Monday, May 16, 2011

Nikmat Bersin dan Bahaya Menguap Tidak Menutup Mulut

 

image

Sahabat yang dirahmati Allah,
Salah satu hak Muslim kepada Muslim yang lain adalah menjawab bersin seseorang apabila dia berkata 'almamdulillah' maka jawapannya adalah dengan mengucapkan do'a 'yarhamukallah'  (semoga Allah merahmatimu).

Anas bin Malik r.a. bercerita, ada dua orang bersin dekat Nabi Muhammad s.a.w. Baginda mendoakan (tasymit) seorang daripada keduanya, namun tidak mendo'akan seorang yang lain. Ditanya alasannya, Rasulullah s.a.w. menjawab: “Sebab yang seorang mengucapkan ‘alhamdulillah’, sedangkan yang seorang lagi tidak membacanya.”
(Hadis Riwayat Bukhari).

Jadi orang bersin dan tidak membaca alhamdulillah tidak layak dido'akan kerana tidak bersyukur nikmat yang Allah s.w.t. kurniakan. Pada hal bersin termasuk antara nikmat daripada Allah yang manfaatnya sangat besar dan mustajab.

Menurut Ibnu Qaiyyim, bersin dapat mengeluarkan wap dari dalam otak yang jika dibiarkan (tidak dimanfaatkan) akan berbahaya. (Kitab Zadul Ma’ad). Bersin adalah mekanisme pertahanan tubuh untuk mencegah masuknya zat luar ke dalam tubuh. Ketika bersin, udara kotor keluar dengan keras melalui hidung dan mulut berkecepatan sekitar 161 kilometer/jam. Dr Michael Roizen, pegawai kesihatan Cleveland Clinics menegaskan, bersin kegiatan positif kerana berfungsi membersihkan ruang rongga antara hidung, mulut, dan tenggorakan.  Dalam Syarah Riyadhus Salihin, Syeikh Usaimin mengutarakan, bersin dapat menggiatkan otak dan meringankan tubuh.

Untuk itulah, setelah bersin, dengan membaca hamdalah, sebagai bukti bersyukur kepada Allah. Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud: “Jika seorang di antara kamu bersin, ucapkanlah `alhamdulillah’ (segala puji bagi Allah). Di samping itu orang yang mendengarnya mendoakan dengan ucapan `yarhamukallah’ (semoga Allah merahmatimu), orang yang bersin tadi membaca doa `yahdikumullahu wa yusilhu balakum’ (semoga Allah memberikan hidayah dan memperbaiki keadaanmu.” (Hadis Riwayat Bukhari).

Bacaan hamdalah adalah do'a paling utama. Imam al-Sindi menyatakan, hamdalah mengandungi pengertian dua jenis (fungsi) do'a, iaitu menyanjung dan mengingat Allah s.w.t.(zikir), serta mengajukan permohonan agar nikmat ditambah.

Dengan berzikir saja, Allah menjamin akan memperbaiki lebih daripada diminta.

Firman-Nya dalam hadis Qusi bermaksud : “Siapa yang lebih sibuk megingati-Ku (berzikir) daripada meminta sesuatu kepada-Ku, ia akan Aku berikan sesuatu melebihi orang yang memohon.”

Apakah dia menguap (tatha’ub)? Menguap bererti layu dan malas. Menguap terjadi kerana minimumnya oksigen dalam tubuh. Biasanya, orang menguap apabila tubuh lelah, malas, bosan, atau mengantuk. Nabi s.a.w  bersabda yang maksudnya : “Menguap itu daripada syaitan. Oleh itu jika menguap, tahanlah sedapat mungkin. Sebab jika orang menguap hingga terucap `ha’ , syaitan tertawa menyaksikannya.” (Hadis Riwayat Bukhari).

Sesetengah orang apabila menguap, ia tidak menutupi mulutnya, syaitan amat menyukai yang demikian, di samping itu juga virus akan keluar dari mulut seseorang yang boleh menyebarkan penyakit. Ulama' menganjurkan kita bila sahaja menguap tahan jangan membuka mulut dan terus membaca membaca 'auzubillahiminasyaitanirrajim bismillahirahmanirrahim' supaya syaitan yang datang menganggu dapat dijauhi daripada mentertawakan kita.

Syaitan tertawa gembira dengan tabiat demikian, kerana menyukai kemalasan dan kedunguan, sedangkan agama sangat anti dengan kemalasan dan menganjurkan umatnya untuk giat bekerja dan beramal. Nabi s.a.w  pun selalu berlindung daripada sifat kemalasan dan unsur yang negatif.

Sunnahnya orang bersin merendahkan suaranya. Faedahnya ialah ketika orang bersin kebanyakannya membuat suara tinggi yang boleh mengganggu, maka disunnahkan baginya untuk merendahkan suaranya dengan meletakkan tangannya atau pakaiannya ke wajahnya.

Abu Hanifah meriwayatkan: “Bahawa Nabi s.a.w. apabila bersin baginda menutup wajahnya dengan tangan atau pakaiannya dan dengan demikian baginda merendahkan suaranya.”

Abu Hurairah berkata: “Do'akan saudaramu yang bersin sebanyak tiga kali, kalau lebih daripada tiga maka dia sedang selesema.”

Dalam hadis yang disebutkan Abu Musa al-Asya’ari pula, berkata: “Seorang Yahudi bersin di sisi Rasulullah, dia berharap agar Nabi mengucapkan untuknya yarhamukallah, namun yang Nabi ucapkan adalah: `yahdikumullah wa yuslihu balakum.’”

Berdasarkan hadis ini boleh mendo'akan ahlu zimmah, apabila mereka bertahmid setelah bersin, dengan do'a hidayah dan taufik kepada keimanan, dan tidak mendo'akan mereka dengan rahmat.

dan maghfirah, kerana mereka tidak sesuai untuk doa itu, manakala orang yang bersin di dalam solat boleh bertahmid kepada Allah, namun tidak boleh bagi orang yang mendengarnya mendo'akannya dengan mengucapkan yarhakumullah.

Adalah perkara yang diperintahkan dan disunnahkan, dan termasuk perkara kesempurnaan agama dengan mensyariatkan kepada mereka do'a yang mereka ucapkan setelah bersin, yang mana ia adalah nikmat Allah atas mereka. Maka dengan bersin itu mereka saling mendo'akan rahmat dan memohon kepada Allah hidayah dan baik keadaannya.

Dari al-Barra’ bin ‘Azib, dia berkata: “Nabi memerintahkan kepada kami dengan tujuh perkara dan melarang kami dari tujuh perkara, maka Baginda menyebutkan : 1. menjenguk orang sakit 2. mengikuti jenazah 3. mendoakan orang bersin 4. membalas salam 5. menolong orang yang dizalimi 6. memenuhi jemputan, dan 7. memperhatikan keinginan orang yang bersumpah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sahabat yang dimuliakan,
Semoga kita semua dapat amalkan sunnah Rasulullah s.a.w. ketika bersin dan menguap dan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah s.w.t  dan terhindar daripada penyakit dan gangguan syaitan.

[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...