Sabar itu kala seseorang itu betah menahan kesusahan yang menimpanya. Jika tidak lagi betah, maka pasti ada musuh yang ingin melesapkan sifat sabar dalam diri seseorang itu. Apakah musuh-musuh sabar itu?
1. Tergesa-gesa
Alah berfirman yang bermaksud: "Manusia telah dijadikan (bertabiat) tergesa-gesa." (Surah al-Anbiya' 21:37)
Sekiranya apa yang dihajati lambat ditunaikan, maka lesaplah kesabarannya. Itulah tabiat semula jadi manusia. Selalu ingin memetik buah sebelum buah itu masak dan tanpa bersungguh-sungguh menanam pohon buah tersebut.
2. Putus asa
Allah berfirman yang bermaksud: "Dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tidak berputus ada daripada rahmat Allah melainkan golongan yang kafir." (Surah Yusuf 12:87)
3. Marah
Islam tidak pernah menyuruh umatnya membasmi sifat marah secara tuntas. Marah masih diperlukan pada saat-saat tertentu seperti ketika Islam dihina dan diinjak-injak. Hakikatnya kini, manusia sebaliknya marah tidak bertempat. Mereka hanya marah apabila kepentingan diri tergugat, bukan apabila kepentingan agama digugat.
Jika ketiga-tiga "musuh" sabar di atas masih ada dalam diri kita, maka amat susahlah untuk memupuk sabar. Halaulah musuh tersebut jauh-jauh, nanti sabar akan mendekat.