Seorang syeikh berangkat ke Amerika Syarikat untuk menjadi ahli panel satu siri ceramah mengenai agama, teknologi dan alam semesta. Ceramah itu berlangsung selama seminggu.
Suatu hari, syeikh bersama seorang kawannya menaiki teksi untuk ke dewan program tersebut. Disebabkan hari itu bermula dengan lewat, sahabat syeikh meminta pemandu teksi terlebih dahulu menghantarnya ke sebuah pusat komputer. Dia ingin membeli beberapa barangan untuk komputernya.
Sementara menunggu sahabatnya kembali, syeikh yang duduk di kerusi belakang menggunakan masa itu dengan membaca sebuah kitab. Si pemandu teksi pula duduk bersandar memerhati orang yang lalu lalang di sekitarnya. Suasana sunyi seketika sehinggalah syeikh berkenaan menutup kitabnya.
Syeikh itu termenung. Masa sangat berharga, dia tidak boleh membiarkanya berlalu begitu sahaja. Jika tidak, samalah dia dengan orang-orang lain yang suka menghabiskan masa tanpa melakukan perkara-perkara bermanfaat.
“Encik percaya pada agama?” tanya syeikh tersebut kepada si pemandu teksi yang berambut perang dan bermata biru.
Biarpun agak terperanjat dengan soalan yang tidak disangka-sangka, pemandu teksi berkulit putih itu tetap menjawab sejujurnya.
“Saya tak percaya. Saya tidak perlukan agama. Setiap pagi saya keluar rumah, pergi kerja, dapat duit. Habis kerja saya singgah sebentar beli makanan dan minuman anak isteri. Saya bahagia dengan hidup ini, jadi untuk apa agama? Hidup saya tetap sempurna tanpa agama.”
“Encik tahu tentang agama yang ada di dunia ini?” Tanya syeikh itu lagi.
“Taulah sikit-sikit tapi saya tak pedulikan sangat. Semua itu tak penting bagi saya. Lagipun saya tengok orang yang ada agama dan tak ada agama lebih kurang sama sahaja. Kalau ada agama, mengapa mereka berperang? Zalimi orang itu, zalimi orang ini, pelacuran, mabuk, jadi pengganas…” jawab si pemandu teksi panjag lebar.
“Encik tahu pasal computer?” Tanya syeikh selepas mendiamkan diri beberapa seketika.
Permandu itu tersengih, “Mestilah tau. Ciptaan terhebat, semua orang mesti tau. Kalau tidak, mereka ketinggalan zaman.”
“Kalau betul encik tau, siapa yang mencipta komputer, manusia atau komputer itu terjadi dengan sendirinya?”
“Tentulah manusia yang cipta. Takkanlah komputer tercipta dengan sendiri.”
“Kalau macam tu, mana yang lebih kompleks, manusia atau komputer?”
Kali ini pemandu teksi tidak dapat menahan ketawa mendengar soalan kebudak-budakan oleh syeikh berkenaan. “Tentulah penciptaan manusia jauh lebih kompleks,” kata si pemandu teksi, masih lagi tergelak.
“Okey, jika komputer dicipta oleh manusia, begitulah juga dengan manusia yang sekompleks itu ada penciptanya juga, kan?”
Si pemandu teksi terdiam. Dia mengangguk dan kemudian berkata, “Ya.”
“Dalam agama kami, Tuhan adalah pencipta yang agung. Kami wajib percaya kepada keagungan Tuhan. Dari sekecil-kecil makhluk hinggalah kepada yang sebesar-besarnya, semuanya diciptakan Tuhan. Apa yang ada di alam ini tidak boleh tercipta dengan sendiri.
“Cuba bayangkan encik tidak pernah diperkenalkan dengan komputer sebelum ini. Jika saya beri encik sebuah komputer, boleh tak encik gunakan komputer itu?” soal syeikh.
“Tak boleh. Saya tak tau tentang komputer macam mana saya nak menggunakanya.”
“Bagaimana kalau saya beri buku panduan penggunaan computer, tentu lepas itu encik boleh gunakan computer tu, kan?
“Tentulah!”
“Dalam agama kami, kami ada sebuah kitab sebagai panduan. Kitab itu lah yang mengatur kehidupan kami. Tanpa kitab, manusia bertindak mengikut kehendak masing-masing. Kitab itu mengawal hati dan akal kami supaya jangan berperang, membunuh, merosakkan alam sekitar dan sebagainya.
“Sekarang, selepas pencipta komputer mencetak buku panduan tersebut, apa yang perlu dilakukannya? Dia perlu melatih jurutera bagaimana untuk menyampaikan pengetahuan tentang mesin itu kepada pengguna, kan? Pengetahuan ini perlu disampaikan sehingga semua orang tahu bagaimana untuk menggunakan komputer.
“Begitulah juga dengan agama. Tuhan menurunkan nabi dan rasulnya sebagai utusan. Peranan mereka sama seperti jurutera tersebut iaitu menyampaikan amanat Yang Maha Pencipta kepada seluruh umat manusia. Segala yang terkandung di dalam kitab itu diterangkan sejelas-jelasnya agar manusia hidup secara teratur seperti yang diinginkan Tuhan.”
Si pemandu teksi mendiamkan diri. Khusyuk dia mendengar kata-kata syeikh berkenaan kerana sebelum ini belum pernah ada orang yang menerangkannya tentang agama sejelas dan seringkas yang diperkatakan oleh syeikh tadi.
Si pemandu teksi bertanya kalau agama itu bagus, kenapa ada orang yang memberontak, meletupkan diri, terlibat jenayah, menjadi ‘pengganas’ dan sebagainya.
Syeikh tersebut menjelaskan, itu semua bukan kesalahan agama, tapi kesalahan si penganut itu sendiri. Tidak ada agama yang menganjurkan keganasan, jenayah dan pembunuhan. Tapi ada orang yang sanggup melakukannya kerana kasihkan agama, dan ada juga yang sengaja melanggar peraturan agama, walaupun mereka sedar perbuatan itu salah.
“Tapi cuba bayangkan kalau orang itu langsung tidak ada agama. Tentu dia akan jadi lebih teruk. Kalau semua orang tidak ada agama. Kita akan jadi seperti haiwan, kita hidup tanpa haluan, lakukan apa saja yang dikehendaki. Kalu encik rasa undnag-undang itu penting untuk mengawal hidup manusia, begitu juga dengan agama.
“Begitulah juga dengan komputer. Walaupun ada peraturan penggunaannya, tapi pengguna tidak patuh. Ramai yang menyalahgunakannya, itu yang menyebabkan komputer rosak, virus, gambar porno…”
Pemandu teksi menganggukkan kepala.
Pada minit-minit terakhir perbualan mereka, pemandu tiba-tiba berkata, “Saya ingin sekali memeluk agama encik. Apa yang perlu saya lakukan?”
Jawab syeikh itu, “katakanlah; aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu persuruh Allah.