Islam hanya tinggal pada nama sahaja, sedangkan cara dan gaya hidup tidak melambangkan mereka seperti orang Islam, ini termasuk cara berpakaian, penampilan diri lelaki dan wanita Islam, cara berkeluarga, cara berfikir, cara mendidik anak-anak dengan agama dan seribu satu macam karenah lagi tidak menampakkan diri mereka persis individu Muslim yang beramal dengan ajaran Islam sebenar.

Inilah yang pernah disabdakan oleh Baginda Rasulullah SAW lebih 14 abad lalu, seolah-olah ia bagaikan satu ramalan tepat, kerana Baginda sentiasa menerima wahyu daripada Allah Taala, sudah tentu Dia mengetahui segala-galanya kerana ia di bawah kawalan dan pengawasan-Nya. Benarlah sabda Nabi SAW yang bermaksud, daripada Ali bin Abi Talib RA berkata:

“Telah bersabda Rasulullah SAW bahawa sudah hampir tiba suatu masa, di mana tidak tinggal lagi daripada Islam itu kecuali hanya namanya, tidak tinggal daripada Al Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit. Daripada merekalah berpunca fitnah, dan kepada merekalah fitnah itu akan kembali”.
(Hadis riwayat Al Baihaqi)

Kalau kita perhatikan dunia Islam pada hari ini, keadaannya tidak begitu jauh daripada gambaran yang telah ditegaskan oleh Rasulullah SAW. Kalau belum sampai pun, ia sudah hampir menjurus ke sana. Apa yang Baginda sebutkan dalam hadisnya di atas bolehlah kita bincangkan satu persatu untuk melihat sejauh mana kebenaran kenyataan baginda itu.

Islam hanya tinggal namanya sahaja.
Al Quran hanya tinggal tulisannya.
Masjid tersergam indah tetapi kosong daripada hidayah Allah.
Lahirnya ulama jahat yang mementingkan periuk nasi daripada Islam.
Fitnah tersebar akibat kedangkalan ulama-ulama jahat.

Islam Hanya Tinggal Namanya Sahaja

Kelak akan banyak orang yang mengaku beragama Islam namun perbuatan sehariannya tidak mencerminkan sebagai seorang Islam yang baik, hanya namanya sahaja Islam. Islam diperalatkan untuk kepentingan tertentu. Oleh kerana itu kita dapat lihat ramai orang Islam melanggar syariat.

Solat mengikut ‘mood’, ada seminggu sekali, ada sebulan sekali, setahun sekali dan ada yang tidak pernah solat sama sekali. Yang kaya pula enggan membayar zakat, yang pergi haji mahu digelar ‘pak haji’ namun masih lagi melepak di kedai judi dan menghabiskan masa.

Ramai yang bercakap tentang Islam padahal mereka tidak mengamalkannya. Pandai berpidato agar orang percaya dia seorang Islam yang baik dan memperjuangkan Islam, sehingga ada yang mengubah halal menjadi haram dan haram menjadi halal, bahkan hukum nas kalau boleh disesuaikan dengan zaman, bukan keadaan zaman disesuaikan dengan ketentuan nas.

Sebenarnya orang yang sebegini tergolong daripada golongan orang munafik sebagaimana Sahabat Nabi yang bernama Abu Huzaifah ditanya apa itu nifak? Beliau menjawab:

“Kamu berbicara tentang Islam, tetapi kamu tidak mengamalkan ajaran-ajarannya”.
(Masnad ar-Rabi’)

Al Quran Hanya Tinggal Tulisannya

Dalam banyak hadis Rasulullah SAW, Baginda menganjurkan kita umatnya agar membudayakan pembacaan Al Quran, ia bukan sekadar penawar kepada pelbagai penyakit yang sukar diubati, malah ia juga bertindak sebagai penyembur kepada hati yang berkarat dengan penyakit-penyakit cintakan dunia secara berlebihan.

Tujuan Al Quran diturunkan adalah untuk menjadi pedoman dalam soal akidah, iman, beribadah kepada Allah dengan membacanya, dipelajari isi kandungannya, diamalkan segala apa yang ada di dalamnya. Menjadi rujukan dalam segenap masalah yang dihadapi oleh manusia, dan yang paling utama ialah melaksanakan hukum, undang-undang dan perintah Allah yang ada di dalamnya.

Apa yang mendukacitakan kita pada hari ini, Al Quran dijadikan bahan untuk musabaqah menjelang ketibaan Ramadan iaitu bulan yang diturunkan Al Quran di dalamnya. Sedangkan undang-undangnya tidak diguna-pakai walaupun sudah merdeka lebih setengah abad, orang-orang Islam yang melakukan jenayah tidak dihukum dengan undang-undang hudud atau qisas di dunia ini. Inilah gambaran ketegasan Nabi bahawa Al Quran hanya tinggal tulisannya untuk dibaca, bukan untuk diamalkan.

Inilah kebenaran kenyataan Baginda Rasulullah SAW bahawa masjid-masjid umatnya pada akhir zaman memang cukup indah dan megah, tetapi pengisian di dalamnya tidak memberangsangkan. Masjid yang sepatutnya menjadi tempat menyampaikan kuliah agama kadang-kadang sepi daripada pengunjungnya.

Terdapat masjid yang membiayai urusan pembayaran bil elektrik, air dan penyelenggaraan mencecah nilai ringgit yang cukup tinggi, namun kadang-kadang apa yang menduka-citakan kelas pengajian pun tidak ada, ada yang diisi dengan kelas marhaban atau barzanji, itu pun tidak memahami dengan baik maksud apa yang dibacakan. Malah ada pula masjid dipertandingkan sempena Maulidur Rasul sebagai masjid yang paling cantik dan bersih.

Lahirnya Ulama Jahat

Tidak dinafikan juga wujud kalangan ilmuan Islam yang tidak berani untuk menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim seperti yang disabdakan oleh Baginda, justeru itulah yang diingatkan oleh Baginda dalam hadisnya di atas. Golongan ulama ini sama seperti Bal’am bin Ba’ura (ulama Bani Israil) yang ditegaskan dalam ayat 176 surah Al ‘Araf.

“Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir”.
(surah Al ‘Araf ayat 176)


Menurut Imam Fakhruddin Ar-Razi, Imam Ibni Khathir, Imam Tabari dan ramai mufassirin bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan seorang lelaki dari Negara Yaman bernama Bal’am bin Ba’ura’. Sebilangan ulama lain menyatakan, Bal’am adalah seorang ahli ibadat yang mempunyai kemakbulan doa dari bangsa Bani Israel.

Menurut cerita daripada Ibnu Abbas, pada zaman Nabi Musa a.s ada seorang alim bernama Bal’am bin Ba’ura. Allah s.w.t telah mengurniakan kepada Bal’am rahsia khasiat-khasiat nama-nama Allah Yang Maha Besar (Doa Bal'am bin Ba'ura mustajab). Setelah peristiwa firaun dilemaskan dalam laut, Nabi Musa A.S dan bani Israel yang terselamat terus mengembara sehinggakan hampir sampai dengan negeri tempat tinggal Bal’am. Raja negeri tersebut ketakutan, takut kalau-kalau negerinya diserang oleh kaum yang telah berjaya menewaskan Firaun. Setelah bermesyuarat dengan penasihat-penasihatnya Raja tersebut memutuskan untuk meminta pertolongan Bal’am agar Bal’am menggunakan ilmunya (berdoa) untuk mengalahkan Nabi Musa AS.

Pada mulanya Bal’am masih tidak mahu mendoakan. Akan tetapi setelah isterinya tidak bercakap, melayannya dan menyediakan makanan seperti biasa dibuat. Lama kelamaan Bal’am pun bertanya kepada isterinya mengapa isteri beliau mogok dan beliau tidak dilayan seperti biasa dilakukan. Isteri Bal’am berkata “berdoalah bukan susah seperti yang dipinta oleh Raja”.

Bal’am dengan kekuatan ilmunya dan kemujaraban doanya telah mengenakan sekatan kepada Nabi Musa AS, doa Bal’am itu termakbul, menyebabkan Nabi Musa tersesat di satu tempat yang bernama Teh (sekarang dinamakan semenanjung Sinai) selama 40 tahun.

Kesesatan yang maha dahsyat itu, menyebabkan Nabi Musa bertanya Allah SWT, “Wahai Tuhan, apakah dosa yang kami lakukan sehingga kami tersesat di ladang Teh ini?”.

Jawab Allah SWT, “berpunca dari doa Bal’am”

Nabi Musa berkata lagi kepada Allah, “Wahai Allah, sepertimana kamu mendengar doa Bal’am terhadapku, maka tolong makbulkan doaku terhadap Bal’am”.

Lalu, Nabi Musa mendoakan agar Bal’am dicabut keimanan dari dirinya. Doa Nabi Musa dimakbulkan oleh Allah, menyebabkan Bal’am mati dalam keadaan kufur dan lidahnya terjelir sepertimana anjing.

“Minta berlindung kita dengan Allah daripada menjadi seperti Bal’am bin Ba’ura’”. Wallahua’lam (Kisah ini isra’iliyyat yang wajar dijadikan pengajaran kepada kita).

Kepentingan dunia kerana mahu mengejar pangkat dan populariti menguasai hidup mereka hingga ada yang berani menghalalkan apa yang diharamkan Allah, menyembunyikan kebenaran kerana takut keduniaannya tersekat dan periuk nasinya terjejas hingga sanggup menggadai prinsip-prinsip agama, dalam hal ini, siapa yang makan cili maka dialah yang merasa bahang pedasnya.

Fitnah Tersebar Akibat Kedangkalan Ulama-Ulama Jahat

Fitnah terhadap Islam sudah semakin menular yang tidak pernah terfikir oleh individu Muslim yang baik di sisi Allah. Industri hiburan yang melibatkan artis-artis beragama Islam hingga ke peringkat paling seksi menjadi juadah mata pada hari ini, perkara ini berlaku adalah kerana ulama-ulama yang jahat mendiamkan diri tidak mahu bercakap kerana takut segala kemudahan yang dikecapinya akan hilang, walaupun Islam daripada diri umat Islam bukan menjadi perkiraan hidup.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...