Friday, March 4, 2011

Menegakkan Kalimah Allah

 

image

Kita umat Islam hendaklah ingat, perjuangan kita adalah untuk menegakkan kalimah Allah. Jangan lupa keadaan ini walau di dalam keadaan susah atau senang. Kita mesti perjuangkan kalimah Allah ini walau di dalam keadaan yang bagaimana sekalipun.

Suasana dan keadaan yang berlaku hanya seperti perubahan-perubahan cuaca bagi bagi manusia. Yang penting manusia akan dapat terus hidup di dalam apa bentuk cuaca sekali pun. Yang penting umat Islam dapat hidup di dalam apa juga suasana dan keadaan sekalipun.

Sekiranya anda berada di dalam limpahan rezeki berbentuk harta dan wang yang melimpah-limpah, jangan lupa perjuangan kita adalah perjuangan mendaulatkan kalimah Allah. Jikalau anda berada di dalam keadaan terhimpit dan tertekan, jangan lupaperjuangan kita adalah untuk menegakkan kalimah Allah. Begitu juga kalau anda sebagai penguasa dan pemerintah di atas muka bumi ini, jangan lupa perjuangan kita adalah untuk menegakkan kalimah Allah.

Perjalanan hidup merubah suasana manusia adakalanya miskin, adakalanya kaya. Ada ketika menjadi kaum muslimin yang tertindas dan pada waktu yang lain menjadi penguasa-penguasa alam. Perjalanan hidup ini tidak sepatutnya mengubah cita-cita perjuangan mendaulatkan kalimah Allah. Ada orang yang lupa dengan cita-cita mendaulatkan kalimah Allah setelah dia menjadi kaya raya. Ada yang lupa untuk menegakkan kalimah Allah kerana sangat sempit kehidupannya. Ada yang lupa kerana mendapatkan isteri yang cantik. Ada orang yang meninggalkan cita-cita menegakkan kalimah Allah ini setelah banyak diuji dengan berbagai ujian.

Kita perlu ingat bahawa seseorang Islam itu tidaklah mulia kerana dia kaya, menjadi orang yang berharta,menjadi penguasa dan ternama. Dan tidak pula menjadi hina kerana miskin atau dibenci atau dibuang orang keluar negerinya. Tetapi seorang muslim itu mulia kerana jihad dan perjuangannya menegakkan kalimah Allah.

Kekufuran tidak perlu diperjuangkan kerana ia ibarat sampah sarap atau sisa buangan. Ia akan sentiasa ada sepanjang zaman. Tetapi Islam mesti diperjuangkan oleh pendukungnya. Jikalau di dalam golongan kuffar, terdapat golongan kaya, di dalam golongan muslim juga ada golongan kaya. Jikalau di dalam golongan kuffar ada golongan muslim, golongan muslim juga ada yang miskin. Jikalau di dalam golongan kuffar itu ada pemimpin, di dalam golongan Islam juga ada pemimpin. Jikalau di dalam golongan kuffar itu ada ramai pengikut, golongan Islam juga punyai ramai pengikut. Yang membezakan golongan kuffar dan muslim adalah cita-citanya di dalam menegakkan ideologi di atas muka bumi ini. Seorang muslim yang sejati ialah mereka yang sentiasa terus menerus berjuang menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini di dalam apa keadaan dan suasana sekalipun.

Berpegang teguh pada perjuangan menegakkan kalimah Allah inilah yang akan mengumpulkan kita dengan ilmu, kumpul sahabat, kumpul semangat, bina ukhwah dan persaudaraan, bina ekonomi dan kemajuan, bina kesedaran, bina sistem pendidikan, bina insan dan segala-galanya. Semua itu perlu kita laksanakan kerana hendak mencapai cita-cita mendaulatkan kalimah Allah. Semuanya ini adalah alat untuk mencapai matlamat mendaulatkan kalimah Allah. Mari kita bangunkan ekonomi untuk daulatkan kalimah Allah. Mari kita kuatkan ukhwah dan persaudaraan di dalam menegakkan kalimah Allah. Mari kita tambah ilmu, bina semangat kerana hendak menegakkan kalimah Allah. Mari kita beri kesedaran kepada masyarakat kerana hgendak menegakkan kalimah Allah. Pendek kata apa sahaja yang kita lakukan adalah untuk mendaulatkan hukum hakam Allah di atas muka bumi ini.

Lihatlah betapa banyaknya hukum Allah yang masih tidak dilaksanakan di atas muka bumi ini sama ada pada diri, keluarga atau masyarakat. Siapa yang hendak dipersalahkan dan kepada siapa hendak dipertanggung jawabkan. Bukankah kepada kita semua ? (( Disunting : MOHD KHALID RAHMAT ))

[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...