Friday, June 24, 2011

Perbezaan meninggalkan solat atau melengahkan solat

 

Meninggalkan solat dan melengahkan solat merupakan dua perkara yang sangat berbeza. Mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja terdapat dua padangan ulama' :

a. Ada ulama' yang mengatakan tidak menjadi kufur secara mutlak, akan tetapi telah melakukan dosa besar, selama-mana dia masih menganggap solat itu wajib.

b. Ada dikalangan ulama' yang berpendapat bahawa mereka yang meninggalkan solat telah dianggap sebagai terkeluar dari Islam. Sabda Nabi saw :-

العهد الذي بيننا وبينهم الصلاة فمن تركها فقد كفر
"Batasan diantara kita dan mereka adalah SOLAT. Barangsiapa yang meninggalkannya, maka dia telah kufur" [Hadith riwayat Imam Ahmad].

Didalam bab melengahkan solat, perkara utama yang dibincangkan ulama adalah mereka yang melakukan solat diluar waktu solat tersebut. Ulama sepakat bahawa adalah HARAM bagi seseorang yang melewatkan solat sehingga habis waktu solat tersebut, tanpa sebab-sebab yang dibenarkan oleh syara' [al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah,10/8]. Setiap solat itu ditetapkan pada waktu-waktunya, firman Allah swt :-

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا
 "Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya. " [al-Nisa' : 103]

Sebab-sebab yang dibenarkan syara' termasuklah seseorang iru melakukan jama' takhir dengan kebenaran yang dibenarkan oleh syara' dan akibat tertidur atau terlupa. Melenggahkan solat sehingga habis waktu solat tersebut juga boleh dikategorikan sebagai sengaja meninggalkan solat sebagai hukum diatas tadi.

Solat diakhir waktu

Akan tetapi, jika solat tersebut masih dilakukan pada waktunya dan tidak termasuk didalam waktu-waktu yang diharamkan bersolat, maka perbuatan tersebut tidaklah termasuk didalam bab meninggalkan atau melewatkan solat sehingga habis waktunya. Solat tersebut dibenarkan sebagaimana hadith Abu Musa al-Asy'ari ra. meriwayatkan bahawa ada seseorang datang kepada Nabi saw dan bertanyakan baginda mengenai waktu solat, dan baginda menjelaskan waktu AWAL dan waktu AKHIR solat, dan baginda bersabda :- "Waktunya adalah antara dua ini" (الْوَقْتُ بَيْنَ هَذَيْنِ ) [Hadith Riwayat Muslim #614].

Seseorang itu hendaklah tidak berterusan melakukan solat dihujung-hujung waktu, ditakuti ia termasuk didalam waktu-waktu haram melakukan solat. Contohnya melakukan solat Asar sewaktu matahari sudah kuning-kuningan.

Melewatkan solat juga melibatkan seseorang itu melakukan perkara yang makruh atau sebahagian ulama' mengatakan perkara yang haram, iaitu meninggalkan solat berjemaah. Begitu juga dengan persoalan ajal atau maut, yang tidak mungkin MAUT menunggu seseorang itu dari melakukan solat jika dia tidak menunaikannya pada awal waktu tersebut.

Namun demikian, dibenarkan seseorang itu melewatkan solat dengan beberapa sebab-sebab yang dibenarkan syara', misalnya, seseorang yang bermusafir yang mengetahui solat tersebut masih boleh dilakukan apabila kapal terbang mendarat. Didalam permasalahan ini lebih baik seseorang itu melakukan solat pada waktunya (walaupun sedikit lewat) dari menjama'kannya. Begitu juga menjadi sunnah melewatkan solat Isya', termasuklah mengadakan majlis ilmu.

[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...