Tuesday, November 27, 2012

ASAL-USUL TAPAK KAKI NABI IBRAHIM




Firman ALLAH SWT telah sampai. Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail diarahkan agar membangunkan Kaabah di satu tempat. Dengan ketaatan yang tidak berbelah bahagi, kedua-dua mereka mula melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Nabi Ismail mengutip batu-batu besar yang didapati di padang pasir dan menghimpunkannya. Sementara itu, Nabi Ibrahim menyusun naik batu-batu itu membentuk bangunan empat persegi.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud,
“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama anaknya Nabi Ismail meninggikan binaan (tapak) Baitullah (Kaabah) sambil keduanya berdoa dengan berkata, “ Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami amal kami. Sesungguhnya Engkau Amat Mendengar lagi Amat Mengetahui.”

(Surah Al-Baqarah ayat 127)

Dua beranak itu berusaha dengan gigih. Dalam suasana padang pasir yang terik dan berpasir, mereka tabah mengerjakan perintah ALLAH SWT. Sehingga binaan kian meninggi, Ibrahim dibantu Ismail yang menghulurkan batu dari bawah. Begitulah usaha mereka sehingga akhirnya Baitullah itu sempurna sudah dan tersergam megah.

Ketika itu, dengan kehendak ALLAH SWT, sebaik saja menginjakkan kakinya di salah satu batu besar di situ, terkesanlah tapak kaki Nabi Ibrahim sepertimana yang dapat dilihat pada hari ini. Kekuasaan ALLAH SWT itu tidak lain untuk meninggalkan bukti kepada manusia akhir zaman mengenai kebesaran-Nya.

Setelah selesai pembinaan Baitullah, ALLAH SWT memerintahkan Nabi Ibrahim agar memberi kebenaran kepada umat manusia menunaikan haji di Baitullah.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud,
“Dan serulah umat manusia untuk datang mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang ke rumahmu (Rumah Allah) dengan berjalan kaki, dengan berkenderaan berjenis-jenis unta yang kurus dan datang dari pelbagai ceruk rantau yang jauh.”

(Surah Al-Haj, ayat 27)

Mendapat saja wahyu itu, Nabi Ibrahim terus naik ke Jabal Abu Qubais, satu gunung yang paling dekat dengan kedudukan Baitullah. Dia memanggil dengan nama ALLAH, “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Tuhan kamu telah membina satu rumah-Nya bagi kamu. Oleh itu, tunaikanlah haji di sana.”

Nabi Ibrahim menyeru begitu ke kiri dan ke kanan tidak ubah seperti melaungkan azan. Dan kerana itulah juga kini ALLAH SWT menciptakan bacaan talbiah bagi semua orang yang mengerjakan fardhu haji. Sesungguhnya haji itu tidak sah tanpa talbiah. Bacaan talbiah antara lainnya “Labbaikallahummalabbaik” yang membawa makna “Aku datang untuk menunaikan panggilan-Mu Ya ALLAH”.

Selepas itu, ALLAH SWT mensyariatkan untuk bersembahyang di belakang Maqam Ibrahim sepertimana firman ALLAH yang bermaksud, 
"Dan jadikanlah oleh kamu Maqam Ibrahim itu tempat sembahyang." (surah Al-Baqarah ayat 125).


Yang dikatakan maqam Nabi Ibrahim itu adalah kedua belah bekas tapak kaki beliau dan bukan kubur Nabi Ibrahim.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...