Monday, March 11, 2013

TALIAN HAYAT HAMBA ALLAH



DALAM menjalani kehidupan, memang telah menjadi lumrah seseorang itu berdepan dengan masalah. Masalah tersebut kadang-kadang datang dan pergi sehinggalah kita dipanggil pulang oleh Allah SWT dengan kematian.

Oleh itu, selagi mana kita hidup, maka selagi itulah ujian demi ujian diberikan oleh Allah SWT mengikut tahap keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT untuk menilai siapakah yang terbaik amalannya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: 
Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat). (al-Mulk: 2)

Antara tujuan Allah SWT menguji manusia dengan masalah ialah untuk mendekatkan diri mereka kepada-Nya. Ini adalah kerana, sekiranya manusia itu mempunyai sifat kehambaan, tentulah dia akan bergantung sepenuhnya pengharapan kepada Allah SWT.

Oleh kerana itu, setiap kali kita ditimpa ujian dalam apa jua bentuk sekalipun, maka pulanglah kepada Allah SWT dengan mengangkat tangan berdoa serta memohon kepada-Nya.

Allah SWT sebenarnya terlalu dekat dengan kita. Dia tidak akan mensia-siakan setiap permohonan dan doa yang dipersembahkan oleh hamba- hamba- Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. (al-Baqarah: 186)

Ramai orang menganggap doa adalah sesi pemberitahuan dan perkhabaran kepada Allah SWT tentang masalah yang kita hadapi. Sebenarnya mereka silap. Allah SWT sebenarnya Maha Mengetahui segala perkara yang berlaku terhadap diri kita kerana ia berlaku dengan izin dan kehendak-Nya.

Maka itu, doa bukanlah bermaksud untuk memaklumkan kepada Allah SWT tentang apa yang berlaku. Sebaliknya, doa ialah satu pembuktian kehambaan kita kepada Allah SWT. Sebagai hamba, tiada tempat yang sepatutnya kita mohon pertolongan melainkan kepada Allah SWT.

Di samping itu, doa juga adalah merupakan satu bentuk ibadah kepada Allah SWT. Oleh kerana ia adalah ibadah, maka terdapat kemungkinan Allah SWT tidak menerima doa tersebut sekiranya tidak menepati syarat-syaratnya sebagaimana ibadah-ibadah yang lain.

Rasulullah SAW bersabda: Doa itu ialah ibadat. (riwayat Bukhari)

Oleh sebab itu, Allah SWT tidak suka sekiranya kita tergesa-gesa dalam berdoa. Kita perlu tenang dan berlemah-lembut dalam mengemukakan harapan dan rintihan kita kepada Allah SWT.

Jangan gunakan suara yang keras dan kuat seumpama memerintah dan mengarahkan dalam berdoa. Ia sama seperti kita memohon sesuatu daripada orang lain. Kita perlu menjaga tutur bahasa dan percakapan sewaktu mengemukakan permohonan tersebut.

Kita juga perlu berhati-hati dalam memilih perkataan yang ingin diucapkan. Barulah orang tersebut bersedia untuk mempertimbangkan permohonan yang kita kemukakan.

Maka, sekiranya sesama manusia kita kena jaga adab dalam meminta, maka lebih-lebih lagi sekiranya kita meminta kepada Allah SWT, Tuhan sekalian alam.

Allah SWT bukan sahaja meminta kita untuk berdoa kepada-Nya, Dia juga mengajar kita bagaimana cara terbaik untuk berdoa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: 
Berdoalah kepada Tuhanmu dengan berendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. (al-A'raf: 55)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...