Kita sekarang dihidupkan oleh Allah, di bumi Allah dan di dalam zaman yang Allah tentukan. Selepas itu kita akan dikembalikan, sama ada disedari atau tidak ke salah satu daripada dua negeri yang kekal abadi iaitu syurga atau neraka.
Sekarang kita sedang berjalan ke destinasi yang kita sendiri pilih - syurga atau neraka. Allah menyediakan dua jalan untuk kita pilih. Terpulanglah kepada kita untuk memilih sama ada jejak ke syurga atau jejak ke neraka.
Namun begitu, Allah sudah memberitahu kita di dalam Al-Quran, tentang betapa nikmatnya kehidupan dan pengalaman manis di syurga. Begitu juga dijelaskan betapa azabnya kehidupan dan pengalaman ngeri di neraka. Nabi Muhammad saw. juga menguatkan lagi melalui hadith-hadithnya yang masih segar dibaca dan didengar hingga ke hari ini.
Sebagai makhluk yang diberikan kesempurnaan akal fikiran, manusia boleh berfikir kesan dan risiko yang bakal diterima akibat dari sesuatu tindakannya. Setiap sesuatu itu ada sebab-musababnya. Allah masukkan seseorang ke syurga kerana dalam hidupnya di dunia ini, dia memilih jalan ke syurga. Begitu juga Allah masukkan seseorang itu ke neraka kerana dalam hidupnya dia sengaja memilih jalan ke neraka. Terpulang kepada kita hendak mengikuti jejak syurga atau jejak neraka...
Pilih dan ikutlah jalan ke syurga sebagaimana yang disenaraikan di bawah:
 beramal semasa muda lagi 
 bertolong-tolongan kerana Allah 
 jauhi diri dan keluarga dari zina 
 mendidik anak kewajipan beragama 
 mendirikan solat wajib dan sunat 
 bertahajjud di tengah malam 
 menangis dan menginsafi diri kerana takut akan ALlah 
 bersedekah, menderma dan berwakaf secara senyap 
 berpaut hati pada masjid 
 sentiasa belajar hal-ehwal agama 
 sembahyang berjemaah 
 selalu berada di tempat pengajian agama 
 menziarahi orang sakit 
 mengiringi mayat hingga ke kubur 
 mengadakan khenduri cara Islam 
 mendamaikan pergaduhan 
 menolong anak yatim dan miskin 
 dan lain-lain perkara kebajikan 
Pada masa yang sama hindarilah jejak neraka yang disenaraikan di bawah:
 tidak mengajar anak hal-hal keagamaan 
 kaya tapi bakhil 
 menipu 
 mengambil arak, dadah dan yang memabukkan 
 mengadakan majlis maksiat 
 berzina 
 memakan harta anak yatim 
 meringankan sembahyang 
 tidak mengeluarkan zakat 
 panjang angan-angan dan tak mahu bertaubat 
 meninggalkan sembahyang 
 durhaka kepada ibu bapa 
 berbuat fitnah 
 suami dayus (membebaskan isteri) 
 ibu bapa dayus (membebaskan anak) 
 makan harta haram 
 berbohong dan berdusta 
 menggunakan sihir 
 dengki dan khianat 
Sementara kita diberi peluang oleh Allah untuk memilih jalan yang menentukan nasib kita pada masa hadapan, marilah sama-sama kita saling bantu-membantu menegakkan amar makruf dan nahi mungkar yang dewasa ini sudah kurang berfungsi dan tidak diberi keutamaan lagi.
Sekian, wassalam.

 
