Friday, August 17, 2012


Menggali Makna Roh Ramadan




Ramadan sudah memasuki fasa terakhir dan ketika inilah umat Islam memikirkan perjalanan pulang ke kampung bertemu sanak saudara sebagai kemuncaknya.
Warga kota merasakan meraikan perayaan besar di kota besar tidak semeriah di kampung dan kerana itu sebahagian daripada kita lupa bahawa roh Ramadan itu hanya semata-mata suatu pengorbanan sebelum layak meraikan hari kemenangan.
Roh Ramadan lebih besar daripada apa yang dipaparkan oleh saluran media dengan memainkan lagu-lagu bercorak kegembiraan, kanak-kanak bermain bunga api, pemberian duit raya ataupun memakai pakaian serba baharu.
Roh Ramadan melangkaui sempadan sosiobudaya, kerana sepanjang bulan yang dikenali juga sebagai bulan ibadat ialah mendekatkan diri dengan Allah SWT bagi memperoleh rahmat-Nya kerana setiap muslimin percaya, tanpa bantuan dan restu-Nya, tiada kemeriahan, kebahagiaan dan ketenangan dalam hidup.
Mencari bahagia menerusi pendekatan agama adalah berbeza dengan kaedah lain yang bersifat fizikal atau kebendaan.
Ada orang memandang kebahagiaan itu sebagai pemenuhan sumber fizikal yang boleh menghasilkan lebih banyak wang, manakala mereka yang memahami kebahagiaan dalam konteks agama adalah memperoleh keberkatan dan ketenangan hasil pengabdian dirinya kepada Allah SWT.
Sepanjang Ramadan, terutamanya pada hari-hari terakhirnya terdapat satu malam yang amat dinantikan oleh umat Islam yang melihat kebahagiaan itu pada tahap kepuasan spiritual. Malam itu dikenali sebagai Lailatulqadar dan pada malam tersebut bagi setiap orang membawa keberkatan di mana nilai kebahagiaan yang terpancar darinya melebihi ganjaran seribu bulan.
Nilai gandaan kerahmatan itu membayangkan bahawa tiada ukuran yang pernah dicipta oleh manusia boleh menandingi, termasuk usaha para ilmuwan Barat dalam melengkapkan katalog indeks kebahagiaan sejagat. Pengalaman individu mencari malam itu merupakan pengalaman batin yang seterusnya mempengaruhi jalur kehidupan selanjutnya, kerana pencarian tersebut dilakukan dalam suatu tahap kemurnian ibadat dan kesempurnaan ritual serta penetapan iktikad.
Di sisi Allah SWT setiap orang berpeluang meraih kemenangan itu tetapi perjalanan spiritual tersebut tidak mampu dicapai semua orang. Period sepuluh malam terakhir itu adalah suatu kemuncak tahap kerohanian dan ia perlulah didahului dengan langkah permulaan sejak tibanya fajar Ramadan.
Hampir 15 abad yang lalu, dalam bulan Ramadan ayat pertama yang memberikan panduan menjalani kehidupan bagi manusia diturunkan menerusi perantaraan Nabi Muhammad SAW. Secara bertahap-tahap seluruh kandungan pernyataan perintah, keterangan peranan dan tanggungjawab, kaedah menjalani hidup dan bermasyarakat, peraturan ritual dan kerangka ad-din disempurnakan sehingga janji Allah SWT bahawa ‘Islam sudah disempurnakan’ manakala seluruh kandungan al-Quran tetap dipertahankan sampai bila-bila.
Pengajaran pertama yang dapat disimpulkan adalah walaupun manusia dibekalkan kebolehan berfikir dan kecekapan mengatasi apa sahaja rintangan dalam kehidupannya, manusia masih belum mampu melawan kehendak-Nya. Atas kehendak-Nya jugalah manusia beroleh kejayaan atau kegagalan.
Bagaimanapun, cara memburu malam itu bukanlah dengan menunggu sepanjang malam, ia perlu dipenuhi dengan ritual yang melambangkan nilai ketakwaan dan keimanan yang kudus. Jika menunggu dengan berjaga malam semata-mata, ia tidak akan menemuinya kerana penantian itu bukanlah dilakukan secara ikhlas dan jujur.
Dengan memenuhi penantian melalui peribadahan, iaitu mendekatkan diri kepada Allah SWT sambil menyedari dosa dan kesilapan sebelumnya sambil beriktikad untuk tidak mengulanginya, ritual kudus dan penuh kesedaran itulah yang mampu menemukannya. Bagaimanapun, malam itu tidak ada pada bulan-bulan lain, hanya khusus pada bulan Ramadan.
Tentu saja, dalam mencari dan memburu Lailatulqadar ada batas etika dan peraturan rohaniah yang perlu kita patuhi. Janganlah kerana terlalu ghairah dalam berburu Lailatulqadar, kita menghalalkan segala cara dengan mengamalkan praktik keagamaan yang menyimpang dan melanggar batasan-batasan agama.
Ada kalanya dalam ritual keagamaan kita memburu seribu bulan tercemar dengan amalan-amalan yang tidak diiktiraf oleh nas al-Quran dan Sunnah. Malah terjerumus dengan ajaran sesat yang mengatas namakan kepercayaan dan ritual Islam. Sesungguhnya menjadi kewajaran kepada umat Islam untuk mengekspresi ibadahnya di bulan yang penuh barakah ini. Akan tetapi perlu diingat bahawa seseorang yang menjalankan ibadah puasa itu mesti mempunyai persediaan zahir dan batin yang kukuh. Jika tidak, ia hanya akan menjadi ritual keagamaan kosong yang tidak mempunyai makna.
Kebanyakannya kita tidak menyedari bahawa sesungguhnya kita tidak layak mendapatkan anugerah Lailatulqadar. Ini kerana dalam diri kita sendiri ada berbagai-bagai ‘penyakit’ spiritual yang akan menjadi tabir dan penghalang kepada kita daripada menerima keberkatan dan kemuliaan Lailatulqadar. Sebagai satu peristiwa abstrak yang tidak dapat digambarkan secara definitif, Lailatulqadar menjadi sempadan kepada umat Islam dalam mengukur tingkat kesolehan dan ketaatan manusia terhadap Tuhannya.
Apabila seseorang itu memperoleh kesedaran spiritual, seluruh sikap dan perspektif yang menentukan prinsip hidupnya akan bertukar. Jiwa amarahnya bertukar kepada ketenangan dan setiap musibah diterimanya dengan lapang dada, hikmah dan petunjuk bahawa masih belum sampai tahap kesempurnaan dalam hidup sebagaimana dikehendaki oleh Allah SWT.
* Artikel ihsan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...