Friday, September 3, 2010

Pahala Untuk Hubungan Halal

 

DALAM masyarakat Melayu, seks adalah perkara tabu dan ramai mengelak membincangkan topik ini secara terbuka.

sebelum - selepas

BAHAGIA... Islam mensyariatkan perkahwinan supaya umatnya dapat menyalurkan perasaan kasih sayang dan senang hati bersama pasangan. BAHAYA... menonton video lucah boleh memberi kesan negatif kepada perkembangan minda dan persepsi mengenai seksual.

BAHAGIA... Islam mensyariatkan perkahwinan supaya umatnya dapat menyalurkan perasaan kasih sayang dan senang hati bersama pasangan. Jika ditanya ibu bapa mengapa tidak memberi pendidikan seks kepada anak-anak, jawapannya mungkin 'malu' atau 'anak-anak tahu belajar sendiri.' Sebaliknya, apabila ditanya anak-anak mengenai seks, mereka lantas merujuk kepada perbuatan zina, gambar bogel, video lucah dan perkara yang membangkitkan nafsu.

Hakikatnya mereka tidak mendapat bimbingan daripada ibu bapa mengenai pendidikan seks sebaliknya anak-anak mendapat sumber daripada perlakuan seksual yang digambarkan di Barat.

Persoalannya, apakah seks itu dicipta Allah untuk tujuan keburukan sedangkan banyak ayat-ayat al-Quran yang menerangkan seks itu sesuatu yang suci dan murni? Seksual dikatakan berkait rapat dengan kehendak nafsu syahwat manusia, tetapi ia lebih banyak diseleweng padahal dalam Islam, seks adalah sesuatu yang suci dan murni.

Manusia memerlukan seks kerana ia adalah fitrah yang dianugerahkan Allah s.w.t. Namun keperluan seks perlu diimbangi dengan nilai akhlak agar ia mendapat keberkatan dan dikira amalan. Hubungan yang tidak halal atau seks luar nikah atau zina adalah haram serta berdosa besar. Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: "Wahai Muslimin, jauhilah zina kerana perlakuannya mendatangkan enam keburukan, tiga di dunia dan tiga di akhirat. Adapun tiga yang diperoleh di dunia ialah hilangnya seri di wajah, memendekkan umur dan mendatangkan kefakiran. Tiga yang diperoleh di akhirat ialah kemurkaan Allah, hisab yang buruk dan azab neraka." (Riwayat Ahmad, Ibn Hibban, Al-Hakim) Penyakit akibat jangkitan seksual kerap dihidap individu melalui hubungan seks rambang. Lebih 20 jenis penyakit dikesan antaranya sifilis, gonorea, ulser pada alat kelamin, jangkitan kulat dan bakteria pada vagina dan yang paling berbahaya ialah Aids.

Allah berfirman yang bermaksud: "Katakanlah kepada lelaki yang mukmin, (kawal) penglihatan mereka dan peliharalah alat kelamin mereka." Islam menyeru umatnya menyalurkan tuntutan seks dengan selamat dan mendamaikan. Naluri seks adalah suci jika dizahirkan dengan cara betul. Sebab itu, Islam mensyariatkan perkahwinan supaya manusia dapat 'meraikan' cita rasa dan kecenderungan diri supaya tidak melampaui batas yang digariskan. Jika seseorang itu tidak mampu berkahwin, mereka perlu memperbetulkan diri dengan memelihara kemaluan serta menjauhi bisikan nafsu syaitan. Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud: "Dan orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya." (Surah al-Nur ayat 33) Naluri seks ciptaan Allah mengandungi pelbagai hikmah. Dalam hubungan suami isteri, Allah menjanjikan ganjaran pahala buat mereka kerana ia dilakukan secara halal dan diredai Allah.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan jadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan." (Surah al-Rum ayat 21) Imam Muslim meriwayatkan dalam Sahih Muslim, daripada Abu Dzar r.a: Beberapa orang daripada sahabat Nabi s.a.w berkata: "Wahai Rasulullah! Orang-orang kaya memperoleh ganjaran. Mereka solat seperti mana kami solat. Mereka berpuasa seperti mana kami berpuasa. Dan mereka juga bersedekah daripada lebihan harta mereka." Rasulullah s.a.w bersabda: "Tidakkah Allah telah memperuntukkan kepada kamu suatu yang kamu boleh bersedekah dengannya? Sesungguhnya setiap tasbih (ucapan Subhanallah) adalah sedekah, setiap takbir (ucapan Allahu Akbar) adalah sedekah, setiap tahlil (ucapan La ilaha illallah) adalah sedekah, setiap tahmid (ucapan Alhamdulillah) adalah sedekah, menyuruh perkara yang baik adalah sedekah, melarang kemungkaran adalah sedekah, dan setiap kali kamu melakukan jimak (dengan isteri kamu) juga adalah sedekah." Sahabat bertanya: "Ya Rasulullah, adakah jika seseorang daripada kita menunaikan syahwatnya dia mendapat ganjaran (sedekah)?" Rasulullah menjawab: "Tidakkah kamu merasakan suatu dosa jika dia menunaikan syahwatnya dengan cara yang haram?" Sahabat menjawab: "Ya." Rasulullah menjawab: "Demikian juga apabila dia menunaikan syahwatnya dengan cara yang halal." Islam juga menetapkan panduan lengkap pasangan memulakan hubungan seks. Terdapat tahap khalwat (berdua-duaan) dalam perhubungan itu, antaranya disunatkan solat dua rakaat sebelum memulakan jimak.

Mereka juga hendaklah memohon doa moga Allah jauhkan diri daripada gangguan syaitan. Abdullah Ibn Mas'ud r.a berkata: "Cinta itu daripada Allah, dan benci itu daripada syaitan. Dia tidak suka kamu melakukan apa yang dihalalkan oleh Allah kepada kamu. Kemudian suami disunatkan berlemah lembut dengan isteri bagi mencetuskan rasa gembira dan meneguhkan perasaan cinta." Adab berjimak adalah dengan menanggalkan pakaian pasangan dan berada dalam satu selimut. Ia mendatangkan keselesaan dan isteri rasa seronok.

Berdasarkan hadis riwayat Imam Ahmad dan al-Tirmizi serta Abu Daud, Nabi bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah itu Maha Malu dan Menutupi, maka hendaklah kamu juga rasa malu dan menutupi." Imam al-Tirmizi mengeluarkan hadis daripada Rasulullah s.a.w yang bersabda yang bermaksud: "Berawaslah kamu daripada bertelanjang bulat sebab bersama kamu turut serta yang tidak pernah berenggang dengan kamu melainkan di tandas dan ketika seseorang bersetubuh dengan isterinya, maka kamu hendaklah merasa malu terhadapnya dan memuliakannya." Dalam berjimak, suami jangan terlalu rakus kerana paduan dalam Islam memang praktikal untuk keharmonian rumah tangga.

Abu Mansur al-Dailami dalam musnad al-Firdaus meriwayatkan yang bermaksud: "Janganlah antara kamu mendatangi isterimu seperti mana seekor binatang (yang menerkam mangsanya), tetapi hendaklah ada perantara antara keduanya." Sahabat bertanya: "Apakah perantara itu? Jawab Baginda: "Ciuman dan gurauan." Dalam beberapa kes, suami lebih cepat menikmati inzal kemudian tidak berminat menggauli isterinya sedangkan isteri lambat mencapainya. Perbezaan tabiat inzal itu boleh mencetuskan krisis rumah tangga kerana isteri tidak mendapat kepuasan.

Imam Ghazali dalam kitabnya, Ihya' Ulumiddin berkata: "Selepas suami mencapai keseronokan dirinya maka hendaklah dia menanti isterinya turut mencapai kelazatannya. "Isteri mungkin lambat inzal maka kamu hendaklah tidak tergopoh-gapah meninggalkannya sehingga dia juga turut merasakan kelazatannya. (Jika kamu mengabaikan perkara ini) akan menyebabkan gelombang hawa nafsunya membuak-buak dan ini amat menyeksakan dirinya." Timbul juga persoalan di mana ramai pasangan yang masih musykil cara mendatangi isteri. Menurut kaedah yang dianjurkan Islam, suami boleh menyetubuhi isteri dengan pelbagai cara asalkan melalui faraj. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai." (Surah al-Baqarah ayat 223). Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud: "Sama ada dari arah hadapan atau belakang, asalkan ia dilakukan pada faraj." Selepas melakukan hubungan kelamin, pasangan suami isteri perlu segera mandi junub. Namun jika terlalu penat, ia boleh ditangguh dan sunat berwuduk sebelum tidur. Mandi lebih diutamakan kerana apabila bangun pada pagi keesokan harinya mereka dapat solat Subuh. Suami dan isteri juga digalakkan mandi bersama dalam satu tempat. Ini dikuatkan sebagaimana yang diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim daripada Saidatina 'Aisyah, berkata yang bermaksud: "Aku pernah mandi bersama Nabi dalam satu bekas, di samping tangan kami silih berganti menceduk air, lalu Baginda menyiramkan aku. Aku berkata kepada Baginda: "Biarkan aku..! Biarkan aku..! Kata Saidatina 'Aisyah lagi: "Kami berdua dalam keadaan berjunub." Pensyarah Universiti Malaya (UM), Rahimi Saad, berkata hikmah perkahwinan itu adalah untuk memenuhi keperluan seks manusia selain bagi menambahkan zuriat.
"Seks adalah fitrah anugerah Allah kepada manusia untuk mewujudkan kasih sayang. Ia juga mencipta sakinah (ketenangan) serta memenuhi adab dalam mengeratkan hubungan antara pasangan. "Suami isteri boleh menunaikan syahwat mereka pada bila-bila masa melainkan pada waktu yang diharamkan syariat seperti berpuasa dan ketika isteri haid dan nifas.

"Allah berfirman: "Mereka bertanya kepadamu tentang haid. Katakanlah, haid adalah kotoran. Justeru, hendaklah kamu tidak menyetubuhi wanita ketika haid sehinggalah mereka suci daripadanya." (Surah Al-Baqarah ayat 222)," katanya. Beliau berkata, Islam memandang seks sesuatu yang bermanfaat dalam kehidupan pasangan suami isteri.

"Pasangan suami isteri boleh berjimak dengan gaya masing-masing tetapi haram menyetubuhi isteri pada dubur.

"Pilih waktu yang sesuai berjimak, jangan bersetubuh ketika isteri uzur kerana memberi mudarat termasuk tekanan emosi selain jangkitan kuman kepada saluran peranakan," katanya.

Mutiara Doa
Doa ketika hendak berjimak dengan isteri
"Ya Allah, Ya Tuhanku, hindarilah kami daripada syaitan dan singkirkan syaitan itu daripada apa yang Engkau rezekikan kepada kami (anak)."
Doa mengekalkan kasih sayang suami isteri

"Wahai orang yang beriman, sabarlah dan cukupkanlah kesabaran dan perteguhkanlah kekuatanmu dan patuhlah kepada Allah supaya kamu beroleh kemenangan." (Surah al-Imran ayat 200)
Doa menolak gangguan syaitan

"Aku berlindung kepada Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui, daripada gangguan syaitan yang terkutuk, tipuan, bisikan dan godaannya."

Doa menghindarkan diri daripada perangai dan nafsu jahat
"Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada perangai buruk, dan kerakusan hawa nafsu."

Doa mendapat hidayah berkekalan daripada Allah s.w.t
"Ya Allah, janganlah Engkau pesongkan hati kami sesudah Engkau memberi kami petunjuk, berilah kami rahmat dari sisi-Mu, sesungguhnya Engkau Maha Pengurnia (banyak memberi rezeki)."

[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...