Tuesday, May 3, 2011

Ilmu Tasawuf Dan Ilmu Pemikiran

 

Tasawuf di kenali semenjak zaman Abbasiyyah lagi. Abu Hashim al-Kufi, seorang tabiin dipercayai bertanggungjawab memperkenalkan ilmu tasawuf. Beliau dipercayai sebagai orang yang mula-mula membicarakan ilmu tasawuf di Kufah. Kemudian, ilmu tersebut berkembang luas dan dipelajari oleh ramai orang Islam.

Pelajar-pelajar yang mengamalkan ilmu tersebut pula menggelarkan diri mereka Pengamal Sufi atau ahli Sufi atau mutasawwif. Mereka juga menggelarkan diri mereka Salik (Salikin) kerana mengamalkan suluk (latihan) kebatinan. Tanda-tanda kesufian pada zahir seorang ‘abid ialah mereka kuat beribadah, sederhana pakaian dan makanan, teguh pendirian dan tawakal kepada Allah tersemat kukuh di hati. Tanda-tanda kesufian pada Sunnah peribadi dan akhlak Rasulullah begitu jelas sekali menjadi ikutan para sahabat ridwanullahu anhum. Mereka menunjukkan sifat dan tanda-tanda kesufian pada diri mereka seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Sufian ath-Thauri dan lain-lain lagi. Khalifah Umar Abdul Aziz yang terkenal zuhudnya itu mewarisi peribadi dan akhlak Rasulullah dan para sahabat terutamanya Saidina Umar al-Khattab. Generasi tabi’in dan tabi’ tabi’in juga menghayati corak penghidupan para solihin dengan memberi penekanan terhadap keseimbangan akal (ilmu), hati (iman) dan amal. Rabiatul Adawiyyah, Ibrahim Adham, Zunnun al-Misri, Muhasibi, Abul Qasim Junaid al-Baghdadi, Abu Yazid al-Bistami adalah sebahagian nama ahli sufi yang terkenal dalam sejarah. Setelah sekian lama, barulah ada keinginan di kalangan pencinta tasawuf untuk menumpukan perbincangan dan kamian bagi menghimpunkan tanda-tanda, sifat, buah fikiran, kata-kata dan amalan para Sufi. Antara kitab Tasawuf ialah Risalah Qusyairiyah tulisan Imam al-Qusyairi. Kitab ini dipercayai oleh ulama tasawuf sebagai kitab tertua. Kitab Qutul Qulub ditulis oleh Abu Talib Al-Makki, gurunya Imam al-Ghazali. Ibnu Arabi memperkenalkan teori falsafah tasawuf adunan pemikiran Islam, pemahaman konsep tauhid serta pengalaman mistiknya sendiri. Ajarannya mendapat tempat di hati ramai pencinta ilmu tasawuf. Mereka mendapati hasil pemikiran Ibn Arabi sungguh mengagumkan kerana beliau mendakwa mencapai tahap kasyf dan mushahadah dengan ilmu Allah yang azali dan qadim itu. Oleh yang demikian, beliau dikenali sebagai Syeikh Auliya iaitu Guru Wali-Wali Allah. Kami berazam untuk mengkaji pemikiran Ibn Arabi pada masa akan datang, InshaAllah.

Perubahan Diri Bermula dari Pemikiran yang Terpuji

Tasawuf dari segi bahasa ertinya bersih dan jernih. Dari segi istilah (syarak), tasawwuf ialah membersihkan diri dari sifat-sifat kekejian dan kekurangan serta membersihkan ibadat semata-mata kepada Allah.

Zikir bermaksud mengingati Allah. Zikir adalah antara amalan sunat yang digalakkan oleh Islam. Rasulullah mengamalkan zikir seharian setiap saat dan ketika, terutamanya selepas solat dan ketika iktikaf di dalam masjid. Antara zikirnya ialah subhanallahi wabihamdihi, subhanallah walhamdulillah wallahuakbar, lailahaillallah, dan lain-lain lagi sebagaimana diriwayatkan dalam banyak hadis. Amalan zikir adalah mulia disisi orang soleh untuk memperolehi ketenangan jiwa dan kesucian hati. Imam al-Ghazali umpamanya mengamalkan ‘siri-siri’ zikir yang berbeza setiap hari (rujuk kitab Ihya’ Ulumuddin). Apabila zikir dibaca secara berterusan secara (nyaring) jahr atau berahsia (sirr) dan perlahan, sebanyak 100 kali hingga 1000 kali, ia dapat melatih kesabaran, keikhlasan dan tumpuan (fokus) hati, fikiran serta pernafasan (jasmani). Kami percaya ada hikmah disebalik pengamalan zikir-zikir bukan sahaja untuk menambahkan amal dan pahala, tetapi menghapuskan dosa-dosa kecil dan titik-titik hitam dalam hati. Zikir juga adalah rehat bagi tubuh badan setelah bekerja seharian. Zikir menghilangkan penat lelah dan mengembalikan semula semangat juang dalam diri. Benarlah firman Allah dalam Al-Quran:

 الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ(28)

Maksudnya: (Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia. (Surah ar-ra’du: 28)

Hukama’ pernah berkata: ‘Basahi lidahmu dengan zikrullah, nescaya hatimu akan menjadi tenang.

[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...