Saturday, September 29, 2012

SAINS BUKTI SEMBELIHAN ISLAM KAEDAH TERBAIK



Umat Islam menyambut Aidiladha setiap tahun walaupun pada masa sama masyarakat bukan Islam di Barat terus mempersoalkan mengapa Islam membenarkan perbuatan kejam dan ganas terhadap haiwan.

Barat termasuk aktivis hak asasi haiwan menganggap perbuatan menyembelih haiwan yang dilakukan umat Islam mempamerkan sikap tidak berperikemanusiaan kerana banyak darah tertumpah ke bumi terutama ketika amalan korban pada Aidiladha. Malah, ketika kempen keganasan sibuk dilancarkan oleh Barat, mereka menggunakan alasan amalan korban ini sebagai satu daripada hujah mereka bagi membuktikan betapa Islam mengajar umatnya menjadi ganas.

Di Barat, undang-undang mereka memperuntukkan supaya haiwan dikenakan kejutan elektrik di kepala sebelum dibunuh, kononnya bagi memastikan haiwan itu pengsan terlebih dulu sebelum ia dibunuh. Selain itu, kononnya tindakan mereka itu bertujuan untuk menghalang binatang berasa sakit sebelum ia mati.

Tetapi sekali lagi apakah pandangan Barat ini benar? Pendirian Islam mengenai apa yang boleh dimakan dan apa yang diharamkan adalah jelas terutama membabitkan daging.

Dalam Surah al-Maidah ayat 5, Allah menyatakan:
"Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan mati dipukul, dan mati jatuh, dan mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih, dan yang disembelih atas nama berhala." (Tafsir al-Rahman, Jakim).

Selain itu, Islam juga mengharamkan memakan daging haiwan tanpa disembelih seperti mencucuk leher, menghempap dengan batu atau cara selain daripada sembelihan. Islam mengajar supaya sembelihan dilakukan dengan pisau tajam bagi memotong bahagian leher untuk memutuskan dua urat utama atau urat mareh. Kaedah ini dikaji pakar Jerman.

Pakar itu, Profesor Wilhelm Schulze dan rakannya, Dr Hazim di Sekolah Perubatan Veterinar, Universiti Hannover, Jerman, mencari kaedah terbaik proses mematikan haiwan bagi mendapatkan daging yang bersih dan segar.

Kajian itu bertajuk, "Cubaan untuk mengesan kesakitan dan rasa sedar mengikut kaedah konvensional dan agama ketika menyembelih lembu atau kambing", menyimpulkan kaedah Islam terbaik kerana lebih berperikemanusiaan. Mereka menyimpulkan bahawa amalan mengenakan kejutan elektrik ke atas haiwan sebelum dibunuh seperti yang diamalkan oleh Barat, mendatangkan kesakitan yang amat sangat pada haiwan.

Dalam kajian itu, beberapa alat pengesan dipasang di pelbagai tempat pada otak haiwan. Alat itu dimasukkan menerusi pembedahan khas dan haiwan terbabit dibiarkan untuk pulih selama beberapa minggu. Beberapa ekor haiwan itu disembelih mengikut kaedah Islam menggunakan tindakan pantas, memotong urat leher dengan pisau tajam. Beberapa ekor haiwan lain dibunuh mengikut kaedah barat menggunakan Pistol Kejutan (CBP).

Ketika ujian dijalankan, rekod electroencephalograph (EEG) dan electrocardiogram (ECG) dicatatkan bagi mengetahui keadaan otak dan jantung semua haiwan terbabit ketika proses penyembelihan dan kaedah CBP. Hasil ujian mendapati menurut kaedah Islam, tiga saat pertama ketika disembelih, EEG tidak mencatatkan sebarang perubahan pada graf sama seperti sebelum penyembelihan.

Keadaan itu membayangkan bahawa haiwan itu tidak berasa sebarang kesakitan ketika atau sebaik saja pisau memotong urat leher terbabit. Untuk tiga saat kedua, EEG mencatatkan keadaan tidur lena atau tidak sedar diri. Ini disebabkan banyak darah mengalir keluar dari badan. Selepas enam saat, EEG mencatatkan paras sifar, menunjukkan haiwan itu tidak merasai sebarang kesakitan. Ketika mesej otak (EEG) jatuh ke paras sifar, jantung masih mengepam dan badan haiwan masih dapat bergerak akibat tindak balas daripada saraf tunjang, menyebabkan semua darah keluar dari badan haiwan menghasilkan daging yang selamat untuk dimakan, menurut penyelidikan itu.

Bagaimanapun, ketika mengkaji kaedah CBP, haiwan dikesan terus pengsan sebaik saja menerima tembakan CBP dan EEG menunjukkan bacaan amat sakit pada haiwan itu. Jantung haiwan itu berhenti berdenyut lebih awal selepas terkena kejutan berbanding haiwan yang disembelih. Keadaan itu menyebabkan banyak darah masih terkumpul dalam daging dan ia sebenarnya tidak selamat untuk dimakan.

Kajian terbaru juga menunjukkan kaedah mematikan haiwan yang digunakan oleh Barat dan bukan Islam, turut dikatakan menjadi punca kepada penularan wabak penyakit lembu gila daripada haiwan kepada manusia. Kaitan ini didedahkan menerusi kajian yang dijalankan oleh Universiti Texas A&M dan Agensi Pemeriksaan Makanan Kanada. Ia menyatakan, kaedah kejutan pneumatik (iaitu menembak bola besi ke otak lembu diikuti dengan mengenakan tekanan udara tinggi) menyebabkan kerosakan tisu otak serta saraf tunjang haiwan itu.

Laporan ini amat menggemparkan kerana tisu otak dan saraf tunjang adalah bahagian yang paling terjejas teruk kerana dijangkiti penyakit lembu gila dan apabila ia hancur akibat kaedah berkenaan, bakteria serta protein penyakit lembu gila akan merebak ke daging.

Malah, lebih menggemparkan, kaedah ini digunakan ke atas 30 hingga 40 peratus lembu yang dimatikan untuk diambil dagingnya di Amerika Syarikat. Malah, kajian lain yang dijalankan di seluruh dunia juga mendapati daging menjadi lebih lembut berbanding daging yang tidak disembelih menurut Islam seperti ujian yang dijalankan ke atas ayam sembelih dan tidak sembelih.

Kajian terbabit jelas membuktikan bahawa penyembelihan menurut kaedah Islam adalah cara yang terbaik bukan saja untuk kebaikan haiwan itu sendiri tetapi juga memberi manfaat kesihatan kepada manusia. Selain itu, Islam mengenakan beberapa langkah lain bagi memastikan penyembelihan ini dapat disempurnakan dengan lebih baik.

Dalam aspek ini, Nabi Muhammad SAW pernah mengarahkan supaya sentiasa belas kasihan terhadap haiwan dengan memastikan pisau yang digunakan benar-benar tajam bagi mengurangkan rasa sakit. Islam menjelaskan, proses menyembelih perlu dilakukan dengan pantas bagi memutuskan salur darah ke saraf otak kerana saraf ini yang menghantar mesej kesakitan kepada otak.

Dengan itu, haiwan tidak akan berasa sakit ketika disembelih. Pergerakan dan kekejangan yang berlaku selepas haiwan itu disembelih, bukan akibat kesakitan tetapi akibat denyutan diikuti keadaan tenang. Proses itu menyebabkan darah dikeluarkan dari badan sepenuhnya, kata Dr Aisha El-Awady, yang menulis dalam Islamonline pada 2003.

Selain itu, Sunnah Nabi Muhammad SAW juga menegaskan, adalah tidak wajar seseorang penyembelih, menajamkan pisaunya di depan haiwan yang akan disembelih atau menyembelih seekor haiwan itu di depan haiwan lain. Menjelaskan lagi proses penyembelihan Islam, Dr Aisha menyatakan, kaedah Islam juga memastikan saluran udara, kerongkong dan dua urat leher dipotong tanpa menjejaskan saraf tunjang.
Kaedah ini membolehkan darah keluar membuak-buak dari badan haiwan dan menghasilkan daging yang bersih.

Jika saraf tunjang terputus, fiber saraf ke jantung akan rosak menyebabkan jantung terhenti dan darah akan terkumpul di dalam daging. Darah perlu dikeluarkan sepenuhnya sebelum kepala dicerahkan. Keadaan ini akan membersihkan daging itu kerana darah bertindak sebagai perantara kepada mikro organisma,? kata Aisha dalam kajiannya.

Dengan bukti ini, seharusnya aktivis hak asasi Barat berkempen supaya menggunakan kaedah Islam ketika proses penyembelihan serta mensasarkan kecaman mereka terhadap kaedah selain daripada Islam yang terbukti kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Sumber : Blog Al-marhum Mohd Fadhiri bin Rakiah (Mohamad ARiffin)
www.fadhiri.com

Friday, September 28, 2012

TEKNIK BERTENGKAR SECARA POSITIF




 Rasulullah bersabda, "Sesiapa meninggalkan perdebatan, sedang dia berada di pihak yang benar, dibina untuknya sebuah rumah di tengah-tengah syurga."(Riwayat Anas Bin Malik)

Tidak indahkah dijanjikan dengan sebuah rumah di tengah-tengah syurga? Sekalipun kita di pihak yang benar, namun untuk mengelakkan perbalahan berpanjangan, mengalah sahajalah.

Rugikah kalau beralah? Bagi sesetengah orang yang mementingkan diri sendiri mungkin tidak munasabah jika mahu beralah tetapi apa kata kalau saya katakan "orang yang beralah akan menang besar kemudiannya?"

Pergaduhan suami isteri akan sentiasa berlaku. Bak lagu P.Ramlee "Sedang lidah lagi tergigit". Anda tidak akan sentiasa boleh berkata "ok" kepada isteri anda begitu juga dia. Setiap kali pergaduhan berlaku, pasti akan ada hati yang akan terluka terutamanya hati orang perempuan yang memang diketahui tidak dapat diramalkan.

Jika pergaduhan itu berpunca daripada sesuatu yang sangat kecil, maka jika kita perbesarkan, maka akan terlihatlah peribadi sebenar seseorang itu. Sungguh akan terlihat betapa hodoh sekali seseorang itu tambahan pula, mulutnya mudah sekali melancangkan kata-kata yang tidak sedap didengar.

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Orang mukmin bukan seorang pencela, bukan seorang pengutuk, bukan seorang yang keji dan bukan seorang yang berkata kotor." (Riwayat Ibnu Mas'ud RA)

Dalam sabda ini, dapatlah kita fahami bahawa orang yang berkata keji bukanlah orang mukmin sebenar. Betapa iman kita dapat disukat dengan perlakuan yang sangat keji ini.

Pernahkah anda melihat pergaduhan suami isteri ini daripada sudut yang positif? Sebenarnya, pergaduhan akan menyebabkan terbentuknya satu penyatuan pelbagai perkara termasuklah cita rasa dan impian pasangan itu. Bagi mencapai tujuan inilah kita sering bertelingkah dengan pasangan untuk mencapai sesuatu yang terbaik. Tidaklah saya maksudkan pergaduhan adalah baik, namun hal ini adalah lebih baik daripada kita berdiam dan tidak berbincang sehingga akhirnya tidak ada penyatuan antara suami dan isteri.

Justeru, pergaduhan menjadi medium kepada pasangan dalam menyatukan kasih sayang. Setiap individu akan melahirkan perasaan tidak puas hati dan sebagainya. Maka, di sini adalah tempat untuk mencurahkan perasaan. Jadi, janganlah memendam perasaan sehingga jiwa kita menjadi tertekan ibarat belon yang akan pecah akibat ditiup dengan angin yang kuat. Jika tidak diluahkan, pasangan anda tidak mungkin akan tahu perkara yang ada dalam hati anda.

Di sini, saya akan kongsikan beberapa tip untuk bertengkar secara positif:

1. Jangan terlampau banyak bercakap 
� Ketika bertengkar, hati masing-masing pasti dalam keadaan marah. Ketika marah, pasti perkara yang logik sekalipun tidak diterima melainkan masing-masing mahu menegakkan pendapat masing-masing. Jika anda sebagai suami mempunyai hak untuk bercakap sekalipun, kurangkan daripada terlalu menegakkan pendapat anda sendiri. Hal ini akan mencetuskan perasaan tidak puas hati kepada pasangan anda sehingga perlahan-lahan dia akan menjadi bosan dengan anda. Yang perlu anda lakukan adalah dengan memikirkan secara mendalam cara untuk mem-betulkan keadaan.

2. Jangan menyebut kelemahan pasangan 
� Bukan hanya isteri anda yang mempunyai kelemahan, anda juga ada ke-lemahan sendiri. Jadi, dengan mengungkit kelemahan dia, anda akan turut merangsang pasangan mengungkit kelemahan anda. Lagi pula, anda tidak akan menang dengan hanya mengungkit sebegini tetapi menyebabkan keadaan lebih parah. Jika mahu menegur pasangan, minta dia meluahkan ketidak-puasan hatinya tentang anda dahulu supaya apabila giliran anda nanti, dia tidak akan meninggikan suara.

3. Jangan membalas perbuatannya 
� Sebagai contoh, pasangan anda bermesra-mesra dengan lelaki sebelah rumah. Anda mahu membuatkan dia sedar bahawa perbuatannya salah. Jangan anda pula bermesra-mesra dengan perempuan lain di hadapan dia. Keadaan ini hanya memberi peluang yang lebih kepada isteri anda untuk menjauhi anda. Akhirnya, anda turut terlibat dalam menjarakkan perhubungan anda sendiri.

4. Jangan cuba mengubah pasangan 
� Anda dibesarkan dalam keluarga "begini", isteri anda dibesarkan dalam keluarga "begitu". Pastilah terdapat perbezaan antara kedua-duanya. Anda harus memahami bahawa cara dia melihat sesuatu pasti tidak sama dengan pandangan anda.

5. Fokus pada masalah 
� Jangan meleret-leret sehingga perkara yang bukan masalah akhirnya akan turut menjadi masalah.

6. Jangan tinggikan suara 
� Semakin tinggi suara kita ketika bergaduh, semakin tinggilah suara pasangan kita nanti. Pergaduhan seperti ini tidak akan menjadikan keadaan semakin baik malah semakin kusut. Cubalah bercakap dengan tenang sehingga isteri anda yang sedang marah akan turut tenang dan seterusnya dapat menyelesaikan masalah dengan lebih cepat.

7. Gunakan panggilan manja 
"Ada pasangan yang pada masa biasa menggunakan panggilan "sayang" atau "manja" tetapi ketika bergaduh, keadaan akan beralih sebaliknya. Panggilan kasar mengambil alih menyebabkan pasangan anda merasakan dirinya rendah sekali. Jangan emosi sehingga tergamak menggunakan panggilan kasar termasuklah "aku" dan "kau".

8. Elakkan terlalu emosional 
� Ketika sesi bergaduh ini, pasti pasangan anda akan selalu terlepas mulut. Jadi, jangan ambil perkara yang dikatakannya terlalu serius memandangkan ketika sedang bergaduh, seseorang itu cenderung berkata yang tidak-tidak terhadap lawannya.

9. Gunakan perkataan yang baik-baik 
� Selain menggunakan panggilan manja, gunakanlah juga perkataan yang tidak menyalahkan. Perkara ini akan menyebabkan masalah akan cepat selesai. Antara contoh perkataan yang boleh anda gunakan ialah, "Abang rasa sayang tak patut buat macam ni," berbanding "Ni semua salah engkaulah!"

10. Jangan bertengkar di depan makanan atau di tempat tidur 
� Hal ini kerana tempat tersebut sepatutnya tempat kita menjamu selera dan bermesra-mesra sesama sendiri.

11. Dengar luahan isteri 
� Mungkin sahaja perkara yang disampaikan oleh isteri anda itu dapat menyelesaikan masalah. Jika anda hilang tumpuan ketika ini, bukan sahaja anda akan kehilangan idea yang baik malah anda menggunakan cara sendiri yang belum tentu dapat menyelesaikan masalah anda berdua.

12. Jangan bergaduh di depan anak 
� Dengan bergaduh di hadapan anak, anda hanya akan membuatkan anak keliru dan mengadili sama ada ibu atau bapa mereka yang berada di pihak benar atau salah. Perkara yang lebih menakutkan akan berlaku jika anak anda menceritakan keadaan anda berdua kepada orang luar. Hal ini akan menjejaskan imej anda sekeluarga.

13. Bersabar 
� Sekalipun anda lelaki dan anda lebih kuat secara fizikal berbanding dengan isteri anda, jangan sekali-kali anda cuba untuk mengasari isteri anda. Dibimbangi dia juga akan belajar untuk melawan dan membaling segala jenis pinggan mangkuk ketika bergaduh pada masa lain.

14. Say NO to third party 
� Selagi terdaya menyelesaikan masalah anda sendiri, jangan libatkan orang lain. Campur tangan pihak ketiga kebanyakannya hanya menyulitkan keadaan. Sekiranya perlu, pilihlah orang yang adil untuk menyelesaikan masalah anda.

15. Mengalah tidak bererti kalah 
� Mengalah ketika saat genting ini tidak menunjukkan anda kalah. Anda hanya perlukan masa untuk membuktikan bahawa tindakan anda sebenarnya betul.

16. Jangan keluar dari rumah sebelum selesai 
� Selalu menonton drama di TV? Kebanyakannya menunjukkan suami akan segera meninggalkan rumah semasa bergaduh untuk memudahkan cerita. Tindakan ini sebenarnya akan menyebabkan isteri anda ditinggalkan dalam keadaan keliru. Hal ini menyebabkan dia akan berasa tertekan dan anda perlu ingat bahawa anak-anak akan ditinggalkan bersamanya di rumah. Perempuan yang hilang kewarasan akibat tekanan yang dahsyat akan menyebabkan mereka akan bertindak yang bukan-bukan. Mungkin sahaja dia akan memudaratkan dirinya atau anak-anak anda boleh menjadi mangsa keadaan. Sekiranya anda rasa tidak dapat menahan marah, beritahu isteri anda bahawa anda perlukan sedikit ketenangan dan hal ini lebih menampakkan rasa tanggungjawab anda terhadap permasalahan anda berdua.

17. Luahkan 
� Selain menjadi pendengar kepada permasalahan isteri, anda turut perlu meluahkan perasaan anda. Tunggu sehingga dia habis berbicara sebelum anda menyambung pendapat anda. Sekiranya anda tidak memberitahu keadaan sebenar anda, belum tentu dia dapat memahami keadaan anda.

18. Pelukan dan kemaafan 
� Hal inilah detik paling indah dalam pergaduhan. Setelah dirasakan masalah telah selesai, jangan melewatkan detik untuk memeluk pasangan anda seeratnya. Ucapkan perkataan maaf dan berharap agar perkara seperti itu tidak akan berlaku lagi. Keadaan ini akan menyebabkan perhubungan anda selepas itu lebih erat dan mantap dengan satu kesatuan hati yang lebih hebat.

 Disalin dari iluvislam.com

Thursday, September 27, 2012

NILAI TAKWA DI SEBALIK RAMADHAN



Puasa yang kita sedang kita jalani ketika ini sebagai salah satu Rukun Islam, bertujuan agar kita bertakwa kepada Allah s.w.t. Sebagai seorang Muslim, kita wajib menerima dan menyambutnya dengan rasa penuh kesyukuran.

Dalam beberapa hadis ditegaskan bahawa puasa adalah suatu ibadah yang sangat peribadi. Dalam satu hadis kudsi, Nabi s.a.w bersabda: “Daripada Abu Shalih Az-Zayyat, ia mendengar Abu Hurairah berkata, Rasulullah bersabda, Allah berfirman, “Setiap amal anak Adam bagi dirinya, kecuali puasa; puasa itu untuk-Ku dan Akulah yang menanggung pahalanya.” (Riwayat Bukhari)

Jadi, semua perbuatan umat manusia itu untuk dirinya sendiri kecuali puasa. Ini kerana puasa merupakan ibadah yang sangat peribadi dan tidak ada yang tahu apakah kita berpuasa atau tidak kecuali kita sendiri dan Allah s.w.t. Kalau orang solat, maka perbuatan itu dapat diketahui orang. Begitu juga dengan zakat dan haji.

Justeru, ketika kita berpuasa kemudian kita merasa sangat haus dan dahaga dan tiba-tiba tersedia pula dihadapan kita segala jenis minuman atau makanan, tetapi kita dapat menahannya. Ini merupakan satu latihan untuk menyedari tentang kehadiran Allah s.w.t dalam kehidupan kita. Kita tidak akan minum padahal kita sendirian, kerana kita meyakini bahawa Allah s.w.t mengawasi dan menuntut pertanggungjawaban kita.

Puasa dengan ajaran takwanya sesungguhnya melatih kita untuk jujur kepada diri sendiri. Jujur kepada Allah s.w.t bererti jujur kepada diri sendiri. Jika kita menyedari adanya Tuhan, dan menyedari hadirnya Tuhan dalam hidup, maka akan menimbulkan sikap jujur kepada diri sendiri, selanjutnya kepada orang lain. Bersikap suci kepada diri sendiri akan berimplikasi pada bersikap suci kepada orang lain. Manusia itu suci, kerana itu, harus bersikap suci kepada manusia yang lain.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa.” (al-Baqarah: 183)

Dalam pengertian yang mudah, dikatakan kalau kita tidak bertakwa, maka seluruh ibadah puasa yang kita lakukan selama sebulan sebenarnya adalah sia-sia sahaja.

Dalam mengerjakan ibadah puasa, umat Islam harus berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai tingkat ketakwaan. Takwa merupakan satu cara atau pola dalam menempuh kehidupan menerusi tingkah laku yang berasaskan kesedaran bahawa Allah itu sentiasa hadir di sisi kita. Ibadah puasa bukan setakat menahan makan dan minumsahaja, tetapi pemahaman tentang apa yang harus kita tahan itu lebih daripada sekadar berpuasa secara fizikal bahkan juga menahan nafsu (batiniah) itu lebih utama serta berupaya meningkatkan lagi tahap puasa seseorang itu.

Dalam masa sebulan berpuasa ini, kita seharusnya bermujahadah bersungguh-sungguh dengan menahan nafsu daripada melakukan perkara-perkara keji seperti mengumpat, buruk sangka, bergaduh, memutuskan hubungan silaturrahim dan melakukan perkara-perkara maksiat yang lain. Jika tidak, puasanya itu akan sia-sia belaka. Sifat prasangka buruk merupakan kategori daripada perbuatan zalim. Selalunya orang yang mempunyai sifat buruk sangka sesama Muslim adalah mereka yang kurang melakukan introspeksi diri, hanya melihat diri sendiri lebih baik daripada orang lain.

Oleh hal yang demikian itu, Nabi s.a.w menganjurkan kepada semua manusia, terutama orang yang sedang berpuasa agar banyak melakukan introspeksi diri sebagaimana sabda baginda yang bermaksud; Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan introspeksi diri, maka akan diampuni dosanya yang telah lalu.

Berhubung aspek sosial, orang lebih senang melakukan penilaian terhadap orang lain daripada melakukan hal yang sama terhadap dirinya. Perkara ini berlaku disebabkan seseorang itu `ditagih’ untuk bersikap tulus jujur dan rendah hati untuk menilai dan melihat diri sendiri. Disebabkan lemah menilai diri sendiri, maka seseorang itu sering memandang dirinya lebih suci dan bersih daripada orang lain.

Menahan nafsu inilah yang perlu kita pertahankan sehingga sampai kepada sepuluh hari terakhir di mana waktu itu ibadah puasa lebih bersifat rabbani.

Dalam fasa ketiga ini kita akan mengalami puncak pengalaman kita dalam keadaan berpuasa iaitu berusaha memperoleh lailatulqadar. Untuk mencapainya kita harus memulai dari sekarang dengan memahami hal-hal berkaitan amalan berpuasa.

Puasa kemudiannya bukan sahaja menjadi etika individu, tetapi juga menjadi etika sosial dan gerakan moral yang efektif dalam menangani pelbagai masalah sosial seperti kemiskinan, jenayah, rasuah, dan sebagainya.

Sayyid Quthb pernah berkata, “Puasa adalah ladang tempat terciptanya niat kepada Tuhan yang sempurna dan kepasrahan diri.” Sifat perhambaan ini akan membuat manusia menjadi abdi Allah, yang bersedia untuk melakukan apa sahaja yang disenangi Allah s.w.t. Melalui puasa seseorang akan merasakan penderitaan orang yang lapar kerana serba kekurangan sehingga hatinya akan tergerak untuk memberi kelebihan yang dimilikinya kepada orang lain yang kurang bernasib baik.

Bersyukurlah kerana kita telah dipilih-Nya untuk sama-sama `meraikan’ kehadiran Ramadan yang terkandung rahmat-Nya yang tidak terhitung.

*  Artikel ihsan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

DANA WAKAF UNTUK ASRAMA DARUL FUQAHA



DARUL FUQAHA

"Wakaf Fisabilillah"

Dana Wakaf Diperlukan untuk menyiapkan asrama Darul Fuqaha

AKAUN BIMB : 12029010045684


Sebarang pertanyaan boleh berhubung terus dengan :

Ustaz Dr. Khairuddin At Takiri : 013-3890000
Ustaz Azlan : 019-2677703

Wednesday, September 26, 2012

TABUNG IFTAR RAMADHAN ROHINGYA



Oleh: Mohd Shakir Fahmi bin Fakhrulrazi

Penghapusan kaum yang berlaku di Wilayah Arakan, Myanmar terhadap etnik Rohingya bukan lagi satu perkara yang tersirat dari mata dunia. Pembunuhan, penculikan, kecurian dan pemerkosaan adalah sebahagian daripada bentuk jenayah yang dibiarkan berleluasa oleh pihak berkuasa di sana. Saban hari kita mendengar pelbagai penganiayaan dikenakan terhadap kaum ini. Krisis ini menjadi semakin parah pada hujung minggu lalu apabila etnik minoriti ini diberitakan mengalami kekurangan makanan dan dilanda kebuluran.

Global Peace Mission (GPM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah mengambil inisiatif untuk menghantar misi bantuan yang pertama malalui Yangon, Myanmar pada 11 Julai 2012. Misi ini bertujuan untuk mendapat gambaran menyeluruh berkenaan kejadian di Arakan dan membina jaringan bagi memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan untuk misi berikutnya.

Hasil perbincangan dengan beberapa NGO di Myanmar, beberapa aspek yang merangkumi sejarah, sosial, perundangan dan juga bukti-bukti kukuh menunjukkan terdapat satu usaha penghapusan kaum di Wilayah Arakan. Dengan berkuatkuasanya Undang-undang Kerakyatan Myanmar 1982 mengukuhkan lagi kenyataan ini di mana di antara 135 kaum yang diiktiraf pemerintah, etnik Rohingya tidak termasuk di dalamnya.

GPM bekerjasama dengan NGO-NGO tempatan yang diiktiraf oleh kerajaan Myanmar yang telah menghantar dan mengedarkan bantuan kemanusiaan sebanyak 2 kali ke 3 bandar utama kepada mereka yang terkesan daripada tragedi kali ini terutama etnik Rohingya yang kebanyakannya kehilangan tempat tinggal dan mata pencarian. Namun begitu, masih terdapat sekurang-kurangnya 100,000 mangsa yang lain yang kini hidup dikawasan hutan tebal dan pergunungan bagi mengelak dari terbunuh.

Bagi memenuhi sasaran, GPM dan ABIM dengan kerjasama Union of NGOs’ of Islamic World (UNIW) yang berpusat di Istanbul, Turki telah melancarkan Kempen RM200 Satu Keluarga terdiri dari lima orang dan mensasarkan sebanyak RM 1 juta bagi mempersiapkan 5 bahan asas keperluan yang terdiri daripada beras, tepung, minyak masak, susu dan kacang dhal yang bakal dimanfaatkan oleh 25,000 mangsa di sana. Selain bantuan kemanusiaan, GPM dan ABIM telah merangka beberapa perancangan strategik termasuk untuk mewujudkan pejabat pengurusan di Yangon bagi melicinkan operasi penyaluran bantuan yang disalurkan oleh mana-mana individu atau pertubuhan di Malaysia.

Melihat pada situasi di Wilayah Arakan yang serius, ditambah dengan hujan yang berpanjangan, pastinya kaum etnik Rohingya yang tertindas terpaksa berdepan dengan keadaan sukar dalam menjalankan ibadah puasa pada bulan Ramadhan. Maka, adalah amat diharapkan agar kita dapat mengumpulkan dana secepat yang mungkin agar dapat membantu meringankan beban yang mereka tanggungi.

Sumbangan boleh disalurkan melalui cek atas nama Global Peace Mission atau melalui ta

Bank Islam Malaysia Berhad : 1402 3010 0292 24
Maybank : 5642 2161 1602.

Sumbangan atas talian juga boleh dibuat melalui link berikut: KLIK SINI

Untuk Maklumat lebih lanjut sila hubungi :

GLOBAL PEACE MISSION
2-2A Jalan GJ 2
Batu 5 1/2 Jalan Gombak
53100 Kuala Lumpur
Malaysia
Tel: +60 3 6188 3230
Fax: +60 3 6188 3233
Email: gpmhq@yahoo.com
Website: http://gpm.com.my/

Tuesday, September 25, 2012

SUMBANGAN DERMA DIPERLUKAN UNTUK PEMBINAAN ASRAMA LELAKI PONDOK SUNGAI DURIAN


PEMBINAAN ASRAMA AL-IMAM ASY-SYAFIE PONDOK SUNGAI DURIAN (TIGA TINGKAT)

KOS PEMBINAAN :
RM SATU JUTA (1 KAKI : RM100)

SUMBANGAN ANDA SANGAT DIALU-ALUKAN

DAN BOLEH DISALURKAN MELALUI BANK ISLAM (BIMB)
NO AKAUN : 03-072-01-011983-9
NAMA AKAUN : MadrasahbMuhammadiah

Sebarang maklumat: Sila Hubungi 
Dr, Hj, Abdul Basit Hj. Abdul Rahman
HP : 019-9441881
Ofis : 09-9664161

Monday, September 24, 2012

KETURUNAN BUKAN PENJAMIN SYURGA..



Tangisan lelaki itu meruntun jiwa sesiapa yang mendengarnya. Sedu sedannya berselang seli dengan doa yang tidak putus-putus kepada ALLAH SWT.  Khusyuk sekali lelaki itu merayu-rayu kepada Ya-Rabb sehingga tidak sedar orang yang lalu lalang berhampiran dengannya. Siapakah dia?

Imam Thawus Al-Yamani mengisahkan bicaranya mengenai lelaki ini.

“Ku lihat seorang lelaki sedang khusyuk menunaikan solat. Setelah itu, dia berdoa dengan bersungguh-sungguh. Ku amati wajahnya dekat-dekat. Ya! Dia tak lain tak bukan Ali Zainal Abidin, putera kepada Hussein bin Abi Thalib. Dialah cicit kepada Rasulullah SAW. Bermakna, dialah penyambung generasi lelaki mulia.

Aneh sekali. Mengapa dia bersusah payah beribadah dan berdoa sehingga wajahnya basah dengan air mata? Bukankah dia boleh mendapatkan syafaat datuknya, Rasulullah di akhirat kelak? Jadi, mengapa gentar….”


Setelah memberi salam, Imam Thawus Al-Yamani bertanya kepada Ali Zainal Abidin, “ Wahai cicit Rasulullah yang mulia, aku lihat kamu dalam keadaan sedih sebegini. Padahal, semua orang tahu kau mendapat tiga kelebihan yang tidak mungkin didapati oleh mana-mana manusia di muka bumi ini selainmu.

Pertama, kau adalah cicit Rasulullah SAW. Kedua, kau boleh mendapatkan syafaat datukmu di akhirat kelak dan ketiga, rahmat ALLAH SWT sentiasa menaungi keluargamu dari dahulu sehingga kini.”


Kemudian, Ali Zainal Abidin menjawab dengan tenang, “ Wahai Thawus, keturunanku dan darjatku sebagai cicit Rasulullah SAW bukanlah penjamin segalanya. Aku  tetap takut dan gentar mendengar peringatan ALLAH SWT  yang bermaksud,

“Apabila sangkakala ditiup, maka tidaklah ada lagi pertalian nasab di antara mereka pada hari itu.”


Sedangkan syafaat datukku, itu  masih belum pasti dapat menjadi pelindungku. Aku mendengar firman ALLAH SWT yang bermaksud,

“ Dan mereka tidak memberi syafaat melainkan kepada orang-orang yang diredhai ALLAH.”

Sesungguhnya, ALLAH memberikan rahmatnya kepada kaum muslimin yang berbuat kebajikan. Sedangkan sampai hari ini, aku tidak tahu adakah aku termasuk ke dalam golongan rahmat itu ataupun tidak.”

Buat seketika, Imam Thawus Al- Yamani terdiam. Memang benar kata Ali Zainal Abidin. Tetapi dialah lelaki bertaqwa yang saban hari solat di Masjidil Haram. Sesungguhnya, urusan syurga dan neraka hanyalah di tangan ALLAH SWT.

Justeru, jika cicit Rasulullah sendiri merasa takut dengan nasibnya di akhirat, bagaimana pula dengan kita yang hanya diakui sebagai umat Muhammad?

Friday, September 21, 2012

KEMARAU MADINAH


Ujian ALLAH telah datang. Kali ini kota Madinah benar-benar dilanda kemarau. Sudah beberapa purnama hujan tidak menitis ke bumi. Binatang ternak semakin kurus dan tanam-tanaman pula banyak yang rebah menyembah bumi.

Penduduk Madinah mula merasa kesempitan hidup yang bukan sedikit. Apatah lagi bekalan makanan kian berkurangan. Malah, ada ahli keluarga yang nyaris-nyaris di ambang kebuluran.

Ketika penderitaan tiada lagi tertahan, mereka datang mengadu nasib kepada khalifah kesayangan mereka, Saidina Abu Bakar ra. Sedangkan khalifah ketika itu juga sudah buntu memikirkan nasib yang menimpa kota Madinah.

“Ya Abu Bakar, tidak adakah jalan keluar untuk kita ini? Sudah beberapa lama kemarau menimpa bumi kita. Adakah kau tahu bagaimana ingin mengatasi semua ini? Apakah ada pertolongan yang akan Tuhan berikan kepada kita?” tanya mereka dengan penuh harapan.

“Sabarlah…sabarlah kamu semua dengan ujian ini. Bertenang dan baliklah ke rumah masing-masing. Aku mendapat khabar yang Utsman bin Affan sedang dalam perjalanan ke sini bersama kafilah dagang dari Syam. Esok, dengan izin ALLAH, dia  akan sampai ke Madinah. Berdoalah agar kedatangannya itu membawa berkah kepada kita semua,” ujar Saidina Abu Bakar.

Sesungguhnya, janji Saidina Abu Bakar adalah benar. Esoknya, sebaik matahari menyinar bumi, rombongan kafilah Utsman  sudah tiba dengan seribu unta yang membawa bekalan makanan yang melimpah ruah. Banyak sekali gandum, minyak zaitun, rempah ratus dan sebagainya yang terus dimuatkan di dalam gudang Utsman.

Penduduk yang mendengar khabar itu merasa lega yang amat sangat. Tetapi rupanya khabar itu begitu cepat tersebar. Ramai pula pedagang dan pemborong yang datang terus kepada Utsman. Niat mereka cuma satu, ingin mendapat keuntungan daripada jual beli dengan Utsman.

“Wahai Utsman, banyak sekali bekalan makanan yang kau bawa. Bolehkah kau menjualnya pada kami? Kami ingin menjualnya kepada penduduk yang memerlukan,” tanya salah seorang daripada pedagang itu.

“Benarkah begitu? Dengan senang hati sekali aku terima tawaran itu. Berapakah keuntungan yang boleh kalian berikan padaku?” tanya Utsman menduga.

“Dua atau tiga dirham,” jawab mereka.

 “Tidak cukup,  bolehkah ditambah lagi?” tanya Utsman memancing lagi.

“Bolehkah kalau lima dirham?” ujar mereka.

“Jumlah itu  masih kurang,kamu berani menambah lagi,” usul Utsman pula.

“Cukuplah Utsman. Di sini tidak ada pedagang lain. Tiada siapa yang boleh memberi padamu keuntungan yang lebih tinggi selain dari kami. Adakah kau masih belum puas hati?” tanya mereka yang sudah mula naik angin.

“Beginilah, ALLAH SWT telah memberiku keuntungan  sepuluh dirham untuk setiap satu dirham. Apa kalian berani mempertaruhkan harga sebegitu padaku?” tanya Utsman.

Mereka hanya menggelengkan kepala.

“Jika begitu, saksikanlah dengan nama ALLAH, aku mensedekahkan semua barang dagangan dan makanan yang kubawa dari Syam ini kepada seluruh penduduk Madinah yang memerlukan. Ketahuilah, aku sedekahkan ini kerana ALLAH SWT semata-mata,” akui Utsman tanpa ragu-ragu.

Para pedagang yang berada di hadapannya hanya tertunduk malu. Mereka tidak layak sama sekali berdepan dengan Utsman yang cukup pemurah. Siapa lagi yang sanggup mendermakan hasil dagangan yang dibawa satu ribu unta?

Kemudian, keluarlah penduduk Madinah mengambil bahagian masing-masing. Berakhirlah sudah sengsara mereka sehingga setiap satu keluarga mendapat bekalan makanan yang secukupnya.

Sesungguhnya, apa yang diinfakkan oleh Utsman pada hari itu tercatat di dalam sejarah sebagai pengorbanan yang dikenang oleh seluruh penduduk Islam Madinah.

Thursday, September 20, 2012

SYEIKH UTHMAN JALALUDDIN AL-KALANTANI



Tasawwuf ialah salah satu cabang ilmu dalam Islam. Ia perlu dipelajari dengan teliti dan berhemah. Memahami ilmu tasawwuf sangat berguna untuk kita mendekatkan diri dengan Allah. Pemahaman terhadapnya adalah penting untuk mengelak dari bersikap melampau mengenai sesuatu perkara.

Syeikh Uthman Jalaluddin al-Kalantani, adalah seorang ulama yang sering kali menegur mereka yang mempelajari ilmu tasawwuf supaya berhati-hati dan tidak bersikap melampau-lampau dalam sesuatu perkara.

Sesetengahnya tanpa ilmu pengetahuan yang cukup menunjukkan sikap yang melampau apabila membincangkan perkara-perkara ghaib berkaitan hubungan manusia dan Tuhan.

Beliau juga mengingatkan umat Islam agar berhati-hati dengan segelintir ajaran tasawwuf dalam bukunya yang berjudul Misbah al-Hanan wa Miftah al-Jinan.

Syeikh Uthman Jalaluddin dilahirkan di Kampung Panjang, daerah Sering, Kota Bharu kira-kira tahun 1880 Masihi bersamaan tahun 1297 Hijrah. Syeikh Uthman berhasrat untuk melanjutkan pelajarannya ke Mekah.

Bagi membiayaan pembelanjaan ke Mekah, bapanya menjual hasil padi dan beberapa ekor kerbau. Setelah mendapat keizinan daripada gurunya, iaitu Mufti Haji Wan Muhammad, beliau belayar ke Mekah.

Beliau mempelajari ilmu fekah daripada Syeikh Said Yamani (Mufti Mazhab Syafie di Mekah). Kepada Syeikh Mukhtar Atarid al-Jawi, beliau belajar kitab Mahalli. Berkat kesungguhan dan doanya kepada Allah, beliau menjadi seorang ulama yang diberikan tugas mengajar di Masjidil Haram di Qasyasyiah dan Suqullail.

Selain daripada mengajar, Syeikh Uthman juga seorang penulis yang baik. Beliau telah menghasilkan beberapa buku mengenai syariat dan pemikiran Islam. Melalui tulisannya, beliau sering mempertahankan ajaran Islam daripada disaluti oleh perkara khurafat yang menjadi kepercayaan orang Melayu, bukan sahaja pada ketika itu tetapi hingga ke hari ini.

Antara kitab karangan beliau ialah, Mir’at a:Iman wa Mirqat al-Ghilman (Cermin bagi Iman dan Tangga bagi Kanak-Kanak), Misbah al-Hanan wa Miftah al-Jinan (Pelita bagi Hati dan Anak Kunci bagi Syurga), Siraj al-Islam wa Taj al-Ghulam (Pelita bagi Islam dan Mahkota bagi Kanak-Kanak) dan banyak lagi.

Menurut salah seorang muridnya, Haji Yusuf Haji Said, bahawa Syeikh Uthman adalah seorang yang warak dan suka solat berjemaah. Bagaimanapun setiap kali solat berjemaah, beliau sering menyuruh anak muridnya menjadi imam sedangkan beliau sendiri menjadi makmun.

Setiap kali tibanya malam Jumaat, aktivitinya semalaman dipenuhi dengan solat, doa dan zikir. Beliau juga gemar bertahajjud dan mengamalkan solat sunat Duha.

Beliau juga meninggalkan pesan kepada anak muridnya dan umat Islam agar beramal dengan ilmu yang ada kerana dunia semakin hampir kepada kemusnahannya (kiamat).

Beliau berpendapat sikap zuhud itu bukan bermakna meninggalkan dunia secara keseluruhannya dan hidup dalam keadaan fakir dan miskin. Katanya, konsep zuhud itu ialah tidak bergantung hatinya dengan harta biar banyak mana sekalipun harta itu. Tetapi bersikap zuhud itu bukanlah bermakna tidak mempunyai harta, meninggalkan pekerjaan dan perniagaan dan juga lain-lain.

Dalam usia 72 tahun, pada Subuh 30 Zulhijah 1371 bersamaan 9 September 1952, beliau pulang ke rahmatullah ketika berada di tanah suci Mekah. Jenazah Syeikh Uthman dimakamkan di Haudh al-Naqsyabandi, berhampiran dengan makam gurunya, Syeikh Muhammad Mukhtar Atarid.

Susunan WARDAH SURAYA AHMAD
ummatanwasatan.net
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...