Hadith :
Dari Ibnu Mas’ud r.a bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w, "Manakah amal yang lebih utama?" Beliau menjawab, "Solat dalam waktunya, berbakti kepada ibu bapa dan berjuang di jalan Allah."
(Bukhari)
Huraian
Di dalam al-Quran dinyatakan bahawa setiap amal perbuatan atau amal ibadah walau sekecil zarah sekalipun pasti dibalas dengan pahala oleh Allah S.W.T.
Bayangkan, jika kita melakukan amal perbuatan atau amal ibadah yang paling utama tentulah jumlah pahalanya luar biasa banyaknya. Maka beruntunglah orang yang dapat melakukan amalan-amalan seperti yang disebutkan di dalam hadith di atas yang sememangnya sungguh besar ganjarannya.
Hal ini disebabkan setiap sesuatu kebaikan itu sesungguhnya amat susah untuk dilakukan lantaran terlalu banyak godaan dan halangan khususnya daripada syaitan laknatullah. Berbeza pula halnya dengan kejahatan yang senang sahaja berlaku kerana ini tidak dihalang bahkan dibantu khusus oleh syaitan.
Oleh yang demikian, sebagai benteng yang kukuh, manusia mestilah mempunyai keimanan yang teguh bagi melawan hasutan syaitan tersebut kerana kebiasaannya orang yang selalu tewas dan malas dalam melakukan kebajikan adalah orang yang meremehkan pembalasan daripada Allah S.W.T sama ada ia merupakan pembalasan baik atau pembalasan buruk(neraka).