Monday, September 27, 2010

Hukum dan Hikmat Memotong Kuku.

 

KUKU yang diciptakan Allah mempunyai peranan dan kepentingannya kepada manusia. Dalam Islam, kuku berperanan dalam beberapa perkara hukum yang tidak seharusnya diabaikan umat Islam. Walaupun dilihat seolah-olah perkara kecil, kadang-kadang ia menjadi perkara besar. Contohnya, ketika seseorang masih dalam ihram haji atau umrah didenda membayar dam kerana memotong kuku. Demikian juga kuku boleh menyebabkan tidak sah wuduk atau mandi junub, jika air tidak atau terhalang sampai ke kuku.

Hukum dan hikmat memotong kuku.

Memotong kuku termasuk amalan sunat. Hal ini disebutkan dalam hadis daripada Saidatina Aisyah yang maksudnya: "Sepuluh perkara dikira sebagai fitrah (sunah) iaitu memotong misai, memelihara janggut, bersugi, memasukkan air ke hidung, memotong kuku, membasuh sendi-sendi, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, bersuci dengan air (beristinja), berkata Zakaria: "Aku lupa yang ke-10 kecuali berkumur." (Hadis riwayat Muslim)

Memotong kuku adalah sunat bagi lelaki dan perempuan sama ada kuku tangan atau kaki. Adapun hikmat daripada pensyariatan memotong kuku adalah menghilangkan segala kotoran yang melekat atau berkumpul di celahnya. Kotoran itu jika tidak dibersihkan boleh menghalang air ketika bersuci.

Selain itu, jika kuku dibiarkan panjang dan segala kotoran atau najis melekat padanya, nescaya ia menjejaskan kesihatan.

Cara dan benda untuk memotong kuku

Sunat memotong kuku bermula daripada tangan kanan, kemudian tangan kiri, memotong kuku kaki kanan kemudian kaki kiri.

Menurut Imam an-Nawawi, sunat memotong kuku bermula jari tangan kanan keseluruhannya daripada jari telunjuk hingga ke jari kelingking dan diikuti ibu jari. Kemudian tangan kiri daripada jari kelingking hingga ibu jari.

Sementara, kuku kaki pula, bermula kaki kanan daripada jari kelingking hingga ibu jari. Kemudian kaki kiri daripada ibu jari hingga kelingking.

Harus seseorang memotong kuku menggunakan gunting, pisau atau benda khas seperti alat pemotong kuku supaya tidak memudaratkan kuku atau jari.

Selesai memotong kuku, segera membasuh tangan (tempat kuku yang dipotong) dengan air.

Menurut kitab al-Fatawa al-Hindiyah dalam mazhab Hanafi bahawa makruh memotong kuku menggunakan gigi kerana boleh mewarisi penyakit kusta.

Waktu memotong kuku

Islam juga mengambil kira waktu memotong kuku yang tidak tertakluk pada panjang kuku.

Kuku harus dipotong pada bila-bila masa. Bagaimanapun, jangan membiarkan kuku tidak dipotong melebihi 40 hari. Hal ini diriwayatkan daripada Anas bin Malik yang maksudnya: "Sudah ditentukan waktu kepada kami memotong misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu ari-ari agar kami tidak membiarkannya lebih daripada 40 malam." (Hadis riwayat Muslim)

Menurut Imam Al-Syafie dan ulama Al-Syafi'eyah, sunat memotong kuku sebelum mengerjakan solat Jumaat seperti disunatkan mandi, bersugi, berharuman, berpakaian kemas sebelum ke masjid.

Diriwayatkan Abu Sa'id al-Khudri dan Abu Hurairah, katanya, Rasulullah saw bersabda bermaksud: "Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, bersugi, berwangian jika memilikinya dan memakai pakaian yang terbaik, kemudian keluar rumah hingga sampai ke masjid, dia tidak melangkahi (menerobos masuk) orang yang sudah bersaf, kemudian mengerjakan sembahyang apa saja (sembahyang sunat), dia diam ketika imam keluar (berkhutbah) dan tidak berkata-kata hingga selesai mengerjakan sembahyang, maka jadilah penebus dosa antara Jumaat itu dan Jumaat sebelumnya." (Hadis riwayat Ahmad)

Daripada Abu Hurairah, katanya bermaksud: "Nabi Muhammad memotong kuku dan menggunting misai pada hari Jumaat sebelum Baginda keluar untuk bersembahyang." (Hadis riwayat al-Bazzar dan ath-Thabrani)

Sementara, menurut Ibnu Hajar, sunat memotong kuku pada Khamis, pagi Jumaat atau Isnin.

Menanam potongan kuku

Islam sangat prihatin terhadap memuliakan anak Adam, termasuk anggota badannya. Kuku yang potong, sunat ditanam dalam tanah sebagai tanda menghormatinya kerana ia anggota manusia. Hal ini disebut dalam kitab Fath al-Bari, bahawa Ibnu 'Umar menanam potongan kuku'.

Memotong kuku ketika haid, nifas dan junub

Menurut kitab Al-Ihya, jika seseorang dalam keadaan junub atau berhadas besar, jangan memotong rambut, kuku atau mengeluarkan darah atau memotong sesuatu yang jelas daripada badannya sebelum dia mandi junub. Hal ini kerana segala potongan itu pada akhirat kelak akan kembali kepadanya dengan keadaan junub.

Memanjangkan kuku

Tabiat memanjangkan kuku bertentangan dengan sunnah Nabi Muhammad yang menggalakkan supaya memotong kuku. Jika dibiarkan kuku panjang, nescaya banyak perkara yang membabitkan hukum seperti wuduk, mandi wajib dan sebagainya.

Selain itu, antara perkara sunat yang dilakukan bagi orang sakit atau hampir nazak adalah mengelokkan diri iaitu dengan memotong kuku, misai, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari, bersugi, mandi, berwangian dan memakai pakaian yang bersih.

Imam Al-Syafie tidak menyatakan dalam kitabnya sunat memotong kuku mayat, tetapi beliau menyatakan perselisihan pendapat antara gurunya dalam menggalak dan meninggalkan perbuatan memotong kuku mayat. Beliau memilih dan mentarjih pendapat untuk meninggalkan perbuatan memotong kuku mayat.

Pendapat yang betul adalah membiarkan kuku mayat kerana segala anggota mayat itu dimuliakan dan tidak ada hadis sahih yang menggalakkan memotong kuku mayat. Malah, makruh hukumnya jika berbuat demikian. Demikian juga menurut Imam Ibnu Hajar, pendapat yang azhar adalah makruh memotong kuku mayat.

Adapun orang yang meninggal ketika dalam ihram haji atau umrah, haram dipotong kuku mayat itu, seperti haram mewangikan tubuh badan dan memotong rambutnya. Ini diibaratkan keadaannya ketika masih hidup, dengan haram ke atasnya memotong kuku ketika ihram. Namun, jika kuku mayat itu menyukarkan tukang mandi untuk membersihkannya, tidak mengapa jika dipotong dan tidak juga dikenakan dam ke atas orang yang memotong kuku itu.

[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...