Menziarahi orang sakit adalah sunat dan digalakkan oleh Islam. Perbuatan ini dapat mempereratkan lagi hubungan silatul rahim sesama Islam.
Amalan ziarah di kalangan orang-orang Islam dituntut dilakukan pada bila-bila masa bukan hanya sekadar dalam masa sakit sahaja. Amalan ziarah ini telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. terhadap kaum keluarga, yang tua, bujang dan lain-lain. Amalan seumpama ini mendapat ganjaran yang besar, sebagaimana yang disarankan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. Maksudnya:
“Daripada Abu Hurairah .a. katanya: bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Barangsiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah Taala, maka terdengarlah suara yang memanggil dan mengatakan bagus dan bagus langkah mu dan ambillah tempat tinggal mu di dalam syurga”
(Riwayat: at-Tirmizi)
Antara adab menziarahi orang sakit ialah:
Jangan duduk terlalu lama ketika menziarahi pesakit kerana perbuatan ini boleh mengganggunya.
Ketika berada disisinya, hendaklah kita sentuh dan pegang tangannya kemudian letakkan tangan di dahinya dan tanya tentang penyakit dan keadaannya sekarang.
Hendaklah kita doakan agar cepat sembuh dengan menyebut: Semoga Allah menyembuhkan... (sebutkan nama dan pangkatnya).
Doa dan ceritakan tentang kelebihan sakit yang dialami oleh para sahabat, Rasul dan Nabi dan juga orang beriman supaya pesakit itu tidak merasa resah gelisah terhadap kesakitan yang dialaminya.
Berikanlah nasihat-nasihat yang baik serta ucapkan perkataan “Sabarlah sakit ini adalah salah satu ujian Allah dan cubaan semata-mata di atas ketakwaan seseorang terhadap Allah kerana sakit ini juga, seseorang memperolehi ganjaran pahala yang banyak”.
Jangan makan makanan yang dihadiahkan kepadanya atau makanan yang telah disediakan untuknya. Sekiranya kita makan makanan tersebut, hilanglah pahala ibadah ziarah itu.
Sunat dibacakan doa untuknya yang bermaksud:
“Ya Allah ! Hilangkanlah penyakitnya, wahai Tuhan bagi manusia sembuhkanlah, Engkaulah yang menyembuhkan tidak ada sembuhan melainkan sembuhan dariMu jua, sesuatu sembuhan yang tidak meninggalkan sebarang penyakit”.
(Riwayat at-Tirmizi)