Friday, October 14, 2011

SEGANTANG GANDUM UNTUK MAKAN SERIBU ORANG


sahabat-sahabatku,

Kisah dari Himpunan Kisah-Kisah Telah dipetik sebuah kisah untuk direnung dan diambil ikhtibar

Jabir r.a berkata, "Suatu hari tatkala penggalian parit pertahanan khandaq sedang dilakukan, aku lihat Rasulullah dalam keadaan yang sangat lapar. Aku balik ke rumah bertanya isteriku kalau-kalau ada apa-apa yang boleh kami masak untuk baginda". Jawab isteriku, "kita ada segantang gandum dan seekor kambing muda." Maka kusembelih kambing itu sementara isteriku menyediakan adunan untuk memasak roti.

Apabila telah selesai semuanya, akupun pergi mendapatkan Rasulullah dan berkata, "Wahai Rasulullah, aku harap tuan tidak keberatan datang bersama beberapa orang sahabatmu ke rumahku kerana aku membuat sedikit kenduri. Sebelum itu isteriku memberitahuku supaya jangan memalukannya kerana hidangan hanya cukup untuk beberapa orang sahaja."

Rasulullahpun berkata kepada semua orang yang bekerja, "Hai orang-orang khandaq, hari ini Jabir membuat hidangan untuk kita semua. Oleh itu bolehlah kita makan besama-sama." Bilangan mereka semua lebih kurang seribu orang.

Sebelum Jabir balik ke rumah, Rasulullah berpesan kepadanya, "Wahai Jabir, jangan kamu turunkan kualimu dan jangan kamu masak dulu adunan rotimu sebelum aku datang." Lalu akupun pulang. Sebentar kemudian Rasulullahpun sampai bersama seribu orang tetamu. Apabila isteri Jabir melihat hal itu, segera ia berkata, "Apa yang harus kita lakukan, orang terlampau ramai. Bukankah sudah aku katakan, jangan memalukan aku di hadapan Rasulullah." Sementara itu aku telah lakukan sebagaimana yang Rasulullah suruh.

Maka kukeluarkan roti lalu diberkati Rasulullah. Kemudian Rasulullah pergi ke tempat memasak kambing lalu diberkatinya. Setelah itu Rasulullah memberitahu isteriku, "Panggillah pembuat roti untuk membantumu. Kemudian ceduklah kuah terus dari kuali ke dalam mangkuknya, jangan sekali-kali turunkan kuali dari tempatnya."

Setelah siap, lalu makanlah semua orang yang datang tanpa ada yang tidak cukup, malah mereka makan dengan cukup kenyang. Aku bersumpah dengan nama Allah bahawa setelah mereka balik, kualiku tetap penuh seperti sediakala dan begitu juga adunannya tetap sama banyak seperti sediakala.

sahabat-sahabatku,

renungkanlah kehebatan dan kerahmatan Rasulullah, manusia teragong disisinya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...