Monday, November 12, 2012

5 TIPS ISTIQAMAH DALAM IBADAT



KESIBUKAN kita menjalani kehidupan moden seringkali melalaikan kita daripada melaksanakan tugas sebagai hamba Allah. Terkadang kita merasa rajin beribadah, terkadang kita merasa malas dan lalai melaksanakan kewajipan ini. Bagaimanakah caranya agar kita dapat istiqamah dalam ibadah?


JAWAPAN

Istiqamah dalam berpegang pada agama Allah bukan ringan. Terutamanya dalam konteks kehidupan moden sekarang ini apabila budaya hedonism mewarnai corak kehidupan kita dan membentuk minda masyarakat kita. Solat dipandang aktiviti buang masa, menutup aurat dilihat ketinggalan zaman dan agama malu untuk diperbincangkan.

Dalam konteks kehidupan sebegini, melaksanakan tuntutan agama memang terasa berat untuk dilakukan. Untuk itu, kita memerlukan motivasi dan perancangan yang baik agar dapat terus istiqamah dalam ibadah.

Pada kesempatan ini, izinkan saya mengajukan lima petua istiqamah dalam ibadah. Mudah-mudahan jika kelima-limanya kita laksanakan, maka kita akan dapat terus melaksanakan kewajipan kita sebagai hamba Allah secara konsisten.

Pertama: Menyedari selalu akan hakikat diri kita yang serba kekurangan. Manusia adalah makhluk yang sangat lemah. Ia selalu terdedah untuk pelbagai penyakit, musibah, kemiskinan dan lain sebagainya. Siapa yang ingin menjaga diri atau keluar daripada perkara-perkara buruk tersebut, ia mesti menjaga hubungan baiknya dengan Allah Yang Maha Berkuasa.

Imam Al-Syafii pernah berkata: "Kelemahan adalah sifat manusia yang paling jelas. Barang siapa yang selalu menyedari sifat ini, ia akan memperoleh istiqamah bersama Allah SWT."
Kedua: Menyedari hakikat hidup kita di muka bumi ini. Setiap daripada kita adalah tetamu, dunia ini adalah tempat persinggahan, negeri asalnya adalah akhirat dan bekalannya adalah ibadah.

Setiap tamu suatu ketika nanti akan pergi meninggalkan tempat persinggahan dan berpindah ke negeri asalnya. Segala sesuatu yang ingin kita bawa ke akhirat, siapkanlah dari sekarang. Pastikan kita telah memiliki rumah yang selesa di akhirat nanti sebelum kita meninggalkan dunia ini. Caranya dengan memperbanyak ibadah dan amal kebajikan.

Selama kita masih hidup di dunia, peluang membeli barangan akhirat itu masih terbuka. Namun sebaik kita berada dalam sakaratul maut, pada saat itu peluang tersebut telah tertutup. Pada saat itu, barangan akhirat yang sangat kita perlukan itu menjadi sangat mahal. Ia tidak lagi dapat dibeli dengan wang ringgit, bahkan semua harta kita sekalipun.

Allah berfirman:  
Infakkanlah sebahagian daripada harta yang telah kami berikan kepadamu sebelum datang kematian, lalu kamu berkata: Wahai tuhanku, tangguhkanlah sekejap kematian agar aku dapat bersedekah dan menjadi orang yang saleh. Dan Allah tidak akan menangguhkan kematian seseorang apabila telah tiba masanya. Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (al-Munafiqun: 10-11)

Ketiga: Lakukan ibadah mengikut kemampuan. Jangan terlalu berlebihan sehingga melahirkan rasa bosan dan serik. Dua rakaat sunat tahajud yang rutin kita kerjakan setiap malam, lebih baik daripada 100 rakaat yang kita lakukan sekali sahaja seumur hidup.

Rasulullah bersabda:  
Wahai manusia, ambillah amalan yang kamu mampu lakukannya (dengan rutin). Sesungguhnya Allah tidak akan jemu sehinggalah kamu jemu. Dan amalan yang paling Allah cintai adalah apa yang dilakukan dengan istiqamah, meskipun sedikit. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berlebihan dalam ibadah adalah salah satu muslihat syaitan. Apabila ia tidak dapat menghalangi manusia daripada melakukan ibadah, maka ia akan mendorongnya untuk melakukan ibadah secara berlebihan. Akhirnya ia sendiri menjadi bosan dan meninggalkan perbuatan tersebut.

Keempat: Bercampurlah dengan orang-orang yang tepat. Sebab perjalanan jauh sangat membosankan jika kita menempuhnya seorang diri. Perjalanan itu akan menjadi lebih ringan, bahkan menyenangkan, jika kita berjalan bersama orang-orang yang kita cintai. Begitu juga perjalanan kita menuju akhirat.

Justeru, carilah orang-orang yang satu destinasi dengan kita menuju syurga. Kenali mereka dengan akhlak mulia yang terdapat dalam diri mereka. Sebab ahli syurga adalah orang-orang yang sopan, lemah lembut, tawaduk, tidak menyimpan hasad dengki, suka menghormati orang lain dan pelbagai sifat mulia lainnya.

Setelah anda menjumpai, bersahabatlah dengan mereka. Sebarkan selalu salam kedamaian sebagai tanda cinta dan akhlak mulia.

Rasulullah SAW bersabda:  
Kamu tidak akan masuk ke syurga sehingga kamu beriman. Dan kamu tidak akan beriman sehingga kamu saling mencintai. Mahukah kamu aku beritahukan sesuatu yang jika dilakukan maka kamu akan saling mencintai? Sebarkanlah salam di antara kamu. (riwayat Muslim)

Kelima: Muhasabah diri selalu, jangan pernah merasa cukup atas ibadah dan kebaikan yang kita lakukan dan perbanyakkan berdoa kepada Allah SWT. Sering-seringlah meminta ketetapan iman dan tidak terpesong daripada jalan yang Allah redai.

Imam al-Tirmizi meriwayatkan bahawa doa yang selalu dipanjatkan Rasulullah ialah: 

"Wahai Allah, tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu."

Umi Salamah: "Ya Rasulullah, mengapa tuan selalu berdoa seperti ini?"

Baginda menjawab: "Wahai Umi Salamah, setiap hati anak Adam berada di antara dua jari jemari Allah. Jika Allah kehendaki, Dia akan menjadikannya lurus. Dan jika Dia kehendaki maka Dia akan menjadikannya condong kepada kesesatan."

Semoga Allah selalu menetapkan hati kita dalam agama-Nya dan mengurniai kita istiqamah dalam ibadah. Amin ya rabbal 'alamin
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...