Setiap anak yang lahir mendengar kalimah tayyibah. Penyaksian bahawa tiada tuhan
yang layak disembah selain Allah dan Muhammad adalah utusan-Nya. Azan dan iqamah
itu bagai memperingatkan setiap kita yang lahir agar bersedia melaksanakan misi
di dunia sebagai khalifah, bertungjangkan kalimah shahadah itu.
Kemudian, detik pun berlalu. Kaki si anak yang asalnya sebesar dua jari mula
membesar. Satu demi satu peringkat ‘kepandaian’ menjadi perhatian dan bualan ibu
bapa. Dalam pada itu, pelbagai impian dan harapan turut diserapkan ke dalam
minda anak-anak. Ada juga yang awal-awal menanam cita-cita kerjaya, apabila
besar ingin menjadi apa. Segala expectation ibu bapa diterjemahkan ke dalam
jadual kehidupan anak. Demi memastikan anak genius dan meraih kerjaya idaman ibu
bapa, pelbagai aktiviti dan rejim pembelajaran mula diasak dan didisiplinkan,
seawal setahun dua.
Ini cerita realiti hari ini. Subur dalam masyarakat yang sentiasa risau akan
anaknya. Risau ketinggalan tumbesaran daripada rakan sebaya. Risau kekurangan
bakat yang dipamerkan anaknya. Risau kerjaya apa yang bakal diceburinya. Risau
dengan kemampuan kewangan dalam menyekolahkan mereka di tempat terbaik. Risau
dengan pandangan orang lain terhadap anaknya.
Namun, berapa ramai antara kita yang risau akan agama mereka?
Kerisauan Para Anbiya’
al-Quran merakamkan banyak watak bapa, berbanding ibu. Interaksi bapa dengan
anak-anak mereka diceritakan semula oleh Allah sebagai pedoman. Mereka ialah
Ibrahim, Ya’akub, dan Luqman. Sebagai bapa, mereka proaktif memikirkan keadaan
anak-anak setelah ketiadaan mereka nanti.
Kerisauan Ibrahim dan Ya’akub telah dirakam oleh al-Quran:
وَوَصَّى بِهَا إِبْرَاهِيمُ بَنِيهِ وَيَعْقُوبُ يَا بَنِيَّ إِنَّ اللَّهَ
اصْطَفَى لَكُمُ الدِّينَ فَلا تَمُوتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ (١٣٢)أَمْ
كُنْتُمْ شُهَدَاءَ إِذْ حَضَرَ يَعْقُوبَ الْمَوْتُ إِذْ قَالَ لِبَنِيهِ مَا
تَعْبُدُونَ مِنْ بَعْدِي قَالُوا نَعْبُدُ إِلَهَكَ وَإِلَهَ آبَائِكَ
إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ إِلَهًا وَاحِدًا وَنَحْنُ لَهُ
مُسْلِمُونَ (١٣٣
Maksud: Dan Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, demikian
pula Ya’akub katanya: “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama
ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan
Islam.” Adakah kamu hadir ketika Nabi Ya’akub hampir mati, ketika dia berkata
kepada anak-anaknya: “Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?” Mereka
menjawab: “Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan
Ishaq, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepada-Nyalah sahaja kami berserah diri (dengan
penuh iman).” (al-Baqarah: 132-133)
Lihatlah, anak-anak asuhan rumah kenabian tetap dirunsingkan oleh bapa-bapa
mereka. Anak-anak itu tetap ditanya tentang pegangan agama selepas kewafatan
mereka. Mereka diajak berikrar dan berjanji setia untuk hidup mati di atas jalan
iman. Bandingkan, sejauhmana kerisauan kita selari dengan apa yang dikhuatiri
oleh baginda berdua? Para Nabi ini merisaukan iman anak-anak mereka, bukannya
pembahagian harta pusaka. Jika para Nabi risau tentang agama anak mereka,
sewajarnya kita lebih risau lagi.
Penekanan para Nabi ini difahami dengan jelas oleh Ibn Kathir. Beliau
mentafsirkan ayat ini: “ertinya, berbuat baiklah kalian ketika menjalani
kehidupan ini, dan berpegang teguhlah pada agama ini. Sudah pasti Allah akan
menganugerahkan kematian kepada kalian dalam keadaan Islam, kerana seseorang
yang meninggal dunia dalam agama yang diyakininya dan dibangkitkan dalam agama
yang dianutinya ketika meninggal dunia.” (Ibn Kathir, Tafsir Ibn Kathir, Dar al-Fikr,
Beirut, jil. 1, hlm. 186) Pesan para Nabi ini ialah hidup dan matilah atas jalan
Islam.
Kerisauan ini bukan sahaja ketika menjelang kematian, tetapi sewajarnya turut
meliputi segenap waktu terutamanya ketika ketiadaan kita. Bagaimana agama anak-anak
ketika mereka bersendirian, sama ada sewaktu belajar ataupun bekerjaya? Pesan
Nabi Ibrahim dan Ya’akub bukan untuk anak yang kecil. Tetapi, mereka adalah anak-anak
dewasa. Maka, tidak wajar kita berhenti memantau agama anak kita atas alasan
mereka sudah dewasa dan tidak perlukan nasihat. Agama ini adalah nasihat, maka
nasihatilah anak-anak agar berpegang dengan akidah Islam tanpa jemu biarpun
mereka sudah begitu dewasa. Sebagaimana sabda Rasulullah:
الدِّينُ النَّصِيحَةُ
Maksud: Agama itu adalah nasihat. (al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Iiman,
Bab al-din al-nasihah lillah wa li rasulihi wa li a`immat al-muslimin wa ‘ammatihim)
Ibn Hajar al-’Asqalani menjelaskan bahawa majoriti ajaran agama merupakan
nasihat. Selanjutnya, Ibn Hajar menyambung, “Nasihat bagi segenap kaum Muslim
adalah dengan menyayangi mereka, melakukan sesuatu yang bermanfaat bagi mereka,
mengajari mereka ilmu yang bermanfaat, menjauhkan pelbagai gangguan dari mereka,
mencintai mereka sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri dan membenci apa-apa
yang mereka benci sebagaimana dia membencinya bagi dirinya sendiri.” (Ibn Hajar
al-’Asqalani, Fath al-Bari, Dar al-Ma’rifah, Beirut, jil. 1, hlm. 138)
Nasihatilah anak-anak dengan mengajar mereka akidah yang sahih, menerangkan
kepada mereka perkara-perkara yang boleh membatalkan akidah, menjelaskan
pemikiran musuh Islam yang merosakkan akidah dan juga meluruskan pandangan
hidupnya melalui kacamata akidah Islamiah.
Memantau Agama Anak
Sewaktu menunaikan umrah di al-Haram, saya berkenalan dengan seorang anak muda
dari India. Saya bertanya, mengapa dia menjadi tetamu Allah.
“Datuk saya menghantar saya ke sini, sebelum saya bertolak terus ke Amerika
untuk menyambung pelajaran,” jawabnya panjang.
“Mengapa perlu menunaikan umrah?” saya bertanya lagi.
“Agar imanku kuat sepanjang di Amerika.” Jawapannya itu disambut diam. Penuh doa
kepada Allah.
Apabila berjauhan dengan anak yang disayangi, apa yang dirisaukan oleh kita
sebagai ibu bapa? Tidak cukup biasiswa, tidak cukup makan, huru hara negara
tersebut, gempa bumi dan bencana alam? Risaukanlah tentang agama mereka
sebagaimana datuk anak muda itu. Fikirkanlah berapa kuat mereka akan memegang
bara api ini dalam menempuh cabaran hidup.
Bagaimana dengan solat mereka yang waktunya menguji iman? Bagaimana agama rakan-rakan
mereka? Bagaimana cara mereka beragama? Apa peluang mereka menambah ilmu agama
di sana? Bagaimana sistem sokongan masyarakat muslim di sana?
Menghantar mereka berjauhan dengan ibu bapa memerlukan pedoman. Hadith ini
adalah kerangka pedoman tersebut. Semasa Abdullah bin Abbas membonceng di
belakang Rasulullah, baginda bersabda:
يا غُلَامُ إني أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ احْفَظْ اللَّهَ يَحْفَظْكَ احْفَظْ اللَّهَ
تَجِدْهُ تُجَاهَكَ إذا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ وإذا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ
بِاللَّهِ…
Maksud: Wahai anak muda, aku perlu mengajarimu beberapa kalimah. Jagalah Allah (mentaati
perintah-Nya) dan Dia akan menjaga dirimu. Ingatlah Allah dan Dia akan
memeliharamu. Jika engkau bermohon, maka mohonlah daripada Allah. Jika engkau
mahu meminta pertolongan, mintalah pertolongan daripada Allah… (Sunan al-Tirmizi,
Kitab sifat al-qiyamah, bab qaul al-nabi: ya hanzalah sa’at wa sa’at)
Hadith ini menggambarkan keperihatinan Rasulullah terhadap agama Abdullah bin
Abbas, seorang anak muda. Rasulullah mengajarnya beberapa perkara penting dalam
hidup beragama. Malahan, baginda menyentuh perkara yang praktikal untuk
diamalkan, sekaligus memberi kesan pada keimanannya. Peringatkanlah kalimah yang
sama untuk zuriat kita.
Duka Nuh a.s. Jangan Berulang
Nabi Nuh a.s. berjuang dengan dakwah tauhid selama 950 tahun tetapi tidak
berjaya membawa salah seorang anaknya beriman kepada Allah. Azab berupa banjir
besar yang datang, tetap mahu dilawan. Apabila seruan iman disampaikan, anaknya
enggan menerimanya. Enggan beriman bermaksud enggan diselamatkan. Cukup pahit
untuk ditelan oleh seorang bapa.
وَنَادَى نُوحٌ ابْنَهُ وَكَانَ فِي مَعْزِلٍ يَا بُنَيَّ ارْكَبْ مَعَنَا وَلا
تَكُنْ مَعَ الْكَافِرِينَ (٤٢)قَالَ سَآوِي إِلَى جَبَلٍ يَعْصِمُنِي مِنَ
الْمَاءِ قَالَ لا عَاصِمَ الْيَوْمَ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ إِلا مَنْ رَحِمَ وَحَالَ
بَيْنَهُمَا الْمَوْجُ فَكَانَ مِنَ الْمُغْرَقِينَ (٤٣)
Maksud: dan Nabi Nuh memanggil anaknya, yang berada di tempat yang terpisah
daripadanya: “Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau
berada bersama orang yang kafir.” Anaknya menjawab: “Aku akan berlindung ke
sebuah gunung yang dapat menyelamatkan daku daripada ditenggelamkan oleh air.”
Nabi Nuh berkata: “Hari ini tidak ada sesuatu pun yang dapat berlindung dari
azab Allah, kecuali orang yang dikasihani-Nya.” Dan dipisahkan antara keduanya
oleh ombak yang besar itu, lalu menjadilah dia daripada orang yang
ditenggelamkan. (Surah Hud: 42-43)
Setelah kapal berlabuh, Nuh tidak berputus asa untuk memohon keselamatan
daripada Allah untuk anaknya. Namun, permintaan itu ditolak Allah, malah Allah
menafikan status anak tersebut kerana keengganannya beriman.
وَنَادَى نُوحٌ رَبَّهُ فَقَالَ رَبِّ إِنَّ ابْنِي مِنْ أَهْلِي وَإِنَّ وَعْدَكَ
الْحَقُّ وَأَنْتَ أَحْكَمُ الْحَاكِمِينَ (٤٥)قَالَ يَا نُوحُ إِنَّهُ لَيْسَ مِنْ
أَهْلِكَ إِنَّهُ عَمَلٌ غَيْرُ صَالِحٍ فَلا تَسْأَلْنِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ
عِلْمٌ إِنِّي أَعِظُكَ أَنْ تَكُونَ مِنَ الْجَاهِلِينَ (٤٦)
Maksud: Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Wahai Tuhanku!
Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku sendiri, dan bahawa janji-Mu itu adalah
benar, dan Engkau adalah sebijak-bijak Hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya.”
Allah berfirman:
“Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu;
sesungguhnya perbuatan bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon
kepada-Ku sesuatu yang engkau tidak ketahui. Sebenarnya Aku melarangmu dari
menjadi orang yang jahil.” (Surah Hud: 45-46)
Iman memang tidak boleh diwarisi, tetapi menjadi kewajipan ibu bapa untuk
mencorak kain putih anaknya. Sebagaimana sabda Rasulullah yang dinyatakan oleh
Abu Hurairah:
ما من مَوْلُودٍ إلا يُولَدُ على الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أو
ينصرانه أو يُمَجِّسَانِهِ
Maksud: Tidaklah setiap orang yang lahir melainkan dilahirkan dalam keadaan
fitrah, maka ibu bapanyalah yang menjadikannya yahudi, kristian ataupun majusi.
(al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Jana’iz, Bab iza aslama al-sabi fa mata
hal yusolli ‘alaihi wa hal yu’rad ‘ala al-sabi al-Islam)
Sentiasalah memberi pesan kepada anak-anak dengan pesanan Luqman kepada anaknya.
وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لا تُشْرِكْ
بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ (١٣
Maksud: Dan tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat
kepadanya:
Wahai anakku, janganlah engkau mempersekutukan Allah sesungguhnya
perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar. (Luqman: 13)
Moga apabila pesan Luqman ini tersemat pada jiwa anak-anak, maka duka Nabi Nuh
tidak berulang pada sejarah hidup kita.
Oleh,
MOHD AL ADIB SAMURI