Tuesday, June 28, 2011

Rahsia Personaliti Dari Tarikh Lahir - Ilmu Primitif Perosak Akidah!

 

Sekarang ini satu fenomena baru sedang melanda umat Islam di Malaysia iaitu pendedahan rahsia personaliti serta potensi diri melalui formula matematik terhadap tarikh lahir. Dari hari ke hari ia semakin mendapat sambutan. Selain itu, laman komuniti facebook.com juga semakin rancak menyediakan kuiz-kuiz tenung nasib dan rahsia personaliti. Sebelum itu, telah banyak disebarluaskan rahsia-rahsia personaliti berdasarkan zodiak, hari kelahiran, kedudukan dalam adik-beradik, warna kegemaran, cara berjalan, bentuk wajah, bentuk jari, kedudukan tahi lalat dan pelbagai lagi yang digemari oleh masyarakat kita.

Saya katakan, tidak lain tidak bukan itu semua hanyalah PERBUATAN SIA-SIA LAGI HARAM MALAH BOLEH MENGUNDANG KEROSAKAN IMAN bila ia dipercayai. Perkara-perkara yang disebut itu adalah termasuk meramal yang mana ia telah diharamkan. Sumber yang mengharamkannya banyak sekali.

Dalam Al-Quran, Surah Al-Maaidah, ayat 90, Allah berfirman yang maksudnya, “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Imam Muslim dalam kitab Shahih Muslim, meriwayatkan bahwasanya Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda : “Barangsiapa mendatangi ‘arraaf’ (tukang ramal) kepadanya, tidak akan diterima shalatnya selama empat puluh hari.”

Abu Dawud pula meriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiallahu anhu dari Nabi صلى الله عليه وسلم , baginda bersabda: “Barangsiapa yang mendatangi kahin (dukun) dan membenarkan apa yang ia katakan, sungguh ia telah kafir terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad Shallallahu ’alaihi Wasallam.”

Dari Imran bin Hushain Radhiallahu anhu, beliau berkata, bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Bukan termasuk golongan kami yang melakukan atau meminta tathayyur (menentukan nasib sial berdasarkan tanda-tanda benda, burung dan lain-lain), yang meramal atau yang meminta diramalkan, yang menyihir atau meminta disihirkan dan barangsiapa mendatangi peramal dan membenarkan apa yang ia katakan, maka sesungguhnya ia telah kafir terhadap wahyu yang diturunkan kepada Muhammad صلى الله عليه وسلم .” (Hadith Riwayat Al-Bazzaar, dengan sanad jayyid).

Ia Benar, Ada Persamaan Dengan Diri Saya

Larangan-larangan yang disebut di atas telah banyak kali diabaikan oleh mereka yang mempercayai pendedahan rahsia-rahsia personaliti itu. Ini kerana bila mereka mencuba-cuba sekadar suka-suka, rupanya pendedahan rahsia-rahsia itu banyak benar dan sama dengan dirinya. Maka itulah mereka terus meminati perkara begini.

Kebenarannya kadang-kadang sukar dinafikan, namun sedarlah bahawa diri kita boleh mengetahui sendiri bagaimana adanya diri kita tanpa melihat kesemua faktor ramalan itu. Sentiasalah bermuhasabah diri serta bertanya pendapat rakan-rakan terhadap personaliti dan potensi diri kita untuk meningkatkan dan memperbaiki diri.

Dakwaan Bahawa Ia Adalah Hasil Kajian Sains

Sunnatullah untuk kenal peribadi, boleh tanya melalui soalselidik kecenderungan, contoh soalan: Suka bersosial / suka dengan barang-barang - dapat tahu kita lebih sesuai kerja dengan manusia atau kerja dengan mesin.

Maka, saya tolak kaedah kenal diri melalui tarikh lahir. Serupa juga ditolak keperibadian melalui bentuk muka, bentuk mata, bentuk kuku, kedudukan adik-beradik dan macam-macam lagi.

Pengamal Rahsia Tarikh Lahir berkata:

Kajian tarikh lahir saya adalah purely based on research of human science behaviour. Saya kumpulkan maklumat ini for the past 10 years melalui test and measure, interviewing process ke atas lebih 5,000 individu.

Kalaulah zaman Nabi Luth dulu ada seorang tukang tilik tangan tua berusia lebih 500 tahun, kata “Sepanjang hayat saya, saya dah temubual 500,000 orang pelbagai latarbelakang dan saya dapati ada pola persamaan corak tapak tangannya dengan nasib kehidupannya, jadi ramalan saya adalah 98% tepat. Saya boleh cerita potensi masa depannya, apa yang patut dia lakukan untuk berjaya, apa yang patut dia elakkan untuk berjaya.”

Tidakkah kaedahnya sama seperti kaedah pengamal yang memperkenal rahsia tarikh lahir ni? Cuma alatnya saja beza, tapak tangan dengan tarikh lahir. Fikir-fikirkanlah. Tentu ada hikmahnya Allah melarang bertilik-tilik bukan melalui sunnatullah yang nyata.

Syaitan Mencuri Dengar Berita-berita Langit

Di dalam Al-Quran, terdapat beberapa ayat yang menceritakan bahawa suatu ketika dahulu, syaitan dapat mencuri dengar berita-berita langit termasuklah rahsia masa depan yang disembunyikan daripada pengetahuan jin dan manusia. Boleh jadi, rahsia-rahsia yang dibuka kepada manusia daripada faktor-faktor ramalan itu adalah ilmu kuno / primitif yang diperkenal oleh para Syaitan yang pernah mendengarnya sebelum ini dengan ditokok-tambah bagi meyakinkan manusia kepada kebenarannya sedangkan tujuan asal mereka adalah untuk menyesatkan manusia.

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menjadikan di langit: bintang-bintang (yang berbagai bentuk dan keadaan) serta kami hiasi langit itu bagi orang-orang yang melihatnya. [16] Dan Kami pelihara (urusan) langit itu dari (masuk campur) tiap-tiap Syaitan yang kena rejam. [17] Kecuali Syaitan yang curi mendengar percakapan (malaikat di langit), maka ia diburu dan diikuti (dengan rejaman) api yang menyala, yang nyata kelihatan. [18] (Maksud ayat 16 hingga 18 Surah Al-Hijr)

Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan hiasan bintang-bintang. [6] Dan (Kami pelihara urusan langit itu) dengan serapi-rapi kawalan dari (masuk campur) tiap-tiap Syaitan yang derhaka; [7](Dengan itu) mereka tidak dapat memasang telinga mendengar (percakapan malaikat) penduduk langit, dan mereka pula direjam (dengan api) dari segala arah dan penjuru, [8] Untuk mengusir mereka; dan mereka pula beroleh azab seksa yang tidak putus-putus. [9] Kecuali sesiapa di antara Syaitan-syaitan itu yang curi mendengar mana-mana percakapan (malaikat), maka ia diburu dan diikuti (dengan rejaman) api yang menjulang lagi menembusi. [10] (Maksud ayat 6 hingga 10, Surah As-Soffat)

Ibnu Jarir meriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas Radhiallahu’anhuma, beliau berkata “Dahulu syaitan-syaitan itu memiliki tempat-tempat berdiam di langit. Mereka mendengarkan wahyu. Dan ketika itu bintang-bintang tidak mengejar mereka dan syaitan-syaitan itu tidak dilempari. Ketika mereka mendengarkan wahyu, mereka turun ke bumi dan menambahkan kalimat yang mampu mereka dengar itu dengan sembilan (kalimat yang lain dari diri mereka). Adapun setelah Rasulullah صلى الله عليه وسلم diutus, maka ketika syaitan-syaitan ini mencapai tempat berdiamnya, suluh api pun mendatanginya dan tidak meleset darinya sehingga membakarnya. Syaitan-syaitan itu lalu mengadu kepada Iblis - semoga Allah melaknatnya.

Iblis berkata, ‘Ini disebabkan adanya perkara yang baru.’ Lalu ia mengutus tenteranya, dan mereka mendapati Rasulullah صلى الله عليه وسلم berdiri sedang solat diantara dua gunung pohon kurma. (Dua batang pohon kurma). Lantas mereka kembali kepada iblis untuk mengabarkan hal tersebut. Iblis berkata, ‘Inilah dia perkara yang baru itu.’ ” (Dari Ath-Thabari)

Ketahuilah bahawa rahsia-rahsia hidup kita telah tertutup rapi, hanya diketahui oleh Allah S.W.T. Kalau pun ada syaitan-syaitan yang dapat mendengarnya, ianya hanyalah pengetahuan primitif kerana selepas baginda Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم diutus, mereka tidak dapat lagi mendengarnya. Dan kalaupun ada di antara mereka yang dapat mendengarnya, mereka tidak akan mengkhabarkan kepada manusia dengan betul kerana mereka bertujuan hidup untuk menyesatkan kita.

Maka, saya nasihatkan agar para pembaca yang bijak membaca tulisan saya ini agar berfikir semula terhadap pegangan kepercayaannya. Bertaubatlah serta kembalilah kepada pegangan yang benar di sisi Islam. Semoga hidup kita diredhai Allah dunia dan akhirat.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua pembaca. Mohon maaf dan sekian terima kasih.

[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...