Monday, May 16, 2011

Cara-cara Iblis Memperdayakan Umat Islam

 

Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“Wahai Iblis, bagaimana caranya kamu memperdayakan umatku?”

Berkata Iblis, “ Ya Nabi Allah, umatmu kepadaku terbagi kepada tiga bahagian antaranya :
1.Iaitu sebagai air hujan yang turun dari langit yang menyebabkan tumbuhnya tumbuh-tumbuhan yang mendatangkan hasil lumayan dan banyak manfaatnya.

Mereka itu ialah para guru-guru yang memberi nasihat kepada manusia supaya mereka semua mengerjakan suruhan Allah dan menjauhi segala larangan dan tegahan dari Allah s.w.t. Menurut kata Jibrail a.s.bahawa ulama’ itu pelita dunia dan pelita akhirat.

2.Umatmu seperti tanah, yakni suka syukur dan redha akan nikmat Tuhan yang memberikan kepadanya serta membuat amal kebajikan yang soleh dan sentiasa berserah diri dan bertawakkal kepada Allah s.w.t. serta banyak pula mereka ini melakukan kebaikan.

3.Umatmu itu keadaan seperti Firaun sangat tamak dengan harta dunia sehingga menghilangkan amal akhirat. Orang-orang seperti inilah yang aku sangat suka kepadanya dan aku akan terus masuk ke dalam tubuh badannya, aku akan putarkan hatinya supaya dia akan suka kepada maksiat dan benci kepada kebaikan. Bukan setakat itu sahaja bahkan aku akan hasud dia sehingga dia membenci kepada orang yang suka melakukan amal kebaikan dan mereka yang mencegah kemungkaran.

Apabila hati nuraninya telah terpikat dengan maksiat dan dia membenci kepada kebaikan, maka dia akan sentiasa bimbang dengan dunia dan lupalah dia kepada menuntut ilmu yang mendatangkan ingatan kepada kematian dan lupa dia kepada akhirat terus menerus sehingga tidak ingat langsung untuk berbuat kebaikan. Dan dia akan bersikap kedekut serta tidak mahu keluarkan zakatnya.

Adapun orang miskin yang ingin mengerjakan ibadah, maka aku akan goda dirinya supaya dia memohon kekayaan dulu dari Allah s.w.t. Apabila dia telah mendapat kekayaan dari kurnia Allah s.w.t. maka dia akan lupa kemiskinannya dahulu dan akhirnya dia akan menjadi seperti Qarun. Dan dia juga tidak akan menolong sesama manusia terutama sekali fakir miskin dan menderma ke jalan Allah. Dia juga tidak akan mengeluarkan hartanya untuk membantu anak-anak yatim, mengeluarkan zakat tidak akan terlintas didalam hatinya.

Apabila hatinya sudah terpaut kepada harta kekayaan yang dia miliki, maka lupa dia untuk melaksanakan kebaikan untuk dirinya sendiri. Dia hanya akan memikirkan cara mencari untung yang akan mendatangkan kekayaan yang berlebihan kepadanya semata-mata, dia juga tidak akan memikirkan orang lain sama sekali. Dia akan menggunakan harta kekayaan untuk berfoya-foya dengan maksiat dan perkara-perkara keji, bukan sahaja setakat itu bahkan dia akan lebih sesat dari binatang ternakan.”

Sahabat yang dihormati,
Jauhilah dirimu dari menjadi kumpulan ketiga yang menjadi sasaran Iblis laknatullah, Allah s.w.t. menempelak kumpulan ini didalam firman-Nya yang bermaksud :
“Mereka ada hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahamkan. Mereka ada mata tetapi tidak digunakan untuk melihat. Mereka ada telinga tetap tidak digunakan untuk mendengar. Mereka itu seperti binatang, bahkan lebih sesat lagi daripadanya (binatang itu).”
(Surah Al-A’raf ayat 179).

Begitu keji dan hina perumpamaan yang diberikan oleh Allah kepada para manusia yang tidak mempergunakan akal yang diberikan oleh Allah s.w.t. untuk mencari jalan kebaikan untuk dirinya sendiri, untuk mengenal Tuhan dan menyembah dan memperhambakan diri kepada-Nya sebagai seorang hamna Allah.

Satu hal yang tidak dapat disangkalkan lagi ialah agama Islam adalah satu agama yang sangat sesuai untuk sebarang zaman dan sebarang tempat, tetapi bila mana umat Islam sudah mati hatinya, sudah tidak betul kefahaman fikirannya dan sudah menyimpang jauh matlamat hidupnya maka umat seperti ini amat mudah dikotak- katikkan dan menjadi habuan Iblis dan syaitan laknatullah. Dengan kelalaian ini Iblis dan syaitan berjaya menambahkan jumlah pengikut-pengikutnya yang akan bersama-samanya didalam Neraka Jahanam, nauzubilla.

Oleh itu perlu kita sedar dan insaf bahawa amat perlu kita berpegang pada tali Allah dan memohon perlindungan Allah s.w.t. dari gangguan syaitan yang direjam dan terselamat daripada siksaan api Neraka.

[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...