Thursday, August 30, 2012

HANYA SETENGAH BERATNYA ZARAH ITU...



Dikisahkan di dalam sebuah kitab karangan Imam Al-Ghazali, seorang pemuda mendatangi Nabi Isa yang sedang menyiram air di kebun. Pemuda itu membuat permintaan yang begitu mustahil dan sangat sukar ditunaikan oleh Nabi Isa sendiri.

Melihat Nabi Isa yang hanya mendiamkan diri, pemuda itu berkata berulang kali kepada Nabi Isa,

“Wahai Nabi Isa, kamu mintalah dari Tuhamu agar Dia memberi kepadaku sebesar zarah cintaku kepada-Nya. Moga-moga aku dapat merasa bagaimana ketinggian nilai cinta kepada Tuhan.”

Nabi Isa hanya menjawab, “ Wahai saudaraku, jangan kau teruskan niatmu itu. Kamu tidak akan terdaya menanggung cinta Tuhan walau sebesar zarah.”

Tetapi pemuda itu masih tidak berputus asa. Dimohonnya lagi pada Nabi Isa,

“ Jika aku tidak berdaya untuk satu zarah, mintalah untukku setengah beratnya zarah cinta itu.”
Melihat kesungguhan dan keinginan pemuda itu, Nabi Isa pun mengalah. Benarkah pemuda ini ingin sekali mendapatkan kecintaannya kepada Allah? Maka Nabi Isa pun menadah tangan dan berdoa agar Allah memperkenankan permintaan pemuda itu. Selesai berdoa, Nabi Isa pun berlalu.

Selang beberapa lama, Nabi Isa datang semula ke tempat dia mendoakan pemuda itu. Puas dicari pemuda itu ke sana ke mari tetapi tidak juga berjumpa. Nabi Isa bertanya kepada orang yang lalu lalang di situ berkenaan pemuda yang dimaksudkan.

“Oh, lelaki itu sudah menjadi gila dan sekarang dia berada di atas gunung sana,” jawab seorang lelaki. Nabi Isa terkejut mendengarnya. Apakah lelaki itu sudah gila setelah mendapat kecintaan kepada Allah seperti yang dimintanya?

“Wahai Tuhanku, tunjukkanlah kepadaku dimana dan bagaimana keadaan pemuda itu sekarang.”

Permohonan Nabi Isa dikabulkan ketika itu juga. Pada pandangannya, kelihatanlah pemuda itu sedang berada di antara gunung-ganang dan sedang duduk di atas sebuah batu besar sambil matanya memandang ke langit tanpa berkelip.

Aneh sekali keadaan pemuda itu. Nabi Isa menghampirinya dan memberi salam. Namun salamnya tidak berjawab, malahan pemuda itu tidak bergerak sedikitpun.

“Wahai pemuda, jawablah salamku. Aku ini Isa as.”

Suara Nabi Isa bagai dibawa angin lalu. Pemuda itu terus diam membatu sambil mendongak ke langit.

Ketika itu turunlah wahyu dari Allah SWT yang bermaksud,

"Wahai Isa, bagaimana dia dapat mendengar perbicaraan manusia, kerana dalam hatinya itu terdapat kadar setengah berat zarah cintanya kepada-Ku. Demi Keagungan dan Keluhuran-Ku, kalau engkau memotongnya dengan gergaji sekalipun tentu dia tidak mengetahuinya."

Wednesday, August 29, 2012

LAPAN DIRHAM RASULULLAH S.A.W



Rasulullah SAW, seorang yang sangat bersederhana dan zuhud pada dunia. Sekalipun sebagai pemimpin tertinggi, Rasulullah tidak pernah sama sekali mengambil kesempatan untuk hidup mewah, apatah lagi bermegah-megah dengan kekayaan hasil umat Islam. Kehidupan sehariannya hanya cukup-cukup makan dan jika tiada apa-apa, baginda lebih suka berpuasa.

Suatu hari, rezeki Rasulullah mendapat sebanyak lapan dirham. Dengan bekalan itu, baginda berniat untuk membeli pakaian dan peralatan rumahtangga. Dalam perjalanan ke pasar, Rasulullah terserempak dengan seorang wanita yang kelihatan sugul dan sedang menangis.

“Apakah wanita ini sedang ditimpa musibah sehingga dia menangis di jalanan begini?” Rasulullah bertanya sendiri.

Lantas sebagai pemimpin yang prihatin, Rasulullah bertanya dan wanita itu menjawab dengan linangan air mata.

“Aku ini seorang hamba suruhan. Aku baru saja kehilangan wang dua dirham milik majikanku. Aku bimbang sekali kalau-kalau majikanku akan memukulku kelak kerana cuai. Bagaimana ya Rasulullah?”

Tanpa berlengah lagi, Rasulullah terus mengeluarkan wang dua dirham dan memberikannya kepada wanita itu.

Dengan wang yang tinggal enam dirham, Rasulullah membeli sehelai gamis, pakaian kesukaannya. Baginda merasa gembira kerana setelah sekian lama, baru sekali ini baginda mendapat peluang menggantikan pakaiannya yang lama.

Baru beberapa langkah meninggalkan pasar, baginda terdengar pula teriakan seorang lelaki tua yang fakir.

“Wahai sekalian orang, sesiapa ikhlas memberiku sedekah pakaian, nescaya Allah akan mendandaninya kelak. “

Rasulullah berpatah balik. Benar, dilihatnya lelaki itu memakai pakaian yang nampak lusuh dan tidak berganti. Baginda merasa belas melihat lelaki itu dan melepaskan gamis baru yang dipakai. Dengan seikhlas hati, Rasulullah memberikan gamis barunya kepada peminta sedekah itu tanpa merasa rugi sedikit pun.

Begitulah Rasulullah, insan mulia yang tidak langsung memandang kesenangan dunia. Habislah wang lapan dirhamnya hanya dengan membantu orang lain dan mengorbankan keinginan diri sendiri.

Namun, perjalanan pulang Rasulullah membuatkan dia sekali lagi terserempak dengan wanita pertama yang dibantu tadi. Kali ini, wanita itu mengadu pula kerana takut majikan menghukumnya kerana pulang lewat.

Dengan senang hati, baginda menemankan hamba wanita itu pulang. Tiba di rumah yang dimaksudkan, Rasulullah memberikan salam.

Kedatangan Rasulullah disambut baik oleh majikan wanita itu walaupun dalam masa yang sama mereka merasa terkejut. Masakan Rasulullah sanggup menemankan pulang seorang hamba yang tidak setaraf dengan baginda?

Tetapi kemuliaan baginda sebagai pemimpin sangat jelas. Baginda bertanggungjawab terhadap kesusahan rakyatnya dan kerana itulah baginda bersabda,

“Jika wanita suruhan ini salah dan perlu dihukum, biarlah aku saja yang menerima hukuman.”

Mendengar kata-kata Rasulullah yang mulia itu, mereka terkesima dan merasa insaf. Dengan redha, mereka membalas,

“Wanita suruhan ini sudah merdeka kerana Allah.”

Berita itu disambut dengan penuh kesyukuran oleh Rasulullah dan juga wanita suruhan itu. Baginda bersabda,

“Tidaklah aku melihat lapan dirham yang begitu besar berkatnya, selain dari lapan dirham ini. Darinya Allah telah memberikan ketenteraman bagi orang yang sedang ketakutan, memberi pakaian orang yang memerlukan dan membebaskan seorang wanita suruhan.”

Tuesday, August 28, 2012




Ayat ini diturunkan setelah hijrah. Semasa penurunannya ia telah diiringi oleh beribu-ribu malaikat kerana kehebatan dan kemuliaannya. Syaitan dan iblis juga menjadi gempar kerana adanya satu perintang dalam perjuangan mereka. Rasullah s.a.w. dengan segera memerintahkan Zaid bt sabit menulis serta menyebarkannya. 

Sesiapa yang membaca ayat Kursi dengan khusyuk setiap kali selepas sembahyang fardhu, setiap pagi dan petang, setiap kali keluar masuk rumah atau hendak musafir, InsyaAllah akan terpeliharalah dirinya dari godaan syaitan, kejahatan manusia, binatang buas yang akan memudaratkan dirinya bahkan keluarga, anak-anak, harta bendanya juga akan terpelihara dengan izin Allah s. w. t. 

Mengikut keterangan dari kitab ”Asraarul Mufidah” sesiapa mengamalkan membacanya setiap hari sebanyak 18 kali maka akan dibukakan dadanya dengan berbagai hikmah, dimurahkan rezekinya, dinaikkan darjatnya dan diberikannya pengaruh sehingga semua orang akan menghormatinya serta terpelihara ia dari segala bencana dengan izin Allah. Syeikh Abu Abbas ada menerangkan, siapa yang membacanya sebanyak 50 kali lalu ditiupkannya pada air hujan kemudian diminumnya, InsyaAllah Allah akan mencerdaskan akal fikirannya serta Fadhilat Ayat Al-Kursi mengikut Hadis-Hadis Rasullullah s. a. w. bersabda bermaksud: 

“Sesiapa pulang ke rumahnya serta membaca ayat Kursi, Allah hilangkan segala kefakiran di depan matanya.”

Sabda baginda lagi; 

“Umatku yang membaca ayat Kursi 12 kali pada pagi Jumaat, kemudian berwuduk dan sembahyang sunat dua rakaat, Allah memeliharanya daripada kejahatan syaitan dan kejahatan pembesar.”

Orang yang selalu membaca ayat Kursi dicintai dan dipelihara Allah sebagaimana Dia memelihara Nabi Muhammad. Mereka yang beramal dengan bacaan ayat Kursi akan mendapat pertolongan serta perlindungan Allah daripada gangguan serta hasutan syaitan. Pengamal ayat Kursi juga, dengan izin Allah, akan terhindar daripada pencerobohan pencuri. Ayat Kursi menjadi benteng yang kuat menyekat pencuri daripada memasuki rumah. Mengamalkan bacaan ayat Kursi juga akan memberikan keselamatan ketika dalam perjalanannya. 

Amalkan membaca ayat kursi sebelum dan semasa perjalanan

Ayat Kursi yang dibaca dengan penuh khusyuk, Insya-Allah, boleh menyebabkan syaitan dan jin terbakar. Jika anda berpindah ke rumah baru maka pada malam pertama anda menduduki rumah itu eloklah anda membaca ayat Kursi 100 kali, insya-Allah mudah-mudahan anda sekeluarga terhindar daripada gangguan lahir dan batin. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah mewakilkan 2 orang Malaikat memeliharanya hingga subuh. 

Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir setiap sembahyang Fardhu, ia akan berada dalam lindungan Allah hingga sembahyang yang lain. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap sembahyang, tidak menegah akan dia daripada masuk syurga kecuali maut, dan barang siapa membacanya ketika hendak tidur, Allah memelihara akan dia ke atas rumahnya, rumah jirannya & ahli rumah2 di sekitarnya. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi diakhir tiap-tiap sembahyang Fardhu, Allah menganugerahkan dia hati-hati orang yang bersyukur perbuatan2 orang yang benar, pahala nabi2 juga Allah melimpahkan padanya rahmat. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah mengutuskan 70,000 Malaikat kepadanya, mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya. 

Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir sembahyang Allah azza wajalla akan mengendalikan pengambilan rohnya dan ia adalah seperti orang yang berperang bersama nabi Allah sehingga mati syahid. Barang siapa yang membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya.

Monday, August 27, 2012

AKU TIDAK AKAN MENGELUH


 “Satu hari, aku berada di Baitul Haram. Muncul seorang wanita yang bersinar dan berseri-seri wajahnya. Demi Allah! Belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu. Mungkin wanita itu tidak pernah risau dan bersedih hati.”
Desis Abul Hasan, didengari wanita itu.

“Apakah benar yang kau katakan tadi saudaraku? Demi Allah! Aku ini hanya manusia biasa. Tetap terbelenggu oleh rasa sedih, terluka dan kecewa.”
Abul Hasan bertanya “Jika begitu, apakah perkara yang membuatkan engkau pernah bersedih?”
Kepada Abul Hasan, wanita itu menceritakan rentetan kisahnya yang menyayat hati.

Dahulu, aku punya seorang suami yang baik. Hidup kami bahagia dikelilingi tiga orang anak. Dua daripadanya sudah boleh bermain sendiri dan seorang lagi masih bayi. Hari itu, suami menyembelih kambing sebagai korban. Sedang aku memasak di dapur, anak sulungku berkata kepada adiknya.

“Adik, sukakah kamu kalau aku tunjukkan bagaimana caranya ayah menyembelih kambing?”
Adiknya menjawab, “Mahu, bagaimana?”


Lalu dia membaringkan adiknya dan disembelih leher adiknya itu. Setelah melihat darah yang berhamburan, anakku itu ketakutan lalu lari ke kawasan bukit. Suamiku yang bimbang terus pergi mencarinya. Beberapa hari berlalu, mereka masih tidak pulang. Aku terpaksa pula menyusul. Anakku yang masih bayi kutinggalkan di rumah sendirian.

Tiba di kawasan bukit, aku menemui suamiku yang sudah mati kehausan. Tidak lama kemudian aku temui cebisan baju anakku yang sudah dimakan serigala. Mereka telah mati. Aku pulang ke rumah dengan sedih. Sampai di rumah, aku melihat bayiku pula sudah ditimpa periuk berisi air panas. Habis melecur tubuhnya dan dia tidak lagi bernyawa. Sepeninggalanku tadi, bayi itu mungkin telah merangkak ke dapur dan ditimpa periuk itu.

Berita sedih ini kusampaikan kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di tempat lain. Kerana terlalu terkejut, dia jatuh pengsan dan akhirnya meninggal dunia. Kematian seorang demi seorang orang yang kusayangi berlaku sekelip mata. Kini tinggal aku sebatang kara.

Abul Hassan yang mendengar kisah itu menyimpan rasa kagum. Dugaan yang diberi kepada wanita itu sangat berat. Kalau tidak kuat dan tabah, mungkin seseorang boleh menjadi gila atau membunuh diri sendiri. Manakan tidak? Kematian ahli keluarga berlaku dalam tempoh yang terlalu singkat dan bersangkut paut antara satu sama lain.

Abul Hassan bertanya, "Alangkah besarnya musibah yang kau terpaksa terima. Bagaimanakah engkau bersabar dengan ujian ini?”

Wanita itu menjawab, "Tiada seorang pun yang dapat membezakan antara sabar dengan mengeluh melainkan ia menemui jalan yang berbeza di antara keduanya. Adapun sabar itu dengan memperbaiki yang lahir, ia adalah hal yang baik dan terpuji. Dan adapun mengeluh, maka kita tidak akan mendapat ganti melainkan sia-sia belaka.

Aku tidak akan mengeluh dengan apa yang telah berlaku. Aku redha kehilangan mereka kerana mungkin itulah yang terbaik dari Allah SWT.”

Friday, August 17, 2012


Menggali Makna Roh Ramadan




Ramadan sudah memasuki fasa terakhir dan ketika inilah umat Islam memikirkan perjalanan pulang ke kampung bertemu sanak saudara sebagai kemuncaknya.
Warga kota merasakan meraikan perayaan besar di kota besar tidak semeriah di kampung dan kerana itu sebahagian daripada kita lupa bahawa roh Ramadan itu hanya semata-mata suatu pengorbanan sebelum layak meraikan hari kemenangan.
Roh Ramadan lebih besar daripada apa yang dipaparkan oleh saluran media dengan memainkan lagu-lagu bercorak kegembiraan, kanak-kanak bermain bunga api, pemberian duit raya ataupun memakai pakaian serba baharu.
Roh Ramadan melangkaui sempadan sosiobudaya, kerana sepanjang bulan yang dikenali juga sebagai bulan ibadat ialah mendekatkan diri dengan Allah SWT bagi memperoleh rahmat-Nya kerana setiap muslimin percaya, tanpa bantuan dan restu-Nya, tiada kemeriahan, kebahagiaan dan ketenangan dalam hidup.
Mencari bahagia menerusi pendekatan agama adalah berbeza dengan kaedah lain yang bersifat fizikal atau kebendaan.
Ada orang memandang kebahagiaan itu sebagai pemenuhan sumber fizikal yang boleh menghasilkan lebih banyak wang, manakala mereka yang memahami kebahagiaan dalam konteks agama adalah memperoleh keberkatan dan ketenangan hasil pengabdian dirinya kepada Allah SWT.
Sepanjang Ramadan, terutamanya pada hari-hari terakhirnya terdapat satu malam yang amat dinantikan oleh umat Islam yang melihat kebahagiaan itu pada tahap kepuasan spiritual. Malam itu dikenali sebagai Lailatulqadar dan pada malam tersebut bagi setiap orang membawa keberkatan di mana nilai kebahagiaan yang terpancar darinya melebihi ganjaran seribu bulan.
Nilai gandaan kerahmatan itu membayangkan bahawa tiada ukuran yang pernah dicipta oleh manusia boleh menandingi, termasuk usaha para ilmuwan Barat dalam melengkapkan katalog indeks kebahagiaan sejagat. Pengalaman individu mencari malam itu merupakan pengalaman batin yang seterusnya mempengaruhi jalur kehidupan selanjutnya, kerana pencarian tersebut dilakukan dalam suatu tahap kemurnian ibadat dan kesempurnaan ritual serta penetapan iktikad.
Di sisi Allah SWT setiap orang berpeluang meraih kemenangan itu tetapi perjalanan spiritual tersebut tidak mampu dicapai semua orang. Period sepuluh malam terakhir itu adalah suatu kemuncak tahap kerohanian dan ia perlulah didahului dengan langkah permulaan sejak tibanya fajar Ramadan.
Hampir 15 abad yang lalu, dalam bulan Ramadan ayat pertama yang memberikan panduan menjalani kehidupan bagi manusia diturunkan menerusi perantaraan Nabi Muhammad SAW. Secara bertahap-tahap seluruh kandungan pernyataan perintah, keterangan peranan dan tanggungjawab, kaedah menjalani hidup dan bermasyarakat, peraturan ritual dan kerangka ad-din disempurnakan sehingga janji Allah SWT bahawa ‘Islam sudah disempurnakan’ manakala seluruh kandungan al-Quran tetap dipertahankan sampai bila-bila.
Pengajaran pertama yang dapat disimpulkan adalah walaupun manusia dibekalkan kebolehan berfikir dan kecekapan mengatasi apa sahaja rintangan dalam kehidupannya, manusia masih belum mampu melawan kehendak-Nya. Atas kehendak-Nya jugalah manusia beroleh kejayaan atau kegagalan.
Bagaimanapun, cara memburu malam itu bukanlah dengan menunggu sepanjang malam, ia perlu dipenuhi dengan ritual yang melambangkan nilai ketakwaan dan keimanan yang kudus. Jika menunggu dengan berjaga malam semata-mata, ia tidak akan menemuinya kerana penantian itu bukanlah dilakukan secara ikhlas dan jujur.
Dengan memenuhi penantian melalui peribadahan, iaitu mendekatkan diri kepada Allah SWT sambil menyedari dosa dan kesilapan sebelumnya sambil beriktikad untuk tidak mengulanginya, ritual kudus dan penuh kesedaran itulah yang mampu menemukannya. Bagaimanapun, malam itu tidak ada pada bulan-bulan lain, hanya khusus pada bulan Ramadan.
Tentu saja, dalam mencari dan memburu Lailatulqadar ada batas etika dan peraturan rohaniah yang perlu kita patuhi. Janganlah kerana terlalu ghairah dalam berburu Lailatulqadar, kita menghalalkan segala cara dengan mengamalkan praktik keagamaan yang menyimpang dan melanggar batasan-batasan agama.
Ada kalanya dalam ritual keagamaan kita memburu seribu bulan tercemar dengan amalan-amalan yang tidak diiktiraf oleh nas al-Quran dan Sunnah. Malah terjerumus dengan ajaran sesat yang mengatas namakan kepercayaan dan ritual Islam. Sesungguhnya menjadi kewajaran kepada umat Islam untuk mengekspresi ibadahnya di bulan yang penuh barakah ini. Akan tetapi perlu diingat bahawa seseorang yang menjalankan ibadah puasa itu mesti mempunyai persediaan zahir dan batin yang kukuh. Jika tidak, ia hanya akan menjadi ritual keagamaan kosong yang tidak mempunyai makna.
Kebanyakannya kita tidak menyedari bahawa sesungguhnya kita tidak layak mendapatkan anugerah Lailatulqadar. Ini kerana dalam diri kita sendiri ada berbagai-bagai ‘penyakit’ spiritual yang akan menjadi tabir dan penghalang kepada kita daripada menerima keberkatan dan kemuliaan Lailatulqadar. Sebagai satu peristiwa abstrak yang tidak dapat digambarkan secara definitif, Lailatulqadar menjadi sempadan kepada umat Islam dalam mengukur tingkat kesolehan dan ketaatan manusia terhadap Tuhannya.
Apabila seseorang itu memperoleh kesedaran spiritual, seluruh sikap dan perspektif yang menentukan prinsip hidupnya akan bertukar. Jiwa amarahnya bertukar kepada ketenangan dan setiap musibah diterimanya dengan lapang dada, hikmah dan petunjuk bahawa masih belum sampai tahap kesempurnaan dalam hidup sebagaimana dikehendaki oleh Allah SWT.
* Artikel ihsan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)


 Islam tidak pernah memberi keputusan secara putus dalam masalah seperti ini, malah ianya melihat dalam berbagai aspek untuk menjaga kebaikan dan masalahat serta menjauhi keburukan dan kerosakan. Sepanjang sejarah Islam, wanita tidak pernah di penjara atau dikurung dan diasingkan dalam bilik mereka sahaja, sebagaimana yang berlaku di masa kejatuhan Islam.

Wanita pada masa Rasulullah s.a.w dibenarkan mengunjungi masjid sebagaimana sabda baginda yang bermaksud: “Janganlah kamu halangi hamba Allah (wanita) menghadiri  rumah Allah.”

Rasulullah s.a.w menyediakan ruang belakang untuk wanita di masjid. Pada peringkat awal pintu wanita sama saja dengan pintu yang dilalui kaum lelaki ke masjid sehingga berlaku kesesakan, barulah Rasulullah mencadangkan satu pintu khusus untuk kaum wanita sehingga pintu itu dikenali sehingga ke hari ini sebagai “Babun Nisaa”. Mereka juga pada masa itu menghadiri sembahyang Jumaat dan mendengar khutbah serta sembahyang Hari Raya.

Imam Muslim ada meriwayatkan bahawa Ummu Atiah ada mengatakan kami disuruh keluar pada dua hari raya samada yang masih gadis remaja,dewasa dan lain. Kata kami, antara kami tidak ada jilbab? Jawab Rasulullah s.a.w, “ Dia boleh pinjam baju saudaranya”. Mereka juga menghadiri majlis ilmu yang diadakan oleh Rasulullah s.a.w. bersama kaum lelaki dan mereka bertanya mengenai urusan agama yang berkaitan dengan wanita sehingga Ummul Mukminin Aisyah pernah memuji wanita Ansar yang tidak mahu ketinggalan untuk mempertingkatkan kefahaman mereka dalam agama mereka juga menyertai sama di medan peperangan dan mara untuk memberi khidmat dan bantuan kecemasan kepada tentera Islam malah ada yang berjuang sama menentang musuh sebagaimana yang dapat dilihat dalam banyak hadis daripada Ummu Atiah, Aisyah, Ummu Sulaim, Ummu Amarah dan lain-lain.

Dalam kehidupan harian wanita merupakan pendakwah yang dapat menyuruh dengan kebaikan dan melarang kemungkaran sepertimana firman Allah s.w.t bermaksud: “Orang mukmin lelaki dan wanita sama bertanggung jawab, mereka menyuruh dengan makruf dan mencegah dari kemungkaran.” (at-Taubah: 71)

Di dalam al-Quran kita dapati bagaimana dua gadis remaja bertemu dan bercakap dengan Nabi Musa a.s dan bagaimana Nabi Musa a.s membantu mereka berdua dan bagaimana salah seorang daripada mereka datang dalam keadaan tersipu malu untuk menjemput Nabi Musa a.s datang ke rumahnya (al-Qasas: 23)

Perbuatan menahan wanita dalam rumah dan mengunci bilik mereka adalah tindakan yang dikenakan pada awal Islam terhadap wanita yang melakukan kesalahan zina dan perbuatan sumbang sebelum ayat hudud diturunkan. Alangkah ganjil kefahaman kita hari ini sehingga tindakan itu dikenakan terhadap wanita yang terpelajar dan berakhlak mulia dan berpotensi dalam membela nasib bangsa dan agama.

Jadi, separuh kekuatan umat Islam akan terhilang dan terbuang begitu sahaja kerana kaum wanita itu adalah sebahagian (separuh) umat Islam. Sepatutnya mereka diberi peluang untuk mempertingkatkan peranan mereka sebagai pejuang Islam di samping kaum lelaki.

Ringkasnya, perjumpaan antara lelaki dan wanita adalah harus dan dilarang malah digalakkan mereka keluar untuk tujuan yang baik seperti pelajaran,pembangunan, urusan kebaikan dan kebajikan. Ini tidak bererti Islam membenarkan pergaulan bebas yang dianjurkan oleh barat sehingga tidak ada sebarang sekatan dan batasan antara mereka. Sebab itu Islam mengutarakan beberapa peraturan dan adab dalam setiap perjumpaan  tersebut.

Antara adab dan peraturan itu ialah:
  • Mengawal pandangan masing- masing, jangan melihat aurat atau melihat dengan rasa keinginan dan nafsu seks.
  • Masing- masing menutup  dan berpakaian sopan dan tidak mendedahkan  aurat.
  • Tidak berlaku sebarang godaan pujuk cumbu atau kelakuan yang boleh membawa kepada apa yang ditegah seperti deraan seks dan sebagainya.
  • Berlaku dalam batasan dan adab sopan yang dianjurkan oleh agama.
  • Mengelak dari berdua-duaan di tempat yang sunyi atau tertutup.
  • Pertemuan itu tidak melebihi kadar hajat dan keperluan sahaja. Bilamana peraturan  ini dapat dipenuhi maka tidak ada sebab pergaulan itu tidak dibenarkan untuk kebaikan umat Islam seluruhnya terutama kaum wanita itu sendiri.

Susunan SYUHADAH ABDULLAH
ummatanwasatan.net
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...