Sebelum Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada pada para muridnya dan umat islam seluruhnya. Berikut ialah kandungan wasiat tersebut: “Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara.”
PERTAMA: HAK KEPADA DIRI
Iaitu: Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.  
KEDUA: HAK KEPADA MALAIKAT MAUT
Iaitu: Mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.  
KETIGA: HAK KEPADA KUBUR.
Iaitu: Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.  
KEEMPAT: HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR
Iaitu: Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.  
KELIMA: HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT)
Iaitu: Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.  
KEENAM: HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI AKHIRAT)
Iaitu: Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.  
KETUJUH: HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA)
Iaitu: Menangis lantaran takut kepada Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok akhlak.  
KELAPAN: HAK KEPADA RIDHWAN (PENJAGA SYURGA)
Iaitu: Berasa redha dengan Qadha’ Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.  
KESEMBILAN: HAK KEPADA NABI MUHAMMAD SAW
Iaitu: Berselawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada As-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.  
KESEPULUH: HAK KEPADA ALLAH SWT
Iaitu: Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan. 

 
