Wednesday, June 8, 2011

Tiga wanita akan bersama Rasulullah dalam syurga

 

image

ALLAH menjanjikan syurga sebagai balasan kepada mana-mana hamba-Nya yang beriman dan beramal salih. Justeru, syurga adalah untuk lelaki dan wanita yang beriman, taat kepada semua perintah Allah, mencintai Allah dan Rasulullah melebihi segala-galanya di dunia ini.

Kita banyak mendengar keterangan mengenai balasan syurga kepada lelaki yang beriman dan beramal soleh. Namun bagaimana pula dengan balasan syurga bagi wanita beriman.

Rasulullah menerangkan bahawa tiga wanita yang akan bersama-sama Baginda dalam syurga sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis:

- Daripada Aishah ra: "Aku tidak berasa cemburu kepada mana-mana isteri Rasulullah sebagaimana aku mencemburui Khadijah ra, meskipun beliau sudah meninggal dunia ketika Baginda mengahwiniku. Aku selalu mendengar Rasulullah menyebut hal Khadijah dan Allah memberitahu Baginda bahawa Dia sudah membina istana Qasab (yang diperbuat daripada batu permata dan mutiara di syurga). Dan apabila Baginda menyembelih kambing, Byaginda akan mengirimkan bahagian kambing itu kepada rakan Khadijah” (Hadis al-Bukhari).

- Daripada Ata bin Abi Rabah, Ibn Abbas berkata kepadaku, "Mahukah aku tunjukkan seorang wanita syurga kepadamu?" Kataku, "Ya" Dia berkata: "Wanita hitam ini datang menemui Rasulullah dan berkata, “Ya Rasulullah. Aku menghidap sejenis sawan yang menyebabkan auratku terbuka. Doakanlah untukku wahai Rasulullah.” Rasulullah berkata kepadanya, "Jika kamu mahu, bersabarlah dan kamu akan masuk syurga dan jika kamu mahu. Aku akan meminta Allah menyembuhkan penyakitmu itu."

Wanita itu berkata, "Aku akan terus bersabar" Dan dia menambah lagi katanya: “Tetapi auratku akan terdedah kerananya. Jadi mintalah kepada Allah untukku agar auratku terpelihara. "Rasulullah pun mendoakannya untuk itu.

- Daripada Jabir bin Abdullah berkata, Rasulullah bersabda, "Aku melihat diriku (dalam mimpi) memasuki syurga dan berhenti. Aku melihat ar-Rumaisa, isteri kepada Abu Talhah” (Hadis riyawat al-Bukhari).

Daripada ketiga-tiga contoh wanita syurga ini, cubalah renungkan bagaimana mereka boleh terpilih menjadi ahli syurga. Malah, bagaimana cara kehidupan mereka, kelakuan, cara mereka bercakap, berpakaian dan sebagainya yang sepatutnya menjadi contoh kepada semua wanita yang mahukan balasan syurga.

Umpamanya hadis mengenai wanita berkulit hitam yang tidak diketahui namanya dari mana asalnya. Cuma yang diketahui adalah amalannya, keimanan, sifat malu, harga diri, kebimbangannya mengenai aurat yang terdedah apabila diserang penyakit sawan hingga menjadikan ahli syurga.

Dia menghidapi penyakit dan dia datang kepada Rasulullah meminta agar didoakan penyakitnya sembuh.

Dia tahu, kuasa penyembuh hanyalah Allah. Bagaimanapun, dia memilih untuk tetap sabar dan menderita di dunia untuk mendapatkan ganjaran syurga.

Sesungguhnya keimanan ditambah dengan penderitaan dan kesabaran akan menjamin balasan syurga.

Dia reda menahan penyakit yang dideritai semata-mata mengharapkan keredaan Allah dan tidak sekali-kali menjadikan alasan penyakitnya untuk melanggar perintah Allah iaitu membiarkan auratnya terbuka sewenang-wenangnya.

Begitu juga dengan wanita Muslim lain yang mungkin terpaksa berdepan dengan cabaran hidup dengan cara yang lain. Tidak kira siapa kita, jika kita tetap pada jalan Allah, nescaya kita akan berhadapan dengan pelbagai dugaan, kesukaran kerana untuk mendapatkan syurga terpaksa melalui pelbagai rintangan.

Tidak ada jalan mudah untuk mendapatkan syurga. Seorang yang mengenali Allah dan Rasul-Nya, tidak akan ragu-ragu mengikut segala perintah-Nya.

Dia akan terus mengharungi cabaran, cubaan dan rintangan atas nama Allah dan Rasul-Nya, semata-mata kerana rasa taat, kasih dan penuh yakin pertolongan dari Allah akan tiba.

Wanita yang disebut dalam ketiga-tiga hadis ini ialah contoh wanita yang menghambakan diri kepada Allah, beriman dengan sebenar-benarnya, ikhlas, taat kepada Allah dan Rasulullah, bijak serta berfikiran jauh.

[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...