Monday, October 17, 2011

Syukur: Apakah ia ada dalam diri kamu?



“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah pedih” (Surah Ibrahim:7)

Tafsiran ringkas: Setiap detik kita menggunakan nikmat kurniaan Allah, amat sedikit yang menyedarinya, apa lagi untuk mengsyukuri akan kurniaan itu. Kurniaan Allah tidak terhitung., “Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya.”(Surah An-Nahl:18)

Adakah kita tergolong dari golongan yang bersyukur? Allah menjelaskan “Tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur” (Surah Yusuf:38). Ingatlah, Allah mengurniakan nikmat kepada seluruh makhlukNya semata-mata untuk disyukuri, bukan untuk dikhianati. Sesungguhnya Allah pemberi nikmat sebenar yang menjanjikan tambahan nikmat kepada mereka yang bersyukur dan azab seksa amat pedih bagi mereka yang kufur. Mungkin sahaja selama ini kita menjalani kehidupan tanpa ada rasa syukur, atau rasa syukur yang amat sedikit. Manusia sering merasakan bahawa apa yang dimiliki adalah hasil usaha dan menjadi hak mutlak mereka. Kerana itu apabila sesuatu keinginan tidak dapat dicapai atau diperolehi kita mudah berasa kesal. Malah mungkin juga kecewa, lalu menyalahkan takdir dan mencari-cari kesalahan orang lain. Itu adalah akibat gersang rasa syukur dalam diri manusia.

Syukur, inilah satu perasaan yang jarang melekat di hati kita. Malah kita kerap kali lupa dan alpa. Mulai sekarang, ketahuilah bahawa sebenarnya kita adalah orang yang sangat bertuah, baik dalam pelajaran, keluarga, ekonomi, politik mahupun dalam kehidupan sehari-hari. Maka sewajarnyalah untuk kita syukuri. Masih ragu?


Jika kita masih ada makanan untuk dikunyah dan tidur kekenyangan, pakaian cantik menutupi badan, tilam empuk untuk tidur, rumah untuk berlindung dari panas dan hujan, maka kita masih bertuah berbanding sebahagian penduduk dunia yang lain. Sebahagian mereka kebuluran dan tidak cukup makanan, pakaian yang koyak dan lusuh, tidur bertilam tanah, dan berlindung di mana sahaja kaki terhenti sama ada di bawah jambatan atau di bawah rimbunan pokok-pokok. Masih lagi kita enggan bersyukur?

Jika kita tidak pernah mengalami kesengsaraan kerana peperangan, masih dapat mengunjungi masjid dan mengamalkan amal ibadah tanpa rasa takut diancam, dicederakan atau dibunuh. Jika kita masih dapat hadir ke sekolah, kolej atau universiti, dapat membaca akhbar, majalah dan melayari internet. Maka kita masih bertuah dari sebahagian penduduk dunia yang lain. Sebahagian mereka hidup dalam ketakutan dan kesengsaraan. Sejuk dan kelaparan. Sukar beribadah secara terang-terangan. Anak-anak kecil tidak pernah kenal erti sekolah jauh sekali untuk membaca atau memegang komputer. Masih lagi kita enggan bersyukur?

Dalam Hadith Riwayat Imam Tirmidzi menyatakan: “Dua perkara apabila dimiliki oleh seseorang dia dicatat oleh Allah sebagai orang yang bersyukur dan sabar. Dalam urusan agama dia melihat kepada yang lebih tinggi lalu meniru dan mencontohinya. Dalam urusan dunia dia melihat kepada yang lebih bawah lalu bersyukur kepada Allah bahawa dia masih diberi kelebihan.”

Syukur boleh diertikan sebagai rasa terima kasih atas sesuatu anugerah atau kurnian dengan rasa senang dihati, ucapan puji-pujian dan melakukan yang terbaik sebagai tanda menghargai suatu anugerah atau kurnian itu. Pemberi anugerah dan kurnian itu ialah Allah, Tuhan yang maha agung dan tiada sekutu bagiNya. Pemilik segala yang di langit dan dibumi dan isi di antara kedua-duanya. Syukur itu bukan hanya dengan kata-kata tetapi juga dengan perbuatan. Maka para ulama memaknakan syukur itu “perbuatan yang menuju kepada pengagungan yang memberi nikmat iaitu Allah”.

Bersyukurlah hari ini:
Sebelum kita berkata yang tidak baik, fikirkan tentang seseorang yang tidak boleh berkata-kata sama sekali.
 
Sebelum kita mengeluh tentang rasa dari makanan, fikirkan tentang seseorang yang tidak punya apapun untuk dimakan.
 
Sebelum kita mengeluh tidak punya apa-apa, fikirkan tentang seseorang yang meminta-minta di jalanan.
 
Sebelum kita mengeluh bahawa kita buruk, fikirkan tentang seseorang yang berada pada tingkat yang terburuk di dalam hidupnya.
 
Sebelum kita mengeluh tentang suami atau isteri, fikirkan tentang seseorang yang memohon kepada Allah untuk diberikan teman hidup
 
Hari ini sebelum kita mengeluh tentang hidup, fikirkan tentang seseorang yang meninggal terlalu cepat.
 
Sebelum kita mengeluh tentang anak-anak, fikirkan tentang seseorang yang sangat ingin mempunyai anak tetapi dirinya mandul.
 
Sebelum kita mengeluh tentang rumah yang kotor karena pembantu tidak mengerjakan tugasnya, fikirkan tentang orang-orang yang tinggal dijalanan.
Sebelum kita mengeluh tentang jauh perjalanan dengan memandu kereta, fikirkan tentang seseorang yang menempuh jarak yang sama dengan berjalan.
Dan disaat kita penat dan mengeluh tentang pekerjaan, fikirkan tentang orang yang menganggur atau orang-orang cacat yang berharap mereka mempunyai pekerjaan seperti anda.
 
Sebelum kita menunjukkan jari dan menyalahkan orang lain, ingatlah bahawa tidak ada seorangpun yang tidak pernah melakukan kesilapan dan kesalahan.

Kufur adalah sifat yang berlawanan dengan syukur. Kufur pada bahasa ialah menutupi manakala pada istilah kufur bemaksud tidak beriman dengan Allah dan Rasul-Nya dengan mendustakannya (contoh: mengatakan solat itu tidak wajib) atau tidak mendustakan (contoh: tahu solat itu wajib tetapi tidak menunaikan tuntutan solat itu). Manakala kufur nikmat ialah tidak mengunakan nikmat yang dikurnia oleh Allah ke jalan kemaksiatan yang tidak diredhai olehNya. Mata digunakan untuk melihat perkara-perkara maksiat, lidah digunakan untuk mengata dan mengumpat, tangan digunakan untuk mencuri. Maka segala cara mempergunakan nikmat anugerah dan kurnian Allah ke jalan yang salah dan batil itu dinamakan kufur.

Orang-orang yang kufur dibenci oleh Allah. Orang yang dibenci Allah, maka Allah menjanjikan balasan azab yang amat pedih. Kejayaan dan kebahagian sangat erat dengan orang yang bersyukur. Kerana Allah menjanjikan penambahan nikmat apabila kita bersyukur. Ayat ini menganjurkan kita supaya sentiasa bersyukur dengan memperbanyakkan memuji-muji Allah atau atau berkata “alhamdulilah” sebanyak-banyaknya, bahkan sampai ribuan atau jutaan kali sehari. Bukan hanya untuk memperoleh ganjaran pahala. Tetapi mengingatkan kita akan kasih sayang Allah kepada kita, dan tidak berbuat sesuatu yang dimurkai dan dibenci oleh Allah. Ingatlah bahawa Allah telah menjanjikan penambahan nikmatNya jika kita bersyukur. Tentunya ia sebagai modal untuk berjaya, tenang dan bahagia.

Ada tiga manfaat besar dari bersyukur.
Kedua manfaat ini akan mengubah hidup kita jika kita mendapatkannya.
Pahala dari Allah. Jelas, bersyukur adalah perintah Allah, kita akan mendapatkan pahala jika kita bersyukur dengan ikhlas.
 
Menciptakan rasa tenang, bahagia dan gembira. Dengan bersyukur akan membuatkan kita lebih bahagia. Lebih tenang. Lebih gembira. Perasaan kita menjadi lebih tenteram dan segar dengan bersyukur. Fikiran kita akan berfokus pada berbagai kebaikan yang kita terima dan nikmati.
 
Kekayaan akan bertambah kerana itu janji Allah, Allah akan akan tambah nikmatNya kepada sesiapa yang bersyukur.

Bersyukurlah sebelum terlambat, sebelum apa yang kita miliki hilang lenyap. Sebelum apa yang kita ada meninggalkan kita. Sebelum kita tidak punya apa-apa. Peka terhadap nikmat yang kita kecapi. Merasakan kehadirannya. Mengagungkan pemberi nikmat itu iaitu Allah. Tuhan sekalian alam. Yang Maha Pengasih dan Maha Mengasihani.

Dengan bersyukur nikmat akan bertambah, rezeki akan melimpah, hidup penuh barokah. Kaya dan bahagia dengan bersyukur. Sudahkah kita bersyukur hari ini?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...