Monday, August 9, 2010

MENUJU KESEMPURNAAN BERPUASA

 

Oleh : Haji Abdul Kadir Haji Muhammad
(Ahli Jemaah Ulama' Majlis Agama Islam Kelantan)

Dikeluarkan oleh :
Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين .

Firman Allah Taala :

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Ertinya : Wahai mereka yang telah beriman ! Telah difardukan ke atas kamu puasa sebagaimana telah difardukan ke atas mereka sebelum kamu, supaya kamu bertakwa. (Al-Baqarah : 183)

Hendaklah diketahui dan diinsafi bahawa : Tiadalah dimaksudkan dengan berpuasa itu sekadar menahan makan minum dan menahan diri dari segala sesuatu yang membatalkan rupa puasa (rangka bentuknya yang zahir). Maksud sebenar yang dituju ialah bekasnya atau kesan-kesannya iaitu : Menahan diri dari menuruti segala rupa keinginan yang diperintahkan kita menentangnya dengan senjata-senjata yang tajam (Sabar dan takwa). Hal ini tidak dapat dicapai oleh seseorang kecuali dengan menahan lidah dari menuturkan kata-kata yang keji, umpat, fitnah, dusta, pertengkaran mulut dan menahan pendengaran dari segala yang tidak disukai dan seterusnya menahan penglihatan dari melihat segala yang berlawanan dengan takwa atau bakti kepada Allah.

Ayat di atas menerangkan bahawa difardukan puasa "supaya kamu bertakwa". Dari itu nyatalah bahawa puasa itu menjadi pemelihara yang mendindingi antara kita dengan keinginan-keinginan nafsu yang angkara dan ingin kepada kemungkaran. Sabda Nabi SAW. :

الصّيامُ جُنّة, فلا يَرْفثْ ولا يَجْهَلْ. وإِنِ امرُؤٌ قاتَلَهُ أو شاتَمَهُ فلْيَقُلْ: إِني صائمٌ

(رواه البخاري)

Ertinya : Hanya puasa itu adalah perisai, maka apabila salah seorang kamu berpuasa, janganlah ia menuturkan perkataan yang keji dan jangan bersifat jahil, dan apabila seseorang mahu berkelahi dengannya atau memakinya, hendaklah ia katakan : Saya berpuasa (dari hadis riwayat Bukhari)

KELEBIHAN BULAN RAMADHAN

Ramadhan mempunyai kelebihan-kelebihan yang besar yang tidak ada pada bulan-bulan yang lain , sebagaimana sabda Nabi SAW. :

الصّلَوَاتُ الْخَمْسُ. وَالْجُمُعَةُ إِلَى الْجُمُعَةِ. وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ. مُكَفّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنّ. إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ

(رواه مسلم)

Ertinya : Sembahyang yang lima, Jumaat ke Jumaat, dan Ramadhan ke Ramadhan adalah penghapus-penghapus dosa di antaranya, apabila dijauhi dosa-dosa besar.

Dan sabdanya juga :

مَنْ صامَ رَمَضانَ إيماناً واحْتِساباً غُفِرَ لهُ ما تَقدّم مِنْ دَنْبه

(متفق عليه)

Maksudnya : Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan keimanan dan mahukan pahala ,  diampunkan baginya apa-apa yang telah lalu dari dosa-dosanya.

CARA BERPUASA

Apabila telah masuk malam pertama dari bulan Ramadhan , maka berniatlah pada malam itu, bahawa kita akan berpuasa esok hari kerana menjunjung perintah Allah Taala. Mulai malam itu kerjakanlah "tarawih" dengan berjemaah.

Sesudah bersahur dengan mengikut adab-adabnya, bersihkan mulut dengan sebersih-bersihnya, dan menanti waktu subuh, dan amat baik penantian waktu subuh itu diisi dengan membaca ayat-ayat suci Al-Quran Al-Karim.

Apabila telah terbit fajar, tahanlah diri dari makan minum, mendekati isteri dan dari segala yang merosakkan puasa dan pahalanya. Sesudah selesai mengerjakan sembahyang subuh , bacalah Al-Quran  sekadar yang disanggupi. Dan pada siang hari hendaklah menjauhkan diri dari segala perbuatan yang haram, bahkan hendaklah menjauhkan diri dari segala yang makruh dan sia-sia. Dan seterusnya berusahalah supaya segala sembahyang fardu dapat dikerjakan dengan berjemaah.

Seboleh-bolehnya pada tiap-tiap hari sesudah sembahyang zuhur dan asar disediakan waktu yang tenang untuk membaca Al-Quran.

Bila yakin matahari telah terbenam, bersegeralah berbuka dengan sedikit makanan yang manis lazat, sesudah itu tunaikanlah sembahyang maghrib, dan sesudah itu barulah disempurnakan makan dengan dituruti adab-adab berbuka.

Apabila tiba likur yang ketiga, tambahkan ibadat dengan jalan beriktikaf dan berusaha memperolehi "Lailatul Qadar" yang terletak dalam salah satu malam yang ganjil dari malam-malam yang kedua puluh satu sehingga malam terakhir Ramadhan.

ADAB-ADAB BERPUASA

Segala rahsia dan hikmat berpuasa yang begitu tinggi iaitu : takwa, sabar, kesihatan badan, melemahkan nafsu angkara, mengalahkan syaitan, mewangikan mulut di sisi Allah, menjernihkan hati, keampunan dosa, ganjaran yang besar, martabat yang tinggi di akhirat , bersifat dengan sifat-sifat malaikat dan diperdampingkan dengan Allah SWT, tidak akan dapat diperolehi oleh orang-orang yang berpuasa sekiranya mereka tidak memelihara dan menjaga adab-adab berpuasa dengan sebaik-baiknya.

Supaya puasa anda menjadi sempurna, selamat dari segala keaiban, kecacatan, dan tercapai tujuan dan hikmat dari kewajipan berpuasa itu, maka hendaklah diikuti adab-adab berikut : 

1. Bersahur, kerana Rasulullah SAW bersabda :

تَسَحّروا, فإِنّ في السّحورِ بَرَكةً

Ertinya : bersahurlah, kerana pada sahur itu ada berkat.

Dan sabdanya lagi :

اسْتَعِينُوا بِطَعَامِ السَّحَرِ عَلَى صِيَامِ النَّهَارِ. وَبِالْقَيْلُولَةِ عَلَى قِيَامِ اللَّيْلِ

Ertinya : Makanlah sahur bagi meringankan di siang hari, dan tidurlah seketika di siang hari bagi meringankan Qiamullail.

Makin dilewatkan bersahur adalah makin baik, supaya orang yang berpuasa tidak tersangat lapar. Dan berihtiath dengan menahan diri dari makan minum ketika imsak, supaya tidak terjatuh dalam syak. 

2. Segera berbuka setelah nyata masuk waktu maghrib, kerana sabda Nabi SAW. :

لاَ يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْفِطْرَ وأخروا السحور

Ertinya : Sentiasalah manusia itu dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka dan melewatkan bersahur.

3. Berbukalah sebelum sembahyang maghrib dengan sedikit makanan, dan sesudah sembahyang maghrib baharulah disempurnakan makan. Makanan yang utama buat berbuka ialah makanan yang mengandungi zat manis, yang menyegarkan badan dan tidak dikenai api seperti kurma di tanah arab. Sabda Nabi SAW :

إِذَا أَفْطَرَ أَحَدُكُمْ, فَلْيُفْطِرْ عَلَى تَمْرٍ. فَإِنْ لَمْ يَجِدْ, فَلْيُفْطِرْ عَلَى الْمَاءِ. فَإِنّهُ طَهُورٌ.

Ertinya : Apabila berbuka puasa, berbukalah dengan kurma, sekiranya tidak ada maka berbukalah dengan air, sesungguhnya air itu penyuci.

Dan diriwayatkan dari Anas RA , katanya :

كانَ النبيّ صلى الله عليه وسلم يُفْطِرُ قَبْلَ أَنْ يُصَلّيَ على رُطَبَاتٍ, فإِنْ لم تَكُنْ رُطَبَاتٌ فَتُمَيْراتٌ, فإنْ لم تَكُنْ تُمَيْراتٌ حَسَا حَسَواتٍ مِنْ مَاءٍ.

Ertinya : Adalah Nabi SAW berbuka sebelum sembahyang maghrib dengan beberapa biji rutob, ketika tidak ada rutob, ia berbuka dengan beberapa biji tamar, dan jika tidak ada tamar ia meneguk beberapa teguk air.

(Riwayat At-Tirmizi)

4. Mandi dari hadas besar sebelum fajar, supaya dapat ditunaikan ibadat puasa dalam keadaan bersih. 

5. Merebut peluang kedatangan Ramadhan yang mulia dengan membanyakkan membaca Al-Quran Al-Karim, kerana malaikat Jibril setiap malam menemui Nabi SAW lalu mentadarus Al-Quran (Maksud hadis).

6. Menjaga lidah dari bercakap dusta, mengumpat, mengacum, memaki, mengeji dan menuturkan kata-kata yang berdusta, kerana sabda Nabi SAW :

مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ, فَلَيْسَ ِللهِ حَاجَةٌ أنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ.

Ertinya : Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata Zuur (dusta, umpat keji dan segala kata-kata yang mendatangkan kemurkaan Allah dan merenggangkan hubungan dengan manusia) dan melakukannya maka tidak ada bagi Allah apa-apa keperluan dari tidak makan dan tidak minumnya (yakni : puasanya tidak diterima Allah atau tidak diberi pahala).

Ibnu Umar RA berkata :

ليس الصيام من الشراب والطعام وحده , ولكنه من الكذب والباطل واللغو

Bermaksud : Bukanlah berpuasa itu dari minum dan makan semata-mata, tetapi berpuasa juga dari dusta, perbuatan salah dan perkara yang sia-sia.

Berkata Maimun b. Mahran :

إن اهون الصيام ترك الطعام والشراب

Bererti : Bahawa puasa yang paling rendah nilainya ialah puasa meninggalkan makan dan minum (sahaja). 

7. Janganlah kerana berpuasa, anda jadi pemarah, pongah, memarahi atau berontak kerana sebab-sebab  yang kecil, kerana sayugia  bagi orang berpuasa, puasanya menyebabkan ia selalu tenang, bukan menyebabkan jadi pongah dan berontak. 

Apabila anda diuji oleh si jahil atau si pengecam / pencaci, maka janganlah dibalas seumpamanya, bahkan hendaklah anda menasihatinya, dan menolak dengan sebaik-baik jalan, kerana Nabi SAW ada bersabda :

الصّيَامُ جُنّةٌ فَإذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلاَ يَرْفُثْ وَلاَ يَصْخَبْ فَإنْ شَاتَمَهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إنّي امْرُؤٌ صَائِمٌ

(رواه النسائي) 

Bermaksud : Berpuasa itu perisai, maka apabila pada hari kamu berpuasa, janganlah berkata kotor dan jangan hingar bingar , dan sekiranya ada orang memaki atau mahu berkelahi, hendaklah dikatakan : "Saya puasa".

Perkataan seumpama ini adalah untuk menahan diri dari melawan caci maki dengan pemaki itu, dan juga sebagai pengingat kepadanya bahawa apa yang sepatutnya dilakukan pada bulan puasa ialah berhenti dari memaki dan mengeji.

8. Keluar dari puasa dengan penuh bertakwa kepada Allah, ingat dan bersyukur kepadanya serta tetap atas dasar istiqamah.

Sekiranya kesan baik dapat anda capai, dan sentiasa mengikuti anda sepanjang tahun, maka (ketahuilah) bahawa buah hasil dari ibadat puasa yang awal-awal sekali ialah : "Takwa". Firman Allah Taala :

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Bererti : Wahai orang-orang yang beriman ! Telah difardukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah difardukan puasa itu ke atas umat sebelum kamu, supaya kamu menjadi orang yang bertakwa. (Al-Baqarah : 183) 

9. Hendaklah menjaga nafsu keinginan, supaya tercapai, dan puasa itu biarlah benar-benar menjadi pematah kepada kehendak hawa nafsu. Jabir RA berkata :

إذا صمت فليصم سمعك وبصرك ولسانك عن الكذب والمآثم ، ودع أذى الخادم وليكن عليك وقار وسكينة يوم صيامك ولا تجعل يوم فطرك ويوم صيامك سواء

Ertinya : Apabila engkau berpuasa maka hendaklah turut berpuasa pendengaran engkau, pemandangan engkau dan lidah engkau daripada berdusta dan perkara-perkara dosa, jauhilah dari menyakiti orang-orang gaji, dan hendaklah berkeadaan terhormat, dan tenang pada hari kamu berpuasa. Dan jangan jadikan hari kamu tidak berpuasa sama dengan hari engkau berpuasa itu.

10. Hendaklah makanan anda dari yang halal. Apabila anda telah menjauhi dari yang haram pada hari-hari selain Ramadhan, maka menjauhinya dalam bulan Ramadhan adalah lebih-lebih lagi. Adalah tidak bererti sama sekali berpuasa dari yang halal yang tetapi berbuka dengan yang haram.

11. Mengurangkan makan dan minum ketika berbuka dan bersahur, jauhilah dari tabiat rakus di kala berbuka dan tabiat loba di kala bersahur. Jangan jadikan Ramadhan bukan menjamu selera, dan membalas dendam berlapar sepanjang hari dengan menjamu sepuas-puasnya dan sekenyang-kenyangnya pada waktu berbuka. Kalaulah hal ini berlaku maka puasanya tidak lagi menjadi pisau untuk memotong hawa nafsu atau alat untuk mematahkan syahwat yang berlebih-lebihan , bahkan menjadi tambah bergelora nafsu dan keinginan syahwat perut. Memang benar kita disukai meluaskan nafkah di bulan Ramadhan atau di hari-hari berpuasa, tetapi itu dengan cara membanyakkan pemberian kepada kaum kerabat  yang berhajat dan kepada fakir miskin, dengan menjemput mereka ke rumah untuk dijamu atau sebagainya atau dengan jalan mengeluarkan sedekah di jalan Allah - bukan dengan memperbanyak makan sendiri. 

12. Membanyakkan derma dan sedekah, dan pemurah dengan segala kebaikan. 

كَانَ رَسُولُ اللّهِ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدَ النَّاسِ بِالْخَيْرِ, وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ.

(رواه مسلم) 

Ertinya : Adalah Rasulullah SAW manusia yang paling pemurah dengan kebaikan, dan ia lebih pemurah lagi dalam bulan Ramadhan. 

13. Mengerjakan sembahyang tarawih : Sabda Nabi SAW : 

إنَّ اللّهَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى فَرَضَ صِيَامَ رَمَضَانَ عَلَيْكُمْ وَسَنَنْتُ لَكُمْ قِيَامَهُ فَمَن صَامَهُ وَقَامَهُ إِيمَاناً وَاحْتِسَاباً خَرَجَ مِنْ ذُنُوبِهِ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ

(رواه أحمد والنسائي)

Ertinya : Bahawa Allah Taala telah memfardukan ke atas kamu puasa Ramadhan, dan aku mensunnahkan Qiam Ramadhan (tarawih), maka sesiapa berpuasa dan beribadat malamnya (sembahyang tarawih) dengan penuh keimanan dan mahukan pahala, nescaya keluarlah ia dari dosa-dosanya seperti hari ia dilahirkan oleh ibunya. 

14. Beriktikaf - Walaupun sekejap - disalah sebuah masjid. Iktikaf adalah sunat, dan dikerjakan pada sepuluh yang akhir dari Ramadhan adalah lebih afdhal. Bagi mendapatkan lailatul Qadar, Sayyidatina Aisyah RA ada berkata : Adalah Rasulullah SAW apabila masuk ke sepuluh yang akhir dari Ramadhan, ia menghidupkan malam (dengan beribadat) dan mengejutkan keluarganya. Ia bersungguh-sungguh serta mengemaskan sarungnya (yakni tidak menggauli isterinya) - dari riwayat Bukhari dan Muslim. 

15. Membaca ketika berbuka puasa :

اَللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ

Ertinya : Ya Allah ! kerana Engkau aku berpuasa, dan dengan rezeki Engkau aku berbuka. 

PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA.  

1. Jimak .

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA katanya : Telah datang seorang lelaki berjumpa Nabi SAW , lalu berkata : Binasalah saya wahai Rasulullah ! Nabi bertanya : Apa yang membinasakan kamu ? Katanya saya telah menyetubuhi isteri saya pada siang hari bulan Ramadhan. Nabi bertanya : Adakah kamu sanggup memerdekakan seorang hamba ? Jawabnya : Tidak. Tanya Nabi lagi : Adakah kamu sanggup puasa dua bulan berturut-turut ? Jawabnya : Tidak . Tanya Nabi lagi : Adakah kamu sanggup memberi makan enam puluh orang miskin ?  Jawabnya juga tidak. Kata Abu Hurairah : Kemudian Nabi duduk, lalu dibawa datang sekarung buah tamar, dan Nabi bersabda : Ambillah ini dan sedekahkan. Maka lelaki itu bertanya : Adakah kepada orang yang lebih miskin daripada saya wahai Rasulullah ? Demi Allah ! Tidak ada di Madinah ini orang yang lebih berhajat / lebih miskin daripada saya ! Maka Nabi tergelak sehingga nampak gigi siungnya. Kemudian baginda bersabda : Pergilah, dan berilah makan kepada ahlimu.

(Dari hadis riwayat Muslim dan lain-lainnya)

Maksud dari riwayat di atas : Bahawa seseorang yang bersetubuh dengan isterinya pada siang hari Ramadhan dengan sengaja dan mengetahui haramnya wajiblah atasnya kafarah, iaitu memerdekakan seorang hamba, dan kalau tak kuasa / tak ada, wajib atasnya puasa dua bulan berturut-turut. Kalau tidak kuasa, maka wajib atasnya memberi makan enam puluh orang miskin, secupak bagi tiap-tiap seorang. Adapun perempuan yang disetubuhinya itu tidak terkena kafarah atasnya, mengikut faham mazhab Syafie dan Auza'ie , tetapi pada fahaman mazhab-mazhab yang lain : Wajib atas perempuan itu kafarah, kerana ia menyertai sama perbuatan jimak. 

Mengikut mazhab Syafie, hanya perbuatan jimak sahaja yang mewajibkan kafarah, tetapi imam Malik dan Abu Hanifah berkata : Orang yang berbuka puasa dengan sengaja makan / minum, wajib (dikenakan) kafarah seperti batal puasa dengan persetubuhan. 

2. Makan Minum

مَنْ أفْطَرَ يَوماً مِنْ رَمَضَانَ فِي غَيْرِ رُخْصَةٍ رَخَّصَهَا الله لَهُ لَمْ يَقْضِ عَنْهُ صِيَامُ الدَّهْرِ وإن صامه

Ertinya : Dari Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW, sabdanya : Sesiapa berbuka sehari dari Ramadhan dengan tiada keuzuran yang dibenarkan Allah baginya, maka tidak ada ganti baginya (untuk mendapatkan pahala yang begitu besar yang telah luput itu) dengan puasa setahun, sekalipun ia sanggup berpuasa sepanjang tahun itu. 

Mengikut faham Jumhur (termasuk As-Syafie) orang yang sengaja berbuka ini, wajib atasnya Qada' dan tidak wajib kafarah. Dalam mazhab Malik dan Hanafi : Wajib kafarah. Dan sepakat imam-imam bahawa berbuka dengan sengaja tanpa keuzuran adalah haram. 

Perhatian :  

i . Makan / Minum kerana terlupa, tidak membatalkan puasa.

Sabda Nabi SAW :

مَنْ نَسِيَ وَهُوَ صَائِمٌ, فَأَكَلَ أَوْ شَرِبَ, فَلْيُتِمّ صَوْمَهُ. فَإِنّمَا أَطْعَمَهُ اللّهُ وَسَقَاهُ

Ertinya : Sesiapa yang terlupa, sedang ia berpuasa, lalu ia makan atau minum, maka hendaklah ia teruskan puasanya. Sebenarnya Allah yang memberinya makan dan minum.

ii. Jika ia makan dan minum kerana disangkakan telah maghrib, tetapi ternyata belum lagi maghrib, nescaya batal puasanya dan wajib Qadha' .

Dari Asma' Bt. Abi Bakar RA katanya : Kami telah berbuka di masa Nabi SAW pada hari redup (kerana menyangka telah maghrib), kemudian kelihatan matahari masih ada, lalu ditanya orang yang meriwayatkan hadis ini (Hisyam) : Adakah mereka telah disuruh Qadha' ? Maka katanya : Ya, Mesti Qadha'.

(Riwayat Al-Bukhari) 

iii. Berdasarkan riwayat ini, imam empat sependapat mengatakan : Sesiapa yang menyangka telah maghrib lalu berbuka, kemudian ternyata belum maghrib, wajib ia berhenti dari makannya kerana menghormati waktu puasa dan wajib atasnya Qadha' kerana puasanya telah batal, dan tidak ada kafarah ke atasnya. Begitu juga orang yang makan kerana menyangka belum subuh lagi, kemudian ternyata siang telah menjelang, maka wajiblah ia menahan diri dari yang membatalkan puasanya sepanjang hari dan wajib atasnya Qadha' kerana puasanya telah rosak. 

Termasuk dalam makan minum yang membatalkan puasa ialah :

Sampainya sesuatu ke dalam rongga badan (perut) dengan sengaja, melalui pilihan sendiri dan tahu ... dan sampainya ke dalam rongga / perut melalui saluran masuk yang biasa di tubuh yang dikira oleh syarak, seperti mulut, hidung dan telinga, termasuklah :

iv. Menghisap rokok / tembakau, candu, dadah dan sebagainya. Dan menghisap (nusyuk) melalui hidung. 

v. Suntikan melalui dubur, manakala suntikan di kulit atau urat darah, tidak membatalkan puasa kerana ianya tidak masuk ke dalam rongga perut dan tidak melalui saluran biasa. Tetapi lebih baik, jika ada kemudahan , suntikan dilakukan selepas waktu berbuka. 

iv. Suntikan makanan atau menambah vitamin adalah membatalkan puasa.

vii. Menelan sisa makanan yang terlekat di celah-celah gigi. Sedang ia boleh membezanya dan boleh membuangnya, adalah membatalkan. Begitu juga tertelan air kerana berkumur-kumur atau istinsyak (menghisap air ke hidung) yang melebihi kerana termasuk dalam sengaja. 

viii. Menelan liur, tertelan lalat dengan tidak sengaja, tertelan debu jalan, asap kayu dan lain-lain jenis asap / gas yang tidak boleh dielak adalah tidak membatalkan. 

3. Muntah dengan sengaja

Membatalkan, kerana sabda Nabi SAW :

مَنِ اسْتَقَاءَ, فَعَلَيْهِ الْقَضَاءُ

Yakni : Sesiapa muntah dengan sengaja hendaklah ia qadha' puasanya. Adapun muntah dengan tidak sengaja, maka tidaklah rosak puasanya. Mengeluarkan balgham (kahak) dari dalam dan membuangnya keluar juga tidak merosakkan puasa.

4. Keluar mani dengan sengaja

Dengan apa cara yang pada adatnya boleh membawa kepadanya, atau dengan sengaja memandang, atau berfikir-fikir, cium, sentuh dan sebagainya adalah membatalkan puasa, tetapi jika keluar kerana bermimpi tidak membatalkan.

PERKARA-PERKARA YANG MAKRUH 

1. Memamah makanan atau merasanya di lidah meludahnya, kecuali kerana perlu seperti tukang masak, maka tidak makruh. 

2. Melebihi berkumur-kumur atau menyedut air ke hidung semasa wuduk.

3. Mencium isteri atau menyentuhnya atau memandangnya dengan nafsu atau berfikir hal jimak.

4. Memamah ranting-ranting kayu.

5. Berkumur-kumur tidak kerana wuduk dan tidak kerana ada keperluan. 

PERKARA-PERKARA YANG DIHARUSKAN DAN YANG DIMAAFKAN.  

1. Menggosok gigi / bersugi. 

2. Menyejukkan tubuh dengan air ketika panas. 

3. Memamah makanan untuk anak-anak kecil yang terpaksa dengan syarak tidak tertelan.

4. Memakai bau-bauan / wangi-wangian.

5. Termakan dengan tak sengaja.

6. Masuk sesuatu ke dalam perut melalui air liur dengan tidak disedari atau lemah untuk membuangnya.

7. Menelan air liur walaupun banyak selama belum sampai ke mulut.

8. Apabila terbit fajar, sedang di dalam mulut masih ada makanan, lalau membuang serta merta , sah tetapi kalau ditelan juga selepas itu batallah puasanya. 

9. Bangun pagi dalam berkeadaan berjunub.

10. Bermimpi ... 

ORANG YANG DIHARUSKAN BERBUKA PUASA (TETAPI WAJIB QADHA')

1. Orang sakit, yang kerana puasanya bertambah sakitnya.

2. Orang yang berjalan jauh yang harus qasar sembahyang. 

3. Perempuan haid dan nifas, wajib berbuka, tidak sah puasanya.

4. Orang yang sedang mengandung atau sedang menyusu anaknya, jika puasanya memudaratkan dirinya atau anaknya atau kedua-duanya.

5. Perempuan istihadhoh wajib puasa sebagaimana sembahyang.

6. Orang tua yang tidak kuasa puasa, wajib fidyah.

7. Orang yang tersangat lapar atau dahaga yang melebihi batasan yang boleh ditanggungnya.

والله اعلم . وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم والحمد لله رب العالمين .

[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...