Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda:“Sungguh hina, sungguh hina, sungguh hina!”Baginda ditanya: “Siapakah wahai Rasulullah (yang hina itu)?” Baginda menjawab:Orang yang mendapati orang tuanya dalam keadaan tua, sama ada salah seorang atau kedua-duanya, kemudian dia tidak memasuki syurga.[1]
Apabila ibubapa kita mencapai umur lanjut, lazimnya cabaran untuk berbuat baik kepada mereka menjadi lebih tinggi. Ini kerana umur yang lanjut selalunya sinonim dengan sifat yang lebih cerewet, celoteh yang pelbagai, kedegilan yang menjadi-jadi dan kesihatan yang semakin berkurang. Maka jika kita dapat bersabar dengan cabaran-cabaran yang kian bertambah ini, maka ia sebenarnya memudahkan lagi laluan ke syurga. Manakala jika kita tidak dapat bersabar, maka ia sebenarnya menyukarkan lagi laluan ke syurga.
Tidak berlebihan jika diumpamakan, berdasarkan hadis di atas, bahawa kita hendaklah memandang ibubapa yang sudah tua sebagai penjaga pintu syurga. Jika kita bersabar dan terus beristiqamah berbuat baik kepada ibubapa, maka mereka akan membuka pintu syurga kepada kita. Sebaliknya jika kita hilang sabar dan tidak berbuat baik kepada ibubapa, maka mereka akan menutup pintu syurga tersebut daripada kita.
Ibubapa yang sudah lanjut usianya juga telah mendapat perhatian di dalam al-Qur’an. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibubapa. Jika salah seorang dari keduanya,atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu,maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Uff”, dan janganlah engkau menengking (dan/atau) menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). [al-Isra 17:23]
Berkata al-Qurtubi rahimahullah berkenaan ayat di atas:Firman Allah: “Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu”: Keadaan ketika umur lanjut diistimewakan kerana dalam keadaan demikian, ibubapa sangat memerlukan bakti anaknya. Ini disebabkan keadaan mereka telah berubah menjadi lemah dan tua renta. Oleh itu dalam keadaan sedemikian, Allah mewajibkan untuk memerhatikan ibubapa melebihi perintah sebelum masa tersebut. Dalam keadaan usia lanjut, ibubapa menjadi lemah sehingga memerlukan rawatan sebagaimana dahulunya ketika kanak-kanak, seorang anak juga memerlukan rawatan ibubapanya. Atas sebab inilah keadaan umur lanjut diistimewakan.
Selain itu, hidup bersama (antara anak dan ibubapanya) dalam jangka waktu yang lama adakalanya menyebabkan seorang anak merasa berat, bosan dan banyak mengeluh sehingga menampakkan kemarahan kepada ibubapanya (yang sudah lanjut umur), menunjukkan urat lehernya yang menegang atau bahkan mencaci keduanya. Ini semua berlaku lantaran kedekatan hubungan seorang anak yang tidak diimbangi dengan nilai agama yang baik. Sikap buruk yang paling ringan ialah mengeluarkan nafas mengeluh.
Justeru (dalam suasana seperti ini) Allah memerintah (kepada anak) untuk bersikap kepada ibubapanya dengan tutur kata yang mengandungi kemuliaan, bersih daripada semua kecacatan. Firman Allah: “…janganlah engkau berkata kepada mereka sekalipun perkataan "Uff”, maksudnya, janganlah berbicara dengan ibubapa dengan ucapan yang mengandung isyarat kemarahan, sekalipun sedikit. Mujahid berkata: “Ertinya, apabila kamu (seorang anak) melihat ibubapanya di usia lanjut membuang air besar dan air kecil di sebarangan tempat sepertimana yang pernah terjadi kepada kamu apabila kamu masih kecil, maka janganlah mengeluh dan berkata “Uff” kepada mereka.”
Firman Allah: “katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia”, yakni tutur kata yang halus dan sopan seperti “Wahai ayahku”, “Wahai ibuku”, tanpa menyebut namanya dan gelarannya. Ibn Baddah al-Tujaini berkata, aku bertanya kepada Sa‘id ibn Musayyab: “Semua jenis berbuat baik kepada ibubapa yang disebut dalam al-Qur’an telah aku fahami, kecuali firman Allah: “katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia”, apakah yang dimaksudkan dengan perkataan yang mulia?” Sa‘id ibn Musayyab menjawab: “Seperti ucapan seorang budak yang melakukan kesalahan di hadapan tuannya yang berperangai kasar lagi keras.”[2]
Rujukan :
[1] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 2551 (Kitab al-Birr wa al-Sholah wa al-Adab, Bab sungguh hina seseorang yang mendapati orang tuanya……).
[2] Nukilan berpisah daripada Jami li Ahkam al-Qur’an, (edisi Cdrom The Holy Qur’an v6.31; tafsir kepada ayat 23 surah al-Isra’).