Monday, March 7, 2011

Manfaat susu ibu

 

image

PUJIAN harus diberikan kepada ibu yang memberikan susu badan kepada anak. Walaupun kesedaran mengenai kepentingan memberikan susu badan semakin meningkat, ia masih belum mencapai sasaran.

Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan 1996 menunjukkan, kadar penyusuan badan hanya sekitar 88.6 peratus dan masih banyak usaha perlu dilakukan untuk menggalakkan semua ibu di negara ini memberikan susu badan secara eksklusif selama enam bulan.

Penghasilan susu akan bertambah dengan penurunan paras hormon progesteron, iaitu dalam tempoh 30 hingga 40 jam selepas bersalin.

Pada ketika ini, badan akan merembeskan prolaktin dan oksitosin (hormon yang menghasilkan susu). Hisapan puting oleh bayi juga akan merangsang penghasilan susu.

Paras prolaktin perlu tinggi untuk membolehkan susu dihasilkan. Bagaimanapun, ada kalanya pengeluaran susu terhenti jika penyusuan tidak berlaku secara sempurna dan susu yang terhasil tidak keluar dari payudara, walaupun paras prolaktin tinggi.

Biasanya bayi hanya menyusu tiga kali dalam tempoh 24 hingga 48 jam selepas kelahiran.

Kekerapan ini akan meningkat pada hari kelima dan menurun kembali pada hari ketujuh atau kelapan.

Namun ada cara untuk menggalakkan penyusuan ibu iaitu tidak memberikan puting tiruan kepada bayi. Ia bukan saja tidak membantu, malah menyukarkan bayi untuk menyusu susu ibunya.

Seperkara yang menarik, bayi tidak akan mengalami masalah keracunan kerana susu ibu adalah makanan paling bersih dan steril, walaupun ibu menghidap penyakit. Malah, ia boleh diberi sekerap mungkin selama mana bayi memerlukannya.

Beberapa faktor boleh merencatkan penghasilan susu badan iaitu apabila ibu berasa runsing, takut, sakit, malu dan bimbang. Malah, tabiat merokok dan minum minuman keras perlu dihindarkan sama sekali, baik ketika mengandung atau selepas bersalin.

Memberi susu badan bukan saja mendatangkan manfaat kepada ibu dan anak, tetapi kesannya turut dirasai masyarakat.

Ibu harus faham, bayi anda berhak mendapat makanan terbaik dan anak tidak sepatutnya diberikan makanan atau minuman selain susu ibu, kecuali atas sebab tertentu.

Manfaat kepada bayi:
Susu ibu mengandungi protein, lemak dan asid lemak omega 3 yang mudah hadam untuk membantu perkembangan mental.

Antibodi dalam susu ibu melindungi bayi daripada jangkitan dan penyakit gangguan usus, masalah pernafasan dan jangkitan telinga.

Susu ibu mengurangkan risiko penyakit kencing manis dan kanser di kalangan kanak-kanak.

Kanak-kanak yang diberikan susu badan terlindung daripada masalah alahan.

Susu badan mengurangkan risiko radang usus bagi bayi pramatang.

Susu badan juga mengurangkan masalah karies gigi, penglihatan, pertuturan dan menguatkan rahang.

Memberikan susu badan mengelakkan sindrom kematian bayi secara mengejut.

Susu badan dikatakan mampu merendahkan risiko diserang penyakit jantung apabila dewasa kelak.

Anak yang diberikan susu badan kurang mendapat masalah cirit-birit dan ini akan mengurangkan perbelanjaan perubatan.

Merapatkan hubungan di antara ibu dan anak.

Manfaat kepada ibu:
Melindungi ibu daripada kanser payu dara dan rahim.

Membantu mengurangkan berat badan secara semula jadi dan mengempiskan perut kerana hormon oksitosin yang dihasilkan mempercepatkan pengecutan rahim.

Apabila anak sihat, ibu dan bapa boleh menumpukan perhatian kepada kerja dan menjadi lebih produktif.

[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...