Thursday, July 21, 2011

HUKUM WAD'IE

 

Hukum Wad'ie  ialah Tuntutan Allah yang menjadikan sesuatu sebagai SEBAB, SYARAT dan PENGHALANG (MAANI') kepada sesuatu hukum.

Hukum Wadie tidak bermaksud utk menuntut @ memberi pilihan kepada Mukallaf. Tetapi ia adalah pendahuluan kepada sesuatu tuntutan.

Contohnya, gelincir matahari dijadikan SEBAB wajib solat Zohor, Wudhuk SYARAT  sah solat, dan membunuh pula menjadi PENGHALANG kepada pewarisan harta pusaka.

Pembahagian Hukum Wad'ie

Kebanyakan ulama' telah membahagikan Hukum Wad'ie kepada SEBAB, SYARAT dan PENGHALANG. Namun ulama' mazhab Syafie telah menambah dengan SAH dan BATAL.

1) SEBAB

ialah sesuatu yang menjadi asas wujudnya sesuatu hukum. Oleh sebab itu, apabila ada SEBAB adanya HUKUM. Tiada SEBAB, tiada HUKUM.

Contoh :

Firman ALLAH SWT;

"Dirikanlah solat ketika gelincir matahari hingga gelap malam" ayat 78 surah al-Isra'

Ayat di atas menunjukkan bahawa gelincir matahari menjadi  SEBAB wajib solat Zohor.

2) SYARAT

ialah sesuatu yang kerana adanya, adanya HUKUM. Tetapi  tidak semestinya apabila adanya, adanya HUKUM.

Contoh, Wudhuk adalah  SYARAT sahnya solat. Apabila tiada wudhuk, solat tidak sah. Tetapi, tidak semestinya seseorang itu berwudhuk kerana hendak menunaikan solat, mungkin dia berwudhuk kerana tujuan lain spt Tawaf dsb.

Sabda Rasulullah SAW ;

"Tidak ada (tidak sah) solat bagi org yang tidak berwudhuk" Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah dan al-Hakim

Hadis di atas menunjukkan bahawa wudhuk adalah  SYARAT sah solat. Tanpanya solat tidak sah.

3) PENGHALANG (MAANI’)

ialah sesuatu yang kerananya, sesuatu HUKUM tidak dapat dilaksanakan, sedangkan tanpanya, HUKUM tersebut dapat dilaksanakan.Contohnya, perbezaan agama di antara orang yang mewariskan harta dengan ahli waris menjadi PENGHALANG kepada pembahagian pusaka. Jika tiada perbezaan agama di antara keduanya, hukum pembahagian pusaka dapat dilaksanakan.

Sabda Rasulullah SAW :

"Orang Kafir tidak mewarisi pusaka orang Islam dan orang Islam tidak mewarisi pusaka orang kafir" Riwayat Ahmad.

Hadis di atas menjelaskan bahawa perbezaan agama merupakan  PENGHALANG penerimaan harta pusaka.

Penghalang terbahagi kepada 2 iaitu ;

1. MAANI’ AL-HUKMI (PENGHALANG HUKUM) – menghalang sesuatu hukum dijatuhkan. Contohnya, sesiapa yang melakukan pembunuhan dengan sengaja, maka akan dikenakan QISHASH. Tetapi hukum QISHASH akan terhalang jika ayah membunuh anaknya walaupun dengan sengaja. Jadi ayah, tidak akan di QISHASH. Kedudukannya sebagai AYAH telah menghalang pelaksanaan QISHASH ke atas dirinya.

2. MAANI’ LISABAB (PENGHALANG SEBAB) – menghalang sesuatu ketetapan kerana adanya sebab tertentu… Contohnya seorang ahli waris layak menerima pusaka si mati. Tetapi ahli waris yang membunuh orang yg layak diwarisi hartanya, maka dia tidak layak menerima harta pusaka. Jadi, membunuh/pembunuhan merupakan SEBAB yang menghalang penerimaan harta pusaka.

4) SAH (SAHIH)

ialah perbuatan yang sempurna syarat dan rukunnya serta terhasil kesan yang dikehendaki darinya sebagaimana yang ditetapkan oleh syara'. Contohnya, solat yang dilakukan dengan mencukupi sayarat dan rukunnya, dikira SAH oleh syarak. Hasilnya, solat tersebut tidak perlu diulangi atau diqadhakan.

5) BATAL (BATHIL)

ialah perbuatan yang tidak sempurna syarat dan rukunnya serta tidak terhasil kesan yang dikehendaki darinya sebagaimana yang ditetapkan oleh syara'. Contohnya, solat yang dilakukan tanpa mencukupi sayarat dan rukunnya, (contohnya belum masuk waktu) dikira  BATAL oleh syarak. Hasilnya, solat tersebut  perlu diulangi jika waktunya belum luput atau diqadhakan.jika telah berakhir waktunya.

[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...