Wednesday, May 4, 2011

Jangan merebut jawatan

 

image

PADA satu hari, Rasulullah s.a.w. memberi wasiat kepada Abdur Rahman bin Samurah.

Baginda bersabda, Wahai Abdur Rahman bin Samurah, janganlah sekali-kali kamu meminta jawatan atau kuasa, kerana jika kamu memperolehnya melalui cara sedemikian, maka kamu akan menanggung beban tetapi jika kamu memperoleh bukan kerana kamu memintanya, Allah akan membantu kamu melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Sememangnya memiliki kuasa dan kedudukan adalah impian semua orang. Justeru tidak hairanlah jika ada antara kita yang sanggup melakukan apa sahaja termasuk melalui cara yang dilarang oleh Islam, semata-mata untuk mendapat sesuatu jawatan.

Bagaimanapun dalam soal jawatan ini, terdapat dua kelompok manusia yang mempunyai pendekatan berbeza.

Kumpulan pertama ialah orang yang menggunakan segala macam cara untuk meraih jawatan berkenaan, walaupun tindakannya akan merugikan dirinya sendiri dan juga orang lain.

Bagi mereka, jawatan yang bakal diperoleh adalah segala-galanya dan dia akan menggunakan segala kedudukan yang ada untuk kepentingan dirinya.

Kelompok kedua ialah mereka yang melihat jawatan atau kuasa yang dimiliki adalah satu tanggungjawab yang mesti dipelihara dan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

Orang seumpama ini amat memahami bahawa apa yang mereka lakukan bakal disoal oleh Allah di Akhirat kelak, justeru mereka akan berusaha melakukan yang terbaik melalui kuasa yang ada bagi memberi kesejahteraan kepada semua orang.

Tetapi malangnya pada zaman ini kita melihat kelompok pertama lebih ramai daripada kelompok kedua, terutamanya dalam perebutan jawatan politik.

Ada segelintir daripada mereka akan melakukan apa juga cara bagi memperoleh jawatan itu, walaupun ada yang melanggar batas tata susila sebagai orang Islam.

Bagi mereka, dosa dan pahala adalah soal kedua. Yang penting matlamat mereka untuk memiliki kuasa dan jawatan itu tercapai. Yang lebih buruk daripada itu dalam usaha tersebut juga wujud saling memfitnah dan memaki hamun. Akibatnya timbullah perpecahan antara sesama Islam.

Ada pula yang sanggup mengeluarkan belanja yang besar untuk memastikan mereka memenangi jawatan yang diinginkan tanpa mahu menginsafi amaran Rasulullah s.a.w.:

Allah melaknat penyuap, penerima dan yang memberi peluang bagi mereka.

Semua ini berlaku kerana ramai yang merasakan dirinya layak untuk menjadi pemimpin atau memegang sesuatu jawatan tanpa menyedari bahawa ia hakikatnya satu tanggungjawab yang cukup besar dan bukan sekadar mencari kesenangan di dunia.

Dalam usaha mencari jawatan itu, mereka akan mendakwa diri mereka yang terbaik, merekalah yang mampu memimpin dan menjadi pemimpin serta berjanji akan mengutamakan perjuangan untuk rakyat.

Justeru apabila jawatan itu diperoleh dengan cara yang tidak halal, tercetuslah fenomena yang tidak sihat di kalangan manusia apabila pemimpin-pemimpin ini hakikatnya hanya bijak dan bercakap tetapi tidak melaksanakannya.

Golongan ini telah diberi peringatan oleh Rasulullah s.a.w. melalui sabdanya; Akan datang sesudahku penguasa-penguasa yang memerintahmu. Di atas mimbar mereka memberi petunjuk dan ajaran dengan bijaksana, tetapi apabila turun dari mimbar mereka melakukan tipu daya dan pencurian. Hati mereka lebih busuk daripada bangkai.

Berdasarkan hujah-hujah ini, maka janganlah kita terlalu taksub untuk merebut jawatan jika merasa tidak mampu melaksanakannya dan berhadapan dengan Allah untuk menjawab segala yang telah kita lakukan dengan jawatan yang diperoleh.

Sesungguhnya jawatan itu adalah amanah yang cukup besar dan pasti akan dipertanggungjawabkan di Akhirat kelak, oleh itu tidak perlu kita berpecah belah semata-mata kerana perebutan jawatan tersebut.

Ingatlah pesanan Rasulullah s.a.w.: Jawatan (kedudukan) pada permulaannya penyesalan, pada pertengahannya kesengsaraan dan pada akhirnya azab pada Hari Kiamat.'

[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...